- Iklan -
Rencana

Menilai kembali konsep hak asasi manusia pada waktu pandemik

Pandemik ini membuka mata kita untuk memahami konsep hak asasi manusia dengan betul dan benar.

Mohd Jamizal Zainol
4 minit bacaan
Kongsi
Jika dalam suasana normal, menyekat kebebasan manusia adalah sesuatu yang tidak adil tetapi bagaimana jika keadaan krisis dan luar biasa terjadi seperti pandemik Covid-19 ini?
Jika dalam suasana normal, menyekat kebebasan manusia adalah sesuatu yang tidak adil tetapi bagaimana jika keadaan krisis dan luar biasa terjadi seperti pandemik Covid-19 ini?

Pada waktu pandemik ini pelbagai isu mewarnai negara kita walaupun masyarakat Malaysia masih terkurung di rumah dengan batasan-batasan aktiviti fizikal.

Memang janggal, tetapi kita tiada pilihan selagi vaksin tidak ditemui dan diterima.

Kaedah yang paling ampuh mengelakkan jangkitan Covid-19 adalah dengan melakukan pengasingan kendiri.

Pergerakan kita disekat dan dibataskan.

Manusia menjadi gelisah, gusar dan ada yang tertekan dengan kehidupan norma baru ini.

Dalam situasi ini, kerajaan yang bertanggungjawab akan melaksanakan fungsinya iaitu memastikan rakyat berada dalam keadaan selamat.

Ini membuka semula perbincangan kita berkenaan tugas kerajaan itu sendiri.

Tugas kerajaan bagi memenuhi dua hal.

Pertama, menjaga kepentingan awam (maslahah am).

Kedua, memastikan rakyatnya hidup dengan beradab (virtues).

Beradab di sini bermaksud melahirkan warganegara sempurna yang mempunyai moral dan etika yang baik.

Sudah tentu, tujuan akhirnya adalah bagi melimpahkan kebahagiaan (happiness) kepada seluruh rakyatnya.

Dalam hal ini, keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat mendapat reaksi pelbagai daripada rakyat.

Ada yang bersetuju dan ada yang tidak.

Walaupun, PKP dan Darurat dibenarkan di bawah perundangan dan Perlembagaan negara tetapi persoalan yang harus difikirkan, sejauh mana kerajaan boleh menggunakan kuasa yang ada dalam menyekat kebebasan hak asasi manusia?

Hak untuk bergerak bebas dan hak untuk bekerja misalnya terjejas semasa pandemik ini.

Adakah sekatan ini sesuatu yang adil?

Keadilan bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Dalam falsafah politik acap kali keadilan juga bermaksud tidak ada kezaliman kerajaan kepada rakyatnya.

Peranan kerajaan dan rakyat perlu diletakkan di tempat yang betul supaya adanya suatu keharmonian bagi memenuhi tujuan kita berkerajaan.

Suasana pandemik sekarang ialah suatu keadaan krisis dan luar biasa.

Ia bukanlah suasana biasa dan normal.

Jika dalam suasana normal, menyekat kebebasan manusia adalah sesuatu yang tidak adil tetapi bagaimana jika keadaan krisis dan luar biasa terjadi seperti pandemik Covid-19 ini?

Sudah tentu, tindakan kerajaan dan rakyat itu sendiri turut berubah.

Pelindungan dan pematuhan hak asasi manusia dan kebebasan juga berubah dalam keadaan dan suasana yang berbeza.

Kebebasan bukanlah bermakna kebebasan mutlak sehingga boleh menyakiti orang lain.

Kebebasan hadir dengan tugas (duty) dan tanggungjawabnya (responsibility) sendiri.

Walaupun keadilan juga bermaksud memberikan hak asasi tertentu kepada rakyat supaya tidak berlaku kezaliman dan tirani kerajaan terhadap rakyat, tetapi skop hak asasi manusia tidak hanya terbatas kepada hubungan rakyat dan kerajaan.

Ia perlu dilihat lebih luas dari itu.

Kezaliman bukan hanya berpunca daripada kerajaan tetapi individu juga boleh menzalimi diri sendiri.

Ini yang ditegaskan di dalam agama Islam bahawa Tuhan memberikan petunjuk melalui al-Quran (Tanzil) bagi manusia supaya manusia tidak menzalimi dirinya sendiri.

Allah berfirman dalam surah al-A’raf Ayat 23 “Mereka berkata: Wahai Tuhan kami!-kami telah menzalimi diri kami, dan jikalau tiada Kau ampuni, dan cucuri RahmatMu kepada kami justeru sesungguhnya kami ini akan tergolong dengan yang rugi”.

Sekatan oleh kerajaan adalah untuk mengelakkan rakyatnya menjerumuskan diri daripada jangkitan Covid-19 yang semakin mengganas sehingga memudarat dan memusnahkan diri.

Kita tentu terfikir, hak asasi manusia yang sifatnya sejagat, wujud secara alami ini tidak sepatutnya dibataskan kerana manusia itu ada autonominya sendiri.

Menyekat suatu hak asasi yang sejagat dan diiktiraf adalah suatu bentuk kezaliman.

Benarkah faham itu?

Sememangnya komuniti dunia di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas tragedi Perang Dunia Pertama dan Kedua, peristiwa pembantaian orang Yahudi (Holocaust) dan regim zalim Apartheid di Afrika Selatan merasakan perlunya digubal suatu prinsip hak asasi manusia yang sejagat supaya peristiwa hodoh dan tragik itu tidak berulang kembali.

Maka, komuniti dunia telah mendatangkan suatu deklarasi sejagat perihal hak asasi manusia yang mesti dipatuhi oleh kerajaan.

Dokumen ini ialah Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat PBB.

Antara lain dokumen ini menyenaraikan hak asasi manusia sejagat yang mesti dilindungi oleh kerajaan seperti hak untuk hidup, hak untuk tidak disiksa, hak bebas daripada perhambaan, hak bebas bergerak, hak kepada harta, hak kepada bebas berfikir dan beragama, hak menyatakan pendapat, hak untuk berhimpun, hak untuk bekerja, hak pendidikan, hak kepada kebudayaan dan hak berehat.

Namun demikian, Artikel 29 (2) Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat PBB menyatakan “Dalam pelaksanaan hak dan kebebasannya, setiap orang hanya tunduk pada batasan-batasan yang ditentukan oleh undang-undang, semata-mata untuk menjamin pengakuan dan penghormatan terhadap hak dan kebebasan orang lain, dan memenuhi syarat-syarat moral, keselamatan awam dan kesejahteraan umum yang adil dalam masyarakat yang demokratik.”

Jelas sekali, bagi mengolah persetujuan semua kerajaan, maka Artikel 29 (2) ibarat kenyataan “catch-all” yang mengiktiraf kedaulatan sesebuah negara bagaimana hak asasi sejagat ini perlu diadun, dilaksana dan dilindungi menurut tradisi, adat dan budaya sesebuah negara.

Hak asasi manusia walaupun bersifat sejagat tetapi pematuhannya bersifat kontekstual berdasarkan kepada budaya dan agama sesebuah negara.

Persoalan moral misalnya adalah sesuatu pengiktirafan komuniti dunia bahawa kebebasan bermaksud memilih sesuatu yang baik dan bermoral.

Misalnya, kebebasan  untuk menukar jantina bukanlah suatu kebebasan, sebaliknya ialah kezaliman diri sendiri dengan menukar jantina yang bertentangan dengan hakikat fitrah manusia itu sendiri.

Dalam hal ini kerajaan boleh melalui undang-undang menghalang kezaliman ke atas diri sendiri itu terus berlaku.

Contoh yang lain, kerajaan berhak untuk menyekat rakyatnya rentas negeri atau bergerak atas faktor keselamatan awam semasa pandemik ini.

Kebebasan bergerak akan menyebabkan jangkitan bertambah dan memudaratkan orang lain.

Bagi memastikan segala kemudahan perubatan dan hospital mencukupi bagi merawat pesakit Covid-19, kerajaan melalui undang-undang berhak untuk mengambil tanah-tanah individu bagi membina hospital dan kemudahan tambahan untuk tujuan kesejahteraan umum walaupun ia bertentangan dengan hak kepada harta yang dinyatakan dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat PBB.

Jelas sekali Artikel 29(2) ini cuba dipadamkan oleh pejuang hak asasi manusia dengan hanya menumpukan kepada hak-hak asasi sejagat tetapi tidak pula mengutarakan hakikat bahawa dokumen yang sama memberikan suatu keseimbangan antara tugas kerajaan dan pelindungan hak-hak asasi manusia atas dasar menjaga kepentingan awam dan memastikan rakyatnya sentiasa hidup dalam kompas moral yang betul.

Artikel 29 (2) ini juga membuktikan bahawa kebebasan mutlak adalah sesuatu yang utopia.

Kebebasan hadir dengan tugas dan tanggungjawab.

Maka, kerajaan wujud bagi memastikan keadilan kepada semua dapat dilaksanakan.

Sesungguhnya, pandemik ini membuka mata kita untuk memahami konsep hak asasi manusia dengan betul dan benar.

Dakyah-dakyah kebebasan dan kesaksamaan yang terpesong boleh memusnahkan negara dan sekaligus memudaratkan majoriti rakyat yang lain.

Mohd Jamizal Zainol merupakan pengerusi, Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (Peace)

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.