Sunday, July 25, 2021

Sepatutnya semua orang ada negara

Negara dicipta untuk menyenangkan, dan bukannya menyusahkan manusia.

Other News

Apabila pendakwah Ebit Lew mengislamkan salah satu suku orang Bajau Laut di Sabah, beliau menarik perhatian terhadap fenomena manusia yang tidak bernegara, atau stateless.

Suku Bajau Laut yang hidup secara nomad itu tidak berwarganegara.

Mereka merentas ke wilayah-wilayah Malaysia dan Filipina beratus-ratus tahun turun-temurun, generasi bergenerasi.

Fenomena suku yang tidak bernegara bukanlah berlaku di perairan antara Malaysia dan Filipina sahaja.

Ia berlaku di banyak tempat terutama di kalangan suku nomad, bukan saja di laut tetapi di darat.

Umpamanya suku-suku Gypsy di Eropah yang berpindah-randah merentas sempadan sejak beratus-ratus tahun dahulu, lama sebelum wujudnya Kesatuan Eropah (EU) yang membuka sempadan negara-negara itu.

Begitu juga dengan suku Badwi di dunia Arab, dan juga pelbagai kumpulan manusia yang hidup secara tradisi dengan berpindah-randah.

Di Asia Tengah dan Afrika Timur, masih juga terdapat suku yang hidup berpindah-randah dengan tidak memiliki dokumen.

Kehidupan mereka dari masa ke masa dipaparkan ke dunia melalui filem dokumentari stesen televisyen antarabangsa Barat seperti BBC dan National Geographic.

Umumnya kerajaan yang mana wilayah dilalui oleh mereka hanya membiarkan suku-suku ini bergerak dan tidak bertindak untuk membawa mereka ke cara hidup arus perdana.

Oleh kerana tidak mengganggu orang lain, cara hidup mereka dibiarkan.

Oleh kerana mereka tidak mempedulikan negara, maka suku-suku ini juga tidak memperoleh perkhidmatan daripada kerajaan seperti kesihatan, pendidikan dan kebajikan.

Adalah disebut bahawa suku Bajau Laut yang ditemui Ebit Lew itu berada dalam kemiskinan dan kekurangan makanan.

Juga mereka menghadapi kadar kematian bayi yang tinggi. Keadaan ini dapat difahami kerana mereka tidak mempunyai akses pada perkhidmatan kerajaan seperti kesihatan dan kebajikan.

Selain daripada suku nomad, ada juga kumpulan orang asli atau asal yang tinggal jauh di pedalaman sesebuah negara.

Mereka juga tidak menjadi warganegara atau stateless.

Cumanya pihak berkuasa tetap menganggap mereka sebagai rakyat yang diambil kira dalam perangkaan penduduk.

Antaranya orang asli di pedalaman hutan Amazon dan Filipina.

Malah ada yang tidak pernah berjumpa dengan orang luar.

Ada satu suku di kepulauan Andaman yang terletak di Laut Andaman, iaitu antara Asia Tenggara dan India yang juga hidup terpencil.

Mereka akan menyerang manusia lain yang datang ke pulau itu.

Tentulah mereka tidak memiliki sebarang dokumen.

Oleh kerana kepulauan itu berada di bawah pentadbiran India sebagai pewaris jajahan British, maka mereka dianggap sebagai rakyat India.

Namun apa yang malang dengan kedudukan stateless ini ialah apabila sesebuah kerajaan tidak mengiktiraf sekumpulan rakyatnya sebagai warga negaranya walaupun secara turun-temurun tinggal di wilayah berkenaan.

Keadaan ini berlaku terhadap orang Rohingya di Myanmar. Mereka bukan lagi dianggap suku tetapi kaum.

Akibatnya mereka dihalau keluar dan menjadi pelarian.

Tidak ada negara yang mahu mengambil mereka sebagai warga negara.

Di India pula ada proses pengesahan kewarganegaraan.

Sesiapa yang tidak memiliki dokumen dianggap bukan warganegara walaupun tinggal di situ seumur hidupnya.

Ada satu kes di mana seorang yang berusia 100 tahun diminta menunjukkan dokumen.

Oleh kerana beliau gagal berbuat demikian, maka tiba-tiba beliau menjadi stateless.

Perlu diingat bahawa India ditubuhkan pada tahun 1947, belum sampai 100 tahun.

Sebelum itu, ia diperintah oleh British yang pentadbirannya meliputi Pakistan, Bangladesh, Nepal dan Myanmar, pada masa itu disebut Burma.

Sebagai kuasa penjajahan, ia tidak mewujudkan sistem kewarganegaraan. Penduduk yang berada di wilayahnya bergerak bebas untuk berhijrah dan menetap.

