- Iklan -
Rencana

1,001 alasan politik Anwar

Tiada siapa boleh menghalang Anwar daripada terus mencuba.

Syed Noh Syed Hussain
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama
Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim. Gambar: Bernama

Saya kecewa apabila membaca berita mengenai memo yang dihantar oleh Anwar Ibrahim kepada semua ahli Parlimen, memujuk mereka menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memohon bagi membatalkan Ordinan Darurat dan meminta diadakan sidang Parlimen.

Persoalannya, adakah sekarang masa yang sesuai untuk tindakan sedemikian, sedangkan langkah paling molek dikompromi adalah “gencatan politik”, memberi masa kepada kerajaan sedia ada mengatasi isu kesihatan dan ekonomi yang sedang terancam.

Adakah perlu mempersoalkan proklamasi darurat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan tujuan mengekang penularan Covid-19?

Adakah Anwar tidak percaya dengan ikhtiar diambil kerajaan selepas mendengar pendapat dan pandangan pakar-pakar berkaitan?

Apakah Anwar tidak percaya kepada pertimbangan dan kebijaksanaan Agong?

Adakah Anwar lupa titah Agong sebelum ini yang memberi peringatan kepada ahli politik agar menghentikan segala perbalahan sehingga mengganggu tugas pentadbiran negara.

Baru tiga bulan lalu, Yang di-Pertuan Agong mengingatkan semua ahli Parlimen bahawa tiada keperluan untuk mereka meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab sehingga menggugat kestabilan kerajaan sedia ada.

Ketika itu juga, baginda berpendapat tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di Malaysia. Keputusan itu dicapai selepas berbincang dengan Raja-Raja Melayu kerana Agong melihat kerajaan berjaya menangani wabak Covid-19 dengan berkesan.

Itu keadaan beberapa bulan lalu, berbeza dengan sekarang apabila gelombang ketiga pandemik menyerang, menyaksikan kes-kes baru Covid-19 sudah mencecah empat angka dan kes kematian pula direkodkan hampir setiap hari.

Saya percaya majoriti rakyat menyokong keputusan Agong, begitu juga dengan parti-parti politik utama.

Pemimpin dan bekas pemimpin Umno misalnya, tidak pun menentang, cuma berpesan agar pelaksanaan darurat tidak disalah guna.

Sebab itu, saya mahu bertanya kepada Anwar, mengapa perlu diajak semua ahli Parlimen mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon darurat dibatalkan dan sidang Parlimen diadakan sebelum 31 Januari ini?

Saya tidak mahu menelah, tetapi mungkin ada yang melihat tindakan Anwar itu seperti mahu mengaibkan Agong, mungkin juga ada yang menganggap ia cubaan melagakan rakyat dengan Istana.

Perlukah diulangi sejarah empat tahun lalu ketika Anwar sering mempersoalkan kewibawaan Sultan Selangor dan institusi Raja dalam menyelesaikan kemelut pelantikan menteri besar sehingga darjah kebesaran dikurniakan Istana Selangor kepadanya ditarik balik.

Adakah tindakan terbaru tatkala negara sedang berdepan krisis ketika ini kerana mahu merebut kuasa walaupun skripnya berbeza dengan cubaan Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Oktober lalu, mendakwa mendapat cukup sokongan ahli Dewan Rakyat, tetapi sekadar mengemukakan jumlah tanpa senarai nama mereka untuk mengukuhkan dakwaan itu.

Adakah Anwar mahu membuktikan sesuatu kepada pihak yang melihat segala usahanya mahu mengisi kerusi perdana menteri selama ini, sekadar omongan yang tidak pernah bertukar menjadi realiti?

Tiada siapa boleh menghalang Anwar daripada terus mencuba, namun harapan saya tidak perlulah diganggu kerajaan sedia ada yang tidaklah seteruk mana.

Biarlah kerajaan “Melayu” ini terus mentadbir, menjaga nasib dan kepentingan bangsa serta negara buat sementara sehingga pilihan raya umum tiba.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.