Wednesday, August 4, 2021

2021 bakal menjadi 2020 2.0 atau lebih buruk?

Sama ada tahun 2021 dan dekad 2020-an akan bertambah baik, ia masih terbuka dan tidak diketahui kesudahannya.

Other News

Pada sekitar Ogos 2020 kebanyakan orang di Malaysia menganggap ancaman Covid-19 berada di penghujungnya.

Kalau Australia dan New Zealand boleh muncul sebagai negara kes sifar Covid-19, mengapa Malaysia tidak boleh menjadi begitu.

Australia, New Zealand dan Malaysia adalah negara-negara Komanwel yang mempunyai sistem perkhidmatan kesihatan teratur.

Namun Britain sendiri bertungkus-lumus masih belum berjaya mengalahkan Covid-19.

Tetapi harapannya ketika itu ialah sekurang-kurangnya, apabila masuk Disember 2020, ancaman Covid-19 dapat dikawal walaupun dunia menyebut tentang gelombang ketiga dan keempat Covid-19 serta varian baru koronavirus yang muncul di Britain.

Namun diharapkan pada tahun 2021, ancaman Covid-19 sudah selesai, sempadan dibuka, walaupun kehidupan adalah cara norma baru, tetapi, pengalaman tahun 2020 akan tinggal kenangan.

Lebih-lebih lagi diharapkan vaksin dapat mula digunakan pada Januari 2021.

Sebab itu ramai orang menjadualkan kenduri kahwin mereka pada Januari dengan harapan bahawa tahun 2021, keadaan akan menjadi normal, atau sekurang-kurangnya berada dalam fasa pemulihan yang jauh lebih baik daripada tahun 2020 dan pada tahun 2022, semuanya akan pulih sepenuhnya.

Tetapi pada Disember 2020, angka kes baru Covid-19 terus naik.

Ia bukan saja berlaku di Malaysia tetapi di banyak negara di dunia dengan disifatkan sebagai gelombang baru yang akan menjadi lebih buruk daripada apa yang berlaku sebelum ini.

Adakah tiada harapan pemulihan pada tahun 2021?

Adakah tahun 2021 merupakan 2020 2.0 atau lebih buruk lagi?

Apa yang pelik, pihak berkuasa membenarkan rentas daerah dan negeri.

Maka banyaklah kluster baru yang memburukkan lagi keadan.

Ramai orang pergi melancong, balik kampung dan buat kenduri,

Sungguhpun begitu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menyeru orang ramai supaya duduk di rumah dan hanya keluar bila betul-betul perlu.

Hanya di rumah seratus peratus selamat daripada Covid-19.

Jadi mana yang betul, seruan beliau atau kebenaran merentas daerah dan negeri.

Keluar rumah, makan ramai-ramai di kedai, menghadiri kenduri, melancong dan balik kampung bukanlah suatu keperluan.

Mereka tahu risiko yang diambil. Ternyata akibatnya, mereka turut menyumbang angka kes baru.

Kemudian, dua munggu sebelum tahun 2020 berakhir, Noor Hisham berkata, mereka mencadangkan supaya diadakan perintah kawalan pergerakan untuk mendatarkan lengkungan.

Jelas bahawa bagi kementerian kesihatan, keadaan Covid-19 amat buruk hingga memerlukan PKP.

Tahun 2020 akan berlanjutan pada 2021.

Sepanjang tahun 2020, dalam kolum ini, beberapa kali penulis menyebut mengenai keutamaan negara wajar ditumpukan kepada menangani Covid-19.

Bukan soal politik atau ekonomi.

Tetapi umumnya rakyat kurang faham mengenai sifat virus dan hakikat kebarangkalian matematik yang menyebabkan angka kes baru meningkat.

Bukan saja rakyat tidak cukup disiplin tetapi pemimpin-pemimpin negara juga tidak menunjukkan teladan yang baik.

Dari PKP yang awal sampailah ke hujung tahun selepas Pilihan Raya Negeri Sabah, apa yang boleh dirumuskan ialah Malaysia tidak cukup berdisiplin untuk meletakkan perang melawan Covid-19 sebagai keutamaan.

Apabila krisis kesihatan tidak diatasi, maka ia akan merebak menjadi krisis ekonomi, diikuti dengan krisis politik dan akhirnya krisis sosial.

Perkara ini berlaku di negara ini sepanjang tahun 2020.

Paling ketara ialah krisis politik yang menjejaskan tumpuan untuk melawan Covid-19.

Apabila masuk 2021 dan dilaksanakan PKP bersasar, ia menunjukkan bahawa tahun ini masih belum nampak sebagai tempoh pemulihan.

Sememangnya disebut bahawa PKP ini hanyalah dua minggu.

Tetapi suntikan vaksin belum bermula sedangkan banyak negara sudah memilikinya, termasuk Singapura dan Indonesia.

Proses suntikan untuk bilangan penduduk ke tahap berkesan mengambil masa yang lama.

Tetapi sekurang-kurangnya bagi mereka, harapan pemulihan sudah ada bagi tahun 2021.

Malaysia akan hanya memulakan suntikan vaksin pada Mac ini.

Ketua pengarah kesihatan pula kata, untuk mendatarkan lengkungan pada kadar sedia ada akan memerlukan PKP selama 12 minggu.

Iaitu tiga bulan sampai Mac.

Dua minggu tidak cukup.

Darurat untuk lawan Covid-19 pula adalah sampai Ogos, atau dipercepatkan jika wabak ini dapat diatasi.

Maknanya tahun 2021 sudah tidak berbeza daripada 2020.

Ada orang ramai mengeluh kerana usaha menangani Covid-19 ini memakan masa lama.

Mereka merindukan zaman sebelum Covid-19. Bebas keluar ke mana saja termasuk melancong di negara.

Bebas melakukan kerja tanpa halangan. Bebas pergi surau dan masjid.

Tetapi banyak orang lupa kehidupan tidaklah sentiasa selesa tanpa masalah.

Generasi sekarang hidup senang dan makmur hinggakan lupa bahawa bencana boleh berlaku pada bila-bila masa.

Kalau generasi terdahulu pernah melalui darurat melawan komunis dan Perang Dunia Kedua, penderitaan yang mereka hadapi itu jauh lebih berat daripada Covid-19.

Peperangan pula mengakibatkan banyak kematian.

Darurat melawan komunis bermula dari tahun 1948 hingga 1960.

Daripada masih menjadi tanah jajahan hinggalah merdeka.

Sepanjang waktu itu diadakan dua pilihan raya, pada tahun 1955 iaitu sebelum merdeka, dan 1959, selepas merdeka.

Selama 13 tahun, kehidupan rakyat adalah susah.

Diancam komunis dan terpaksa mematuhi peraturan-peraturan termasuk perintah berkurung.

Juga mereka terpaksa berpindah dari rumah asal apabila diarahkan supaya tinggal di kampung-kampung baru yang berpagar kawat berduri.

Darurat melawan komunis sebenarnya adalah peperangan.

Banyak kematian dalam kalangan tentera dan komunis, begitu juga orang awam.

Ada kawasan hitam dan putih. Ia merupakan kesusahan bagi rakyat dan ketika ia berlaku tiada siapa dapat menjangkakan bila ia akan berakhir.

Sebelum itu rakyat Malaya, Sarawak dan Borneo Utara juga melalui kesusahan Perang Dunia Kedua.

Daripada pendaratan tentera Jepun di Kelantan pada Disember 1941 hingga apabila mereka meletak senjata pada September 1945 di Pulau Pinang.

Ada generasi yang melalui kedua-duanya, pendudukan Jepun dan darurat.

Walaupun perang penaklukan Jepun ke atas Malaya bermula pada Disember 1941 dan berakhir pada hujung Januari 1942, tetapi pemerintahan dan pentadbiran penjajah itu penuh dengan penderitaan dan kekejaman.

Anggota generasi yang melalui kedua-duanya kini sudah banyak yang tiada.

Selepas merdeka, Malaysia menjadi lebih tenang, aman dan makmur.

Konfrontasi dan Peristiwa 13 Mei tidaklah berpanjangan dan tidak meluas.

Lapisan generasi hari ini pun tidak melalui kesusahan zaman Konfrontasi dan Peristiwa 13 Mei.

Selepas tahun 1970-an, negara bertambah maju dan makmur. Pendapatan meningkat.

Sistem ekonomi dan kemajuan teknologi membolehkan generasi hari ini melancong keluar negara dengan harga murah, suatu nikmat yang generasi terdahulu tidak dapat kecapi.

Keadaan menghadapi Covid-19 waktu ini mungkin dirasakan pembaziran masa bagi generasi hari ini, yang mana kehidupan mereka terjejas.

Sama ada tahun 2021 dan dekad 2020-an akan bertambah baik, ia masih terbuka dan tidak diketahui kesudahannya.

Semua orang mengharapkan keadaan akan bertambah baik.

Apa yang boleh dilakukan ialah meningkatkan ketabahan, menambah ilmu pengetahuan dan mengasah kemahiran hidup dalam menghadapi keadaan mencabar.

Kehidupan mesti diteruskan dengan setiap generasi menghadapi cabaran masing-masing.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles