- Iklan -
Kolum

Apa kata siapa kena Covid-19 disaman?

Masalah utama hari ini yang menyebabkan jangkitan Covid-19 disebabkan kegagalan kita untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Timmy Say
3 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Memakai pelitup muka, kerap membasuh tangan dan menjaga penjarakan sosial adalah tiga aspek utama di dalam membantu seseorang untuk menghindari Covid-19.

Kebarangkalian seseorang akan terjangkiti Covid-19 jika mengamalkan ketiga-tiga amalan tersebut, termasuk ketika bersama ahli keluarga dan sahabat rapat dipercayai amat rendah.

Namun, masalah utama hari ini ialah kegagalan kita untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Kegagalan kita datang daripada pelbagai bentuk – antaranya lupa, leka dan terlepas pandang.

Kesilapan-kesilapan mudah inilah yang membawa bencana kepada keluarga, sahabat, rakan sekerja, petugas barisan hadapan dan juga orang awam.

Hari ini, denda hanya dikenakan apabila SOP dilanggar.

Tapi, denda ini amat bergantung pada nasib kerana perlaksanaannya terlalu luas.

Jika ketika SOP dilanggar, tiada pihak yang menyaman, tiada pihak yang melapor dan tiada orang yang menaikkannya ke sosial media, maka selamatlah individu tersebut meskipun dia menjadi punca jangkitan.

Dan cara ini sudah terbukti tidak begitu berkesan.

Antara contoh yang paling nyata ialah terbongkarnya berita sarang-sarang pelacuran terus beroperasi secara senyap penuh pelanggan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Jadi apakah ada cara yang lebih berkesan untuk mengawal Covid-19 daripada terus menular di kalangan masyarakat?

Apa kata kalau kita cuba membayangkan cara yang ekstrem ini – siapa kena Covid-19, akan disaman?

Meskipun sepintas lalu cara ini dilihat kejam, tapi kalau difikir secara mendalam ia mungkin membawa impak lebih baik daripada cara mendenda mereka yang melanggar SOP sekarang.

Oleh kerana siapa yang terkena Covid-19, dia yang akan disaman, maka setiap individu, premis perniagaan dan sebagainya akan mula mengambil langkah-langkah menjaga diri daripada disaman akibat dijangkiti wabak itu.

Setiap individu akan mengambil inisiatif sendiri seperti memakai pelitup muka, membawa cecair pembasmi kuman dan menjarakkan diri dari orang lain demi mengelakkan disaman kerana polisi ekstrem ini menyebabkan mereka tidak boleh menyalahkan pihak lain untuk mengelakkan saman jika dijangkiti Covid-19.

Mereka yang terpaksa bekerja juga akan mengambil langkah tersendiri untuk menjaga diri masing-masing di tempat kerja masing-masing tanpa perlu diajar.

Ini kerana siapa yang dijangkiti Covid-19, dia yang akan disaman, bukannya orang lain.

Polisi ini juga akan memaksa para pemilik perniagaan mengambil inisiatif sendiri untuk memastikan premis dihindari Covid-19 semata-mata untuk mengelak daripada disaman.

Contohnya restoran, secara automatik mereka akan membuat SOP sendiri seperti cara mengatur meja, menyediakan makanan dan sebagainya demi mengelak disaman.

Di bawah polisi ekstrem ini, semua aktiviti perniagaan dipercayai dibiarkan berjalan seperti biasa – semuanya dengan satu syarat – siapa yang terkena Covid-19, dia yang disaman.

Rakyat dan premis perniagaan dipercayai akan melaksanakan SOP sendiri demi untuk mengelak disaman.

Jika mana-mana individu ingin mengambil risiko hidup tanpa SOP dan tidak bernasib baik lalu dijangkiti Covid-19, sila bayar saman sebelum masuk ke hospital.

Kerajaan tidak perlu lagi risau sama ada SOP dipatuhi ataupun tidak.

Kerajaan tidak perlu lagi membazirkan masa memikirkan SOP mahupun PKP.

Apa yang perlu difikirkan ialah meningkatkan kapasiti rawatan wabak Covid-19.

Tiada lagi soal pilih kasih atau SOP antara dua darjat antara siapa yang didenda dan siapa yang terlepas denda kerana tidak mengikut SOP.

Individu dan premis perniagaan juga tidak perlu risau sama ada mereka mengikuti SOP atau tidak.

Pihak polis boleh menumpukan tugas membanteras jenayah daripada membuat saringan lebuh raya.

Buatlah ikut pandai masing-masing – tapi ingat, siapa yang terkena Covid-19, dia akan disaman. Jika satu keluarga terkena Covid-19, satu keluarga yang kena bayar.

Polisi ekstrem ini boleh dibuat jika semua menerima hakikat bahawa sesiapa yang dijangkiti Covid-19 pada asasnya melanggar tiga SOP yang asas iaitu tidak memakai pelitup muka, terlupa membasuh tangan dengan kerap ataupun tidak menjaga penjarakan sosial dengan baik, contohnya gagal mengelakkan bersalam dan memeluk ahli-ahli keluarga sendiri atau menjauhkan diri daripada tempat-tempat yang sesak.

Bukankah ini lebih adil dan saksama, meskipun nampak lebih kejam dan tidak bertimbang rasa?

Sekadar lontaran idea.

Senyum.