Wednesday, June 23, 2021

Susahnya pastikan ikan paling segar sampai ke pelanggan

Sejurus dituai, ikan-ikan terus disiang dan dibersihkan, dipotong mengikut citarasa pelanggan.

Other News

2020 merupakan tahun yang penuh cabaran bagi semua kerana wabak Covid-19 menyebabkan segalanya berubah wajah.

Banyak perniagaan terjejas, lingkup dan menjadi nyawa-nyawa ikan kerana aktiviti ekonomi tergendala selepas kerajaan terpaksa melakukan perintah kawalan pergerakan demi memutuskan rantaian Covid-19 pada permulaannya.

Asalnya pelan itu berjaya, tapi percaturan politik di Sabah menjadi punca wabak Covid-19 mengganas semula di Malaysia sehingga hari ini.

Wabak Covid-19 memaksa perniagaan menukar strategi dan melakukan perstrukturan semula demi bertahan di kala ekonomi merudum dan ramai yang hilang kuasa membeli kerana hilang pekerjaan.

Begitu juga dengan kami yang terlibat dengan industri penternakan ikan laut dan udang.

Demi memutuskan rantaian Covid-19 melalui penjarakan sosial, pelbagai kekangan dikemukakan kerajaan – antaranya galakan duduk di rumah, mengehadkan jumlah orang yang boleh berada di satu-satu meja, larangan berkenduri dan melakukan pesta makan besar-besaran – yang semua ini menjejaskan perniagaan restoran.

Apabila perniagaan restoran merosot, maka permintaan terhadap ikan dan udang juga merosot.

Ke manakah ikan-ikan dan udang harus dijual? Jika ikan dan udang kami tidak dituai, mereka akan terus membesar sehingga memasuki saiz yang tidak dikehendaki pasaran.

Untuk mengelakkan perkara sedemikian, kami perlu mencari pasaran baru iaitu menjual terus ke pelanggan akhir (end customer).

Wabak Covid-19 menyebabkan ramai yang mula menjual hasil laut di internet, terutamanya Facebook.

Demi menjimatkan kos, ramai yang memilih untuk menjual hasil laut yang beku (frozen).

Ini kerana hasil-hasil laut beku dapat terus disimpan dan tahan lama sekiranya jualan kurang pada hari-hari tertentu.

Menjual hasil laut beku juga memudahkan operasi jual beli.

Jika ada pelanggan menempah, hasil laut beku dapat terus dihantar selepas dikeluarkan daripada bilik sejuk, yang terkorban ialah tahap kesegaran hasil laut tersebut apabila tiba ke tangan pelanggan.

Di miefoods.my, kami bertindak sebaliknya dengan memastikan pelanggan menerima hasil laut ternakan pada tahap yang tersegar meskipun operasinya berkali ganda susah berbanding menjual hasil laut beku.

Sehari sebelum penghantaran ikan dan udang, kami akan memberikan senarai jenis ikan dan udang beserta saiz serta berat yang perlu dituai kepada sangkar ikan kami di Pulau Ketam dan kolam udang di Pasir Gudang.

Ringkasan tempahan dilakukan dengan tepat supaya proses penghantaran tidak tergendala kerana ada tempahan pelanggan yang tertinggal, tersilap memotong ikan mengikut citarasa pelanggan dan sebagainya.

Pada sebelah pagi hari penghantaran, ikan akan dituai mengikut saiz dan berat yang dikehendaki pelanggan.

Ia bukan satu kerja mudah untuk menuai ikan berdasarkan saiz yang betul.

Ia memerlukan pekerja yang betul-betul berpengalaman untuk menjala ikan mengikut saiz melalui mata secara cepat dan tepat.

Sejurus dituai, ikan-ikan terus disiang dan dibersihkan, dipotong mengikut cita rasa pelanggan dan divakum setiap ekor untuk mengekalkan kesegaran pada tahap maksima.

Kemudian, ia direndam ais dan akan dikirim secara feri ke Pelabuhan Klang serta terus  dihantar ke ibu pejabat kami di Puchong.

Bagaimana pula dengan udang yang berada di Pasir Gudang?

Kami perlu menuai udang sejurus selepas Subuh dan dihantar secara hidup dari Pasir Gudang ke ibu pejabat kami.

Setibanya di Puchong, udang akan dibersihkan dan divakum segera.

Tujuan kami membawa udang hidup ke ibu pejabat sebelum divakum adalah untuk memastikan udang berada pada tahap kesegaran tertinggi ketika ia tiba di rumah pelanggan.

Segala di atas,  ini perlu diselesaikan selewat-lewatnya sebelum jam 3 petang pada hari penghantaran.

Jika tidak, proses penghantaran tempahan ke pelanggan menjadi lebih mencabar kerana penghantar akan terpaksa berdepan dengan kesesakan lalu lintas kerana waktu pengiriman bertembungan dengan waktu pulang dari bekerja di Lembah Klang.

Begitulah susahnya untuk memastikan pelanggan kami mendapat ikan dan udang yang tersegar di hari penghantaran.

Meskipun ia amat mencabar dan kosnya lebih tinggi berbanding menjual hasil laut beku secara total, segalanya menjadi berbaloi apabila kualiti ikan dan udang kami menerima kata-kata pujian daripada pelanggan sendiri.

Perkara yang paling mencabar di dalam industri penternakan ikan dan udang ialah operasinya adalah 365 hari setahun dan 24 jam sehari.

Ia adalah satu bidang kerja yang memerlukan komitmen masa yang tinggi.

Ia amat berbeza dengan mereka yang hanya terlibat dengan jual beli hasil laut sebagai orang tengah.

Diharap coretan ini sedikit sebanyak dapat membantu para pembaca lebih menghayati usaha mereka yang terlibat dengan bidang perternakan ikan dan udang ini menempuhi cabaran untuk memastikan para pelanggan menikmati hasil laut ternakan mereka pada tahap yang tersegar seperti di miefoods.my.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles