- Iklan -
Kolum

Masalahnya, ramai yang rasa tidak akan kena Covid-19

Tepuk dada tanya iman, apakah anda terasa diri sendiri susah nak terkena Covid-19?

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Apakah anda masih keluar rumah tanpa sebab?

Apakah anda masih keluar membeli-belah di pusat beli-belah terkemuka?

Apakah anda masih pergi berjumpa kawan di rumahnya?

Apakah anda masih menjemput keluarga terdekat untuk makan di rumah?

Apakah anda masih bersalaman dengan kenalan rapat, dan berpelukan dengan ahli keluarga yang tua?

Apakah ada kawan yang singgah di pintu rumah, anda masih menjemputnya ke dalam rumah dan makan bersama?

Apakah anda menyalahgunakan surat kebenaran bekerja untuk pergi ke rumah keluarga terdekat?

Apakah anda masih memaksa semua pekerja anda datang bekerja meskipun ada sebahagian yang boleh bekerja dari rumah?

Apakah anda masih membiarkan para pekerja berkumpul dan bermesyuarat di dalam satu bilik?

Apakah anda masih menghadirkan diri ke perjumpaan-perjumpaan tertutup?

Apakah anda masih menyertai aktiviti bersukan berkumpulan dengan alasan menyihatkan badan tetapi sebenarnya anda sedang membahayakan badan anda?

Apakah anda mengelak menggunakan MySejahtera dan sengaja menulis butiran diri samar-samar untuk mengelak dijejaki ketika memasuki mana-mana premis?

Apakah anda terasa selamat daripada Covid-19 kerana anda tidak dapat dijejaki daripada aplikasi MySejahtera?

Apakah pernah anda menegur mereka yang sengaja menulis butiran secara samar?

Jika golongan ini adalah pembawa Covid-19, mangsa-mangsa di premis itu tidak akan tahu bagaimana mereka dijangkiti.

Oleh kerana anda tidak menegur, anda juga adalah faktor penyumbang kepada menularnya wabak Covid-19 di dalam masyarakat tanpa diketahui puncanya.

Pokoknya, ramai yang terasa Covid-19 tidak akan terkena pada mereka.

Tepuk dada tanya iman, apakah anda terasa diri sendiri susah nak terkena Covid-19?

Wabak Covid-19 kini menular ke seluruh pelusuk negara.

Meskipun angka Covid-19 kini berpurata 3,000 kes ke atas, rakyat Malaysia sudah tidak gentar, malah sebahagian besar terasa lali.

Punca utama Covid-19 mudah menular hari ini ialah kerana ramai rakyat Malaysia menganggap virus itu tidak akan terkena pada mereka.

Saban hari kita mula kedengaran kes-kes Covid-19 yang semakin mendekati dengan kenalan kita, tapi rasa gentar itu masih tidak kelihatan pada kebanyakan rakyat Malaysia.

Covid-19 ini adil dan saksama.

Ia akan terkena pada semua tanpa mengenal darjat, pangkat dan bangsa.

Malangnya, situasi hari ini sudah tidak dapat menjamin mereka yang berdisiplin, berhati-hati dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) daripada menghindari jangkitan Covid-19.

Mereka cuma mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk tidak dijangkitinya jika majoriti rakyat adalah daripada golongan ini.

Waktu ini, rakyat perlu berasa panik terhadap wabak Covid-19 ini.

Panik ini akan menjadikan rakyat takut, dan mematuhi SOP sepenuhnya untuk memutuskan rantaian Covid-19.

Tapi, bagaimana hendak menjadikan rakyat panik semula seperti ketika wabak Covid-19 ini bermula?

Itu persoalan yang perlu dijawab oleh semua orang, dan bukannya kerajaan sahaja.

Sesama kita cerminkan diri dahulu sebelum memberikan cadangan dan menyalahkan orang lain.

Apakah kita sendiri sedang melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan wabak Covid-19 menular dengan lebih cepat?

Jika bersama kita dapat mengurangkan aktiviti yang boleh menambahkan jangkitan Covid-19, kita masih berpeluang untuk mengawal wabak ini sehingga vaksin tiba.

Covid-19 sudah menceroboh semua sempadan manusia yang ada, termasuklah Rumah Putih yang penuh dengan sekuriti.

Tiada siapa yang akan untung jika kita tewas di dalam perang Covid-19 ini hatta anda mempunyai sokongan 222 ahli Parlimen sekalipun.