- Iklan -
Kolum

PAP pernah mohon masuk Perikatan untuk ganti MCA

Di Malaysia, bekas ahli PAP menubuhkan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dengan logonya seperti lambang PAP dan Barisan Sosialis tetapi petir itu digantikan dengan roket.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Ada satu gambar lama Jalan Tuanku Abdul Rahman yang menunjukkan pawagam Coliseum.

Di sebuah bangunan tinggi ada papan tanda besar menunjukkan logo parti politik yang berbentuk petir di lingkungan bulatan, ia adalah lambang Parti Tindakan Rakyat (PAP), parti yang memerintah Singapura.

Gambar ini boleh dilihat di Facebook yang disiarkan dalam kumpulan peminat pandangan lama Kuala Lumpur.

Pastinya gambar itu diambil pada Pilihan Raya Umum tahun 1964 ketika mana Singapura adalah sebahagian daripada Malaysia dan PAP turut meletakkan calon di ibu negara.

Pada pilihan raya itu, PAP hanya memenangi satu kerusi iaitu di Bangsar.

Calonnya ialah Devan Nair, seorang aktivis kesatuan sekerja.

Beliau dalam hidupnya pernah menjadi presiden Singapura tetapi selepas bertelagah dengan Lee Kuan Yew, Nair berpindah ke Malaysia.

Di sini, beliau diraikan oleh A Samad Ismail yang turut pernah berkawan dan bertelagah dengan Lee.

Dalam pilihan raya umum 1964 itu, hubungan Lee dan Tunku Abdul Rahman dalam keadaan tidak baik.

Tunku marah sebab PAP masuk bertanding di semenanjung kerana menurutnya, antara janji penggabungan dengan Singapura adalah parti itu hanya berpolitik di Singapura dan tidak masuk ke semenanjung.

Tetapi bagi PAP, tindakan itu dibuat kerana banyak permintaan Singapura untuk kepentingan negeri itu tidak dilayan oleh kerajaan persekutuan.

Lagipun apa salahnya PAP bertanding di semenanjung kerana mereka sudah menjadi sebahagian daripada Malaysia.

Tambahan pula Umno mempunyai cawangan di Singapura dan terlibat dengan politik di sana.

PAP membawa gagasan Malaysian Malaysia dan ia mencabar kedudukan MCA.

Menurut satu laporan, parti itu melawan PAP dengan menyebar khabar pada pengundi Cina bahawa jika parti dari Singapura itu memenangi kawasan-kawasan yang ditandingi di Malaya, Tunku akan menggabungkan Malaysia dengan Indonesia.

Sesuatu yang tidak benar tetapi cukup menakutkan kerana Indonesia masih melancarkan konfrontasi terhadap Malaysia.

Semasa pilihan raya umum tahun 1964 itu, hanya dua parti yang mendokong gagasan Malaysia iaitu Perikatan dan PAP.

Sedangkan pembangkang yang terdiri daripada Barisan Sosialis dan PAS menolaknya.

Asas pada penubuhan Malaysia datangnya daripada PAP yang sejak penubuhannya meletakkan wawasannya bahawa Sungapura mesti bergabung dengan Malaya.

Maka akhirnya Malaysia ditubuhkan bersama oleh Perikatan, PAP, Perikatan Sarawak dan Perikatan Sabah.

Pada tahun 1963 ketika penubuhan Malaysia, ia merupakan kemuncak hubungan baik antara Tunku dan Lee.

Katanya, kalau Kuala Lumpur adalah Washington bagi Malaysia, maka Singapura merupakan New York bagi negara ini.

Selepas penubuhan Malaysia, PAP mencadangkan supaya parti itu diterima masuk ke dalam Perikatan bagi mewakili orang Cina di negara ini.

Ini kerana sebagai parti yang memerintah Singapura, ia mewakili lebih banyak orang Cina berbanding MCA.

Tunku marah dengan cadangan ini kerana beliau sama sekali tidak akan mengkhianati MCA yang berjuang bersama dengan Umno untuk menuntut kemerdekaan sejak tahun 1955.

Walaupun PAP adalah arkitek Malaysia tetapi tanpa MCA, Malaya tidak akan mencapai kemerdekaan.

PAP dan MCA adalah berbeza.

MCA adalah parti orang Cina yang menerima kepimpinan Melayu dan PAP adalah parti berbilang kaum tetapi didominasi oleh orang Cina.

Salah seorang pengasas bersama PAP ialah A Samad Ismail, seorang yang pernah menjadi sahabat baik Lee.

Antara perbincangan bagi penubuhan PAP dilakukan di pejabat akhbar Utusan Melayu di Singapura.

Ketika itu Samad adalah pengarang berita Utusan Melayu dan Lee merupakan peguam bagi pekerja akhbar itu.

Samad adalah pengasas dan ketua pada Gerakan Rakyat Muda (Geram), sebuah badan politik kiri anak-anak muda yang bergabung di bawah Pusat Tenaga Rakyat (Putera) pimpinan Burhanuddin Al-Helmy sebelum Malaya merdeka.

Dua orang lagi wartawan Utusan Melayu yang menjadi aktivis PAP ialah Rahim Ishak dan Othman Wok yang kemudiannya menjadi anggota Kabinet Singapura.

Dalam pilihan raya di pulau itu, PAP mampu mengalahkan Umno di kawasan Melayu kerana parti itu dikatakan memberikan perkhidmatan lebih baik.

Logo PAP adalah petir yang berwarna merah dengan lingkungan bulatan biru.

Parti itu juga dikenali sebagai “Petir” sebagai singkatan kepada Parti Tindakan Rakyat.

Selalunya warna merah itu melambangkan sosialisme dan biru adalah demokrasi untuk menandakan ideologi sosialisme demokrasi yang dipegang oleh parti itu.

Ia merupakan parti kiri yang anti-komunis.

Tujuan parti itu ditubuhkan dan mendapat sokongan pentadbir kolonial British adalah untuk menghalang Singapura daripada jatuh ke tangan Parti Komunis Malaya (PKM) yang amat berpengaruh pada tahun 1960-an.

Jadi untuk menghalang golongan kiri daripada menyokong PKM, sebuah parti kiri yang anti-komunis perlu ditubuhkan.

Parti yang menjadi pencabar PAP ialah Barisan Sosialis yang asalnya adalah sayap kiri parti itu sendiri.

Logonya adalah bintang merah dengan lingkaran berwarna biru seperti lambang PAP.

Bintang merah adalah lambang yang biasa digunakan oleh gerakan kiri.

Selepas pemisahan Singapura dari Malaysia, PAP tidak boleh lagi bergerak di negara ini.

Begitu juga Umno dan PAS di Singapura.

Maka ahli-ahli Umno di sana menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Singapura (PKMS) dan bekas ahli PAS mewjudkan Angkatan Islam Singapura (AIS).

Di Malaysia, bekas ahli PAP menubuhkan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dengan logonya seperti lambang PAP dan Barisan Sosialis tetapi petir itu digantikan dengan roket.

Pada tahun 1960, banyak orang teruja dengan pelancaran kapal angkasa pertama iaitu Sputnik oleh Soviet Union yang melambangkan sains, teknologi dan kemajuan.

Lim Kit Siang menjelajah ke seluruh pantai barat untuk membina partinya.

Antara negeri yang memberi sambutan adalah Perak.

Tetapi di Perak terdapat sebuah parti kiri yang sudah lama bertapak iaitu Parti Progresif Perak (PPP), kemudian ditukar namanya menjadi Parti Progresif Rakyat dan kini dikenali sebagai Parti Progresif Penduduk (myPPP).

Tetapi di Perak, DAP mampu memperoleh ahli-ahli dari kalangan orang Melayu yang antaranya diketengahkan sebagai calon dalam pilihan raya.

Apabila Parti Buruh Malaya dibatalkan pendaftarannya, sebahagian ahlinya di Selangor menyertai DAP.

Tetapi DAP menghadapi persaingan dengan Parti Gerakan yang terdiri daripada bekas ahli Parti Buruh dan MCA.

Namun, walaupun undi pembangkang berpecah antara Gerakan dan DAP, Perikatan hampir terlepas Selangor dalam pilihan raya tahun 1969.

DAP memenangi kerusi-kerusi Kuala Lumpur dan Gerakan berjaya menjadi kerajaan Pulau Pinang.

Ketika penubuhan Barisan Nasional (BN) pada tahun 1974, Tun Abdul Razak Hussein mempelawa semua parti politik menyertainya.

Gerakan dan PPP menerimanya tetapi DAP dan Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM) menolaknya.

Pada tahun 1978, DAP Perak menghadapi krisis.

Ada pemimpin Melayu DAP keluar parti.

Sementara berlaku perpecahan dengan sebahagian ahlinya pula menubuhkan Parti Sosialis Demokratik (SDP) yang berlogokan obor merah dilingkari bulatan biru.

SDP kemudian bertukar namanya kepada Parti Sepakat Demokratik.

DAP tiada masalah bekerjasama dengan PAS seperti yang terbukti semasa Pakatan Rakyat dahulu.

Ia juga tidak ada masalah bekerjasama dengan Umno seperti yang dinyatakannya baru-baru ini semasa ada krisis antara Umno dan Bersatu.

Tetapi Umno pimpinan Ahmad Zahid Hamidi tidak sama dengan Umno pimpinan Tunku.

Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin tidak sama dengan Perikatan pimpinan Tunku.

Perbezaan Umno dan DAP dahulu hanyalah soal fahaman politik.

Tetapi sekarang isu yang dihadapi oleh Umno dan PN adalah soal integriti dan korupsi.

Jika DAP dan parti-parti Pakatan Harapan (PH) mahu kekal sebagai parti berprinsip, mereka wajar menjauhkan diri daripada Umno dan PN.