- Iklan -
Kolum

Perubahan hanya berlaku dengan penggantian generasi

Maknanya tidak akan ada perubahan besar yang datangnya daripada generasi lama.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Ketika demonstrasi menentang rampasan kuasa tentera di Myanmar, seorang anak muda yang ditemu ramah berkata; “Kalau orang dahulu boleh terima pemerintahan tentera, tetapi generasi sekarang menolak tindakan rampasan kuasa ini.”

Kata-kata anak muda itu menarik perhatian pada realiti bahawa perubahan politik sesebuah negara mengikut proses penggantian generasi.

Maknanya tidak akan ada perubahan besar yang datangnya daripada generasi lama.

Sebab itu seringkali dirasakan begitu sukar untuk mengadakan perubahan politik walaupun seseorang atau sekumpulan aktivis berjuang sepanjang hidupnya hingga akhirnya ada antara mereka berputus harap untuk mencapai sebarang kejayaan.

Tetapi ada kalanya tiba-tiba berlaku perubahan mendadak apabila generasi baru muncul dan mereka mahukan pembaharuan.

Apa yang berlaku di Myanmar, bukanlah bermakna generasi lama boleh menerima pemerintahan tentera seperti yang dikatakan oleh anak muda yang berdemonsreasi itu.

Ketika pertama kali Aung San Suu Kyi dan partinya, Liga Nasional bagi Demokrasi (NLD) menang pilihan raya tetapi dihalang daripada memerintah pada tahun 1990, rakyat negara itu tetap menolak tindakan pihak tentera itu.

Maknanya, generasi tahun 1990 turut membantah tetapi mereka tidak berjaya, sama ada mereka tidak kuat, atau bilangan yang membantah tidak cukup banyak untuk berdepan dengan tentera yang bersikap keras.

Mungkin juga ada faktor lain yang menyebabkan mereka gagal.

Jadi, apa yang dimaksudkan oleh anak muda itu ialah generasi 1990 yang membantah tidak cukup banyak dan kuat, berbanding dengan mereka sekarang.

Dari segi bilangan penduduk pun tentunya rakyar sudah bertambah. Setakat ini pun, bantahan oleh anak-anak muda itu belum menampakkan hasil.

Tetapi apakah yang dimaksudkan dengan generasi?

Manusia sentiasa dilahirkan pada setiap hari.

Kalau dilihat dari segi hari, bulan malah tahun, perbezaan antara manusia tidak begitu ketara.

Tetapi jika dilihat dari sudut 10 tahun, baru nampak perbezaannya.

Maka sering generasi dikira mengikut dekad.

Umpamanya, ia disebut sebagai generasi 50-an atau 60-an.

Bagaimanakah pula dekad bagi sesuatu generasi itu dikira?

Adakah dikira menurut tahun kelahiran mereka, atau ketika waktu mudanya?

Jadi apabila disebut generasi 60-an, seringkali ia merujuk pada anak-anak muda yang bangkit membantah perang Vietnam.

Pastinya mereka tidak lahir pada tahun 1960-an.

Mereka lahir lebih awal lagi dan menjadi anak muda pada tahun 1960-an.

Usia anak muda pula dikira sekitar 20-an dan 30-an.

Jadi anak muda Myanmar yang ditemuramah itu diandakan berusia 30-an.

Maka dia lahir sekitar 1990-an.

Iaitu ketika Suu Kyi menang pilihan raya bagi kali pertama.

Apabila dia menyebut mengenai generasi terdahulu, rujukannya ialah pada mereka yang aktif pada tahun 1990.

Anak-anak muda tahun 1990 pula lahir sekitar 1960.

Kalau di Malaysia, tahun 1990 adalah di mana buat pertama kali pembangkang bersatu dan memiliki kemampuan untuk mengalahkan Umno dan Barisan Nasional.

Ia diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah yang mencabar Perdana Menteri Mahathir Mohamad.

Setiap generasi dibentuk oleh persekitarannya termasuk pengaruh daripada pergolakan politik di negaranya dan dunia.

Sementara perkembangan pemikiran seseorang pula terbentuk daripada psikologi otak sebagai anak muda.

Adalah disebutkan bahawa asas pembentukan kesedaran politik seseorang berlaku ketika belasan tahun, iaitu sekitar usia 15 tahun hingga 25 tahun.

Inilah apa yang dikatakan usia terpengaruh atau impressive age.

Apa yang menjadi idealisme pada usia itu akan berkekalan sebagai asas pegangan politik sepanjang hayatnya.

Walaupun kemudian mungkin dia berubah kerana kesedaran daripada pengalaman, tetapi fahaman asasnya kekal.

Keadaan ini adalah pada umumnya dan sudah tentu ada pengecualian.

Dari keadaan inilah maka disebut bahawa perubahan masyarakat adalah bersifat generasi.

Ini kerana generasi lama tidak berubah.

Bila zamannya berlalu, maka barulah berlaku perubahan.

Usia seseorang dewasa paling aktif adalah sekitar umur 30-an hingga 50-an.

Selepas itu sudah dikira bersara atau melepaskan peranan kepada generasi berikutnya.

Maka sering disebut bahawa sikap radikal adalah ketika seseorang itu muda dan menjadi konservatif apabila tua.

Pengalaman dan kematangan menjadikan seseorang itu konservatif walaupun fahaman asas yang terbentuk ketika belasan tahun dahulu tetap kekal.

Sebagai contoh, ketika Umno ditubuhkan bagi menentang Malayan Union, ia berlaku pada tahun 1946.

Ia merupakan dekad nasionalisme.

Anak-anak muda ketika itu menjadi penggerak.

Mereka dilahirkan pada awal abad ke-20 hingga tahun 1930-an.

Mahathir tergolong dalam generasi ini.

Pada tahun 1960, negara sudah mencapai kemerdekaan dan generasi pengasas Umno menjadi pemimpin negara.

Tetapi anak-anak muda tahun 1960-an menjadi resah dan menuntut perubahan.

Mereka ini lahir pada tahun 1940-an.

Pada masa ini fahaman kiri seperti sosialisme menjadi popular.

Perubahan pun berlaku pada tahun 1970-an dengan tertubuhnya Barisan Nasional bagi menggantikan Perikatan.

Dasar Ekonomi Baru juga diperkenalkan.

Tetapi anak-anak muda tahun 1970-an tidak puas hati. Maka berlaku demonstrasi pada tahun 1974.

Mereka ini kelahiran tahun 1940-an.

Inilah generasi Anwar Ibrahim.

Gelombang kebangkitan Islam berlaku sekitar lewat 1970-an dan awal 1980-an.

Remaja belasan tahun terkesan dengan fahaman ini.

Inilah generasi 1980-an yang menyokong pimpinan Mahathir dan Anwar.

Sementara di pihak pembangkang, iaitu PAS, mereka juga meraih tenaga baru daripada anak-anak muda.

Inilah generasi Abdul Hadi Awang dan Mohamad Sabu.

Ketika Tengku Razaleigh menjadi ketua pihak pembangkang, beliau mendapat sokongan daripada generasi gelombang kebangkitan Islam.

Sokongan ini datang melalui PAS yang berpakat dengan Semangat 46 di bawah Angkatan Perpaduan Ummah.

Usia mereka adalah sekitar 30 dan 40 tahun.

Mereka tertarik pada gerakan Islam ketika usia 20 dan 30 pada tahun 1980-an.

Pada masa Anwar tersingkir daripada Umno pada tahun 1998, sokongan dari anak muda juga ketara.

Mereka ini berusia sekitar 20 dan 30 tahun.

Sementara generasi yang lebih muda lagi, iaitu remaja belasan tahun dan 20 tahun tersentak dengan peristiwa politik itu.

Ada yang memperoleh kesedaran politik pada masa itu dan merangkul idealisme Reformasi.

Mereka tidak memberi kesan pada pilihan raya umum tahun 1999.

Kesannya datang kemudian, iaitu selepas satu atau dua dekad.

Ketika itu usia mereka sudah melebihi 30 atau 40 tahun.

Lihatlah pilihan raya tahun 2008, apabila perubahan generasi menunjukkan bahawa Umno kehilangan sokongan.

Ia berubah secara generasi dan bukannya menurut peralihan tahun atau penggal.

Cita rasa generasi baharu berbeza daripada yang terdahulu.

Perubahan pasti berlaku kerana setiap generasi adalah berbeza.

Mereka menerima pengaruh masyarakat yang sudah berubah.

Perubahan ini tidak boleh dihalang walaupun mungkin boleh dibimbing ke arah yang dikehendaki.

Tetapi perubahan tidak semestinya membawa kepada kemajuan atau bersifat progresif.

Sebaliknya ia boleh jadi konservatif dan reaksionari.

Umpamanya, anak muda yang menyokong gerakan Islam pada tahun 1980-an adalah bersikap progresif.

Tetapi kini anak muda gerakan Islam kelihatan lebih konservatif.

Maka apabila melihat perkembangan sesebuah parti atau gertakan, akan dapat dikesan bahawa ia tidak statik.

Ia berubah menurut lapisan generasi yang mendokongnya.

Tetapi seseorang individu tidak berubah dari segi asas pendiriannya.

Asas itu pula adalah apa yang dipegangnya ketika dia mula memperoleh kesedaran politik, sama ada waktu remajanya atau kemudian daripada itu.

Walaupun mungkin kemudian ia kecewa dengan perjuangannya dan mengubah parti serta pemimpin yang disokongnya, tetapi asas pendirian politiknya tetap sama.

Perubahan itu antara lain adalah kerana kematangan, yang berupa peralihan antara menjadi seorang idealis kepada realis.

Sebagai anak muda, mereka menjadi orang dewasa yang berdepan dengan realiti hidup dengan keperluan untuk memikul tanggungjawab.