Wednesday, December 1, 2021

Maryam si penganut Ahmadiyyah

Penganut Ahmadiyyah di Malaysia terus dinafikan hak kebebasan beragama.

Other News

Penganut Ahmadiyyah di Malaysia terus dinafikan hak kebebasan beragama.

Demikianlah ceritanya.

Minggu ini sebaik melangkah masuk 2021, Mahkamah Tinggi menetapkan 19 Mac 2021 akan datang untuk memutuskan sama ada 39 individu (termasuk bukan warganegara) yang menganut fahaman Ahmadiyyah itu seorang Muslim atau tidak.

Umum mengetahui saya pernah menulis sebuah novel dengan kisah nasib seorang penganut Syiah Dua Belas.

Novel itu, Perempuan Nan Bercinta sudah diharamkan.

Jikalau saya ingin menulis sebuah novel tentang penganut Ahmadiyyah, adalah agak terjamin karya itu akan menerima nasib yang sama.

Maka membaca berita duka mengenai nasih penganut Ahmadiyyah di Malaysia ini saya terbayangkan sebuah novel lama karya teman saya dari Indonesia, Okky Madasari dengan tajuk Maryam.

Novel ini adalah karyanya yang ketiga.

Menerusi novel tersebut, Okky meraih Hadiah Sastera Khatulistiwa (KLA) 2012 untuk kategori prosa.

Kisahnya adalah seputar Maryam, dan keluarganya selaku penganut fahaman Ahmadiyyah dan cerita mengambil latar Lombok.

Sebagai seorang penganut kepercayaan ini, Maryam menerima kesulitan dalam kalangan masyarakat.

Pun, setelah bertugas di luar kota, Maryam jatuh cinta dengan Alam (seorang Sunni) dan oleh pengaruh dan tekanan keluarga mertua, Maryam telah keluar dari fahaman asalnya kerana Ahmadi itu dianggap “bukan Islam”.

Akan tetapi perkahwinan itu menemui kegagalan yang membuatkan Maryam pulang ke Lombok dan melihat penindasan terhadap masyarakat dan lebih khusus keluarganya.

Mereka diusir dari kampung halaman dan berdepan dengan ancaman.

Di tengah-tengah ketegangan itu, Maryam mengahwini Umar, sesama Ahmadi; dan kedua-duanya digambarkan melawan diskriminasi yang dihempukkan ke atas mereka.

Ada kemungkinan, Okky mendasari karya ini dari keadaan yang menimpa nasib masyarakat Ahmadiyyah di Indonesia.

Harus dinyatakan di sini, Okky teman saya itu bukanlah seorang Ahmadi, seperti mana saya bukan seorang penganut Syiah.

Sebagai seniman dan sasterawan kami menulis untuk mengungkapkan realiti masyarakat dan memanusiawikan kembali manusia.

Kami tidak perlu menjadi seorang trans misalnya untuk menyelami derita seorang transnita.

Saya mengarang nasib seorang lesbian dalam “Profesor” bukan untuk menghujahkan betul salahnya orientasi seksual Profesor Suliza tetapi untuk menjelaskan keberadaan hidup bersama-sama.

Kisah sedih masyarakat Ahmadiyyah baik di negara jiran, di Pakistan dan di Malaysia memang wajar diketengahkan.

Meskipun jumlah penganut fahaman ini agak kecil di negara kita tetapi ia telah pun bertapak sejak tahun 1930-an.

Dalam tahun 2014, masyarakat Ahmadiyyah di Selangor sebagai contoh berdepan dengan gangguan ketika melakukan upacara solat Jumaat di Dolomite Park Avenue.

Ada banyak lagi ranjau yang mereka lalui, ini bukan ruangannya untuk dibabadkan.

Saya tentu sahaja tidak berminat untuk menulis mengenai benar atau tidaknya kepercayaan ini.

Akan tetapi membaca berita perihal Ahmadiyyah minggu ini membuka semula gamitan kenangan meneliti novel Maryam oleh Okky itu.

Salah satu petunjuk besar yang diungkapkan oleh Okky dalam Maryam (Ahmadiyyah) dan saya dalam Perempuan Nan Bercinta (Syiah) ialah kita, kumpulan majoriti dan dominan dalam masyarakat telah memilih untuk memaksakan kepercayaan kita, dan menghindari sebarang pendekatan untuk memahami mereka yang berlainan atau berbeza daripada kita.

Dalam hal ini kita hendaklah berdialog dengan masyarakat minoriti, baik Ahmadiyyah atau Syiah.

Kita misalnya hanya berani berdialog dengan Dalai Lama tetapi memungkiri dan memejam sebelah mata penindasan yang dialami oleh kumpulan kecil lain.

Kemudian kita sendiri-sendiri perasan progresif.

Tidak demikian. Kamu, kita semua hanya benar-benar menjadi seorang muslim apabila kita sedia berdialog hatta dengan musuh.

Jika kamu mengelakkan minoriti di laman sendiri kamu belum cukup juara.

Kita harus mengingat, hatta Sang Pencipta iaitu Allah berdialog dengan iblis.

Dialog Allah dan iblis itu malah menghiasi surah Al A’raaf, yang terjemahan ayat 14 hingga 17 berbunyi:

“Iblis berkata: Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari Kiamat). Allah berfirman: Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu). Iblis berkata: Oleh kerana Engkau menyebabkan daku tersesat, demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka dari jalan-Mu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.”

Penulis bersama pengarang novel Maryam, Okky Madasari.

Hal inilah cuba diterokai oleh Maryam karangan Okky Madasari.

Jika masyarakat yang lebih dominan, menyedari keutamaan dialog yang boleh meningkatkan rasa percaya, menggugurkan rasa curiga, dan membina kesedaran bahawa kita manusia akan berakhir dengan kebaikan yang disemai dalam hidup, kita pasti dapat mengelakkan pergeseran inter-kepercayaan.

Satu kekurangan novel Maryam oleh Okky Madasari ialah beliau tidak menampilkan wacana fahaman Ahmadiyyah dalam karya ini.

Samada ia dilakukan dengan sengaja atau tidak, ia, menurut saya, satu kesempatan yang dipersiakan.

Wacana adalah peluang untuk menjadikan dialog itu praktis.

Oleh sebab pembaca – seperti saya – tidak dibentangkan cukup maklumat atau keterangan mengenai apa itu hal dasar kepercayaan Ahmadiyyah, membaca Maryam masih membuatkan kita terasa ia berputar dari segi cerita, dan emosi dan belum sampai menggugah kognisi.

Pun usaha Okky terpuji.

Siapa tahu, Okky akan datang (setelah berjaya doktoratnya di National University of Singapore) akan hadir dengan karya yang lebih mencekam emosi dan dalam masa yang sama mendalam dari segi suguhan intelektualnya.

Okky untuk rekod, mempunyai sejumlah pembaca di sini.

Di Malaysia, saya ditimpa bahana saat menuliskan Perempuan Nan Bercinta ; saya yakin jika ramai yang berani mengungkapkan hal kepercayaan dan dialog inter-agama dalam karya seni maka kita akan dapat mengurangkan prasangka, selain memahami orang lain daripada kita.

Kita lawan kejumudan institusi agama dengan kekuatan dialog.

Kita perlu karya seperti Maryam, dan pengarang seperti Okky Madasari di sini.

Untuk pengarang yang baru berputik, ada banyak cerita di luar sana.

Berita sedih penguasa ingin menentukan akidah seseorang seperti yang kita baca minggu ini terhadap kelompok Ahmadiyyah adalah salah satu “berita boleh jadi cerita” yang menggiurkan.

Sayang tak semua pengarang mahu menempuh jalan susah.

Tidaklah menghairankan jika sasterawan kecut, kerana aktivis sendiri koro.

Sebagai contoh, badan bukan kerajaan Islam kita pun hanya berlagak berani berdialog dengan Dalai Lama sedang minoriti sekte dalam Islam sendiri dibuli.

Inilah api salah yang pernah saya tegur dalam novelet saya Bagaimana Anyss Naik ke Langit iaitu kita menolong Palestina seraya rasa bersyurga tetapi Penan di belakang laman kita dianiaya dan bakal menanyai di hari penghakiman.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles