- Iklan -
Kolum

Susah nak faham sifir politik Umno

Ini semua salah pengundi kena tipu dan tersilap pangkah.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Tahun 2021 kemungkinan besar ialah tahun Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Apakah PRU15 adalah penyelesaian bagi Malaysia supaya kerajaan dapat berfungsi dengan stabil dan baik?

Kekalahan Umno-Barisan Nasional (BN) pada PRU14 mengubah lanskap politik negara sepenuhnya.

Umno tidak lagi dapat menjadi kerajaan bersama BN kerana hampir kesemua parti komponennya MCA, MIC dan Gerakan kalah teruk.

Meskipun Umno masih mendapat kerusi Parlimen terbanyak, tapi sekadar menjadi parti pembangkang terbesar negara.

Para pimpinan Umno dan ahlinya barangkali sudah terlupa pengalaman 22 bulan menjadi pembangkang selepas 11 bulan kembali menjadi kerajaan bersama parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN).

Dan siapakah punca yang membawa Umno menjadi pembangkang?

Keinginan Umno menjadi abang besar semula di dalam politik Malaysia tidaklah menghairankan.

Sudah lebih 60 tahun Umno menjadi “abang besar”, memang susah menjadi adik di dalam gabungan kerajaan PN.

Realitinya, Umno tidak dapat membentuk kerajaan secara bersendirian, begitu juga BN.

Hanya dengan rakan barunya PAS dan Bersatu beserta sokongan GPS dan parti-parti di Sabah, Umno menukar statusnya daripada parti pembangkang kepada salah satu parti kerajaan semula.

Sebenarnya ini adalah satu kemajuan.

Tapi bagi sebahagian pimpinan Umno yang pernah merasai hidup sebagai abang besar sehingga kehilangannya di PRU14, ini barangkali adalah satu penghinaan.

Oleh sebab itu, sebahagian Umno ini ingin membuang rakan-rakan baru yang membawa mereka kemajuan ini kerana mereka terasa apa yang dibawa ialah penghinaan dan bukannya kemajuan.

Apakah hidup sebagai adik di dalam kerajaan lebih hina daripada hidup sebagai abang besar di blok pembangkang?

Entahlah, sifir sebahagian orang Umno susah difahami.

Kini, sebahagian orang Umno ini menuntut PRU15.

Persoalannya, bagaimana PRU15 dapat menyelesaikan masalah Umno tidak dapat menjadi abang besar di dalam kerajaan jika memilih untuk bergaduh dengan rakan-rakan barunya iaitu PAS dan Bersatu?

Apakah sebahagian orang Umno ini merasakan MCA dan MIC akan memenangi kerusi yang banyak sehingga BN mampu kembali menjadi kerajaan secara bersendirian?

Bagaimana mereka hendak mencapai hasrat ini sedangkan GPS dan parti-parti di Sabah tidak lagi menjadi sebahagian daripada BN? Itu satu lagi sifir yang susah difahami.

Jika keinginan menjadi abang besar di dalam kerajaan adalah matlamat utama sebahagian orang Umno ini, bagaimana kerjasama dengan PKR dapat merealisasikan impian ini dengan Anwar Ibrahim yang pastinya tidak akan berkompromi kerusi perdana menteri?

Bagaimana sifir ini dapat diselesaikan juga menjadi satu persoalan.

Ataupun sebahagian orang Umno ini sudah mendapat sifir untuk bekerjasama dengan DAP bagi menghadapi PRU15 kerana kedua-dua parti ini tidak akan bertembung kerusi sepertimana mereka akan bertembung kerusi dengan PAS dan Bersatu?

Jika begitu, apakah Umno tidak berfikir tentang sifir para pengundi Melayu?

Apakah undi mereka akan pergi ke Umno yang sudi bekerjasama dengan DAP?

Atau undi itu akan beralih ke PAS dan Bersatu yang enggan bekerjasama dengan DAP?

Umno pernah menguasai kerajaan selama 60 tahun lamanya dan mereka cukup berpengalaman.

Mungkin ada sifir politik yang Umno sahaja nampak, tapi orang lain tak nampak.

Memang indah pengalaman 60 tahun menerajui kerajaan Malaysia. Mana boleh banding dengan pengalaman 22 bulan menjadi pembangkang?

Bukan salah pimpinan Umno – parti terbesar orang Melayu ini menjadi parti pembangkang di PRU14.

Ini semua salah pengundi kena tipu dan tersilap pangkah.

Barangkali itulah sifirnya.

Dan mungkin itulah yang memacu keyakinan meluap-luap sebahagian pimpinan Umno bahawa pengalaman pahit 22 bulan sebagai pembangkang tidak akan berulang jika PRU15 diadakan sekarang dengan mengambil sikap berkonfrontasi dengan rakan-rakan yang membantunya naik semula ketika ia terjatuh gaung.

Ini gambit yang susah difahami oleh kita, yang tidak cukup pengalaman untuk mempertikaikan permainan parti politik tertua negara.