- Iklan -
Rencana

Isu tawaran rasuah kartel daging: Lima pertanyaan untuk Salahuddin

Jika Salahuddin benar-benar memandang serius berhubung isu tawaran rasuah kepadanya, beliau patut berani menamakan secara terbuka pihak terlibat.

Kamarul Zaman Yusoff
2 minit bacaan
Kongsi
Siapakah pihak yang menawarkan rasuah kepada Salahuddin? Gambar: Bernama
Siapakah pihak yang menawarkan rasuah kepada Salahuddin? Gambar: Bernama

Setelah ditekan, Salahuddin Ayub hari ini memaklumkan beliau “tidak kisah untuk membuat laporan” kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai tawaran rasuah kepadanya oleh kartel daging.

Laporan yang mengikut beliau akan dibuat “mungkin minggu depan selepas sambutan Tahun Baru Cina” ini, kata beliau, menunjukkan beliau “memandang serius berhubung perkara ini”.

Pada masa sama, Salahuddin menggesa Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, menubuhkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu kartel daging ini.

Kata Salahuddin, pihaknya sendiri sedia bekerjasama melalui RCI itu kerana ia didakwa penting berikutan membabitkan kepentingan pengguna khususnya umat Islam di negara ini.

Kita ada lima soalan kepada Salahuddin:

(1) Jika Salahuddin benar-benar memandang serius berhubung isu tawaran rasuah kepadanya oleh kartel daging mengapakah beliau tidak berani menamakan secara terbuka pihak yang beliau dakwa membuat tawaran rasuah kepada beliau yang, mengikut New Straits Times pada 9 Februari 2021, ialah “wakil-wakil (representatives)” daripada sebuah syarikat yang menguasai sekurang-kurangnya empat daripada tujuh loji penyembelihan di India yang mengeksport daging beku ke Malaysia secara monopoli?

(2) Jika Salahuddin benar-benar memandang serius berhubung isu tawaran rasuah kepadanya oleh kartel daging mengapakah beliau hanya mendedahkannya pada 9 Februari 2021 setelah tidak lagi menjadi menteri pertanian dan industri asas tani sedangkan beliau sendiri menyebut tawaran rasuah ini dibuat pada tahun 2018 lagi, iaitu setelah beberapa bulan beliau dilantik sebagai menteri pertanian dan industri asas tani, dan sedangkan beliau sendiri telah mengenal pasti identiti penawar rasuah ini?

(3) Tidakkah jika Salahuddin terus melaporkan tawaran rasuah kepadanya oleh kartel daging ini kepada SPRM masalah monopoli loji penyembelihan di India yang mengeksport daging beku ke Malaysia oleh syarikat tersebut akan dapat diselesaikan dengan mudah dengan tindakan sewajarnya boleh terus diambil terhadap syarikat tersebut tetapi soalnya ialah mengapakah beliau tidak melaporkannya kepada SPRM sekali gus menyebabkan masalah monopoli loji penyembelihan sukar diselesaikan?

(4) Mengapakah baru sekarang Salahuddin menggesa kerajaan menubuhkan RCI berhubung isu kartel daging sedangkan beliau menyedari masalah monopoli loji penyembelihan malah membayangkan sesuatu tidak kena berlaku bila menyebut beliau tertanya-tanya siapa yang “menjaga” pegawai-pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan kementerian kesihatan (KKM) yang membuat lawatan ke loji penyembelihan di luar negara?

(5) Betulkah Salahuddin mahu melaporkan tawaran rasuah kepadanya oleh kartel daging ini kepada SPRM disebabkan beliau “memandang serius berhubung perkara ini” ataukah kerana hanya baru sekarang beliau sedar jika beliau gagal melaporkannya maka beliau boleh didakwa di mahkamah dan jika disabitkan bersalah beliau boleh hilang jawatan ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri-nya kerana hukuman yang boleh dikenakan adalah denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya?

* Kamarul Zaman Yusoff merupakan pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM).

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.