Sunday, July 25, 2021

Apabila benih kelapa bertukar menjadi pulau

Negara kafir yang bernama UK ini memberikan kebebasan kepada pelajar luar negara.

Other News

“Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng mengadakan pertemuan sulit dengan dua orang pelajar Melayu radikal, Hishamuddin Rais dan Mohd Yunus bin Lebai Ali di Beijing pada bulan Januari 1980. Dalam kenyataannya Mohd Yunus mendedahkan: ‘Chin Peng mencadangkan agar Hishamuddin Rais dan saya menubuhkan Kumpulan Bersenjata Melayu jika perlu atau sesuai yang bebas dari PKM, tetapi pada peringkat awalnya PKM akan memberi latihan kepada kumpulan bersenjata dan juga bantuan logistik sehinggalah ianya boleh berdikari…’”. Petikan dari Kertas Putih Operasi Lalang.

Aku sudah membuat keputusan. Perlawanan akan diteruskan.

Mustahil aku tidak bangun melawan. Aku di kota London dan bukannya di Kuala Klawang.

Kawan-kawan sekepala semakin ramai. Jaringan sokongan semakin kukuh.

Mat Salleh dan Minah Salleh juga datang untuk memberikan sokongan.

Semuanya hasil usaha persendirian daripada Jomo, Lucy, Rohana, Joe dan aku sendiri.

Inilah usaha kami sebagai warga yang bertanggungjawab di luar negara.

Di mana pun kami berada, tanggungjawab sebagai warga tetap dipikul.

Benih kelapa yang baik walaupun hanyut dipukul ombak dan terdampar, akan menjadi sebuah pulau.

Aku sendiri yang sudah lama meninggalkan Malaysia mungkin tidak memilik sanad.

Tidak seperti Jomo dan Udo menjadi perawi sahih tentang Operasi Lalang.

Untuk aku yang sahih hanya satu, Operasi Lalang menyebabkan kocakan di kota London.

“Kalau di London pun takut nak melawan kezaliman… baik potong xxxx”. Aku mendengar kata-kata anak muda bernama Anwar dari Tampin, Negeri Sembilan.

Aku kenal Anwar secara tidak sengaja pada tahun 1984.

Aku sekapal dengan Anwar dari pelabuhan Dover di England ke pelabuhan Ostend di Belgium.

Anwar ini datang sebagai pelajar tetapi kemudiannya berhenti.

Bila kami berkenalan dia bekerja di sebuah pub di South London. Kami menjadi kawan – satu lagi kawan Melayu aku di London.

Pub Anwar bekerja ini hebat. Anwar bersurah yang dia pernah melayan Al Pacino di pubnya ketika pelakon terkenal itu membuat penggambaran filem “Revolution” di United Kingdom (UK).

Anwar ke Brussels untuk “dirty weekend”, bercuti di hujung minggu. Aku nak pulang ke kampung aku di Wavre.

Wajib aku kisahkan di sini bahawa peranan pelajar Malaysia di UK, Australia dan New Zealand amat-amat penting.

Bukan penting untuk tanah air sahaja tetapi penting untuk gerakan pelajar antarabangsa.

Pelajar Malaysia memangkin aktiviti pelajar tempatan dan pelajar dari negara lain.

Di Australia, UK dan di New Zealand – majoriti pelajar luar negara datang awalnya dari Tanah Melayu, kemudian dari Malaya dan akhirnya dari Malaysia.

Mereka datang dengan biasiswa kerajaan atau Colombo Plan.

Atau dihantar oleh ibu bapa. Pada zaman itu, belajar adalah percuma di UK, Australia, Kanada atau New Zealand termasuk bagi pelajar dari negara luar.

Sistem belajar percuma ini hanya wujud di Jerman hingga ke hari ini.

Di Jerman pembelajaran masih tidak dijual beli. Yang dijual beli hanya Mercedes, BMW dan Audi.

Di Australia aku ada pengalaman sendiri. Aku datang dua kali ke Australia.

Kali pertama hadir ke persidangan Asian Students Association (ASA) di Melbourne pada Jun 1974.

Kali kedua aku dijemput sebagai tetamu oleh Australian Union of Student (AUS) pada tahun 1975.

Sebelum aku sampai ke London aku mengetahui beberapa persatuan pelajar Malaysia di UK.

Setiap kampus jika ramai pelajar Malaysia maka akan diwujudkan MSU/MSA – Malaysian Student Union atau Association.

Negara kafir yang bernama UK ini memberikan kebebasan kepada pelajar luar negara.

Buatlah apa sahaja, dirikan apa sahaja persatuan, susunlah apa bentuk organisasi.

Yang dilarang – jangan mengganggu hak orang lain.

Ini dasar negara kafir UK yang berpandukan hukum-hakam yang dibuat di dalam Parlimen.

Terbukti pelajar Malaysia mengambil peluang untuk bergerak bebas di UK.

Gerakan pelajar Malaysia di UK memang terkenal.

Pernah satu petang di musim panas 1975, aku bertemu dengan satu kumpulan pelajar Iraq yang pulang bercuti dari London.

Kami bertemu di ibu pejabat Persatuan Kebangsaan Pelajar Iraq atau National Union of Iraqi Student (NUIS).

Ketika itu aku menjadi tetamu kepada NUIS.

Aku menginap di Hotel Ambassador di Jalan Abu Nawas, Baghdad.

Di hadapan hotel aku ialah Sungai Dajlah. Di seberang sungai ialah kawasan larangan, Istana Presiden.

“You are from Malaysia? Ah lan wa sah lan. Welcome, welcome. I knew Malaysian students in London. They are very active, but… they are all Maoist”.

Salah seorang pelajar Iraq memberi pencerahan kepada aku yang belum pernah sampai ke London.

“Oh that is interesting”. Aku menjawab dengan tersenyum.

Dalam kepala aku teringat akan kumpulan New Malayan Youth yang sejarahnya amat gilang gemilang di UK.

Sebagai setiausaha agung PMUM, aku selalu menerima bahan bacaan daripada pelajar-pelajar Malaysia di luar negara.

Majalah New Malayan Youth adalah antara majalah yang kerap aku terima.

Pada satu petang aku dapat panggilan telefon. Sosok ini memperkenalkan dirinya sebagai Toni Kahane. Dia penulis bebas yang tidak terikat dengan mana-mana akhbar.

Sosok ini bercadang mahu menulis tentang Operasi Lalang untuk akhbar The Guardian.

The Guardian ini akhbar liberal kiri. Pembaca terdiri daripada intelektual dan warga profesional penyokong Parti Buruh.

Aku sendiri membeli akhbar ini. Setiap pagi dalam perjalanan ke kampus aku akan membelinya di stesen tube Bromley-by-Bow.

The Guardian terbit enam hari seminggu.

Pada hari Ahad kakak kepada Guardian muncul, The Observer.

Dua akhbar ini membawa suara dan garis sosial demokrat untuk masyarakat British.

Dari apa yang aku difahamkan Toni mengumpul bahan.

Cuma dia tidak memiliki gambar yang perlu ikut bersama dengan rencana Operasi Lalang yang sedang digarap.

Toni menelefon kerana aku belajar di sekolah filem.

Toni ingin tahu apakah aku memiliki apa-apa gambar yang relevan untuk rencana ini.

Oops! Nasib baik, dalam simpanan aku ada gambar Chandra Muzaffar.

Chandra sedang berada dalam penjara ketika Toni menelefon aku.

Seminggu kemudian rencana Operasi Lalang diterbitkan di sebelah lidah pengarang dalam The Guardian.

Gambar Chandra digunakan. Aku tersenyum puas.

Kawan-kawan aku dalam kelas hampir tak percaya bagaimana gambar daripada aku digunakan The Guardian.

Aku bukan profesional. Aku baru masuk belajar tahun satu. Aku sedar bukan mudah gambar akan digunakan oleh The Guardian.

Toni memberi aku 70 pound sterling untuk sekeping gambar Chandra.

Jelas propaganda kami tentang Operasi Lalang sudah ranum.

Maka pada pagi Sabtu yang ditetapkan dua bulan sesudah Operasi Lalang – kami mengadakan seminar pelajar Malaysia di Dewan Pelajar di Malet Street.

Dewan ini milik National Union of Student (NUS) – Persatuan Kebangsaan Pelajar UK.

Dewan ini tidak jauh dari The School of Oriental and African Studies (SOAS).

Jomo memainkan peranan. Jomo memberi penerangan. Lucy yang suami dan adiknya ditahan berucap sama.

Aku juga memberi penerangan.

Aku yang sudah lama meninggalkan Malaysia bukanlah pembawa perawi sahih seperti Jomo yang sanad dan nasnya dianggap sahih.

Seminar di Malet Street berlangsung dari pagi sampai petang.

Lebih daripada 30 mahasiswa Malaysia datang – majoritinya pelajar Melayu.

Kami makan nasi bungkus tengah hari itu. Aku pesan dari restoran Satay House.

Aku merasa senang hati kerana propaganda dan iklan aku dalam akhbar pelajar PCL berjaya menjemput ramai khalayak.

Tulisan Toni dalam The Guardian juga membantu.

Ketika perbincangan berjalan mata aku liar mencari yang mana satu kakak kepada K K Tan.

Kalau-kalau dia hadir sama.

Tiba-tiba di akhir program seorang anak muda datang menghulur tangan kepada aku.

“I’m K K Tan brother… I study Engineering … same like you …same like you at PCL…..my brother now in Kamunting”.

Oh. Kakak tak datang. Tapi adik kepada K K Tan sampai.

Tiba-tiba dua hari kemudian telefon aku berdering. Bila aku angkat tak ada suara di hujung sana. Bila aku letak ia berbunyi lagi. Telefon aku berbunyi tanpa henti-henti.

Dalam kepala aku terlintas, ini mesti kerja SB yang menyamar bertugas di pejabat Kedutaan Malaysia.

Panggilan kosong ini mengganggu aku. Lalu aku letakkan bantal untuk menutup bunyi deringan telefon.

Lalu aku teringat kembali apa yang berlaku pada satu petang dalam stesen kereta api bawah tanah di Picadilly Circus.

Ketika itu aku dengan seorang kawan sedang merakam projek filem tahun akhir aku untuk Brixton College.

Aku sedang merakamkan seketul hati lembu yang turun naik di eskalator. Aku menggunakan filem Super 8.

Tiba-tiba seorang anak muda Melayu datang menghulur tangan. Aku lupa namanya.

Aku pun lupa dari kampus mana dia belajar. Aku lupa kerana aku merasa terganggu daripada apa yang sedang aku lakukan ketika itu. Yang aku ingat dia jantan Melayu agak kurus dan kulit agak hitam.

Mamat ini meminta nombor telefon rumah aku. Dia semacam mendesak.

Untuk meneruskan apa yang aku sedang buat, aku sebutkan nombor telefon aku. Kemudian dia beredar.

Kenapa dia perlu menelefon aku? Aku pun tak tahu.

Aku amat jarang memberikan nombor telefon kepada sosok yang tidak rapat dengan aku.

Petang itu agak ganjil, kecuali… kecuali apa?

Kecuali yang meminta nombor telefon aku Minah cun langsing dan bergetah.

Minah jenis ini tak perlu meminta.

Aku sendiri akan menghulur nombor aku dengan senyum manis yang tak putus-putus.

Dengan harapan dapat bertemu kembali.

Kenapa Mamat kurus berkulit hitam itu aku “syaki”? Hanya perasaan curiga aku akibat deringan yang menggangu.

Esoknya aku pergi ke pejabat British Telecom di Shaftbury Avenue.

Aku mengajukan laporan gangguan.

Pegawai yang bertugas mengambil laporan daripada aku.

Di Pejabat British Telecom ini aku ternampak iklan peti jawapan telefon.

Terbaik. Lalu aku membeli peti jawapan telefon. Bantal tidak diperlukan lagi untuk menutup telefon aku.

Bila aku ada “answering machine” – kawan-kawan memperli aku yang kini cuba-cuba nak menjadi “yuppie”.

Pada tahun 1987, mesin ini jarang digunakan.

Kawan-kawan aku tidak tahu apa kisah di sebalik mesin ni.

Di kampus aku pergi berjumpa pensyarah aku Mr Ian Green. Aku rasa pensyarah muda ini lebih bersimpati.

Aku bersurah kepadanya tentang Operasi Lalang dan apa yang berlaku di Malaysia. Aku juga bertanya apakah Malaysia dan UK ada penjanjian ekstradisi.

Aku lakukan semua ini untuk menenangkan perasaan.

Kemudian aku kembali menjadi Londoner.

Hidup aku kembali seperti biasa. Aku di fahamkan Yunus sudah di hantar ke Kem Tahanan Kamunting bersama yang lain.

Ada yang dibebaskan selepas dua atau tiga bulan. Aku dengar Chandra sudah dibebaskan.

Kemudian Rohana membawa berita baik. Suaminya, Jaseni akan datang bercuti.

Ketika ini Rohana masih mengikuti kuliah di Warwick Universiti. Thaera peminat setia Bros masih lagi bersama Rohana.

Irene masih lagi bersama suaminya Joe di Warwick.

Dari lapangan terbang Heathrow Jaseni singgah ke Bromley-by-Bow. Ini kali pertama aku berjumpa Jaseni.

Dia membawa surah tentang Yunus. Jaseni bercerita tentang ibu Yunus.

Seorang ibu yang jujur dan tidak mengetahui apa itu Kamunting dan ISA.

Ibu Yunus memberi ingatan agar Yunus tidak lupa seluar mandi ketika ditangkap. Pesanan ini timbul kerana anak jantannya Yunus suka berenang.

“Isham… kau tak tahu… Rohana… Irene dan Jomo … semua selamat… kalau tidak, tiga-tiga ekor ini pun kena dibungkus oleh Mahathir”. Jaseni memberi pencerahan.

Aku hanya mendengar.

“Rohana dan Jomo ini, geng Nadi Insan yang awal. Semua geng Insan kena ngap. Cecelia.. Heng Leng… Dr Nasir…. nasib baik …. mereka ini terbang awal ke London”.

Aku hanya mendengar.

Kemudian Jaseni bercerita lagi apa yang berlaku ketika Operasi Lalang. Dia mendapat tahu tangkapan sedang berjalan. Dia merasa amat cuak kerana Rohana juga dalam kumpulan Insan. Maka secepat kilat Jaseni bergerak.

“Aku masuk ke bilik bacaan Rohana dan mengumpulkan semua buku-buku Rohana. Apa saja buku yang ada bau-bau bacang dengan Marx dimasukkan ke dalam kotak”.

Aku hanya mendengar.

“Malam itu aku masukkan semua buku dalam kotak. Masuk dalam kereta dan terus ke Jambatan Pulau Pinang”.

“Jambatan mana?” Aku tak tahu apa itu Jambatan Pulau Pinang. Semasa aku di Malaysia kalau nak masuk ke Tanjung wajib naik feri.

“Oops… kau belum tengok lagi…depan USM…. sampai tengah jambatan aku buangkan semua buku buku itu… semua selamat ke dalam laut”.

“Termasuk buku Groucho Marx”. Aku melawak.

“Kau ingat SB tahu siapa Groucho Marx? Nampak tertulis nama Marx saja, semua kena tangkap… Groucho ke tak Groucho”. Kami ketawa.

Kisah Jaseni membuang buku ke dalam laut ini mengingatkan aku kepada surah yang aku pernah dengar daripada aktivis Filipina.

Presiden Marcos membuat serbuan ke dalam kampus Universiti of the Philipines untuk menangkap pelajar kiri, Marxis dan komunis. Marcos baru sahaja mengistiharkan darurat.

Polis diberi arahan untuk menggeledah bilik pelajar.

“I’m anti-communist”. Kata seorang pelajar yang tidak puas hati biliknya digeledah.

“I don’t care what type of communist you are”. Pelajar itu ditangkap.

Bila aku dengar surah daripada Jaseni ini baru aku sedar betapa baiknya nasib Jomo, Rohana, Irene dan Lucy.

Aku kembali menjadi pelajar, pelayan restoran dan Londoner.

Satu hari aku terima panggilan daripada Jomo.

Dia berkata ada wartawan daripada Far Eastern Economic Review nak menemu bual. Aku kenal majalah ini. Majalah mingguan politik dan ekonomi yang diterbitkan di Hong Kong.

Aku mengikut dan membaca majalah ini semenjak tahun 1969 ketika aku di Kuala Kangsar.

Perpustakaan Kolej Melayu Kuala Kangsar melanggan majalah ini. Arwah Muzafar Tate yang memperkenalkan aku dengan majalah ini.

“Mr Rais, have you met Ching Peng?” Ini soalan dari Minah wartawan dari Hong Kong itu.

Epilog:

Kertas Putih Operasi Lalang dikeluarkan oleh Mahathir. Nama aku terlibat sama.

Yunus Ali di tahan selama dua tahun di Kamunting.

Irene Fenandez pulang ke Malaysia beberapa bulan kemudian. Irene tidak ditangkap. Suaminya Joe selamat menyelesaikan ijazah di Warwick University.

Jomo meneruskan cutinya di Cambridge Universiti. Isterinya juga sedang menyiapkan PhD di Cambridge.

Rohana pindah dari Warwick Universiti dan tinggal di 44, Newmill House.

Dia tinggal di rumah aku hampir satu tahun untuk membuat kajian di Jabatan Kolonial Kew Garden, London. PhDnya siap dua tahun kemudian.

Lucy dan anaknya Natasha terus tinggal di East End, London.

Lucy mendapat ijazah undang-undang dan kini terus menetap di London.

Suaminya John setelah dibebaskan dari Kamunting datang ke London. Natsha anak gadis Lucy menjadi pelakon dalam filem tahun akhir aku, Malaysian Werewolf in London 1991.

K K Karen masih berada di London.

Bulan April 2019 ketika aku di London aku pergi melawat K K. Aku menemui dia di rumah rawatan di mana anaknya sedang berubat kerana dilanggar kereta.

Thaera masih meminati Bros. Thaera pulang lebih awal ke Malaysia dari Rohana.

Aku masih ingat ketika menghantar dia ke Heathrow aku berkata mungkin kastam akan menahan dia atas tuduhan menyeludup jam tangan. Thaera masih memakai dua jam tangan – kiri dan kanan – fesyen ketika itu.

Aku putus hubungan dengan Anwar dari Tampin. Sudah pulang ke Tampin atau masih di London?

Mr Ian Green kini menjawat pensyarah kanan di Jabatan Filem di University of Westminister.

Majalah Far Eastern Economic Review keluaran akhir pada Disember 2009.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles