- Iklan -
Rencana

Siapakah yang menentukan hala tuju kehidupan kita?

Janganlah disebabkan mereka tidak mengikut kehendak yang ditetapkan terus dilabel sebagai anak derhaka.

Nur Syahmina Aza Azhar
2 minit bacaan
Kongsi
Sesetengah ibu bapa dilihat lebih cenderung dalam menentukan hala tuju anak-anak mereka termasuk soal pekerjaan. Gambar: Bernama
Sesetengah ibu bapa dilihat lebih cenderung dalam menentukan hala tuju anak-anak mereka termasuk soal pekerjaan. Gambar: Bernama

Pernahkah anda mengalami dilema arah hidup yang manakah patut anda ikut? Terutama sekali apabila ibu bapa masuk campur tentang keputusan hidup yang mahu dibuat oleh anak-anak mereka.

Pada masa kini, sesetengah ibu bapa dilihat lebih cenderung dalam menentukan hala tuju anak-anak mereka termasuk soal pekerjaan, jurusan apa yang perlu diambil dan jodoh.

Adakah ibu bapa sedar bahawa sifat ini boleh membawa keburukan kepada kesihatan mental anak-anak mereka?

Hal ini kerana, anak-anak sudah semestinya mahukan keberkatan sehingga terpaksa tunduk patuh dan akur akan kehendak ibu bapa mereka secara permisif.

Dalam kehidupan ini, tiada siapa mahu kehidupan mereka dikongkong oleh orang lain walaupun ibu bapa sendiri.

Semestinya, manusia ingin hidup bebas seperti burung-burung yang bebas berterbangan.

Jadi, mengapa ibu bapa mahu menentukan hala tuju anak-anak mereka?

Anak-anak sedar bahawa ibu bapa mahukan yang terbaik buat mereka namun, anak-anak juga tahu apa yang terbaik buat mereka.

Jadi, pasti anak-anak akan memilih jalan hidup yang baik.

Rintihan seorang anak yang terpaksa mengikut kehendak ibu bapa merasakan bahawa kita melalui fasa kehidupan ini dengan diri sendiri, ya, dengan adanya sokongan persekitaran.

Namun, pada penghujung hari, diri sendirilah yang akan melalui liku-liku kehidupan seorang diri.

Sebagai contoh, bayangkan jika ibu bapa anda menyuruh mengambil jurusan dalam bidang perubatan walhal diri sendiri tahu sejauh mana kemampuan.

Tersilap langkah, siapa yang harus dipersalahkan? Perkara sebegini akan mengeruhkan lagi keadaan apabila timbulnya penyesalan dalam diri.

Anda semestinya mahu mengelakkan penyesalan daripada berlaku bukan? Jadi keputusan yang hendak dibuat seharusnya wajar dan atas kehendak sendiri.

Lagi pula, kita telah pun merasa dan mempunyai pengalaman-pengalaman yang membuatkan kita memilih jalan hidup kita sendiri.

Oleh itu, anak-anak mempunyai hak atas keputusan yang ingin dibuat.

Ibu bapa pula janganlah terlalu mementingkan diri sendiri.

Mereka patut berlaku adil dengan anak-anak sendiri dan menghormati apa yang mahu lakukan dalam kehidupan, asalkan ia tidak melanggar hukum.

Biarkanlah anak-anak memilih jalan hidup mereka sendiri kerana ibu bapa seharusnya mempercayai kebolehan yang dimiliki dan yakinlah mereka pasti akan menjadi manusia yang berjaya suatu hari nanti.

Janganlah disebabkan mereka tidak mengikut kehendak yang ditetapkan terus dilabel sebagai anak derhaka.

Ibu bapa seharusnya memberikan keberkatan dan sokongan moral agar anak mereka berjaya dengan pilihan yang ditentukan.

Nur Syahmina Aza Azhar merupakan pelajar tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Pengajian Media, Universiti Malaya.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.