Tuesday, March 9, 2021

Warga miskin kota

Hakikatnya aku tak perlu mengikut jejak langkah George Orwell.

Other News

China leads in launching virus passport

The European Union is also working on a vaccine 'green pass' that would allow citizens to travel between member countries and abroad.

North Korean in Malaysia loses final appeal against US extradition

According to his lawyers, Mun Chol Myong is accused of money laundering and conspiracy to launder money, in allegations relating mainly to his work in neighbouring Singapore.

PAS parti kecil, tak perlu campur urusan Umno, kata Tajuddin

Umno menolak usaha PAS untuk menjadi pendamai di antara parti itu dan Bersatu.

Stay out of our war with Bersatu, Umno warns PAS

Umno election chief Tajuddin Abdul Rahman says his party's decision not to cooperate with Bersatu is final.

Zahid claims trial to amended charge in charity foundation case

The amendment saw an increase in the value and number of cheques involved.

Ramai kawan-kawan kurang faham mengapa aku menjalani hidup bersendirian, kais seminggu makan dua hari.

Sebenarnya kawan-kawan tidak faham gaya hidup aku ketika ini amat-amat lumayan. Tidak pernah aku merasai hidup selumayan seperti yang aku alami hari ini.

Aku mengukur hidup aku bukan dengan hitungan asing. Aku mengukur hidup aku dengan hitungan kehidupan aku sendiri. Hidup dulu dan hidup sekarang.

Tangga patukan aku ialah diri aku sendiri. Pernah satu kali sepulang aku dari 20 tahun berkelana aku ingin mencuba nasib.

Di satu “soiree” jamuan makan malam Maulud Rasul Nabi Isa aku bertemu dengan seorang gadis Tionghua.

Aku ingin mencuba nasib dengan gadis manis, ayu, cun dan bergetah ini.

Ketika itu kejantanan aku liar. Jantan yang disira air anggur merah menambah liar kejantanan aku.

“I love to date you. We could have good time”. Aku bercakap sambil tangan aku memegang tangan gadis ini.

Gadis ini menarik tangannya dan memandang tepat pada muka aku. Macam dia tidak percaya dengan ajakan aku untuk keluar bercanda-canda. Ajakan datang secara terbuka.

“Why should I go out with you?” Jawapan rasional lagi pragmatik dari gadis ini tidak memeranjatkan aku.

Aku menggunakan seluruh pengalaman mengayat yang pernah aku gunakan di Melbourne, Karachi, Brussels, San Sebastian dan di London.

Kata bual aku ketika mengayat jarang gagal. Dialog aku ini seangkatan dengan dialog dalam filem buatan Woody Allen.

“Darling. I am the lowest of the low. After you dated me, the next guy would always be better”.

Aku menerangkan akulah jantan terakhir yang paling sengkek. Sesudah bercumbu kasih dengan aku semua jantan yang ditemui salepas aku pasti lebih kacak, lebih “elegance” dan lebih berada daripada aku.

“Do you have a car?” Minah ini bertanya sama ada aku ada kereta atau tidak.

Bukan sahaja aku tidak memiliki kereta malah memandu kereta pun aku tidak tahu. Pertanyaan berasakan meterial sedemikian memerlukan jawapan yang pantas.

“But… darling we don’t need a car. We don’t have to do it in a car. All we need is a packet of condom”. Jawapan aku ringkas, jelas, tuntas dan menuju ke tujuan asal.

Kalau di London atau di Brussels pasti aku akan mendengar jawapan “not this weekend Isham…maybe next week”. “Bukan hujung minggu ini.”

Dan seterusnya pasti satu kisah akan bermula untuk disimpan dalam “biografi gelap” aku yang tidak akan terbit. Tapi malam itu di Petaling Jaya tahun 1996 aku disekolahkan oleh Amoi yang aku minati ini mencari jantan berkereta bukan mencari jantan pandai “mengkereta”.

Malah aku pernah terbaca tentang seorang pemimpin parti Islam yang arif memahami hubungan kereta dengan sex.

Dilaporkan si Mamat pemimpin parti Islam ini membelikan kereta untuk dihadiahkan kepada bini muda. Pastilah Audi Q7 lebih ketat dan sendat, lagi mahal dari sekotak Durex dalam poket aku.

Sekarang baru aku faham kenapa Kuala Lumpur selalu sesak. Agaknya setiap Amoi yang hendak ditiduri memerlukan kereta. Ini ditambah pula dengan Thangachi dan Minah. Maka padatlah Kuala Lumpur dengan kereta.

Apa yang nak aku surahkan di sini bukan hal kereta. Atau tentang sosok macam aku yang tidak memiliki kereta. Atau tentang Jantan cuba mengayat Betina. Tetapi tentang orang miskin. Si Miskin yang bukan sahaja tak mampu membeli kereta malah nak makan pun susah.

Penulis Amerika Scott Fitzgerald (1896-1940 ) pernah berkata “orang kaya ini lain dari kamu dan aku”.

Lalu dijawab oleh Ernest Hemingway (1899-1961) “mereka banyak duit”.

Kalau kita tak pernah susah maka kita tak tahu apa itu susah. Kalau kita kaya maka kita tak tahu apa itu miskin. Tak tahu apa itu lapar.

Aku sendiri ketika merantau menjadi “pendatang haram” di Karachi pernah tidak makan selama tiga hari.

Ini ketika poket aku kosong. Saku yang amat kosong lagi kering. Ketika ini aku menumpang tidur di bilik pelajar dari Patani: No 4, Wus Internasional Hostel University of Karachi.

Tuan empunya bilik yang aku tumpang ini pun sama tidak berduit macam aku.

Maka aku tahu apa rasanya ketika tidak ada duit dan tidak ada makanan. Aku masih ingat lagi ketika tak ada makanan untuk terus hidup, aku minum air. Aku masuk ke dapur hostel mencari-cari jika terjumpa roti kering.

Tempat tidur yang paling kokak dalam dunia ini juga aku pernah tidur.

Selama dua minggu aku tidur dalam lokap polis di Bombay. Tidur di sebelah tandas yang tersumbat najis di atas simen berbantalkan tangan. Kemudian aku pindah ke penjara Arthur Road, Bombay. Di penjara ini aku menumpang selama tiga bulan.

Dua babak ini menjadi ukuran hidup aku. Hari ini aku mampu makan di warung Brickfields yang aku anggap amat mewah.

Malah aku kini tidur di atas tilam, ada bantal dan ada kain selimut. Kalau pun aku tidur di atas tikar mengkuang aku anggap ini masih lagi nikmat dunia yang aku wajib bersyukur.

Justeru hari ini aku menganggap hidup aku mewah lagi lumayan. Kerana ianya melintasi tangga patukan aku sendiri. Kemiskinan yang datang ke meja aku bukan di rancang. Ianya datang secara natural.

Hakikatnya aku tak perlu mengikut jejak langkah George Orwell (1903- 1950).

Dia sengaja menjadi “clochard atau tramp” di Paris dan Lodon. Orwell mencari pengalaman sebagai fakir miskin tanpa tempat tinggal dalam kota Paris dan London.

Orwell merakamkan pengalaman “jadi papa kedana” dalam buku “Down and Out in Paris and London”.

Di London aku selalu terserempak dengan sosok yang dipanggil “tramp”. Kalau di Malaysia sosok ini dipanggil gelandangan.

Aku enggan menggunakan istilah gelandangan. Perkataan ini memberi makna sosok-sosok ini mengganggu perjalanan kita.

Mereka menjadi penghalang. Pergi tersepak, pulang terlanggar. Istilah sopan dari aku ialah warga miskin kota.

Warga miskin kota ini menjadi sebahagian dari rupa bentuk pemandangan kota. Kota mana pun dalam dunia ini kita akan bertemu dengan “tramp”.

Charlie Chaplin seawal tahun 1915 membuat filem bisu “The Tramp”. Ini gambaran awal tentang warga miskin kota di London.

Pada awalnya ketika aku menjadi warga kota London aku kurang faham tentang warga miskin kota di London.

Setiap kali aku ke China Town, Gerrad Street aku pasti akan ternampak seorang “tramp” mungkin dari Pakistan atau India.

Ini pemandangan yang “rare”. Kebiasaan warga miskin kota di London berkulit putih. Sosok berkulit coklat ini menjadi sebahagian daripada pemandangan China Town London tahun-tahun 80-an. Setiap kali aku ke China Town aku akan ternampak sosok ini.

Kadang-kadang bila aku pulang dari sekolah aku di Riding House Street menuju ke Soho aku akan terserempak dengan beberapa warga miskin kota.

Aku ternampak satu dua orang sedang duduk bersandar di tembok bangunan atau di lorong kecil.

Majoriti lelaki dan sesekali aku ternampak perempuan. Mereka biasanya memegang botol yang terbungkus dalam surat khabar atau plastik hitam. Ini botol alkohol teman hidup mereka.

Di hadapan tempat mereka duduk bersandar akan ada kotak kosong dengan beberapa keping duit sen. Ini sebagai tanda mereka meminta derma.

Buku Orwell, Down and Out in Paris and London diterbitkan pada 9 Januari 1933. Buku ini menyambung kembali babak yang digambarkan oleh Charlie Chaplin.

Bayangkan seawal tahun 30-an lagi warga miskin kota sudah wujud di dua kota paling kosmopolitan dalam dunia, Paris dan London.

Pengalaman menjadi warga miskin kota ini digambarkan oleh Orwell dengan jelas.

Orwell tidur di tepi bangunan atau di bangku dalam taman. Kemudian minta sedekah sambil menyusur ke pintu belakang restoran dengan harapan terjumpa makanan.

Bila Margaret Thatcher (1925-2013) menjadi perdana menteri (1979-1990) dan dasar ekonomi United Kingdom mula beralih dari ekonomi berkebajikan kepada ekonomi pasaran.

Dalam masa yang tidak lama jumlah warga miskin kota di London meledak naik.

Hampir di setiap pintu masuk ke stesen kereta api bawah tanah di pusat kota akan ditemui peminta sedekah. Miskin baru adalah manifestasi hasil dasar ekonomi “Thatcherite”.

Dasar ekonomi pasaran yang diajukan mahu menjimatkan belanjawan negara justeru mengurangkan dana sokongan kebajikan kepada warga miskin. Pemotongan dana keselamatan sosial amat jelas membantu kemunculan warga miskin kota.

Magaret Thatcher akan terus dingati sebagai “The Milk Snatcher – pencopet susu”.

Pada tahun 1971, Thatcher membatalkan minuman susu percuma kepada pelajar di sekolah-sekolah. Ketika itu dia menteri pelajaran dalam kerajaan Konservatif Edward Heath.

Dalam negara berkebajikan seperti United Kingdom banyak bantuan dana dari daulah kepada mereka yang tidak mampu.

Warga tanpa kerja mendapat bantuan kewangan mingguan untuk sara hidup minima. Sewa rumah, dana penjagaan anak dan bantuan keluarga adalah sebahagian dari dasar negara berkebajikan.

Ini diserang musnah oleh Margaret Thather yang membawa fahaman ekonomi neo liberal yang berpaksikan pasaran.

Jaring, raga dan tangguk daulah untuk menampung kesampaian warga miskin kota terbarai. Maka tugas kebajikan terpulang ke beberapa badan amal.

The Salvation Army dari Gereja yang ditubuhkan di London pada tahun 1865 kini datang membantu warga miskin kota dengan menyediakan makan percuma dan tempat menginap sementara. Kumpulan Hindu Hare Rama, Hare Krishna juga memberi makanan percuma kepada warga miskin kota.

Aku masih ingat lagi satu malam di musim sejuk tahun 1987 ketika aku pulang dari sekolah aku sama-sama beratur di Charing Cross Road untuk mengambil secawan sup panas dari Salvation Army.

Badan amal Kristian ini memberi makan kepada sesiapa saja yang beratur. Aku ingin merasa sup panas seperti yang pernah dirasakan oleh Orwell satu masa dulu.

Pada tahun 1988 ekonomi United Kingdom jatuh merundum. Jumlah warga miskin kota di London bertambah. Muka-muka baru muncul. Kini anak-anak muda kelihatan mula tidur di kaki lima.

Aku hanya menjadi pemerhati. Tapi aku yakin setiap sosok yang aku lihat terbungkus tidur di tepi kabin telefon dengan seekor anjing kesayangan pasti memiliki kisah hidup yang tersendiri.

Ada yang kehilangan kerja, putus rumah tangga, putus cinta, masalah dadah dan alkohol atau ditolak oleh keluarga.

Ketika aku belajar di Riding House Street aku juga bekerja sebagai pelayan di Restoran Garuda di 150, Shaftesbury Avenue di London. Sekolah filem aku tak jauh dari Soho, wilayah lampu merah London.

Soho juga tak jauh dari Restoran Garuda. Daerah ini semuanya dalam wilayah West End – tempat bercanda-canda. Wilayah panggung, wilayah restoran, wilayah jantan cari betina atau jantan cari jantan. Wilayah raba peha, buka dompet.

Garuda, restoran masakan Melayu Minang ini dianggap restoran “chic” dalam kota London.

Tuan empunya ialah Pak Brahim. Dulu Pak Brahim bertugas di stesen radio BBC di Bush House, bahagian Bahasa Indonesia.

Yang menjalankan restoran ini ialah empat orang anak lelaki Pak Brahim – Karl, Uyung, Joni dan Hadi. Uyung menjadi tukang masak. Sebahgian besar hidup aku di London adalah bersama Garuda dan anak-anak Pak Brahim.

Pada bulan September 1991 kota London heboh. Heboh kerana warga miskin kota akan mengeluarkan akhbar The Big Issue.

Ini akhbar tentang warga miskin kota. Akhbar ini dijalankan secara profesional, keluaran seminggu sekali.

Isinya adalah tulisan kontemperori yang bersangkutan dengan apa yang menjadi perbualan nasional dan global pada minggu atau bulan itu.

Bezanya penjual akhbar ini adalah warga miskin kota. Mereka mendapat setengah dari apa yang mereka jual.

Penjualan ini bertujuan membantu warga miskin kota dari terus terjerumus tenggelam ke dalam lubuk kemiskinan. Jadi penjual Big Issue juga akan mengembalikan nilai harga diri mereka.

Ketika Big Issue heboh diperkatakan di London aku kembali teringat kepada tulisan Orwell ketika dia papa kedana di Paris. Orwell bekerja sebagai tukang cuci dan tukang basuh pinggan mangkuk di sebuah restoran di Paris.

Orwell melihat bagaimana tukang basuh pun akan memandang hina terhadap warga miskin kota yang memungut lebihan makanan.

Aku di kota London yang bekerja sebagai pelayan pada tahun 80-an juga melihat perkara yang sama.

Di hadapan Garuda ada sebatang pokok. Di bawah pokok terletak tong sampah Majlis Bandaran London.

Selalu aku ternampak warga miskin kota datang membuka tong dengan harapan akan bertemu dengan lebihan makanan dari restoran.

Satu malam sebelum Garuda ditutup, aku membawa sampah untuk dimasukan ke dalam tong sampah. Aku bersua dengan John. Anak muda 20-an berbadan agak gempal. John sedang mencari makanan.

“Just wait here. I get you some egg fried rice.” Aku masuk dan mengambil nasi goreng lebihan dari makanan pekerja.

“Thanks mate.” John mengambil dan terus beredar.

Malam esoknya aku nampak John sekali lagi. Kali ini dia melintas depan Garuda agak awal sebelum restoran ditutup.

“You should come after 11. I’ll keep a packet of egg fried rice for you.”

Biasanya sebelum restoran ditutup mungkin ada nasi lebih atau makanan pelayan tersalah pesan. Biasanya akan dibuang. Semenjak aku berkenalan dengan John makanan lebihan tidak pernah terbuang lagi.

Aku mula berkenalan dengan John pada musim sejuk 1991. Sesudah aku menjadi pelanggan The Big Issue.

“John where do you park?” Aku bertanya di mana dia bermalam.

“At Piccadilly, end of this road… not too crowded”. Aku tahu wilayah ini. Tidak jauh dari Garuda.

Tak jauh dari Oxford Street. Dan tak jauh dari sekolah aku. Aku tergambarkan john terbungkus akan tidur di bucu kedai atau di lorong kecil yang berselirat di wilayah ini.

Pernah satu petang aku ternampak John melintas di hadapan restoran. John menggamit aku. Aku keluar dari Garuda datang menemui John.

“You are early. What’s up?” Aku bertanya.

John membuka jaket musim sejuknya. Dalam saku kiri dan saku kanan jaketnya tersorok dua botol. Satu vodka dan satu rum. Aku kenal jenama minuman ini.

“Have one Isham. I got my cheque today”.

“Thanks. I’m working. Another time”. Aku menolak jemputan. Tapi aku juga tidak mahu mengecilkan hatinya.

Baru aku sedar John ada mendapat bantuan sosial dari kerajaan.

Ketika ini aku jadi bingung. Alamat jalan mana yang digunakan oleh John untuk menerima cek ini. Niat ingin tahu itu mati begitu sahaja kerana pelanggan mula masuk ke Garuda.

Sepanjang musim sejuk dihujung minggu ketika aku bekerja di Garuda aku pastikan akan ada nasi goreng atau apa-apa lebihan makanan untuk John. Aku masukkan ke dalam kotak makanan dan letakan di tepi pokok kayu, tidak dalam tong sampah.

Musim bunga tiba. Peperiksaan pun sampai. Kemudian musim panas masuk. Masuk musim panas kampus aku ditutup. Cuti panjang bermula. Bila cuti panjang bermula, aku bekerja enam hari seminggu.

Di pertengahan musim panas aku mula sedar bahawa John tidak muncul lagi.

Nasi goreng yang aku letakkan di tepi pokok sebelah tong sampah tidak diambil. Akhirnya aku tidak meninggalkan apa-apa makanan lagi.

Tiba-tiba satu malam John muncul kembali. Aku ternampak dia tercari-cari di tepi pokok. Aku keluar untuk bertanya khabar

“Hi John. Where have you been? Haven’t seen you for a long time. Mana kau pergi lama tak nampak”.

“Isham. I went for a holiday”.

Wow. John seorang warga miskin dari kota London bila musim panas sampai dia pun pergi bercuti.

Aku tergambarkan John di tepi pantai pulau Majorca Sepanyol atau di pantai Ibiza.

Pantai-pantai ini menjadi pilihan warga United Kingdom ketika bercuti di musim panas.

“Where did you go?” Aku juga nak tahu di mana kawan aku seorang warga miskin kota bercuti pada musim panas tahun 1992.

Aku mahu berkongsi gembira.

“Isham. I left Picadillly and went to Oxford Street. And stayed there all summer. Nice and crowded..loads of tourist”. John menjawab.

“Where?” Aku bertanya dengan suara kuat.

“Oxford Street”. Jawapan John dengan tenang.

Bila aku terdengar John menyebut nama Oxford Street aku hampir nak jatuh pengsan. Aku nak terbarai ketawa. Tapi aku tidak ketawa. Takut dianggap menghina.

Jawapan jujur dari warga miskin kota ini termasuk dalam kata bual paling klasik.

Jawapan John ini sama saperti jawapan seorang warga miskin kota Kuala Lumpur yang tidur di Jalan Pudu mengakui hilang sebulan kerana pergi bercuti ke Petaling Street.

Epilog:

Pada November tahun 2001 aku keluar dari Kamunting. Bilik pejabat lama aku di mana aku ditangkap diambil kembali oleh Richard tuan empunya.

“Isham, feng shui tidak baik”. Richard memberi aku nasihat agar aku tidak kembali ke pejabat yang sama.

Aku menyewa di bangunan yang sama tapi lantai yang berbeza.

Pada November 2001 seorang Minah cun dari Kanada datang bertanya khabar. Minah ini mungkin terbaca tentang Universiti Bangsar Utama (UBU).

Aku terlupa nama Minah ini. Minah ini setengah Mat Saleh setengah Cina.

Minah ini membuka surah tentang memberi makanan percuma yang dilakukan oleh anak anak muda di Canada, terutama mereka yang anti-perang.

Ketika ini aku sudah berkenalan dengan Tad yang ketika itu sedang belajar untuk membuat persediaan menyambung belajar ke Australia.

Aku cadangkan kepada Tad agar membuat kerja amal memberi makan percuma kepada warga miskin kota Kuala Lumpur. Sama seperti yang dilakukan oleh anak muda di Canada, Salvation Army dan Hare Rama, Hare Krishna di London.

Maka lahir Food Not Bomb – Makanan Bukan Perang.

Kumpulan inilah yang pertama menjalankan kerja amal memberi makan percuma kepada warga miskin kota di Kuala lumpur.

Hari Ahad petang Tad dan kawan kawan datang memasak didapur pejabat aku di Jalan Kemuja, Bangsar Utama. Yang lainnya ialah sejarah.

Epilog Dua:

Pada tahun 2014 aku membawa teater Bilik Sulit ke London. Restoran Garuda masih di 150, Shaftesbury Avenue Restoran bertukar nama menjadi Bali Bali. Pemiliknya masih keluarga Pak Brahim. Tukang masak masih Uyung.

Aku pergi menziarah Piccadilly kalau-kalau terserempak dengan John. John tidak berada di lorong itu lagi. Dari Piccadily aku melencong ke Gerrad Street, China Town. Clochard atau tramp atau warga miskin kota berkulit coklat dari India atau Pakistan itu tidak ada lagi ditempat biasanya, di pintu masuk ke China Town.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles

Apabila Jepun masuk Malaya

Ini cerita dari mulut ke mulut. Cerita dari sana cerita dari sini.

Learning lifeline for London kids struggling to do online lessons

School closures have revealed the large number of families who cannot afford the laptops or tablets needed for remote learning.

Apabila benih kelapa bertukar menjadi pulau

Negara kafir yang bernama UK ini memberikan kebebasan kepada pelajar luar negara.

Falsafah sebiji kelapa

Benih yang baik dipukul ombak akhirnya akan menjadi pulau.

Melawan Operasi Lalang dari London

Aku kini sebahagian daripada sosok yang meramaikan kota London.