Saturday, September 18, 2021

Selangor jawab dakwaan terhadap aplikasi SELangkah

SELangkah yang diperkenalkan pada 4 Mei 2020, terbukti efisien.

Other News

Tulisan saya ini adalah respon kepada artikel yang ditulis oleh Fazreen Kamal bertajuk “Di Sebalik aplikasi SELangkah, kes harian Covid-19 Selangor terus meningkat” yang telah diterbitkan pada 3 Februari 2021 pukul 8 pagi di laman sesawang MalaysiaNow.

Di saat saat getir negara berdepan dengan pandemik Covid-19, wujud pula sesetengah pihak yang cuba menakut-nakutkan khalayak umum dengan menyebarkan maklumat yang tidak benar, sekali gus membantutkan usaha kerajaan negeri Selangor untuk membendung keluk gelombang ketiga pandemik Covid-19.

Sejak diperkenalkan pada 4 Mei 2020, SELangkah terbukti efisien.

Dengan kepintaran jejak kontak rapat berasaskan kod QR, aplikasi ini mampu mengumpul data maklum balas daripada rakyat, meninjau situasi terkini, dan menyediakan informasi semasa kepada penggunanya.

SELangkah maju sebagai aplikasi digital yang memanfaatkan sains data (Data Science) dan teknologi mesin (Machine Learning) bagi mengawal Covid-19.

MySejahtera pula, yang dilancarkan pada 20 April 2020 untuk kegunaan rakyat Malaysia, sekadar mengikuti jejak kontak rapat yang dipelopori oleh SELangkah.

Walaubagaimanapun, pertikaian siapa yang berjaya buat sesuatu terlebih dahulu bukan persoalan utamanya. Sebaliknya, kita mahu memastikan kebolehhantaran kedua-dua sistem ini.

Aplikasi SELangkah direka khas untuk membenarkan sebanyak mungkin data dianalisis.

Aplikasi ini bukan sahaja bertindak sebagai platform pendaftaran selepas mengesan kod QR di telefon bimbit, bahkan ia memaklumkan penggunanya mengenai kawasan berisiko tinggi dan mengemaskini pangkalan data (berdasarkan data yang dihantar oleh individu) berkenaan kemungkinan peletusan kluster baru dan lokasi yang mungkin terbabit.

Aplikasi SELangkah ini dibangunkan dengan begitu mapan sehinggakan jejak kontak rapat hanya memerlukan tenaga kerja yang minimum dan membenarkan pengecaman inidividu yang terdedah dengan pantas supaya langkah pencegahan dapat dilaksanakan dengan kadar segera.

Kesemua data ini disimpan di Malaysia dan terjaga rapi di mana hanya data-data nama pengguna, nombor telefon dan lokasi pendafataran sahaja yang direkodkan.

Data-data ini dijamin keselamatannya dan hanya boleh diakses oleh pegawai kesihatan awam dan ejen STFC.

Pengguna juga boleh menarik balik data tersebut sekiranya perlu.

SELangkah telah menerima sambutan yang memberansangkan oleh golongan peniaga.

Mereka memuat naik kod QR SELangkah di premis perniagaan masing-masing.

Pasukan SELangkah pula sentiasa bersedia untuk membantu mereka.

Bukan itu sahaja, SELangkah juga telah memanjangkan fungsi kod QR ini kepada pengguna yang berada di rumah supaya jejak kontak dapat dilaksanakan terutamanya pada musim perayaan.

MySejahtera pula merupakan pangkalan data yang dibangunkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pernah dilihat sebagai saingan kepada SELangkah.

Dalam usahanya untuk melaksanakan jejak kontak rapat, sistem MySejahtera tidak bergerak secara automatik sepenuhnya bahkan ia masih memerlukan penaikan taraf untuk menandingi SELangkah.

Sehingga hari ini, lokasi penyimpanan data MySejahtera masih tidak dapat dikenal pasti. Bukan itu sahaja, pihak yang mempunyai akses terhadap data MySejahtera juga masih menjadi satu misteri.

Perkara ini tidak boleh dipandang enteng.

Terdapat dakwaan bahawa berlaku penyalahgunaan data dengan penggunaan aplikasi MySejahtera.

Selain itu, kita juga risau sekiranya data-data ini dijual kepada pihak ketiga dengan tujuan keuntungan.

Walaubagaimanapun, sehingga ke hari ini kerajaan Malaysia masih sambil lewa menangani isu kebocoran data ini.

Memandangkan terdapat dua aplikasi yang wujud – di mana salah satu dilihat sebagai lebih baik daripada lagi satu lagi,  amat malang sekali apabila kedua-dua aplikasi ini tidak diintegrasi untuk melahirkan potensi sebenar, sebaliknya pada 3 Ogos 2020, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaacob telah mengumumkan di kaca televisyen nasional bahawa setiap premis perniagaan wajib mempunyai kod QR MySejahtera.

Walaupun setelah beberapa lama diumumkan juga bahawa mana-mana aplikasi untuk jejak kontak rapat  berasaskan QR boleh digunakan, nasi sudah menjadi bubur.

Ramai pengguna yang pada awalnya telah selesa dengan SELangkah diarahkan untuk beralih ke MySejahtera.

Malang sekali apabila terdapat banyak pihak yang disaman oleh penguat kuasa kerana tidak menggunakan MySejahtera.

Arahan MKN ini, yang jelas sengaja dirancang untuk meminggirkan SELangkah, telah menyusahkan orang ramai.

Dalam pada itu pengesanan aktif oleh SELangkah telah memudahkan STFC untuk memanfaatkan data yang ada bagi menyasarkan dan memberi amaran berkenaan lokasi-lokasi berbahaya supaya rakyat lebih bersedia untuk memerangi wabak ini bersama.

Dua minggu selepas pengumuman daripada menteri kanan, ramai yang terpaksa menggunakan aplikasi MySejahtera kerana takut disaman oleh penguat kuasa kalau melakukan sebaliknya.

Situasi ini menyebabkan usaha memerangi Covid-19 terbantut kerana STFC terpaksa bekerja keras untuk memulihkan epidemik di Selangor tanpa sebarang bantuan data daripada kementerian kesihatan ataupun kerajaan Malaysia.

Kerajaan Selangor bergantung sepenuhnya pada data luas SELangkah.

Walaupun terdapat aral yang melintang, kerajaan Selangor kekal efisien bagi mengawal situasi di Selangor dengan baik semasa gelombang kedua.

Untuk rakaman sejarah, seperti yang ditunjukkan oleh graf yang disertakan ini, SELangkah secara aktif telah digunakan di Selangor pada minggu 3 Mei 2020 hingga pertengahan Ogos 2020.

Kami berjaya mengekalkan kes positif (garis merah) pada paras yang rendah, bukan sifar (O) tetapi rendah.

Dengan perkongsian data, STFC berjaya mengenal pasti (Tracing) dan mencari (Finding) daerah-daerah yang berisiko tinggi (high risk districts) dengan segera melalukan TTIS (Test, Trace, Isolate & Support) semasa dalam tahap Isolasi.

Namun, usia kejayaan SELangkah tidak panjang kerana pada 18 Ogos dan kemudian 2 September, MySejahtera telah diwajibkan untuk digunakan oleh semua pihak, sekali gus menamatkan segala perkongsian data dengan kerajaan negeri Selangor. Amat malang!

Keengganan kerajaan Malaysia untuk berkongsi data dengan kerajaan negeri Selangor menyebabkan kerja kami menjadi sukar, seperti teraba-raba di dalam bilik yang gelap atau bertinju dengan mata kami ditutup.

Kebergantungan kerajaan Selangor kepada data yang sudah lapuk ini menyukarkan sebarang usaha untuk merangka strategi pengawalan wabak mengikut situasi semasa.

Laporan STFC adalah benar mengikut bekalan dan sumber data.

Namun demikian, pendirian ini tidak boleh disamakan dengan situasi baru-baru ini di mana pasukan STFC telah menyiasat dan mengenal pasti punca utama di sebalik lonjakan mengejut kes di Selangor.

Kes-kes ini merupakan kes pada tahun 2020 dan juga Januari 2021 yang baru sahaja dilaporkan dan tidak mewakili nombor semasa sepertimana yang diakui oleh pengarah kesihatan sendiri.

Tunggakan ini adalah disebabkan kelemahan sistem jejak kontak rapat MySejahtera yang mengambil masa terlalu lama untuk mewajibkan pegawai kesihatan awam untuk melaksanakan jejak kontak sehingga mengakibatkan tunggakan kes yang berbulan-bulan lamanya.

Ramai professional kesihatan dan staf kesihatan awam yang mengakui lebih cenderung untuk menggunakan aplikasi SELangkah untuk membantu sistem pengawalan wabak yang sedia ada, tetapi mereka tidak mempunyai pilihan lain selain dengan daripada menggunakam data mentah sebagai rujukan kepada usaha jejak kontak.

Apa yang berlaku kepada data Selangor pada beberapa hari lepas ialah situasi tepat bagi menggambarkan pengalaman hitam STFC semasa 3 Ogos 2020.

Data-data yang diperoleh sudahpun bercampur aduk sehingga menyebabkan data-data ini tidak lagi berguna untuk mencegah penularan wabak.

Kami menyeru kerajaan Malaysia, kementerian kesihatan dan juga pengarah kesihatan untuk berlaku jujur dalam isu ini.

Laporan mestilah dilaporkan dengan telus, bukan sahaja mengenai status tunggakan kes yang lepas dan semasa, bahkan rakyat juga berhak dimaklumkan berkenaan status semasa kes di Malaysia.

Kerajaan Malaysia boleh mengambil contoh pengumuman kes harian mengikut sistem laporan di UK yang mampu melaporkan situasi Covid-19 di setiap wilayah, majlis bandaraya dan daerah di UK dengan tepat.

Hal ini hanya boleh direalisasikan dengan ukuran insiden kes pada setiap 100,000 bilangan populasi, Bukan berasaskan bilangan yang mutlak atau kumulatif (absolute or cumulative numbers).

Dengan ukuran yang digunapakai secara “benchmark” dalam disiplin epidemiologi ini, anda akan dapati negeri Selangor didahului oleh Wilayah Persekutuan Labuan, Kuala Lumpur dan Sabah.

Pun begitu ketika kedudukan “ranking” yang sama diperhatikan dalam ukuran kadar kematian per 100,000 penduduk. Selangor tetap di posisi keempat.

Sementara kami amat insaf menangani cabaran melandaikan keluk epidemik di negeri Selangor, izinkan saya menegur supaya anda berpada-padalah untuk membuat kesimpulan atau kecaman terhadap prestasi di negeri Selangor.

STFC kini mempunyai sebuah entiti untuk operasi dan implementasi yang dinamakan STFO atau Selangor Task Force Operation, yang terlibat langsung dalam pengopersian program dan kerja seperti Saringan Komuniti Bersasar.

STFO dipimpin dan ditadbir oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan buat masa ini oleh Imaret.

STFC menggunakan sumber dan kepakaran serta pengalaman yang ada pada Imaret dengan tidak membayar imbuhan yang sepatutnya, bahkan sebahagian kerja dilakukan secara pro bono atau sukarela.

Pun demikian, kami selaku task force Covid-19 di negeri Selangor, akan terus melipatkan-gandakan usaha-usaha kami untuk membendung perebakan gelombang ketiga ini di negeri Selangor khsususnya dan bersedia berkongsi pengalaman dan sedikit kepakaran yang ada pada STFC, untuk kepimpinan di negeri-negeri dalam persekutuan Malaysia ini.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles