Wednesday, May 12, 2021

Kita adalah benteng terakhir 

Antara duit dan kesihatan, yang manakah lebih utama?

Other News

Antara duit dan kesihatan, yang manakah lebih utama?

Sakit dalam keadaan poket masih berduit, atau sakit dalam keadaan poket tidak berduit, yang manakah lebih selesa dan memudahkan rakyat dan kerajaan?

Hakikatnya, ramai dalam kalangan rakyat Malaysia tersepit antara duit dan kesihatan di tengah-tengah wabak Covid-19.

Golongan yang mempunyai duit simpanan di dalam menghadapi Covid-19 sangat kurang berbanding mereka yang tiada duit.

Kini kita tidak berada lagi di dalam lingkungan 3,000 jangkitan sehari.

Kita sudah memasuki fasa 5,000 jangkitan sehari.

Kenyataan menteri besar Selangor yang menyatakan kenaikan itu disebabkan ada pihak yang lewat menghantar data Covid-19 sebenarnya lebih membimbangkan.

Apakah ini bermaksud sebenarnya kita sudah memasuki fasa 5,000 jangkitan sehari jauh lebih awal daripada apa yang dilaporkan?

Apakah sekarang angka sebenarnya lebih tinggi? Tiada siapa yang tahu.

Yang pasti, kebanyakan rakyat Malaysia sebenarnya sudah lali dan tidak kisah.

Jika rakyat Malaysia mengambil kisah, meskipun kerajaan membenarkan pasar malam dibuka, tidak ramai yang akan mengunjunginya.

Jika rakyat Malaysia ada mengambil kisah, biarpun pusat beli-belah dibuka, rakyat akan cuba menghindarinya.

Jika rakyat Malaysia ada mengambil kisah, mereka tidak akan sewenang-wenangnya keluar rumah biarpun kerajaan membenarkannya.

Jika rakyat Malaysia ada mengambil kisah, mereka akan menghindari berjumpa dengan orang tua mereka pada waktu ini meskipun mereka hanya terpisah sebelah rumah.

Sepatutnya pada hari ini, tidak timbul soalan sama ada kerajaan perlu menentukan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh.

Jika rakyat sayangkan kesihatan, rakyat sudah tahu apa yang perlu dibuat walaupun mereka terpaksa pergi ke pejabat, ke sekolah, ke universiti ataupun ke mana-mana kerana tanggungjawab mereka.

Rakyat sepatutnya sudah tahu cara untuk melindungi diri sambil melaksanakan tugas demi kelangsungan pendapatan.

Pekerja syarikat, pelajar dan tenaga pengajar sekolah dan universiti juga sepatutnya sudah masak dengan tanggungjawab masing-masing di dalam perang memerangi wabak Covid-19 ini.

Antaranya ialah sikap berterus-terang dengan kesihatan diri sendiri. Jika demam, wajib duduk di rumah.

Jika sendiri mendapati pernah rapat dengan kenalan yang terkena Covid-19, ambil tindakan untuk mengkuarantin diri atau pergi membuat ujian.

Elakkan mengambil risiko dengan tidak mengamalkan penjarakan sosial dan tidak memakai pelitup muka.

Denda lebih tinggi atau sebagainya sebenarnya hanyalah dibuat dengan harapan rakyat dapat berdisiplin dan istiqamah dengan SOP.

Sekiranya rakyat gagal mengambil tanggungjawab masing-masing untuk menjaga kesihatan ketika memastikan kelangsungan pendapatan terus berjalan, segala usaha hanya akan sia-sia.

Kita sendiri adalah benteng terakhir melawan Covid-19.

Bukan kerajaan, bukan bos kita dan juga bukan ahli keluarga kita.

Semuanya bermula dengan kita.

Apabila kita dapat jaga badan sendiri, barulah dapat “kita jaga kita”.

Jika sebilangan kita sendiri tidak menjaga benteng ini, maka Covid-19 akan terus berleluasa.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles