Wednesday, June 23, 2021

 Satu terpaksa di’pkp’kan, satu memaksa didaruratkan 

Ini bukan demokrasi, ini gilakrasi.

Other News

Jika terdapat 4,000 angka jangkitan Covid-19 hari ini, ini bermakna 200,000 lagi kontak rapat yang mungkin dijangkiti virus jika purata seseorang yang positif mempunyai kontak rapat dengan 50 orang dalam tempoh 10 hari yang lepas sebelum disahkan positif.

Sekadar untuk tafsiran matematik, anggaplah 2% daripada kontak rapat itu juga positif, maka kes jangkitan positif Covid-19 akan terus berada di paras 4,000.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan dengan satu tujuan yang jelas, mengurangkan kontak rapat kepada seseorang sebanyak mungkin.

Jika di dalam 10 hari PKP, purata kontak rapat seseorang hanyalah dalam lingkungan lima hingga 10 orang, potensi Covid-19 merebak akan jatuh dengan drastiknya.

Katakan jika masih terdapat 4,000 angka jangkitan, potensi Covid-19 merebak berkurang kepada 20,000 kontak rapat berbanding 200,000 kontak rapat pada keadaan biasa.

Dan jika kita menggunakan tafsiran matematik yang sama iaitu 2%, maka jumlah jangkitan positif Covid-19 hanyalah sekadar 400.

Jika seseorang tidak dapat mengurangkan kontak rapat semasa PKP ini, maka segala-galanya akan gagal.

Ini kerana jika dia dijangkiti Covid-19, maka lebih ramai lagi kontak rapatnya yang akan terjangkit.

Nampak tak betapa pentingnya PKP 2.0 ini?

Jadi bagi mereka yang masih beria-ia ingin membeli-belah, bersukan dan keluar dari rumah tanpa sebab, ingatlah sikap kita semua adalah punca utama Covid-19 dapat merebak dengan sewenang-wenangnya.

Selain ahli-ahli politik negara kita yang tidak mempedulikan masalah rakyat.

Di sidang Dewan Rakyat terdahulu, ketika angka Covid-19 berlegar sekitar tiga angka ke empat angka, ahli-ahli Parlimen kita tidak menyibuk pasal Covid-19, malah jarang juga kedengaran wabak ini menjadi topik utama perbahasan.

Apa yang diutamakan ialah sama ada seseorang itu ada angka yang mencukupi untuk menjadi perdana menteri atau menumbangkan kerajaan sedia ada.

Sidang media demi sidang media diadakan sewenang-wenangnya dengan khabar angin mempunyai sokongan “kukuh dan menyakinkan” sehinggakan menimbulkan ketidakstabilan politik yang menggusarkan para pelabur.

Siapa mahu berurusan dengan syarikat yang penuh khabar angin pasukan pengurusannya mungkin akan ditukar bila-bila masa?

Begitulah juga perasaannya bagi pelabur-pelabur luar negara.

Sepatutnya selepas Belanjawan 2021 diluluskan, drama politik negara sepatutnya reda.

Tetapi tidak.

Ketika wabak Covid-19 mengganas dan fenomena banjir dahsyat yang melanda negara, ahli-ahli politik bukannya sibuk membantu rakyat atau cuba bekerjasama mengutamakan rakyat.

Yang diutarakan ialah desakan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 dan juga permainan membeli “katak politik” untuk menjatuhkan kerajaan di waktu getir ini.

Apakah rakyat masih boleh menaruh harapan pada 222 ahli Parlimen untuk bekerjasama demi menjaga rakyat?

Sesama sendiri, hatta di dalam kerajaan bahkan sesama pembangkang pun mereka gaduh, apakah yang boleh diharap lagi?

Ini bukan demokrasi, ini “gilakrasi”.

Percayalah jika Parlimen dibolehkan bersidang sekarang, agenda pertama yang mereka debatkan ialah kuasa, undi tidak percaya dan surat akuan berkanun.

Cerita Covid-19 hanyalah sampingan bagi mereka.

Apakah ada pilihan yang lain bagi Agong demi menjaga rakyat?

Risiko terlalu tinggi untuk membiarkan nasib rakyat ditentukan 222 ahli Parlimen hari ini di tengah-tengah krisis seperti ini.

Nampak tak mengapa darurat ini penting?

Para ahli Parlimen, tangguhkan pergaduhan sehingga selepas darurat.

Selepas itu, biar rakyat yang tentukan nasib kalian apabila wabak Covid-19 reda dan membolehkan PRU15 diadakan.

Maaflah nak kata – Covid-19 dan orang politik, malangnya menjadi setaraf bahayanya hari ini sehingga atau terpaksa dipkpkan dan satu lagi memaksa didaruratkan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles