Wednesday, May 12, 2021

Kelelahan manusia dalam menghadapi Covid-19

Perasaan lelah atau letih adalah fenomena biasa bagi manusia apabila keadaan buruk berlangsung terlalu lama untuk ditanggung mereka.

Other News

Kelelahan atau fatigue sedang dialami manusia di seluruh dunia dalam menghadapi Covid-19.

Mereka mahu wabak ini segera berlalu dan ingin kembali kepada keadaan normal seperti tahun 2019 dan sebelumnya.

Selain daripada kesan buruk Covid-19 terhadap ekonomi, sosial dan politik dunia, kelelahan ini boleh membawa kemurungan bukan sahaja kepada individu-individu tertentu tetapi terhadap keseluruhan manusia yang mana ia menjadikan kehidupan dirasakan muram dan tidak bersemangat.

Perasaan lelah atau letih adalah fenomena biasa bagi manusia apabila keadaan buruk berlangsung terlalu lama untuk ditanggung mereka.

Perkara ini biasa berlaku dalam peperangan. Pada mula peperangan, suasana bersemangat yang tinggi pasti wujud.

Tetapi apabila ia berlanjutan untuk masa yang lama, mereka yang terlibat dengan perang akan merasa lelah dan penat, serta mahu perang segera ditamatkan.

Maka akhirnya perang tamat tanpa mengira siapa yang menang, atau sekurang-kurangnya diadakan gencatan senjata.

Maka berapa lama pun peperangan berlaku, akhirnya ia akan terhenti juga kerana kelelahan manusia. Tidak ada sesiapa yang sanggup berperang begitu lama.

Akhirnya bukan sahaja kehabisan sumber tetapi manusia akan berasa jemu dan mahu kembali hidup normal.

Tetapi dengan Covid-19, ia bukan perang sesama manusia. Ia adalah perang melawan virus yang tidak kelihatan.

Manusia berasa penat dan lelah dalam peperangan ini tetapi virus itu terus tersebar tanpa sebarang tanda penamatnya.

Namun jika melihat sejarah, tiada wabak yang berpanjangan. Semua wabak ada akhirnya.

Bukanlah bermakna virus itu penat dan lelah, tetapi atas banyak faktor, wabak itu akan terhenti sendiri, sama ada kerana mangsa sudah semuanya mati dan virus berkenaan tidak boleh merebak lagi, ataupun ia sendiri bermutasi dan tidak boleh lagi menjangkiti manusia.

Maknanya kalau dibiarkan pun, virus ini akan terhenti dengan sendiri. Inipun boleh berlaku pada Covid-19.

Tetapi sebelum ia terhenti, lebih banyak manusia terkorban dan lebih luas kemusnahan berlaku dari segi ekonomi dan tamadun.

Keadaan inilah yang hendak dihalang oleh pihak-pihak berkuasa di seluruh dunia. Tetapi Covid-19 berbeza daripada virus-virus sebelum ini.

Ada tiga perkara yang menjadikan Covid-19 berbeza daripada virus terdahulu.

Pertama, ia mudah dan cepat merebak.

Kedua, wabak kali ini bersifat global sepenuhnya.

Ketiga, setakat ini saintis cenderung untuk berpendapat bahawa Covid-19 berkait dengan perubahan iklim, pemanasan global, pemusnahan hutan dan pemerdagangan hidupan liar.

Keadaan ini berlaku kerana generasi manusia hari ini tidak seperti dahulu.

Covid-19 mudah dan cepat merebak kerana sebahagian besar manusia sekarang tinggal di tempat-tempat sesak dan padat di kota-kota raya.

Selain itu, manusia hari ini banyak keluar rumah, menggunakan pengangkutan awam dan makan di kafe serta restoran.

Covid-19 ini bersifat global kerana industri pelancongan dan manusia hari ini banyak menggunakan pengangkutan udara.

Hanya beberapa hari saja, Covid-19 dapat keluar dari Wuhan untuk sampai ke Paris.

Ramalan bahawa perubahan iklim akan memunculkan virus baru diutarakan para saintis sejak 20 tahun lalu.

Namun manusia hari ini juga berbeza daripada generasi terdahulu.

Kini manusia melalui sistem pemerintahan dan pentadbiran yang tersusun mempunyai perkhidmatan kesihatan canggih bagi menghadapi virus ini.

Mereka juga sama ada melalui sistem demokrasi ataupun autokrasi komunis seperti di China berupaya melaksanakan kawalan pergerakan bagi menghalang merebaknya Covid-19.

Di atas segalanya, manusia hari ini mampu membangun vaksin dengan cepat untuk melawan virus itu.

Dalam pada itu, manusia hari ini pula tidak akan mempunyai kesabaran dan ketahanan emosi seperti generasi terdahulu.

Lepas setahun, manusia berasa lelah atau penat dalam menghadapi Covid-19. Mereka tidak sabar untuk kembali pada keadaan normal.

Kalau semasa Perang Dunia Kedua, manusia dengan sabar mengharungi peperangan selama lima tahun tetapi hari ini, manusia tidak akan sanggup mengalami satu tahun lagi hidup secara tidak normal bagi menghadapi Covid-19 ini.

Masalahnya, kehidupan manusia sudah bersifat global. Satu atau dua negara bebas Covid-19 tidak akan menjadikan rakyatnya kembali hidup normal.

Contohnya, kalau hanya Australia dan New Zealand bebas Covid-19 tetapi negara-negara lain masih berkurung dengan sempadan mereka ditutup, penduduknya masih tidak dapat hidup dengan normal.

Ini kerana apa yang disebut normal meliputi kebebasan keluar negara, dan menerima kedatangan pengunjung luar.

New Zealand umpamanya memperoleh banyak pendapatan dari industri pelancongan.

Mereka perlu kedatangan pengunjung luar. Selagi dunia tidak pulih, maka industri itu tidak dapat dihidupkan semula.

Ini bermakna mereka tidak dapat kembali kepada kehidupan normal.

Buat masa sekarang, kelelahan manusia dalam menghadapi Covid-19 diharap dapat diatasi melalui vaksin.

Sejak awal Januari banyak negara memulakan proses vaksinasi. Setiap negara mempunyai rancangan masing-masing untuk proses ini.

Singapura dengan jelas mempunyai rancangan vaksin yang dijangka akan sempurna selepas beberapa bulan lagi.

Israel menetapkan bahawa semua rakyatnya akan divaksin.

Cuba yang banyak bergantung pada industri pelancongan juga menetapkan 100% penduduknya akan divaksin.

Jika ada perancangan jelas daripada kerajaan yang kuat, ia menaikkan keyakinan rakyat bahawa masalah Covid-19 ni akan dapat diatasi dengan segera.

Singapura, New Zealand. Indonesia, Cuba, China, Jepun dan lain-lain negara yang mempunyai kerajaan kuat akan menunjukkan kelelahan yang ditanggung rakyat dalam menghadapi Covid-19 adalah sesuatu yang akan segera berlalu.

Malah Amerika Syarikat juga berasa lega apabila memperoleh presiden baru, Joe Biden yang dengan segera mengubah sepenuhnya dasar dalam menghadapi Covid-19.

Ia memberi keyakinan dan harapan baru pada rakyat negara itu setelah mengalami keadaan tidak menentu di bawah Donald Trump.

Tetapi negara-negara yang mana politiknya tidak stabil akan menghalang keyakinan rakyat terhadap usaha melawan Covid-19.

Kelelahan rakyat dalam menghadapi virus itu menjadi bertambah buruk dengan adanya masalah politik.

Politik juga ada kelelahannya, iaitu political fatigue di mana rakyat menjadi jemu dengan gelagat ahli politik.

Ini berlaku di Itali apabila kerajaannya tumbang dan perdana menterinya meletak jawatan.

Sudah tentu rakyat negara itu bimbang dengan kedudukan usaha melawan covid-19.

Lebih-lebih lagi Itali merupakan negara awal yang teruk dilanda wabak itu.

Malaysia yang sedang menjalani perintah kawalan pergerakan juga mengalami kedua-dua kelelahan, Covid-19 fatigue dan juga political fatigue.

Angka kes baru masih tidak turun, Sekitar 3,000 hingga 4,000. Dan kini sudah melepasi angka 5,000.

Harapan untuk dapat hidup normal masih tidak kelihatan. Suntikan vaksin akan hanya bermula pada Mac.

Sedangkan kesusahan ekonomi yang ditanggung rakyat semakin buruk. Keyakinan rakyat terhadap kerajaan juga terjejas.

Kelihatannya, negara yang memiliki kerajaan kuat lebih tegas dalam menghadapi wabak Covid-19. Maka malang bagi negara yang kerajaannya lemah ketika datang Covid-19.

Pergolakan politik yang berpanjangan menimbulkan kelelahan dalam kalangan rakyat.

Adalah diharapkan harapan bagi mengalahkan Covid-19 dapat dilihat apabila vaksin mula disuntk mulai Mac ini.

Apabila Covid-19 dapat diatasi, Darurat dapat segera ditamatkan sebelum Ogos ini.

Selepas itu barulah pilihan raya umum dapat diadakan.

Tidak kiralah rakyat memilih siapa tetapi apa yang penting adalah kestabilan dengan kerajaan yang kuat.

Akhir sekali, tumpuan mesti diberikan kepada ekonomi.

Buat masa ini ramai rakyat sedang menanggung kesusahan.

Sejak PKP yang pertama tahun lalu, ramai yang hilang pendapatan.

Pastinya kini kelelahan ekonomi sudah dirasakan.

Dan jika tidak diatasi segera, keseluruhan masyarakat akan mengalami kemurungan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles