Wednesday, January 13, 2021

Camden Town, London

Mustahil dilupakan, tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat berdengung.

Other News

Gerakan Prihatin Johor memerlukan anda

Prihatin Johor ingin meminta sesiapa sahaja untuk tampil membantu sama ada dari segi bantuan kewangan mahupun barangan keperluan harian.

No PhD required to understand emergency declaration

There is a time for politics and there is a time to prioritise our lives and well-being.

Karier politik Najib bakal berakhir tempoh darurat Covid-19

Kes yang melibatkan 42 dakwaan rasuah terhadap bekas perdana menteri itu sudah cukup untuk menamatkan karier politiknya.

Najib stares at last mile in politics as virus emergency begins

If the Court of Appeal and Federal Court maintain Najib's conviction in the SRC International case, the former prime minister might have to take a break from politics until 2033.

Major Italian mafia trial kicks off with hundreds in dock

Prosecutors are seeking to prove a web of crimes dating back to the 1990s, both bloody and white-collar, including murder, drug trafficking, extortion, money laundering and abuse of office.

“Tu dah buat. Ni dah tengok. Situ dah pergi”.

Aku teringat kembali kerja-kerja yang pernah aku buat. Hari ini bila aku senaraikan dan belek-belek kembali pengalaman kerja yang pernah aku buat, aku sendiri tak percaya.

Apakah betul aku pernah lakukan kerja-kerja ini?

Aku pernah buat kerja gelap, kerja terang dan kerja terbuka. Semuanya untuk menyambung hidup.

“Tu dah buat. Ni dah lalu”.

Aku tidak akan melupakan Camden Town bukan kerana aku nak mengada-ngada mengaku jadi orang London.

Tidak. Pekan kecil ini ada kisah dengan aku. Mustahil dilupakan, tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat berdengung.

Camden Town dilingkari oleh beberapa terusan air yang menyambung ke Sungai Thames.

Pekan kecil ini tak jauh, hanya tiga batu dari pusat kota London.

Pekan kecil ini dikenali kerana Camden Market. Ini sebenarnya pasar hujung minggu pada hari Sabtu dan Ahad.

Daripada apa yang aku baca pasar minggu ini dimulakan pada tahun 1973.

Cuti Easter bulan April 1982, aku sampai ke London pertama kali dari Belgium.

Ketika itu aku masih lagi merangkak belajar bahasa Perancis di Wavre.

Di London aku menumpang di rumah arwah Yunus Ali (1952-2010) di Stratford E7.

Ketika itu Yunus adalah pelajar sepenuh masa di East London University.

Rumah teres Yunus di Stratford milik universiti yang disewakan untuk pelajar.

Yunus berkongsi dengan dua lagi pelajar.

Seorang Amoi pelajar dari Malaysia dan seorang lagi anak muda Mat Saleh. Aku menumpang tidur di ruang tamu.

Kali pertama aku datang ke London betul-betul sebagai pelancong dari Wavre, Belgium.

Setiba di London aku merasa amat selesa. Baru aku sedar betapa nikmatnya bercakap dalam bahasa ibunda. Betapa selesanya aku dapat bercakap dalam bahasa Inggeris. Membaca akhbar Inggeris. Menonton televisyen yang aku faham bahasanya.

Di London aku bersantai. Aku tak perlu berfikir fikir terkial-kial mencari perkataan untuk berbual.

Aku tak memerlukan kamus. Sebagai orang pelarian perasaan aku semakin lega. Aku merasakan hidup aku makin selesa. Aku merasa diri aku semakin jauh dari malapetaka.

Ini bukan bermakna aku melupakan lokap di Moscow. Atau melupakan lokap di Bombay. Penjara Arthur Road di Bombay masih terlekat di hati. Tidak.

Aku menjadi selasa kerana semuanya sudah aku lalui.

“Penjara itu dah masuk. Lokap itu dah tidur”.

Di London, Yunus menjadi pemandu pelancong. Yunus memperkenalkan aku dengan Camden Market.

Pasar Minggu ini tempat Awang cari Dara, tempat Dara cari Awang, tempat Awang cari Awang dan tempat Dara cari Dara.

Aku tersenyum bila melihat lenggang lenggok anak muda kota London ketika aku pertama kali menjejak kaki ke kota itu.

Di permulaan 80-an Punk adalah fesyen hangat di kota London. Hippie di zaman aku mengundur. Para hippie dah berumur.

Zaman 60-an dah masuk senja. John Lennon sudah menjadi arwah. Adik-adik baru sudah sampai dengan fesyen baru mereka yang lebih mengancam.

Aku ingat lagi minggu pertama aku sampai ke Belgium, di rumah menyambut orang pelarian Braine-le-Comte aku ternampak program Top of The Pop dari BBC London.

Mata dan telinga aku terbuka luas. Akhirnya dapat juga aku melihat program yang ratusan kali aku dengar dan baca.

Televisyen terletak di bilik makan. Petang itu aku ternampak Boy George dengan lagu “Do You Really Want To Hurt Me”. Boy George dan kugiran Culture Club sedang menaiki carta tangga pertama Top of The Pop.

“Isham … boy or girl?” Gamal anak muda pelarian dari Eriteria bertanya pada aku bila dia melihat Boy George sedang bertandak di kaca televisyen. Ini tahun 1982. Aku belum sampai ke London lagi.

Bila aku sampai ke Camden Town aku ternampak banyak pengikut Boy George yang muka berbedak bergincu. Rambut mencucuk mata. Berbaju hitam, berjaket hitam. Ada yang memakai kain gebar – fesyen terkini tahun 1982.

Ketika itu Sakai Biduanda dari Jelebu amat susah untuk kenal mana jantan dan mana betina.

Di pasar Camden ini banyak dijual fesyen pakaian yang bukan dari arus perdana.

Camden Market menjadi pusat anak muda yang berjiwa melawan.

Mereka enggan menjadi mangsa Hermes, Louis Vuitton atau Chanel. Mereka melawan fesyen dengan mencakar muka dan mengoyakkan kain baju mereka.

Di Camden Market terdapat gerai kain baju, kasut, pakaian terpakai dan barang tangan kedua yang harganya lebih demokratik dan tidak mencekik leher.

Untuk aku ada satu lagi yang menarik di Camden Town ini.

Di tengah pekan ini di antara kedai roti dan kedai pakaian ialah sebuah kedai ikan segar.

Aku suka kedai ikan ini kerana aku kerap membeli kupang bila musim kupang sampai.

Sebelum aku secara rasmi menyambung kembali belajar di London aku selalu datang bercuti ke London dari Belgium.

Aku akan menumpang di rumah Yunus.

Apabila Yunus pulang ke Malaysia aku sudah ada ramai kawan pelajar Melayu di London.

Aku mengenali mereka secara tidak sengaja, melalui Din Wahab. Din Wahab secara kebetulan datang ke London dalam satu pesawat bersama arwah emak dan abah aku.

Mak dan abah aku datang ke London untuk menjenguk aku yang dah lama lesap.

Satu petang ketika aku membawa mak dan abah aku berjalan di Oxford Street, kami terserempak dengan Din Wahab. Semenjak petang itu, Din Wahab dan aku terus menjadi kawan.

Din Wahab memperkenalkan aku dengan tiga lagi pelajar Melayu.

Mereka ditaja oleh Mara untuk belajar ilmu fesyen pakaian dan jahit menjahit.

Sesudah Yunus selamat pulang ke Malaysia jika aku ke London aku menumpang di rumah Din Wahab yang pada mulanya di King Cross, kemudian berpindah ke Stoke Newington di London Utara.

Di rumah Din Wahab aku dapat berkenalan pula dengan Zeti, Zai, Maulud, Khalid, Suhaimai dan Farah.

Juga Lee seorang budak Cina dari Butterworth. Di bilik Lee aku menumpang tidur. Lee atas katil. Aku di lantai.

Pelajar Melayu ini tajaan kerajaan Malaysia. Awalnya mereka amat tidak selesa dengan aku. Mereka melihat aku dengan penuh curiga.

Aku juga diberitahu oleh Din Wahab sebelum pelajar tajaan kerajaan terbang menyambung pelajaran ke luar negara mereka diberikan kursus khas.

Salah satu kuliah khas ini ialah mengenal kumpulan-kumpulan pelajar Malaysia di Australia, New Zealand, Amerika Utara dan United Kingdom. Nama dan gambar aku dijadikan contoh.

Dari soh seh, soh seh yang aku dengar, MSD London (Malaysian Students Department) selalu memberi ingatan kepada pelajar tentang wujudnya sosok bernama Hishamuddin Rais yang merayau-rayau dalam kota London.

Sosok ini bahaya. Sosok ini musuh negara. Polis Malaysia sedang mencari sosok ini.

Aku difahamkan MSD London ketika itu di kepalai oleh Shagul Hamid. Aku kenal si Shagul ini. Kami dari sekolah yang sama di Kuala Kangsar. Dia pelajar senior. Di UM kami tinggal di kolej yang sama, Kolej Kelima.

Justeru para pelajar di London dinasihatkan agar jangan merapati dan berasosiasi dengan Hishamuddin Rais.

Tetapi Din Wahab bukan sahaja kenal dengan aku malah kenal dengan emak dan abah aku. Din Wahab tidak ada kesangsian untuk berkawan.

Akhirnya aku menjadikan rumah Din Wahab di 62, Carysfort Road, Stoke Newington alamat aku bila aku bertandang ke London.

Tiap kali menumpang, aku menghulur beberapa pound untuk bil elektrik kepada Lee.

Aku juga membayar bil telefon bila aku menelefon kampung.

Daripada Din Wahab aku berkenal baik dengan Farah yang ketika itu sedang bercinta dengan Suhaimi.

Farah pelajar jurusan undang-undang. Dia bekerja di hujung minggu sebagai jurujual di kedai kasut di High Street Kensington, wilayah kaya kota London.

Daripada Farah aku berkenalan dengan kawan sekerjanya, anak muda Amerika Syarikat (AS) bernama Killian.

Killian rakan sekerja Farah ini tinggal di flat betul-betul di tepi pekan Camden.

Killian berjaya masuk ke flat yang ditinggalkan kosong.

Di London jika kamu dapat masuk ke rumah atau flat kosong yang ditinggalkan tanpa memecahkan pintu atau tingkap, maka kamu ada hak mengikut undang-undang kanun perumahan United Kingdom untuk tinggal di rumah itu sehingga tuan empunya membawa kamu ke mahkamah.

Maknanya Killian menjadi penghuni “setinggan”. Tuan empunya flat ialah Majlis Bandaran Camden.

Majlis tidak akan bertindak ganas menghalau penghuni setinggan dengan serta merta. Jika dihalau, Majlis wajib menyediakan tempat gantian.

Ertinya Killian selamat. Ertinya aku juga dapat menumpang melepak di Camden Town setiap hujung minggu. Ini yang aku lakukan.

Satu petang Killian memberitahu aku ada kerja kosong. Di hujung minggu aku boleh menjadi pembantu seorang mak cik Irish di warung menjual teh dan kopi.

Tak jauh dari Camden Lock. Sayangnya aku hanya bekerja dua hari. Minggu berikutnya aku tidak diperlukan lagi.

Mungkin aku silap jual. Pelanggan minta kopi aku beri teh. Ini kerja pertama aku di London dan aku dibuang kerja.

Kemudian Killian mendapat kerja membersihkan kerusi. Ini bukan kerusi biasa. Ini kerusi daripada kayu pine.

Perabot terpakai ini milik Erik.

Si Erik ini akan merayau dengan vannya ke seluruh negara mencari perabot terpakai.

Kerusi dan meja terpakai ini wajib dibersihkan sebelum dijual kembali.

Killian mengajak aku membuat kerja membersih dan mengilatkan kembali perabot ini untuk dipasarkan pada pasar Camden.

Erik melambakkan perabot yang dibaik pulih ini di kaki lima sebelah kedai antik.

Ini menjadikan seolah-olah perabot ini sebahagian daripada barangan milik kedai antik.

Aku hanya tersenyum bila aku sedar apa yang Erik lakukan. Bukan aku yang jadi jurujual tapi Tim anak muda dari Australia.

Killian memberi aku kuliah bagaimana cara mengunakan kimia khusus untuk membersihkan perabot ini sehingga dilihat seperti kayu antik yang mahal.

Aku tak tahu berapa Erik membayar Killian tapi Killian membayar aku 20 pound setiap kali aku bekerja. Maka setiap Sabtu dan Ahad aku tersadai di rumah setingan Killian membersihkan kerusi dan meja.

Killian anak muda dua puluhan campuran Irish Amerika ini peminat “herba”.

Dalam sakunya sentiasa ada “herba” atau hashish. Entah di mana dibelinya aku tidak bertanya.

Biasanya sebelum kami berkerja Killian akan menghisap dulu. Sesudah kerja akan menghisap sekali lagi.

“Killian.. people smoke tobacco with grass.. but you smoke grass with tobacco”. Aku memberi komen kerana Killian menggunakan amat sedikit tembakau dengan taburan “herba” yang banyak.

Kadang kala Killian akan mengunakan apa yang dipanggil “hot plate”.

