- Iklan -
Kolum

Covid-19: Pengajaran bagi kerajaan dan rakyat Malaysia

Pandemik Covid-19 adalah satu ujian kehidupan.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Di sekolah, kita diajar dan diberi pengajaran dan ilmu, kemudian dipaksa melalui peperiksaan untuk menguji kefahaman kita ke atas ilmu dan pengajaran yang diberi.

Dalam kehidupan, kita diuji dahulu.

Dan melalui ujian terdapat pengajaran dan ilmu yang perlu dipelajari.

Jika kita tidak dapat menyelami pengajaran dan ilmu tersebut, maka kita akan terus diuji dan diuji sehingga kita menyedari apa yang harus dipelajari.

Pandemik Covid-19 adalah satu ujian kehidupan.

Tiada pengajaran dan ilmu yang pernah diberikan kepada mana-mana manusia mahupun kerajaan untuk menghadapi ujian ini.

Di dalam wabak Covid-19, manusia diuji pelbagai sudut yang menuntut pengorbanan, mencabar disiplin hidup, budaya dan tradisi masyarakat dan juga kebertanggungjawaban diri terhadap manusia yang lain, keluarga, kerja dan diri sendiri.

Contohnya, apakah ia lebih penting untuk seseorang yang bekerja di bidang jualan yang sering berjumpa pelanggan secara rawak untuk berjumpa dengan ahli keluarga demi makan besar sempena Tahun Baru Cina ini? Ataupun ia lebih penting untuk melindungi keluarga daripada wabak Covid-19 dengan mengelakkan diri daripada menghadiri jamuan makan besar sehingga wabak Covid-19 reda?

Di pihak kerajaan pula, wabak Covid-19 mencabar kebijaksanaan dan kerjasama berpasukan kepimpinan negara, mencengkam kewangan negara, menuntut pengorbanan petugas barisan hadapan serta memerlukan kefahaman mendalam para penggubal prosedur operasi standard terhadap struktur kehidupan semua lapisan masyarakat, perniagaan dan juga ekonomi.

Contohnya, keputusan kerajaan membenarkan aktiviti pasar malam yang berisiko tinggi menyebabkan manusia berkumpul demi kelangsungan rezeki golongan berpendapatan rendah dan sederhana akan dicemuh oleh golongan yang tidak memahami keputusan tersebut.

Membenarkan pasar malam dibuka bukannya bererti kita membawa keluarga suka-suka pergi berkumpul di pasar malam mendedahkan diri dan keluarga kepada Covid-19.

Wabak Covid-19 juga menyebabkan ada yang hilang kesabaran.

Mereka mempunyai hak untuk meluahkan perasaan.

Tapi, di dalam ujian menghadapi wabak Covid-19, kita perlu mengakui bahawa ada soalan peperiksaan yang gagal dijawab dengan baik, biar kita ataupun kerajaan.

Sebagai manusia biasa, kita perlu mengakui kita pernah melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan wabak Covid-19 merebak.

Sebagai kerajaan, mereka perlu mengakui ada prosedur operasi standard (SOP) yang tidak difikir dengan rapi sebelum diumumkan.

Tapi, janganlah ada sesiapa yang cuba menjadi seperti pakar yang telah lulus peperiksaan menghadapi wabak Covid-19.

Elakkan menulis seolah-olah kita ada semua maklumat ada di tangan, mahir menentukan apa yang perlu dibuat dan tidak perlu dibuat dan juga memberikan cadangan dengan beranggapan negara mempunyai sumber kewangan yang tidak akan putus.

Sebagai manusia, kita perlu mengimbang keselamatan diri dan keluarga tapi pada masa yang sama memastikan rezeki keluarga tidak terputus.

Sebagai kerajaan, mereka perlu mengimbangi kemampuan sektor kesihatan untuk menangani wabak Covid-19 dan juga kelangsungan ekonomi yang boleh menyebabkan Covid-19 merebak dengan lebih marak.

Perkara ini tidak mudah, malah sangat susah diimbangkan.

Pendek kata, rakyat dan kerajaan berada di dalam situasi yang sama, dan oleh itu sepatutnya kedua-dua pihak boleh saling memahami.

Namun, kerajaan hari ini menghadapi situasi yang lebih sukar kerana ahli-ahli politik negara enggan bekerjasama sebaliknya terus berusaha mencetuskan ketidakstabilan politik di dalam negara.

Bersama kita teguh, bercerai kita roboh.

Itu antara pengajaran dan ilmu terbesar bagi rakyat dan kerajaan Malaysia di dalam ujian wabak Covid-19 ini.

Tapi apakah kita sedia menerima pengajaran dan ilmu ini dengan hati terbuka dengan niat menyelamatkan Malaysia daripada ujian wabak Covid-19 ini?

Keputusan di tangan masing-masing.