- Iklan -
Rencana

Pertandingan 3 penjuru PRU15 rugikan politik Melayu-Islam, kestabilan negara

Hasil kajian tiga badan bukan kerajaan (NGO) itu mengambil kira negeri utara, pantai barat, pantai timur dan selatan.

Mohd Roslan Mohd Nor
4 minit bacaan
Kongsi
Persampelan secara kluster pelbagai peringkat dibuat dengan menggunakan kaedah kajiantinjauan di lapangan secara rawak serta bilangan responden yang digariskan untuk mencapai ketepatan keputusan 95%. Gambar: AFP
Persampelan secara kluster pelbagai peringkat dibuat dengan menggunakan kaedah kajiantinjauan di lapangan secara rawak serta bilangan responden yang digariskan untuk mencapai ketepatan keputusan 95%. Gambar: AFP

Tiga badan bukan kerajaan (NGO) ahli akademik dan profesional iaitu Pertubuhan
Intelektual Negara (Pintar, Ikatan Ilmuwan Nasional (Ilmuwan) dan QGenAnalysts (QGA) telah berkerjasama menganalisa senario pertembungan dua penjuru (PN+BN vs PH) dan tiga penjuru (PN vs BN vs PH) berserta keputusan kajian lapangan yang dibuat sepanjang Jun hingga Disember 2020.

Kawasan kajian mengambil kira negeri utara, pantai barat, pantai timur dan selatan.

Ia juga dilakukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang mempunyai komposisi kaum menyamai peratus nasional iaitu 60 hingga 70% Melayu, 20 hingga 30% Cina dan 5 hingga 10% India.

Persampelan secara kluster pelbagai peringkat dibuat dengan menggunakan kaedah kajian
tinjauan di lapangan secara rawak serta bilangan responden yang digariskan untuk mencapai ketepatan keputusan 95%.

Ia juga kaedah terbaik dengan kebolehpercayaan tertinggi berbanding kaedah lain seperti panggilan telefon ataupun kajian maya.

Analisa senario pertembungan dua atau tiga penjuru ini dibuat setelah mengambil kira
situasi politik semasa apabila berlaku pergeseran di antara parti teras Melayu-Islam di pihak kerajaan iaitu Umno dan Bersatu.

Dengan menjadikan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di semua Parlimen dan penerimaan semasa pengundi melalui kajian lapangan, hasil analisa menunjukkan beberapa perkara berikut:

Senario 1: PN+BN vs PH

PN+BN berpotensi untuk memperolehi dua pertiga majoriti di Parlimen.

Senario situasi terbaik (best case scenario) menunjukkan PN+BN akan berjaya memenangi
sehingga 162 kerusi Parlimen berbanding PH yang hanya mampu bertahan di 60 kerusi.

Dalam masa yang sama, PN+BN akan berjaya mengembalikan majoriti Islam dan Melayu di Parlimen yang hilang pasca PRU14.

Sekitar 130 kerusi akan diwakili oleh wakil rakyat Islam-Melayu.

Gabungan PN+BN juga akan berjaya menambah kawasan Parlimen bandar sehingga 20 kerusi.

60 kerusi PH pula didominasi 39 kerusi DAP, 13 PKR dan selebihnya parti-parti gabungan PH yang lebih kecil.

Analisa ini bertepatan dengan majoriti maklumbalas rakyat yang dikumpul di dalam
kajian lapangan.

Mereka bersedia memilih sebuah gabungan politik yang kuat, stabil dan inklusif (PN+BN) berbanding satu gabungan yang dilihat eksklusif (Umno+PAS) ataupun yang didominasi oleh kaum bukan majoriti (PH).

Populariti PN+BN sebagai gabungan yang berteraskan kaum majoriti iaitu Melayu
dan disertai oleh Bumiputera Sarawak, Sabah dan parti-parti kaum Cina dan India
dilihat oleh rakyat mampu mengekalkan keharmonian dan lebih stabil serta baik untuk
pertumbuhan ekonomi.

Faktor penarik kepada PN+BN ini juga berkait dengan persepsi rakyat kepada keunikan parti teras gabungan tersebut iaitu mengutamakan kebajikan rakyat (Bersatu), berintegriti tinggi (PAS) dan berpengalaman dalam pentadbiran (Umno).

Walau bagaimanapun, perkembangan politik mutakhir ini memperlihatkan timbul
kemungkinan untuk berlaku pertembungan lebih daripada dua penjuru.

Pergeseran antara Umno dan Bersatu secara khususnya dibimbangi boleh membawa kepada perkara tersebut.

Senario 2: PN vs BN vs PH

Jika pertandingan tiga penjuru, hasil analisa mendapati situasi Parlimen tergantung bakal berlaku.

PN yang telah didaftarkan oleh dua parti teras Melayu Islam (Bersatu+PAS) dijangka memperolehi 72 kerusi, BN 51 kerusi dan PH 99 kerusi.

Pertembungan tiga penjuru ini menatijahkan tiada mana-mana gabungan yang akan membentuk majoriti mudah 112 kerusi.

Walaupun ada kemungkinan PN dan BN bersetuju untuk bergabung selepas PRU, namun jumlah kerusi akan turut berkurang dengan drastik berbanding dua penjuru.

Kedudukan kerusi yang sama dengan situasi sekarang bakal terbentuk.

Malah analisa di atas berisiko berkeputusan lebih rendah untuk PN dan BN kerana ia
bertentangan dengan kehendak rakyat di dalam kajian lapangan yang lebih meyakini
satu gabungan yang stabil dan kukuh sebelum membuat pengundian dan bukannya
selepas PRU15.

Disamping itu juga, kerusi Islam-melayu juga tidak akan mencapai majoriti.

Paling tinggi mungkin sekitar 104 kerusi sahaja.

Ia juga mengembalikan keputusan mirip PRU14 di mana PH menjadi gabungan terbesar bertunjangkan DAP yang akan memiliki sekurang-kurangnya 41 kerusi.

Tarik-menarik ahli Parlimen akan berlaku dan akan merosakkan keyakinan rakyat serta pelabur dalam waktu kritikal untuk bersatu hati memulihkan ekonomi dan kemakmuran negara pasca wabak Covid-19.

Antara kesimpulan lain hasil daripada kajian lapangan termasuklah persepsi pengundi di dalam Pilihanraya Negeri Sabah mendapati:

1. Ciri-ciri berintegriti tinggi, tiada salahguna kuasa dan tidak rasuah menjadi pilihan
utama pengundi Melayu diikuti oleh inisiatif pemulihan ekonomi.

Pengundi Cina dan India pula meletakkan pemulihan ekonomi sebagai keutamaan dan diikuti oleh integriti tinggi, tiada rasuah dan salah guna kuasa.

2. PN+BN dilihat lebih diyakini sebagai gabungan yang berintegriti kerana ia
gabungan baru yang tiada bebanan imej lepas.

Dalam kajian lapangan, rakyat menyatakan kelebihan BN adalah pengalaman dalam berkerajaan, namun masih dianggap mempunyai isu integriti, rasuah serta salahguna kuasa.

Persepsi ini turut dikaitkan dengan prestasi BN di Sabah yang bertanding lebih banyak kerusi berbanding PN, tetapi memperolehi kemenangan yang sangat kurang berbanding PN walaupun bersama-sama di dalam satu Gabungan Rakyat Sabah.

Daripada 41 kerusi yang ditandingi, BN hanya memenangi 14 kerusi berbanding PN (17 kemenangan daripada 29 kerusi).

3. Perkembangan pengundi atas pagar, condong non-partisan dan lebih terbuka semakin tinggi peratusnya.

Kelompok pengundi ini yang terdiri daripada orang muda berumur bawah 35 tahun, berpendidikan tinggi atau bekerjaya profesional akan berperanan penting di dalam PRU15 terutamanya mereka yang mendaftar sebagai pengundi kali pertama.

Kelompok ini meletakkan peratus yang amat tinggi kepada integriti sebagai faktor calon dan boleh menjadi penentu gabungan mana yang akan diundi sama ada PN, BN atau PH jika berlaku pertembungan tiga penjuru.

Merujuk kepada analisa dan kajian lapangan yang dijalankan, amat jelas ia menunjukkan kepentingan parti teras Islam Melayu iaitu Umno, PPBM dan PAS untuk duduk semeja dan bersetuju untuk hanya bertanding dua penjuru di dalam PRU15 demi keharmonian dan kestabilan negara.

Ia sekali gus memberi keyakinan kepada rakyat pelbagai kaum serta pelabur untuk kembali giat dan fokus di dalam pemulihan ekonomi pasca Covid-19.

Sebaliknya, pertembungan 3 penjuru akan mengheret negara ke dalam kancah ketidakstabilan yang memudaratkan segenap lapisan rakyat dan membantutkan usaha pemulihan ekonomi yang terjejas teruk. PPBM dan PAS harus menghormati Umno sebagai parti terbesar kaum majoriti Melayu di dalam pembahagian kerusi.

Namun, Umno pula perlu berlapang dada dan berjiwa besar dengan tidak menekan serta menuntut peruntukan kerusi yang tidak munasabah.

Ini kerana pilihan rakyat yang meletakkan ciri integriti sebagai keutamaan undi dan beban imej negatif yang masih dilihat ada pada kepimpinan Umno boleh menjadi risiko kepada gabungan PN+BN jika tidak diuruskan dengan baik.

Malah risiko itu dijangka lebih buruk untuk Umno/BN jika mereka bertindak bersendirian yang membawa kepada pertembungan 3 penjuru.

Analisis ini selari dengan kenyataan penganalisis politik mendiang Hoo Ke Ping, baru-baru ini.

Beliau menjangkakan PRU15 ini menyaksikan jika Umno, PAS dan Bersatu bergabung, mereka akan kekal memerintah dan mendominasi menerusi pentadbiran yang disifatkan sebagai kerajaan perpaduan dalam kepelbagaian.

Profesor Mohd Roslan Mohd Nor merupakan presiden Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar)

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.