- Iklan -
Kolum

Novel grafik Fatah dan Farah

Sebuah kisah adik beradik kembar yang terpisah selama lima belas tahun

Faisal Tehrani
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Faisal Tehrani

Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani adalah seorang sasterawan yang berminat dengan pelbagai perkara, dari kesusasteraan, filem, budaya, sejarah, politik, hak asasi manusia dan kadangkala hal-hal yang dianggap remeh seperti gastronomi dan seksologi. Beliau bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Peyelidik Bersekutu sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard.

Januari 2021 ini yang menyebabkan saya begitu teruja ialah untuk melihat kelahiran sebuah novel grafik yang saya kerjakan bersama-sama ilustrator dan pekomik tersohor Arif Rafhan.

Judul novel ini adalah Fatah dan Farah; dan akan disirikan selama dua puluh minggu di media sosial secara percuma.

Web-komik ini diterbitkan oleh Projek Dialog, sebuah badan bukan kerajaan terkemuka menyerukan dialog untuk memadam rasa curiga prasangka sesama rakyat Malaysia.

Saya harus berjujur, lama dahulu, saya memandang sebelah mata terhadap genre novel grafik ini. Saya tidak menganggapnya sebagai sebuah karya sastera.

Komik adalah satu bacaan lagha. Namun demikian, mujur dan syukur tanggapan ini berubah setelah menguliti sejumlah novel grafik secara sengaja.

Tentunya salah sebuah yang paling terkenal ialah dengan judul “V for Vendetta” (1990) karya Alan Moore, David Llyod bersama-sama Steve Whitaker dan Siobhan Dodds.

Novel grafik ini meledak terkenal setelah diadaptasi ke filem dengan menjadikan latar masa depan England di bawah sebuah pemerintahan fasis.

Proses penulisan novel grafik awal.

Saya juga kemudian jatuh cinta dengan novel grafik lain bertajuk “Blue Is The Warmest Colour” (2010) oleh Julie Maroh yang juga diadaptasi ke layar perak dan mengungguli Pesta Filem Cannes pada tahun 2013.

Novel ini roman-politik mengenai pasangan lesbian.

Perlahan-lahan saya menjadi pengekor novel grafik.

Salah sebuah novel grafik yang saya sukai ialah “The Three Escapes of Hannah Arendt” (2018) oleh Ken Krimstein, sebuah ulasan tentang hayat hidup filsuf kontroversial Hannah Arendt dan intisari gagasannya dalam buku monumentalnya bertajuk The Origin of Totalitarianism (1951).

Pengaruh novel grafik perlahan-lahan meresapi benak saya, di mana saya mulai jatuh cinta dengan karya Olivia Burton dan Mahi Grand yang berjudul “Algeria is Beautiful Like America” (2018) yang naratifnya meniti nasib seorang keturunan Perancis Algeria tahun 1950-an.

Juga kerja Helena Aldeguer dengan tajuk “After The Spring: A Story of Tunisian Youth”(2019) iaitu mengenai bantahan empat anak muda kepada kerajaan Ennahda (memenangi Anugerah Raymond Leblanc Foundation Belgian).

Proses penulisan novel grafik kedua.

Tentu pula karya magis “Habibi” (2011) oleh Craig Thompson yang sungguh aneh penuh khayalan seibarat Hikayat Seribu Satu Malam.

Saya tambah menggigit jari tatkala membaca adaptasi Renee Nault terhadap karya terkenal Margaret Atwood iaitu “The Hand Maid’s Tale” (2019).

Juga adaptasi Fabio Celoni dan Mirka Andolfo terhadap novel termasyhur Khaled Hosseini iaitu “The Kite Runner” (2011).

Khayalan saya untuk menulis novel grafik beragaman ketika menekuni Lupus (2019) oleh Frederik Peeters di mana kisah mengenai wabak penyakit inter-planet ini meraih anugerah di Pesta Komik Antarabangsa Angouleme.

Atau karya lain yang mudah (kisah cinta lain bangsa) dengan tajuk “How I Tried to be a Good Person” (2017) oleh Ulli Lust memenangi Slate Cartoonist Studio Prize.

Lama kelamaan rasa ringan dan tidak endah saya terhadap genre ini berkembang menjadi satu rasa hormat yang mendalam kerana ternyata novel grafik memberi bekas yang lama dalam peta seni di banyak negara dan masyarakat.

Sebuah novel grafik di Iran dengan tajuk Zahra Paradise mengenai pertumpahan darah selepas pilihan raya presiden Iran pada tahun 2009 menjadi web-komik sangat politikal dan mencabar pihak berkuasa.

Ia bukan sahaja diharamkan, tetapi ia menjadi gelombang seni anak muda bertenaga.

Saya pelan-pelan tahu novel grafik adalah satu alat seni yang hebat dan ampuh untuk melawan.

Maka apabila Projek Dialog diam-diam mendekati saya dan Arif Rafhan untuk menghasilkan sebuah karya seni yang sarat dialog, saya tanpa berfikir panjang menyetujuinya.

Apatah pula bakat Arif sudah melebar ke negara jiran dan projek animasinya sedang diperhatikan sehingga ke Hollywood.

Cabaran saya mungkin ialah bagaimana mengekalkan sasterawi pada produk novel grafik ini.

Saya mulai memahami novel grafik adalah kesusasteraan visual di mana teks dan ilustrasi itu setara dan tidak bermakna mana-mana komponen lebih utama.

Saya juga menyedari novel grafik ada pelbagai genre.

Ia tidak mesti mengenai adiwira seperti “Hulk” atau “Wonder Woman”.

Penulisan novel grafik yang sudah lengkap.

Ia boleh jadi apa sahaja.

Sebagai seorang pengkaji Kesusasteraan Bandingan di Institut Alam dan Tamadun Melayu, saya mengakui novel grafik adalah satu produk rentas disiplin.

Saya rasa segar bersemangat.

Saya menghargai Jan Baetens (2008) dalam esei beliau “Graphic Novel: Literature Without Text” yang mengatakan novel grafik adalah satu peluang untuk menyuburkan kesusasteraan yang kian dipandang enteng oleh kebangkitan media sosial dan kemalasan atau kehilangan tumpuan untuk membaca.

Baetens malah menegaskan kesusasteraan pada novel grafik itu tidak hanya pada teks tetapi pada kemahiran alat penceritaan secara visual di pelbagai lapis; “in the case of the graphic novel, literariness does not depend (only) on textuality, verbality – in short, language – but on the specific use of visual storytelling devices and mechanism at various level.”

Maka saya meletakkan harapan tinggi bersama-sama Arif untuk mempertaruhkan Fatah dan Farah (2021).

Ia sebuah kisah adik beradik kembar yang terpisah selama lima belas tahun dan apabila ditemukan kembali mereka terpaksa mengenal jatidiri nusa bangsa, sejarah lama keluarga dan kebolehcerapan inter-dialog seraya memahami konteks dan sudut pandang orang lain yang berbeza daripada kita.

Saya menganggapnya sebagai karya saya yang maha penting, segenting 1515, Tuhan Manusia, atau Profesor yang berpotensi untuk dipindahkan ke medium lain iaitu pentas, siri televisyen dan filem.

Fatah dan Farah akan disirikan di media sosial di mana kami berharap ia membuka jalan kepada wacana.

Ini kerana kami percaya wacana bukan mesti terhad kepada forum, bicara, ceramah dan kuliah yang memerah kognisi tetapi boleh jadi juga memainkan emosi, estetika dan tentunya etika.

Saya tidak menafikan sudah terdapat novel grafik tempatan sebelum Fatah dan Farah seperti karya Zan Azlee iaitu “Adventures of a KL-ite in Afghanistan” (2014) atau kerja Nur Azmi iaitu Kasih dan Awang (2007) tetapi Fatah dan Farah adalah sebuah kisah bagaimana anak muda di negara ini berusaha untuk menongkah keserabutan iklim keberagamaan, sambil meleraikan isu rasisme.

Saya dengan rendah diri mengajak pembaca untuk menguliti Fatah dan Farah (secara percuma) mulai pertengahan Januari 2021 di akaun Twitter fatahdanfarah atau instagram dengan nama yang sama.