- Iklan -
Kolum

Membedah pembedah P. Ramlee

Buku itu, laris keras, demikian berusaha mengupas simbol budaya, seraya menafsir hayat P. Ramlee.

Faisal Tehrani
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Faisal Tehrani

Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani adalah seorang sasterawan yang berminat dengan pelbagai perkara, dari kesusasteraan, filem, budaya, sejarah, politik, hak asasi manusia dan kadangkala hal-hal yang dianggap remeh seperti gastronomi dan seksologi. Beliau bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Peyelidik Bersekutu sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard.

Daniyal Kadir lebih dikenali sebagai kritikus filem, dan mungkin akan selama-lamanya diingati dengan buku Membedah P. Ramlee.

Buku itu, laris keras, demikian berusaha mengupas simbol budaya, seraya menafsir hayat P. Ramlee.

Ia cuba-cuba menyuguhkan rahsia di sebalik seniman agung tersebut.

Daniyal juga salah seorang ahli majlis pengkritik filem Kuala Lumpur, dan anggota sidang komuniti filem Titiwangsa, yang mana kedua-duanya adalah kelab-kelab pencinta filem yang bukan rasmi-rasmian.

Daniyal nampaknya perlahan mengorak atau bertatih langkah untuk menjadi pembikin filem.

Tidak ramai pengkritik filem nekad masuk ke ruang yang dikritiknya.

Sudah ada beberapa filem pendek yang beliau arahkan.

Kini karyanya, sebuah filem pendek dengan judul Ke Mana Hilangnya Cinta baru diterima sebagai satu pilihan rasmi sebuah pesta filem di Itali.

Iaitu Festival del Cinema di Cefalu 2021, sebuah pesta filem kecil di Palermo, Itali.

Tentu sahaja ini berita menggembirakan buat Daniyal dan teman-temannya yang mengerjakan hasil pendek sekitar lapan minit ini iaitu antara lain Asyraf Bakti (Penata Seni), Amirul Rahman (Jurukamera), Faez Malek (Pelakon), dan Kamal Sabran (Skor Muzik).

Untuk orang awam, filem pendek adalah sesuatu yang sama sekali tidak pernah kedengaran.

Filem pendek adalah satu genre yang biasanya memakan masa sekitar 20 sehingga ke 40 minit, selalunya di bawah 30 minit.

Ia adalah bentuk filem paling mudah, tetapi kini menjadi lebih kompleks kerana dijadikan medan tumpah eksperimen.

Apa yang menjadikan filem pendek berpengaruh (bergantung siapa yang anda tanyakan) adalah tema-tema gilanya yang menjadi semacam komentar isu-isu sosio-budaya, dan politik.

Kadang-kala ia juga dikusutkan oleh pendekatan beraneka macam.

Siapa yang menonton filem pendek?

Hampir tidak ada.

Pengkritik, pelajar dan pengekor filem lah yang acap menonton filem pendek menyebabkan produk ini selalu menghiasi ruang di pesta-pesta filem.

Oleh sebab ia selalunya rendah bajet, tiada siapa akan peduli kepada kejayaan atau kegagalannya.

Ia mungkin dianggap tidak penting malahan.

Namun demikian ada pengarah besar benar-benar belajar atau bermula daripada genre ini.

Ambil sahaja contoh Christopher Nolan dengan Doodlebug (1997), George Lucas dengan THX 1138 (1967), Tim Burton menerusi Vincent (1982), si legenda Martin Scorsese dengan The Big Shave (1967), dan Steven Spielberg yang mengarah penuh indah Amblin (1968).

Filem pendek biasanya tidak menyuguhkan skrip berjela, ia menumpukan tema dan konsep dan seringnya filem pendek yang paling berjaya ialah bagaimana imej-imejan yang diketengahkan itu akan lekat dan kekal dalam benak audien.

Aktor filem pendek juga terhad, daripada seorang pelakon kepada dua tiga orang.

Ada beberapa hal yang menggiurkan tentang kerja Daniyal jika dipantau selalu-selalu.

Saya menyukai syot-syot dekat Daniyal.

Ada yang berani. Ada yang senang dilupakan.

Pokoknya saya secara peribadi memang menggemari syot dekat kerana ia menyerlahkan emosi dan kemampuan pelakon.

Ia juga, menurut saya menguji kebolehan atau kreativiti pengarah dan jurukamera.

Dalam beberapa kerja Daniyal ada syot-syot dekat yang kadang-kala menawan.

Dalam Ke Mana Hilangnya Cinta sebagai misalan ada syot muka pelakon yang agak dekat, dalam Ultra Menaantu (belum difinalkan) syot lauk yang dihurung, atau dalam filem Selagi Hayat Belum Tamat (2019) ada syot sekeping biskut dihurungi semut (sayang terlalu sebentar), atau syot warna catan di tangan pelukis Farez Karim.

Selagi Hayat Belum Tamat ini adalah satu penerokaan abstrak Daniyal dan hadir di Pesta Filem FiTA Wave.

Ia semacam menelusuri resah seorang pelukis.

Sepertinya filem pendek lain, Ke Mana Hilangnya Cinta tidak memiliki naratif yang utuh.

Seperti yang saya nyatakan, filem pendek adalah satu genre yang membingungkan, kabur, membuatkan kita menyampah, bengang dan selalunya hanya medan untuk seseorang karyawan muda melepas gian berkarya.

Akan tetapi ia tidak bermaksud ia boleh dikerjakan dengan ambil mudah.

Filem pendek yang berjaya ialah filem pendek yang memang betul ditukangi.

Filem pendek Ke Mana Hilangnya Cinta ini separuhnya entah kenapa mendebatkan (jika ia satu perbahasan) tentang keseraman atau kegerunan lagu Malam Ku Bermimpi, bikinan dan nyanyian P. Ramlee dan Nona Asiah, yang disebut-sebut sebagai “menyeramkan”.

Ia membicarakan hal lagu, iramanya yang semacam berhantu, atau dakwaan bahawa lagu itu bagai ada kesan audio rintik hujan.

Di penghujung, filem ini menggertakkan penonton dengan sebongkah nisan yang dibalut kain batik merah jambu.

Seterusnya pelakon, dengan suara menggema membicarakan “falsafah kematian” sambil memeluk nisan itu.

Pelakonnya mendakwa ada kekeliruan.

Barangkali lebih baik “kekeliruan yang perlu” itu hanya dipaparkan dengan gambar bergerak sahaja tanpa monolog bertele.

Akan tetapi karyawan iaitu Daniyal masih terikat untuk bercerita dengan “kata-kata” justeru pelakon masih menggalas beban tersebut.

Sebahagian filem ini dikuatkan oleh pelakon Faez Malek, yang cuba bersahaja.

Sebetulnya agak mengujakan menonton Ke Mana Hilangnya Cinta setelah karya pertama Daniyal iaitu Fantasial (2016).

Pada kerja awal itu ada pergerakan kameranya, mood dan juga kementahannya.

Saya suka kejujuran daranya (dara filem itu).

Filem tersebut menampilkan pelakon-pelakon yang tampaknya tidak mahu mencuba lebih, atau menerokai kraf dengan tidak bersungguh-sungguh.

Ia mengenai uji bakat yang kelihatannya juga – membingungkan, membuatkan kita meluat, menimbulkan musykil – yang mana kita menebak dan mencari-cari motif atau tujuannya.

Seperti kata saya, demikianlah filem pendek.

Jangan dipersalahkan Daniyal.

Fantasial sepertinya Ke Mana Hilangnya Cinta atau sebuah lagi kerja beliau dengan tajuk Karaoke demikian bergantung kepada dialog, kata-kata dan naratif yang didorong oleh skrip.

Dalam Fantasial terdapat keresahan seorang lelaki nanar yang jengkel kepada khayal sebuah nusa yang penuh wibawa.

Filem pendek ini antara lain memperihalkan kematian, iaitu bunuh diri.

Perlu kesabaran untuk menonton karya ini, yang semacam monolog pentas daripada Festival Teater Kebangsaan hujung tahun 1980-an yang berusaha membangkitkan anasir satira.

Demikian dapat difahami kerana penulis skripnya Haris Hauzah, juga seorang pengkritik filem.

Terdapat beberapa kerja lain Daniyal selain yang disebut-sebut di atas, salah satunya yang kuat ulasan politiknya iaitu Ultra Menaantu.

Saya suka yang ini berbanding yang terbang ke Itali.

Daniyal seorang yang rajin.

Membedah Daniyal, tidak mustahil dengan rajinnya itu, kerajinan-kerajinan kerjaan beliau akan bertukar menjadi sesuatu yang bermakna.

Di Palermo, beliau sedang mencuba mencipta nama.

Tahniah, dan mudah-mudahan Daniyal akan berkembang.