Kemudian ada kes peribadi di seluruh dunia di mana seseorang itu tidak menjadi mana-mana warganegara kerana undang-undang negara tempat mereka dilahirkan.

Ada yang menetapkan bahawa warganegara seseorang hendaklah mengikut bapa dan bukan ibu.

Maka ia menimbulkan banyak kesusahan apabila berlaku perceraian dan anak pula terpaksa mengikut ibu.

Ada pula anak yang tidak mempunyai dokumen dengan tidak diketahui ibu dan bapanya walaupun dibesarkan oleh keluarga angkatnya.

Anak-anak ini menjadi stateless.

Negara dan kewarganegaraan adalah konsep ciptaan manusia yang baru.

Konsep warganegara bermula sebagai warga kota atau citizen di Athens pada zaman Greek purba.

Athens merupakan negara kota atau city state.

Ia menjadi warganegara beriringan dengan munculnya sistem republik ekoran Revolusi Amerika dan Revolusi Perancis.

Tetapi kewarganegaraan hanya menjadi amalan global selepas Perang Dunia Kedua.

Dengan kejatuhan empayar, muncullah negara bangsa atau nation states yang memerlukan pendaftaran kewarganegaraan.

Negara pula diatur melalui sistem Pertubuhan Bangsa- bangsa Bersatu, PBB.

Maka sepatutnya semua manusia di muka bumi ini menjadi warganegara pada mana-mana negara.

Adalah menjadi hak pada semua manusia menjadi warganegara.

Tiada negara yang berhak menolak penduduknya menjadi warganegara ketika ia ditubuhkan atau merdeka daripada penjajah.

Sebelum wujudnya negara dan konsep kewarganegaraan, manusia hidup secara suku atau tribe.

Ada kalanya suku-suku ini hidup dalam empayar.

Dalam tradisi Islam, konsep asabiah itu merujuk pada kehidupan suku atau tribal, dan bukannya nasional.

Beratus-ratus tahun sebelum kedatangan penjajah, penduduk di kepulauan Asia Tenggara, juga dikenali sebagai Gugusan Kepulauan Melayu atau Malay Archipelago hidup secara suku, belayar bebas ke seluruh rantau meliputi Thailand, Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei dan Filipina, tanpa sekatan dan sempadan.

Walaupun kerajaan dan empayar ditubuhkan tetapi ia tidak menjejaskan kehidupan turun-temurun suku-suku itu.

Umpamanya, pada tahun 1930-an dan 1940-an, bila musim angin tertentu pada setiap tahun ratusan perahu Bugis dari Sulawesi akan belayar ke Singapura untuk membawa barangan dagangan.

Perahu-perahu belayar bebas ke Sabah dari Sulu dan Sulawesi.

Jadi ketika negara-negara ditubuhkan ekoran kemerdekaan daripada penjajah, suku-suku ini meneruskan kehidupan biasa mereka.

Penubuhan negara-negara baru itu tidak mengubah kehidupan mereka.

Indonesia merdeka pada tahun 1945.

Filipina juga pada tahun sama.

Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963.

Sewajarnya semua suku di perairan ketiga-tiga negara itu sudah menjadi warganegara pada salah satu negara.

Tidak ada yang stateless.

Akibat keadaan yang tidak ditangani dengan baik, Fillipina Selatan terus bergolak.

Dari kota Marawi hinggalah ke Sulu.

Ia juga menjadi ancaman keselamatan terhadap Sabah.

Terdapat kegiatan lanun, penculikan dan serangan ke atas darat.

Malah penyebaran virus Covid-19 yang berlaku ke atas Sabah tahun lalu ada kaitan dengan lalu lintas laut di kawasan itu.

Kebanyakan orang Bajau Laut di Malaysia sudah menjadi warga negara Malaysia.

Menurut majlis agama Sabah, kebanyakan mereka juga beragama islam.

Tetapi isu orang stateless di seluruh dunia adalah soal kemanusiaan.

Mereka-juga berhak untuk memiliki kewarganegaraan yang membolehkan akses pada perkhidmatan kerajaan seperti kesihatan, pendidikan dan kebajikan.

Angka kematian bayi yang mereka tanggung boleh diturunkan.

Sebelum merdeka dahulu pun, angka kematian bayi orang Melayu juga tinggi.

Tetapi kalau ada suku yang mahu hidup terpencil seperti orang Andaman, maka mereka tidak boleh dipaksa.

Itu adalah pilihan mereka.

Negara dicipta untuk menyenangkan, dan bukannya menyusahkan manusia.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles