- Iklan -
Kolum

Rumah merah di Soho

Nenek aku kata, kalau kita berpindah randah rumah lebih dari tujuh kali, ini tanda kita nak papa.

Hishamuddin Rais
8 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Tahun 1987 aku dalam peralihan, berpindah dari Brixton College untuk masuk ke Polytechnic of Central London (PCL).

Di Brixton College aku belajar asas seni atau “arts foundation”. Aku berpindah untuk menyambung belajar ilmu filem di PCL.

Aku juga dalam peralihan tempat tinggal dari 34, Birnam Road di North London ke 44, Newmill House, Devas Street Bromley-by-Bow di East London.

Rumah pindah. Sekolah pindah. Tempat aku cari makan pun berpindah dari Camden Town ke Soho di West End.

Arwah nenek aku ada menerangkan: kalau kita berpindah-randah rumah lebih daripada tujuh kali, ini tanda kita nak papa.

Pandangan nenek aku ini lahir daripada budaya Melayu asli.

Arwah datuk Sidek peneroka asal membuka Kampong Tengah.

Tok Sidek membuat sawah, membuat kebun, menanam kelapa dan tanam pokok buah-buahan.

Mustahil Tok Sidek akan berpindah.

Sampai ke hari ini, tanah di Kampung Tengah itu menjadi tanah pusaka milik keluarga kami.

Cucu cicit Tok Sidek sudah berpindah-randah. Kampung asal kami sudah menjadi kampung tinggal. Sawah pun dah menjadi belukar.

Walaupun aku berada dalam kota kosmopolitan London, budaya Sakai Biduanda aku masih tebal melekat.

Setiap kali aku pindah rumah aku teringat kata-kata arwah nenek aku ini.

Bila aku hendak pindah dari Finsbury Park ke Bromley-by-Bow, aku mula mengira berapa kali aku sudah pindah sesampai aku ke kota London.

Ah! Belum sampai tujuh kali. Aku tersenyum kerana aku masih dalam lingkungan selamat belum menuju papa.

Untuk warga London pindah tempat tinggal dari alamat North London ke East London ini menunjukan kemerosotan dalam taraf hidup.

North London – London Utara terutama di wilayah Islington – adalah wilayah paling “trendy dan chic” dalam kota London.

Rumah lama aku di Birnam Road, Finsbury Park hanya satu stesen dari Highbury Islington.

Ini daerah perkampungan mamat dan minah “yuppies”.

Minah fesyen, mamat media, mamat TV, mamat dan minah kaki glamour semua akan mencari tempat tinggal di North London.

Anak muda yang nak jadi “rock star” pun perlu alamat di North London.

Sewa bilik, sewa rumah atau flat agak mahal berbanding dari wilayah yang lain.

Awas! Bukan murah nak jadi trendy dan chic. Jika tak ada modal jangan cuba-cuba. Koyak poket terkehel bahu memikul hutang.

“Wow Isham. You’re from North London. So cool”. Ini kata kata rakan sekolah aku di Brixton College.

Kawan aku yang bercakap ini tak tahu aku duduk “free” bekerja sebagai “baby sitter”.

Entah apa yang cool di London Utara pada ketika itu aku pun masih belum lagi arif.

Aku pendatang baru, masih tahap “berudu” di London. Berudu yang pindah dari Wavre, Belgium ke London.

Tapi aku agak arif tentang Bromley-By-Bow, kampung baru aku.

Aku faham maknanya bila aku pindah dari Finsbury Park, North London ke Bromley-By-Bow di wilayah East End, London.

Wilayah East End seperti: daerah Whitechapel, Stratford, Bow, Bethnel Green dan Bromley adalah wilayah yang dianggap miskin di London.

Dari segi sejarah, kota London wilayah East End tempat kesampaian para imigran.

Di wilayah ini ada dua pasar besar, pasar ikan Billinggate dan pasar daging Smithfield.

Di East End, juga tempat pelabuhan – Dockland.

Di pelabuhan ini bermulanya kuasa laut imperial Inggeris menggeledah, menjarah dan menjajah dunia.

Dari Dockland inilah, kapal-kapal lanun Inggeris yang mendapat restu Raja dan Baginda Queen memulakan pelayaran untuk menjarah dunia.

Di awal kurun 1800, para Yahudi dari Eropah Timur yang dibantai oleh warga asal Poland, Belanda, Ukraine dan Rusia berbondong-bondong melarikan diri berhijrah ke Whitechapel di East End.

Pada tahun 1971, perang berlaku antara Pakistan Timur dengan Pakistan Barat.

Pada 17 April 1971, Pakistan Timur menjadi Bangladesh sebuah negara baru muncul bebas dan merdeka.

Akibat daripada perang ini berbondong-bondong, warga Bangla menjadi orang pelarian masuk ke East London.

Pendatang baru Yahudi dan Bangla ini semuanya mahu mencari kehidupan baru.

Hidup yang lebih baik dari negara asal usul mereka.

Imigran awal, para Yahudi akhirnya berjaya kini pindah ke London Utara, ke Golders Green, wilayah kelas menengah.

Manakala Bangla masih warga dominan di East London, terutama di wilayah Tower Hamlet.

Kini wilayah menjadi Bangla Town.

Ketika aku sampai, East End masih lagi dilihat sebagai wilayah perkampungan kaum pekerja, kaum buruh dan para imigran.

Wajib aku nyatakan di sini, East End ini adalah tempat “daerah rumah merah atau red light district” untuk kota London.

Red light district adalah konsep sopan yang digunakan untuk menggantikan “sarang lonte” atau “rumah pelacur”.

Lampu merah yang terpasang di jendela menandakan kepada bakal pelanggan bahawa dalam rumah ini ada penjualan “daging segar”.

Konsep dan frasa rumah merah ini bermula di perlabuhan Amsterdam 500 tahun dahulu.

Di pelabuhan Amsterdam para kelasi Belanda mencari nikmat daging hidup sebelum belayar jauh ke Jawa atau ke Surinam.

Kelasi yang pulang dari pelayaran sebelum bertemu isteri, akan lebih awal bertemu kekasih lama di rumah merah.

Ini watak pelabuhan di mana sahaja dalam dunia ini.

Whitechapel juga tak jauh dari pelabuhan Dockland.

Hakikatnya di mana ada kapal berlabuh di sana kita akan temu perniagaan daging segar.

Lagi miskin wilayah itu lagi rancak perniagaan daging segar.

Aku pindah ke Bromley-By-Bow kerana seorang minah dari Malaysia mahu aku mengambil alih flatnya.

Flat ini milik Majlis Bandaran Tower Hamlet.

Sewanya 22 pound seminggu.

Minah ini menjadi penduduk tetap di United Kingdom.

Dia bekerja sebagai jururawat. Jururawat yang bernama See Mee ini berasal dari Perak.

See Mee mahu bertukar angin dengan kehidupan baru, dia berpindah ke Australia.

Bila See Mee memberikan aku kunci flatnya, kecil tapak tangan beg kosong aku tadahkan.

Inilah sejarahnya kenapa aku menjadi warga Bromley-by-Bow di East End.

Selain daripada See Mee yang meninggalkan aku flatnya, aku juga tidak akan melupakan Anna gadis cun bergetah dari Singapura. Anna yang aku temui ketika dia sedang menjaja beg kulit di atas jambatan di Camden Lock.

“You need a job? Nak jadi waiter? Pergi ke Desaru di Old Compton Street, Soho. Jumpa Freedy, dia Filipina, katakan Anna yang hantar. Tell Freedy you are my friend”. Kata-kata Anna yang hingga ke hari ini tidak akan aku lupakan.

Anna juga mengubah hidup aku.

Aku ingat lagi petang Rabu itu aku sampai ke Old Compton Road untuk mencari Restoran Desaru.

Awalnya aku sebagai berudu di London aku tak tahu Old Compton ini dalam wilayah Soho.

Aku juga tidak tahu Soho ini dalam wilayah West End.

Aku menolak pintu gelas Restoran Desaru.

Kosong. Ada seorang budak India duduk seorang diri di bucu meja belakang. Aku memberanikan hati dan bertanya.

“I’m looking for Freedy”.

“Not here. Six oclock come”.

Aku wajib membunuh satu jam.

Lalu aku menggelencong ke China Town yang tidak jauh dari Restoran Desaru dan tak juga jauh dari Leicester Square.

Sambil berjalan sambil aku mengenal jalan-jalan dan bangunan sekeliling.

Ini wilayah baru aku. Jika aku bekerja sebagai pelayan di sini maka aku wajib tahu semua arah dan semua lorong.

Kurang lebih satu jam aku muncul kembali ke Restoran Desaru.

Dua anak muda Cina berseluar hitam berbaju putih kelihatan duduk di meja belakang.

Mereka sedang menggulung napkin. Seorang anak muda Cina dalam bar membersih gelas

“Yes. Restaurant not open yet. We open at six”. Suara lelaki Melayu pertengahan umur muncul dari belakang aku.

“I’m looking for Mister Freedy”.

“Why?”

“Anna from Camden Town ask me to meet him. For a job.”

“Really? You’re her boyfrend? Where is Anna now?”

“Camden..”

Aku menjawab sambil menggeleng kepala menafikan aku pernah berkasih dengan Anna.

Jantan itu ketawa dan menghulur tangan. Kami bersalaman.

Ah! Jantan yang aku anggap Melayu itu adalah Freedy, lelaki Filipina yang wajib aku temui mengikut arahan Anna.

Freedy ialah pengurus Desaru.

“So. Can you start this weekend. Black trouser, white shirt. 11.00 in the morning. Full time…ok? So.. Ah Tan will teach you…and Shah… Our bar man is Mister Chee.. don’t be late be on time”.

Freedy menunjukkan aku kepada tiga orang pelayan yang sedang menggulung napkin.

Sabtu sampai. Cuti musim panas 1987 sebelum ke PCL aku memulakan kerja di 50, Restoran Desaru di Old Compton, Street London. Kerja pelayan restoran aku yang pertama.

Sebulan aku di Restoran Desaru aku bukan lagi berudu. Aku menjalar menjadi katak. Aku sudah pandai meloncat.

Aku cukup selesa dan bangga bekerja di Desaru di Old Compton Street.

Mengapa tidak. Aku kini berada betul-betul di tengah tengah wilayah Soho.

Ha! Akhirnya aku sampai ke Soho. Dari zaman sekolah menengah lagi aku mendengar nama Soho.

Soho dan sex. Sex dan Soho. Ini sahaja yang aku dengar. Daripada majalah yang aku baca.

Buku komik yang aku lihat. Majalah “orang dewasa” yang aku curi tengok – nama Soho akan aku temui.

Satu malam ketika pelanggan kurang, aku memerhati keluar melintasi dinding gelas Desaru.

Terletak berhadapan dengan Desaru ialah Compton – sebuah pub.

Dari dinding gelas Desaru aku ternampak pertujukan live show purtan – perempuan jantan.

Dengan penuh make up purtan akan menari dan bertandak di atas pentas.

Oh la la kata orang Perancis, baru aku sedar pub Compton ialah untuk “Lelaki Gembira – Gay Pub”.

Kerana pelanggan masih belum ramai mata aku memerhati rapi ke Pub Compton aku ternampak di sebelahnya bilik kecil.

Aku tersenyum. Aku ketawa sendirian. Kilat dan petir memanah ingatan aku.

Presto! Aku kenal bilik kecil ini. Ingatan aku menjadi segar. Mustahil aku akan melupakan sejarah aku dengan bilik kecil ini. Tidak aku sangka – aku dan bilik kecil ini bertemu kembali.

Ingatan aku kembali ketika aku menumpang di rumah Din Wahab pelajar School of Fashion London.

Bersama Din Wahab ialah Azahar yang juga belajar ilmu fesyen jahit menjahit.

Azahar ini agak kecil dan rendah. Pernah satu kali tuan empunya pub memaksa Azahar keluar kerana disangka kanak-kanak.

Satu petang Din Wahab menelefon kampung.

Dia mendapat tahu berita buruk. Nenek kepada Azahar meninggal dunia. Keluarga Azahar meminta Din Wahab menyampaikan berita sedih ini kepada Azahar.

Din Wahab memberitahu aku berita ini. Din Wahab tahu bahawa Azahar amat rapat dengan neneknya. Bagaimana nak memecahkan berita sedih ini kepada Azahar.

Jeng, Jeng, Jeng.

“Mari kita belanja dia. Makan kat China Town. Lepas itu kita bagi tahu”. Cadangan Din Wahab.

“Nak belanja apa”. Aku pun hilang akal.

Petang itu kami bertiga keluar ke China Town. Aku dan Din Wahab menyimpan niat mahu menjamu Azahar makan di restoran. Tiba-tiba kami tersesat. Kami sampai ke wilayah yang belum penah kami lalu.

Aku ternampak iklan Peep Show, wow ertinya kami tersesat ke Soho. Aku berbisik kepada Din Wahab dia menangguk kepala.

“Azahar… kau pernah tengok perempuan telanjang? Bukan adik kecik kau”. Aku selamba bertanya.

Azahar menggelengkan kepala.

“Kau pernah tengok bulu b**** mat saleh?” Aku bertanya sambil tersenyum.

Azahar dan Din Wahab terbarai ketawa.

“Dalam bilik kecil ini, kalau kau masukkan duit. Tingkap akan terbuka. Dalamnya ada minah saleh telanjang. Lagi banyak kau masuk duit lagi lama kau tengok dia telanjang”. Aku berlagak sebagai “taiko” yang tahu semua perkara.

“Nak masuk aku belanja”. Sambil aku membuka dompet untuk meyakinkan Azahar.

Azahar mengangguk. Dia masuk ke bilik kecil seluas dua kabin telefon.

Tapi ada masalah. Azahar pendek.

Kepalanya tak sampai ke pintu gelas untuk mengintai.

Maka Din Wahab datang membantu.

Satu kaki Azahar berdiri di atas tangan Din Wahab dan satu lagi menekan ke dinding bilik.

Sampai juga kepala Azahar ke pintu kaca untuk mengintai minah saleh telanjang .

Aku di luar memerhati. Aku risau kalau polis datang. Kami akan dituduh membawa kanak-kanak menonton “peep show” melihat perempuan telanjang.

Empat kali aku masukkan duit syiling, jumlah empat pound. Ertinya Azahar sempat melihat minah tu bogel menari-nari selama empat minit.

“Bulu dia merah ke hitam?: Din Wahab bertanya,

“Perang”. Azahar menjawab.

“Macam dalam gambar ke?” soal Din Wahab. Aku tak perlu memberi pandangan.

Sekarang aku dalam Restoran Desaru menjadi pelayan. Bilik kecil di mana Din Wahab mengangkat Azahar mengintai minah mat saleh telanjang betul-betul di hadapan tempat aku bekerja.

Di sebelahnya ialah Compton, Gay Pub tempat purtan membuat pertujunkan setiap malam.

Semuannya berlaku dengan tidak dirancang.

Ini bukan karma. Ini perjalanan hidup. Bak kata sajak Usman Awang, dewasalah hati seorang lelaki.

Lelaki ini bukan lagi berudu. Aku dah mula hidup liar di Soho.

Epilog 1:

Pada tahun 2014 aku membawa teater Bilik Sulit ke United Kingdom. Di London aku menjadi pemandu pelancong.

Satu petang aku bawa Adam Adli, Hijrah dan Aiman Hakim ke Old Compton Street dan Soho.

Aku tunjukan pada mereka tempat aku pernah menjadi pelayan.

Kemudian aku bawa mereka ke lorong kecil yang dulunya kelab Madam Jojo.

Tiba-tiba aku ternampak Hakim dan Hijrah diperangkap oleh minah saleh yang mengajak mereka masuk ke bilik kecil.

“Jangan masuk bilik tu”. Aku melaung kuat dari jauh.

Aku mahu Hakim dan Hijrah berundur daripada minah saleh ini.

Aku tahu apa yang akan berlaku dalam bilik bawah tanah itu.

Ini Soho aku amat kenal baik daerah ini.

Epilog 2:

Restoran Desaru sudah tutup. Kini sebuah Cafe. Pub Compton masih rancak.

Bilik kecil – peep show – di sebelah Compton menjadi kedai fish and chip.

Azahar pernah aku temui di Gombak. Ketika itu dia membantu Din Wahab dalam perniagaan jahit menjahit.