Dia akan membakar sudu besi didapur gas. Apabila cukup panas Killian akan menaburkan serbuk hashish ke atas sudu ini. Kepulan asapnya akan disedut. Ini cara Killian berdengung.

Ada satu petang Ahad Killian memberi aku menghisap rokok yang telah disira dengan hashish.

Untuk aku ini pekara biasa. Aku dah kenal hashish dari zaman aku di Pakistan lagi. Malah dalam penjara Arthur Road di Bombay ia dipanggil “guli”.

Guli ini menjadi duit untuk kami para tahanan.

Petang Ahad itu di Camden Town kami bersantai, hisap “herba” untuk berdengung.

Kemudian aku minta diri untuk pulang. Aku mengambil kereta api bawah di Stesen Camden. Laluan Northern Line ini terpecah dua.

Petang itu amat ramai penumpang yang nak pulang. Kami berasak-asak. Aku meloncat masuk ke dalam tube.

Tiba-tiba bila tube berhenti di stesen seterusnya aku tersedar aku salah masuk kereta api.

Aku hendak pulang ke Finsbury Park. Stesen depan mata aku ialah Kentish Town. Aku bergegas lari keluar.

Asap hashish yang menyerap dan menambah paranoia. Degup jantung aku deras.

Aku keluar dari bawah tanah untuk menyedut udara di jalan raya.

Dengan debaran jantung yang kuat aku wajib membuat keputusan. Aku merasa takut untuk masuk kembali ke bawah tanah.

Untuk selamat dan meredakan paranoia aku menapak dua batu pulang ke rumah aku di 34, Birnam Road.

London kota rock n roll. London kota anak muda. Aku rasa aku bernasib baik kerana ketika aku sampai ke London aku masih muda. Begitu juga kawan aku Killian.

Killian sama saperti ribuan anak muda yang sampai ke kota London bercita-cita untuk menjadi rock star.

Menayangkan muda dengan perangai Mat Rock. Bukan mempunyai biologi muda tapi berperangai Mat Lebai.

Justeru Killian bersama Mick, Joe dan James menjadi Snow Leopard.

Ini kugiran punk rock dari Camden Town. Vin gadis Vietnam sebagai penyanyi. Bila kugiran ini ditubuhkan aku tidak bertanya. Setiap kali aku ke Camden aku terjumpa Mick dan Joe. Di mana mereka berlatih aku tidak tahu.

Yang aku tahu Killian pemain drum. Malah aku diberi tahu pernah satu kali Killian hampir menjadi “sessionist drummer” untuk kugiran The Kink.

Di London, kugiran yang tidak ada nama dan mahu jadi popular wajib bermain dalam pub.

Biasanya tanpa bayaran. Mungkin tuan Pub akan memberi satu atau dua botol minuman percuma.

Ada beberapa pub di mana akan ada “ejen syarikat rakaman” atau penulis daripada majalah New Musical Express (NME) akan datang sama. Biasanya mereka dijemput atau mereka menjadi “scout” mencari bakat baru.

Pernah satu malam Sabtu, Snow Leopard membuat “gig” di Town N County Pub di Camden Town.

Malam itu ada tiga kugiran bermain.

Sebelum aku masuk ke dalam pub, Killian memberi tahu aku wajib menuliskan nama aku dan kugiran yang aku mahu mendengar.

Ini untuk rujukan tuan empunya pub. Jika ramai peminat Snow Leopard, maka kugiran ini akan dijemput bermain sekali lagi.

Malam itu aku mendengar musik punk rock yang bising dan hangat.

Snow Leopard memang hebat. Aku, Hishamuddin Rais sakai Biduanda dari Jelebu kini menjadi “groupie” Snow Leopard. Di mana kugiran ini bermain aku akan datang sama.

Berapa minggu kemudian aku dengar Snow Leopard akan membuat gig di Porterhouse di Convent Garden.

Ini maknanya Snow Leopard naik tarafnya. Bukan main di pinggir kota tapi masuk betul-betul ke West End, wilayah hiburan kota London. Tapi malam itu di Porterhouse aku tidak ikut sama.

Petang Ahad sesudah gig di Porterhouse aku datang memburuh di rumah Killian.

Joe dan Mike bercerita tentang gig di Porterhouse.

“Guess what Isham? John Peel … EMI guy.. load of music people .. were all there”. Joe bercerita dengan penuh bangga.

“Wow… that’s great.” Aku memberi perangsang. Orang hebat-hebat datang mendengar Snow Leopard bermain. Kenapa tidak – bila Joe menyebut nama John Peel (1939-2004) aku pun berbangga sama. John Peel ialah DJ BBC Radio 1 dan juga wartawan muzik.

Sosok yang bernama John Peel kalau dia berkata kugiran ini hot, maka hotlah jadinya.

Kalau John Peel menulis kugiran ini adalah muka baru yang akan meledak naik, maka syarikat rakaman akan berduyun datang. Baginilah pengaruh Johh Peel terhadap dunia muzik dan dunia rock n roll.

Malam itu Snow Leopard mula berbicang untuk “road-tour” ke Amerika.

Mereka sudah mula merancang.

Sambil berdengung sambil berkhayal tentang – Snow Leopard American Tour.

Tapi aku lihat Killian macam tak ambil pot sangat. Dia hanya terus menggulung “herba”. Aku sudah tak berani lagi menghisap rokok yang dihulurkan oleh Killian. Perasaan paranoia ketika di bawah tanah tidak mahu aku ulangi.

Sebulan berlalu tidak ada berita Snow Leopard American Tour.

Masa berjalan. Hari berganti. Aku tidak akan melupakan pada satu petang Sabtu.

Seperti biasa aku datang untuk buat kerja. Bila aku sampai ke flat Killian aku teperanjat.

Flat ini ditutup. Melintang kayu menutup pintu dan ditingkap. Ada notis dari Majlis Bandaran Camden.

Aku pergi ke kedai antik untuk berjumpa dengan Erik atau Tim. Mereka belum sampai. Perniagaan belum bermula. Aku tercari-cari.

Tiba-tiba di atas jambatan Camden Town aku terserempak seorang minah Melayu cun bergetah.

Anna berkulit hitam manis dari Singapura. Anna berdiri di tepi jambatan. Betul-betul mengganggu pejalan yang melintas jambatan. Di tangannya bergantungan beg tangan wanita. Anna sedang menjaja barangan kulit di Camden Market.

Aku yang kelam kabut terus membuka kisah aku kepada Anna walaupun kami baru bertemu. Mungkin kerana kami dari rumpun yang sama dan kini merantau di tempat orang, maka kami cepat mesra.

“You need a job. Nak jadi waiter? Pergi ke Desaru di Old Compton Street, Soho. Jumpa Freedy. dia Filipina. Katakan Anna yang hantar. Tell Freedy you are my friend”. Minah dari Singapura ini menyelamatkan aku.

Maka perjalanan aku beralih dari Camden Town ke Soho West End.

Epilog:

Flat Killian diambil oleh Majlis Bandaran. Killian pulang ke Amerika untuk menjadi peniaga jual beli rumah. Tim pulang ke Australia.

Snow Leopard menjadi sejarah. Mick, Joe dan James aku tak tahu ke mana menghilang. Vin entah di mana.

Anna mendapat gerai rasmi dalam bangunan di sebelah panggung wayang Odeon, Camden Town.

Yunus Ali ditahan dua tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam Operasi Lalang 1987.

Din Wahab mengambil alih kedai jahit ayahandanya di Wisma Yakin. Farah dan Suhaimi berumah tangga kini ada dua orang cucu. Lee pernah aku temui sekali.

Epilog 2:

Pada tahun 2014 aku membawa teater Bilik Sulit ke United Kingdom.

Di London aku menjadi pemandu pelancong dan membawa Adam Adli, Achong, dan Aniza datang bertandang ke Camden Market.

Pasar Camden makin padat. Makin banyak gerai, Makin banyak kedai barang terpakai. Aku tunjukkan pada mereka tempat aku menjual teh dan kopi. Dan rumah setinggan Killian.

Kedai antik bawah jambatan masih ada. Tapi Erik tidak kelihatan meniaga di situ lagi.

Paling sedih kedai ikan tempat aku membeli kupang di tengah pekan Camden telah menjadi kedai kasut Dr Martens.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles

Cops hunt ‘vaccine’ fraudster who injected elderly woman in her London home

The victim said the man stuck a 'dart-like implement' in her arm.

Warga miskin kota

Hakikatnya aku tak perlu mengikut jejak langkah George Orwell.

MetMalaysia nafi negara alami ‘musim sejuk’ pada Februari

Dakwaan yang tular di media sosial itu adalah maklumat palsu, yang pernah tersebar pada 2016.

Tanda dan makna perkahwinan

Cikgu moral mahu Melayu menjadi Arab dan mempadang pasirkan bumi tropikal.

Sawah dan perkahwinan

Tok Lebai atau Pak Aji belum heboh menjual tiket ke syurga lagi.