- Iklan -
Rencana

Ahli tinggalkan Umno kerana kerjasama dengan Anwar, DAP

Mereka merasakan parti Umno bukan lagi wadah untuk orang Melayu dan Bumiputera.

Muhammad Zahid Md Arip
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Umno dikatakan hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti. Gambar: AP
Ahli Umno dikatakan hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti. Gambar: AP

Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan kononnya Bersatu mencuri ahli-ahli Umno kerana apa yang sebenarnya berlaku ialah, kemasukan berbondong-bondong ahli Umno, baik di peringkat akar umbi mahupun dalam kalangan pimpinan, adalah disebabkan hilangnya kepercayaan mereka terhadap pucuk pimpinan parti.

Mereka merasakan parti Umno bukan lagi wadah untuk orang Melayu dan Bumiputera bergantung-harap.

Tuduhan ini juga sebenarnya suatu penghinaan ke atas ahli-ahli akar umbi Umno yang waras dan rasional, yang kecewa dengan tindak-tanduk pimpinan Umno – yang sudah menjadi rahsia terbuka cuba menjalinkan kerjasama politik dengan DAP dan Anwar Ibrahim sehingga menyebabkan mereka memilih Bersatu dengan rela hati.

Cukup-cukuplah bermain politik sempit dan menjadi ejen pemecah-belah kepada keharmonian kerjasama yang terjalin dalam kerajaan Perikatan Nasional ketika ini, kerana fokus serta tumpuan sebenar Umno serta semua parti dalam Perikatan Nasional adalah untuk memulihkan kembali ekonomi negara dan menangani ancaman Covid-19.

Saya percaya terdapat kumpulan “lidah kontot” dalam Umno yang kalah serta tidak terpilih menjadi calon dalam pilihan raya umum lalu, yang menjadi ejen kepada DAP dan Anwar telah mendalangi permainan politik ini dengan menyemarak kebencian terhadap kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Jika agenda kumpulan lidah kontot ini berjaya dan tidak dibersihkan segera oleh Umno, Umno akan ditelan oleh DAP dan PKR buat selama-lamanya.

Muhammad Zahid Md Arip merupakan ahli Dewan Negara yang juga pengasas awal Bersatu

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.