Saturday, October 16, 2021

Mengenang Jose Rizal

Walaupun seorang doktor mata beliau pernah juga menulis sejumlah esei dan puisi.

Other News

Kes harian Covid-19 lepasi 7,500

3 killed, 7 injured in Bali quake

New cases hover at 7,500

91.4% dewasa lengkap divaksinasi

91.4% of adults fully vaccinated

Disember ini ada seorang tokoh yang sedap untuk kita kenangi.

Dalam tahun 2012, Dr Mahathir Mohamad pernah menyatakan salah satu kekuatan seseorang doktor perubatan apabila menjadi seorang pemimpin bangsa ialah kebolehan mereka mengesani gejala penyakit dan menyediakan penawar untuk merawatnya.

Dr Mahathir menamakan karya Jose Rizal iaitu Noli Me Tangere sebagai satu ubat untuk bangsa Melayu Filipina, yang mana karya itu terilham daripada penggalan injil mengenai masalah sosial atau kanser dalam masyarakat.

Nama penuh Jose Rizal adalah Jose Protasio Mercado Rizal y Alonso Realonda (1861-1896), pengarang besar Filipina yang menghasilkan dua buah novel iaitu Noli Me Tangere (Jangan Usik Daku), dan El Filibusterismo (Sang Subversif).

Walaupun seorang doktor mata beliau pernah juga menulis sejumlah esei dan puisi.

Malah Rizal juga seorang pelukis, penukang arca dan mahir kayu yang handal.

Kehebatan Rizal tidak berhenti di situ, beliau malah direkodkan boleh bertutur dalam 22 buah bahasa, menjadikan beliau pemikir yang sukar ditandingi.

Rizal turut memainkan peranan penting memperjuangkan kemerdekaan bangsa, di hujung penjajahan Sepanyol khususnya menerusi gerakan politik beliau “Filipino Propaganda Movement”.

Karya-karya Rizal, kebanyakannya menyentuh tiga topik yang saling berkait iaitu; pertamanya, perihal masyarakat di bawah penjajahan; kedua, kritikan beliau terhadap penguasaan penjajah dalam bidang ilmu pengetahuan; dan terakhir, keperluan untuk bebas atau merdeka.

Untuk memahami sumbangan Rizal dalam tiga aspek di atas, pembaca boleh misalnya melihat tulisan Syed Farid Alatas (2017) dengan judul ‘Jose Rizal (1861-1896)’.

Rizal tidak hanya mensasarkan penjajah Sepanyol sebagai penjahat dan penindas; akan tetapi Rizal turut menyorot mereka yang bersekongkol dengan penjajah iaitu kelas agamawan, dalam konteks Filipina – Gereja Katolik.

Menurut Rizal, penindasan tidak akan menjadi satu yang pandemik jika tidak diizin oleh kaum paderi ini.

Malah Rizal dengan yakin sering berhujah yang Filipina jauh lebih teratur, maju dan berperadaban sebelum ketibaan penjajah.

Dalam erti kata lain, dakwaan Filipina mundur dan ketinggalan oleh Sepanyol itu adalah berakibat daripada faktor penjajah itu sendiri; bukannya datang daripada sebab musabab bangsa Filipina.

Dalam Noli Me Tangere, Rizal memaparkan bagaimana rancangan Crisóstomo Ibarra untuk membina sekolah yang bebas daripada pengaruh agama kerana agama ditunggang dengan hebatnya untuk mengabsahkan penjajahan Sepanyol.

Kaum agamawan malah menjadi kelompok yang berusaha menggagalkan reformasi yang cuba ditawarkan oleh watak Ibarra ini.

Malah Rizal dengan yakin sering berhujah yang Filipina jauh lebih teratur, maju dan berperadaban sebelum ketibaan penjajah.

Dalam tulisan-tulisannya, Rizal selalu memerangi tuduhan atau dakwaan bahawa bangsa Melayu Filipina ini malas atau tidak endah.

Menurut Rizal, ejen sebenar yang memomokkan bangsa Filipina sebagai pemalas dan cuai adalah kelas agamawan itu sendiri.

Selain itu Rizal juga memperlihatkan bagaimana orang miskin yang melarat dan sukar mencari rezeki terpaksa pula melakukan korupsi menyogok orang kaya dan kelas atasan agar diberi ruang untuk bernafas.

Rizal bagaimanapun tidak hanya melihat bahana buruk penjajahan Sepanyol, tetapi juga melihat “positive function of oppression” di mana tekanan dan kezaliman terhadap bangsa Filipina telah membantu membangkitkan kesedaran dan seterusnya keinginan untuk berubah.

Seperti yang disebutkan lebih awal, salah satu usaha Rizal adalah untuk menyanggah mitos peribumi malas yang diterapkan oleh penjajah Sepanyol.

Untuk melakukan ini Rizal menunjukkan bagaimana orang Filipina terhempuk sehingga tidak boleh bangun.

Menurut Rizal adalah tidak adil menuduhkan peribumi Filipina sebagai pemalas jika fakta sejarah sedia ada menunjukkan mereka ditindas di mana tanah kerjaan mereka dirampas, sebarang usaha untuk membangunkannya diperah dengan cukai tinggi, terdapat perhambaan dan perburuhan tanpa upah yang mana menjadi sebab musabab mengapa bangsa Filipina memilih untuk tidak terjebak dalam semua kancah ini.

Dalam erti kata lain “kemalasan” atau “kecuaian” bangsa itu jika benar ada adalah berakibatkan kesan kemunduran yang dimulai atau berpunca daripada penjajah itu sendiri.

Rizal pernah menghujahkan malas itu bererti “tiada minat untuk bekerja, kekontangan aktiviti”.

Rizal menegaskan malas yang dijadikan peluru oleh Sepanyol itu sebetulnya terdapat penerangannya.

Pertama, ia bukanlah malas tetapi bangsa Filipina dengan beban cuaca tropika dalam banyak keadaan memilih untuk bekerja pada waktu yang munasabah dan sesuai, seperti mana orang di Barat juga agak terkekang dan terhad dalam pekerjaan mereka ketika kedinginan melampau berlaku.

Noli Me Tangere

Kedua, malas itu terjadi ekoran tindak-tanduk penjajah itu sendiri, seperti mana yang telah dijelaskan sebelumnya.

Ini bermaksud Rizal menegaskan malas ialah apabila tiada minat bekerja atau kekontangan aktiviti, akan tetapi jika ia disebabkan oleh cuaca dan keadaan ekstrem yang dipaksakan atas mereka, maka ia tidak boleh dianggap malas; malah dalam banyak keadaan ia adalah penindasan yang dipaksakan.

Rizal percaya bangsa Filipina ialah bangsa maritim yang berjaya dan cemerlang sebelum penjajah tiba.

Malah bangsa Filipina melakukan pelbagai ciptaan dan inovasi.

Akan tetapi perang, keganasan, dan bencana alam sering terjadi menyebabkan bangsa Filipina terperosok dalam.

Ini bererti kemalasan adalah akibat daripada penjajahan, bukan sebab kepada penjajahan.

Dalam banyak keadaan, Noli Me Tangere menjadi sebuah karya berapi kerana ia mendorong bangsa Melayu Filipina agar melawan dan bukan menyerah.

Terdapat satu bahagian daripada novel itu yang amat saya ingat setiap kali mengulang bacanya.

Ia adalah apabila watak Elias mengingatkan bahawa kekuasaan pemerintah tidak berlaku jika rakyat tidak menyerah sahaja:

“Suatu kekuasaan yang sewenang-wenang hanya berguna, jika rakyatnya terdiri daripada budak-budak belian, jika tidak ada gua-gua di gunung-gunung, jika penguasa mampu menempatkan seorang serdadu di belakang tiap-tiap batang pohon dan jika dalam tubuh budak-budak itu hanya ada perut dan isi perut saja.

Tetapi bilamana seorang yang nekad, yang berjuang untuk hidupnya itu merasakan tangannya kaku, hatinya memukul-mukul dan seluruh tubuhnya penuh empedu, mampukah sewenang-wenangan memadamkan kobaran api yang disirami minyak terus-menerus?”

Perenggan di atas jelas sekali adalah hasutan untuk menggempur kuasa.

Meskipun bangsa Filipina akhirnya bebas daripada penjajah, sepertimana kita juga di Tanah Melayu, rakyat dan murbawan tetap kemudian ditakluk dan dilindas oleh kuasa.

Terdapat banyak persamaan antara apa yang diutarakan oleh Rizal dengan nasib kita.

Agamawan akhirnya berkuku bersama-sama kuasa kepolisian, tuan tanah, dan juga kaum bangsawan.

Kita tidak melawan.

Rizal dijatuhkan hukuman mati oleh tentera Sepanyol secara tembak berhadapan pada 30 Disember 1896.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles