- Iklan -
Kolum

Tongkat dan tasbih

'Aku berkisah maka aku wujud'.

Hishamuddin Rais
8 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Aku menulis dengan tujuan merakam sejarah. Aku menyangkal diktum yang mengatakan sejarah itu ditulis oleh mereka yang menang.

Untuk aku sejarah itu bukan dari kaca mata sosok yang menang. Sejarah itu dari kaca mata sosok yang menulis sejarah. Kalau menang tapi tak merakam, tak menulis, tidak ada makna.

Aku juga percaya sejarah itu sendiri ada sejarahnya. Silapnya kita selalu mengingati sejarah melalui tarikh dan babak besar.

Sebenarnya di dalam babak besar itu ada babak kecil terselit. Dari kisah-kisah kecil terselit inilah terkumpul untuk menjadi kisah besar. Yang mikro akan menjadi meta.

Aku tidak mahu kisah-kisah yang melintas dalam hidup aku hilang dari ingatan.

Sebenarnya dalam hidup aku, tak ada kisah kecil. Semua kisah yang aku lintasi memiliki watak dan peranan.

Pengumpulan jumlah kisah-kisah inilah menjadikan aku wujud. Ingatan yang terpahat ini aku bawa ke hulu, ke hilir.

Aku kendong, tidak aku benarkan tercicir. Tanpa ingatan ini hidup aku kosong.

Rene Descartes (1596 -1650) berkata: Aku berfikir maka aku wujud.

Albert Camus (1913-1960) berkata: Aku bangun melawan maka aku wujud.

Hishamuddin Rais berkata: Aku berkisah maka aku wujud.

Pada tahun 1996 aku baru pulang selepas 20 tahun berkelana.

Di satu petang aku mendapat panggilan dari kawan lama aku Adi Satria yang bekerja dengan sebuah syarikat iklan.

Adi memberi tahu dia mendapat panggilan telefon dari Ahmad Zahid Hamidi yang juga kawan kami ketika bersama terlibat aktif dalam Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM).

Zahid ketika itu adalah orang politik. Zahid baru menang ketua Pemuda Umno, beberapa tahun selepas itu apabila Pak Lah mengambil alih jawatan PM dari Mahathir, dilantik menjadi timbalan menteri penerangan.

Zahid meminta Adi berjumpa, berbincang dan menilai cadangan dari sosok yang bernama Zainuddin Zimbo.

Adi mempelawa aku datang sama. Aku yang baru pulang dari luar negara tidak tahu siapa Zainuddin ini.

Aku tak dapat bezakan Zainuddin Zimbo dengan sebuku sabun basuh. Tapi aku bersedia ikut serta kerana aku nak meluaskan kenalan kerana aku baru kembali menjadi Melayu selepas 20 tahun lesap.

Malam itu aku ajak kenalan baru aku Halim Sabir untuk ikut sama. Menurut Halim, si Zainuddin ini “orang wayang”.

Kami bertemu di tepi kolam renang MiCasa Ampang. Sambil makan-makan dan minum kopi si Zainuddin memperkenalkan diri.

Dia berkisah yang dia aktif dalam persatuan seniman. Dia juga ada terlibat dalam hal filem dan televisyen. Mendengar ini aku menjadi selesa.

“Pembuat program drama di RTM dapat bayaran lambat. Penerbit dan pengarah susah nak roll. Ada baik kalau kita buat satu kompeni. Beli program ini, bayar cepat. Kemudian RTM bayar kita”.

Baru aku faham dia nak ajak kami meniaga. Aku melopong mendengar. Memang aku terlatih dalam filem dan video tetapi tidak dalam hal perniagaan.

Di London aku pernah kerja dengan BBC buat dokumentari. Meniaga ini bukan jalur aku.

“Kita beli murah sikit dari harga RTM. Tapi kita bayar cepat,” kata Zainuddin.

Ha ha ha. Aku nampak dengan jelas cadangan ini adalah perniagaan atas angin. Sah dan afdal ini cara Bumiputera meniaga. Bukan menjadi pembuat tapi jadi broker. Jadi tukang kutip sewa.

Terlintas dalam kepala aku jika kawan-kawan aku di London tahu aku terlibat dengan perniagaan sedemikian mereka akan hantar aku ke Auschwitz, Poland untuk di”gas”.

“Encik Isham ada pakai apa-apa ke?” Zainuddin memandang muka aku.

Soalan ini menusuk. Aku jadi gelabah kerana mungkin si Zainuddin ini ternampak aku tidak memakai seluar dalam dan stokin.

Sebenarnya semenjak aku meninggalkan Eropah aku tidak lagi memakai seluar dalam dan stokin.

20 tahun dua perkara ini dipaksakan ke badan aku kerana cuaca.

Sesampai sahaja ke bumi tropika ini aku terus mengucapkan selamat tinggal kepada seluar dalam dan stokin.

“Ada tengok dokumentari hal binatang.. di RTM.. TV3?”

Zainuddin kembali membincangkan agenda yang seharusnya dibincangkan.

Kerisauan aku tentang seluar dalam hilang.

“Dalam televisyen mana sekalipun kita tak pernah tengok gajah beranak. Tak pernah dapat difilemkan. Tahu pasal apa?”

Aku memandang Adi. Halim memandang aku. Kami menggelengkan kepala. Pada hemat aku dia mahu membuat rancangan dokumentari binatang untuk RTM.

Justeru inilah sebab dia menghubungi Zahid. Mungkin dokumentari pertama tentang gajah beranak. Untuk aku ini menarik.

“Pasal apa…tau tak? Uri gajah susah nak jumpa. Siapa dapat uri gajah dia akan jadi kebal. Di Pahang ada bomoh, dia ada uri gajah. Dia kebal, saya ada jumpa bomoh ini”.

Wow! Macam mana perbualan ini melencong ke arah uri gajah aku tak faham.

Tapi aku pun jadi macam gajah membuka telinga mahu mendengar apa seterusnya.

“Tahu kenapa Saddam Hussein tak dapat dikalahkan oleh Amerika?”

Kini Zainuddin beralih pula ke dunia politik antarabangsa. Untuk aku ini makin menarik.

“Saddam ada tongkat. Dia ada simpan tongkat Nabi Musa. Tu pasal dia berani lawan Amerika”.

Lalu aku teringat filem 10 Commandments (1956) atau 10 Rukun di mana Charlton Heston jadi Nabi Musa dengan tongkatnya yang boleh jadi ular.

Aku tak menyangka tongkat milik Nabi Musa ini ada disimpan oleh Saddam. Semasa aku di Baghdad aku tidak pernah mendengar surah ini.

“Presiden Sukarno pun ada tongkat ini”.

Cerita tongkat Sukarno ini memang selalu aku dengar. Masa aku sekolah menengah di zaman konfrontasi (1962-1966) aku sudah mendengar kisah tongkat Sukarno.

Presiden Sukarno ini jadi hebat kerana kuasa dari tongkatnya. Malah kes Mona Fandey pada tahun 1993 pun ada terlibat tongkat Bung Karno.

“Tongkat Nabi Musa dipotong tiga. Satu bahagian ada dalam simpanan Saddam. Satu bahagian pada Sukarno dan satu lagi ada di sini,” Zainuddin menerangkan duduk perkara dengan jelas sambil tangannya mencapai cawan kopi.

Untuk aku bila dia berkata “ada di sini” maknanya ada pada Zainuddin Zimbo. Hebat.

Nampaknya aku sedang berkenalan dengan sosok pemilik tongkat Nabi Musa.

“Ada di KL ni. Kalau nak boleh diurus”.

Kami bertiga berpandangan. Tidak tahu apa yang wajib kami suarakan. Hanya menunggu dia menyambung surah.

“Ada di KL ni. Tersimpan di KL. Ada orang yang simpan”. Opss…

Tongkat Nabi Musa ini bukan ada pada Zainuddin sendiri. Aku tersilap.

Kepala aku mula berfikir tongkat ini ada pada Mahathir ke? Ada pada imam Masjid Negara ke? Atau tersimpan pada Tok Guru Nik Aziz di Kelantan.

“Ada pada kawan saya. Dia bouncer di Fire Disco. Boleh jumpa kalau nak. Boleh kerat kalau nak”.

Aku tersedak. Air kopi terkeluar dari mulut aku bila mendengar bouncer Fire Disco disebut.

Tongkat ini tersimpan pada Saddam Hussein masuk akal, kerana dia pemimpin yang berani dari Iraq, negara Arab. Nabi Musa berasal dari Mesir tak jauh dari Iraq.

Dalam simpanan Sukarno juga masuk akal, dia pemimpin negara Islam terbesar di dunia.

Tapi apa pertalian tongkat Nabi Musa ini dengan bouncer Fire Disco? Yang ini aku tak boleh tahan.

Mulut aku seperti biasa nak mencarut. Tapi aku tahan.

Aku membenamkan pegangan agnostik aku. Aku bercakap dengan diri aku: “Isham kamu bukan lagi di London atau di Brussels. Kamu di MiCasa Ampang”.

Kini simpati aku tertumpu kepada Adi. Dia wajib memberi laporan tentang Zainuddin ini kepada Zahid.

Tapi apa pertalian tongkat Nabi Musa ini dengan bouncer Fire Disco? Yang ini aku tak boleh tahan.

“Halim… Fire Disco ini di mana?” Adi bertanya ketika kami berjalan pulang.

Belum sempat Halim menjawab kami bertiga terbarai ketawa terbahak-bahak.

Malam itu di MiCasa aku sedar setelah 20 tahun aku tidak dikelilingi oleh kisah hantu dan mistik kini aku kembali ke tempat asal usul.

Aku tidak dapat melarikan diri dari kisah mistik, hantu dan polong.

Masa berjalan. Bulan berganti bulan.

Aku ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 10 April 2001. Dua bulan kemudian aku dihantar ke Kem Tahanan Kamunting (Kemta).

Shaari Sungip, Ezam Mohd Nor, Tian Chua dan aku dimasukkan ke dalam satu van penjara dibawa ke Kamunting.

Kami dipindahkan dari “bilik sulit” yang entah di mana di Kuala Lumpur. Tiga minggu kemudian menyusul Badrul Amin dan Lokman Adam.

Kawasan Kemta seluas 300 ekar ini menjadi kampung baru aku.

Ini kawasan penjara persediaan untuk banduan, biasanya bawah setahun sebelum dibebaskan. Banduan diberi latihan untuk memulakan kehidupan baru.

Ada sekolah menjahit, pertanian, diajar berkebun dan bertukang. Justeru bilik tahanan politik dikelilingi kebun sayur dan ladang penternakan lembu. Kami semua dipisah-pisahkan.

Badrul dan Lokman di blok 3A. Ezam dan Shaari blok 4A. Tian dan aku blok 4B. Tempat tinggal kami luas dan lumayan.

Yang potong stim ialah dinding zink dan pagar kawat berduri macam dalam filem Stalag 17 yang di buat oleh Billy Wilder pada 1953.

Pada November 2001, Ramadan sampai.

Pertama kalinya kami berenam dapat berkumpul di blok 4A untuk berbuka puasa dan sembahyang tarawih. Imam kami ialah Saari Sungip a.k.a Pak Abu.

Lepas tarawih ada sedikit masa untuk bersembang sebelum Cik Gu datang dengan lampu picit membawa kami pulang ke blok masing-masing.

Cik Gu ialah istilah untuk warden yang aku rasa muncul dari budaya Pusat Serenti.

Kami tahanan politik hanya menerima pakai.

Seminggu selepas berpuasa kami semakin berkenal rapat.

Sebenarnya aku tak berapa kenal dengan Badrul, Pak Abu, Lokman, Ezam mau pun Tian.

Mereka adalah pemimpin PKR. Aku kenal dengan Pak Abu dan Tian kerana kami menyusun “Himpunan 100,000 Rakyat” di Jalan Kebun, Klang.

Di Kamunting pada bulan Ramadan tahun 2001 menjadikan kami mesra.

Ketika di Kamunting aku anggap Ezam anggap sebagai “kepala”. Ini kerana Ezam memiliki hubungan rapat dengan Anwar Ibrahim. Ezam ialah bekas setiausaha politik kepada Anwar semasa memegang timbalan perdana menteri merangkap menteri kewangan.

Ezam adalah setiausaha politik bagi Anwar di kementerian kewangan.

Minggu kedua berpuasa kami sudah puas berkisah dan berbincang hal politik.

Aku sendiri gian nak tahu lebih dalam lagi tentang kenapa Anwar dibuang dan apa yang terjadi di belakang tabir.

Satu malam peluang ini sampai. Lepas tarawih sambil minum kopi aku merapati Ezam. Kami jauh dari yang lain. Aku bertanya dan nak dengar jawapan dari tuan empunya mulut.

“Semua konspirasi. Anwar tak gila nak jadi PM. Kalau dia gila nak jadi PM, dia ikut, tunduk dan dengar apa kata Mahathir. Beri apa Mahathir nak. Selamatkan anak Mahathir”. Penerangan dan keyakinan Ezam ini jelas. Aku juga yakin Anwar dizalimi. Aku amat percaya wujudnya konspirasi.

“Kau dulu lari ke Jakarta”. Soalan aku menyusul.

“Ramai di sana. Saifuddin Nasution. Rahim Ghouse. Kami duduk di Jakarta. Team Anwar terus bergerak. Di Jakarta aku tengok video Anwar berpidato. Aku belajar pidato…awalnya ikut-ikut. tak pandai”.

Baru aku sedar Ezam ini berucap sebijik macam Anwar. Rupa-rupanya dia berlatih berucap cara Anwar di Jakarta. Hebat sosok yang bernama Ezam Mohd Nor ini.

“Kami dapat sokongan dari Jakarta. Kawan-kawan Anwar ramai. Menteri ada. Habibi sokong. Gus Dur sokong. Bapak bisnes ada beri sokongan. Mereka anggap Mahathir gila kuasa. Mereka tahu kami di Jakarta. Polis Jakarta tahu kami di sana”.

Bila aku mendengar nama Habibi, nama Gus Dur hati aku jadi kembang senang.

Bayangkan sokongan dari “gedebe” Indonesia. Nama-nama yang disebut oleh Ezam bukan kecik anak.

Bila mereka anggap Mahathir gila kuasa maka aku yakin mereka akan melakukan sesuatu untuk membebaskan Anwar. Bila Anwar bebas, kami di Kamunting pun akan bebas sama.

Inilah harapan sosok yang terpenjara.

“Ada satu kali aku dibawa jumpa kiyai. Orang alim ini. Sebelum aku sampai dia dah tahu niat aku. Dia tahu aku nak bebaskan Anwar. Dia boleh baca niat kita. Tak perlu kita beri tahu. Dia ramal Anwar akan jadi pemimpin besar”.

Maklumat dari Ezam ini memang aku cari-cari. Aku amat suka kalau dapat berjumpa tok bomoh atau kiyai yang dapat menilik nasib.

Ketika itu jika aku ada peluang jumpa tok bomoh aku hanya ada satu permintaan. Aku nak tahu berapa lama Mahathir akan simpan aku di Kamunting.

“Kiyai ini ambil beberapa biji telur ayam dia bungkus dalam kain. Tiba-tiba tasbih muncul dari kain itu”.

“Tasbih betul?” Aku bertanya.

“Batu hijau. Tasbih biasa. 99 biji. Aku ambil untuk wirid. Ini di Jakarta. Ada lagi cerita tasbih ni. Di Mekah ketika aku umrah”. Surah Mat Ezam makin menarik.

“Satu malam ketika aku duduk di hadapan Kaabah tiba-tiba bahu aku dicuit. Aku toleh ke belakang. Seorang pakcik tua beri salam”.

Babak jumpa orang tua di depan Kaabah ini selalu aku dengar.

Sama banyaknya seperti aku mendengar kisah polong dan hantu raya. Selalunya aku dengar cerita tangan kedua. Malam itu di Kamunting aku dengar dari mulut tuan empunya badan.

“Anak nama Ezam kan? Kerja dengan Anwar? Alhamdulillah. Sama-sama kita doakan Anwar Ibrahim sihat. Dia difitnah. Ini depan Kaabah ni”. Kini politik Anwar mula berikat dengan Kaabah.

“Kemudian pakcik tua ini mengeluarkan batu”. Ezam meneruskan cerita. Aku dah mula tak sabar nak tahu hal batu ini.

“Pakcik ini menggosok-gosok batu ini. Tiba-tiba bertukar menjadi biji-biji tasbih hijau. Dia hulur pada aku. Aku ambil. Dia berkata berdoalah agar Anwar bebas. Aku belek-belek tasbih. Bila aku menoleh sekali lagi ke belakang pakcik ini dah lesap. Orang ramai”.

Aku yang mendengar surah ini terundur ke belakang. Yang berkisah di hadapan muka aku ini ialah bekas setiausaha politik Anwar. Bukan kecik anak.

Agnostik aku tercabar. Ezam mendapat dua kali hadiah tasbih.

Satu di Jakarta. Satu di hadapan Kaabah. Tasbih ini istimewa atau Mat Ezam yang istimewa? Kalau berdoa dengan tasbih ini mungkin bebas.

“Ezam… tasbih ini di mana?”, aku menyoal.

“Ada aku pakai. Tapi tak bawa ke sini”.

Bila aku pulang ke bilik sel aku di blok 4B aku teringat Zainuddin Zimbo dan tongkat Nabi Musa.

Aku yang mendengar surah ini terundur ke belakang. Yang berkisah di hadapan muka aku ini ialah bekas setiausaha politik Anwar. Bukan kecik anak.

Aku tersenyum dan memerhati ke setiap penjuru bilik.

Mana tahu kalau kalau ada pakcik tua datang membawa telur.

Sayang sekali malam itu yang aku nampak hanya Tian Chua yang sedang terbaring di atas katil. Agnostik aku sampai kembali.

Epilog:

Dalam penjara ada tiga perkara yang akan kita temui.

Pertama: Majoriti banduan dalam penjara mengaku tidak bersalah.

Kedua: Sesiapa yang di penjara akan percaya apa saja surah dan hikayat yang berkemungkinan membawa kepada pembebasan.

Ketiga: Melepaskan diri dari penjara macam filem Great Escape (1963) hanya belaku di Holywood.