Tuesday, June 22, 2021

Akhirnya krisis kesihatan menjadi krisis sosial

Selepas krisis sosial yang akan mendatangkan banyak penderitaan, ia akan disusuli kembali dengan krisis kesihatan semula.

Other News

Kisah-kisah orang membunuh diri kerana tidak berupaya menghadapi tekanan akibat keadaan ekonomi ekoran Covid-19 ini adalah sebahagian daripada krisis sosial.

Begitu juga dengan peningkatan perceraian, keganasan rumah tangga dan jenayah. Akhirnya krisis kesihatan melalui empat proses yang sampai kepada krisis sosial.

Mungkin istilah krisis ini terlalu berat. Boleh jadi ia belum boleh disebut sebagai krisis. Umpamanya, apa yang dilalui oleh negara ini belum lagi boleh disebut sebagai krisis kesihatan kerana ia masih dapat ditangani oleh pihak berkuasa.

Begitu juga dengan krisis ekonomi dan politik. Tetapi apa yang hendak disebut di sini ialah, keadaan negara ini tertekan daripada biasa.

Dari awal lagi apabila ancaman Covid-19 mula muncul sebagai krisis kesihatan pada permulaan tahun ini disebut bahawa gelombang ini akan melalui empat proses.

Daripada krisis kesihatan kepada krisis ekonomi, diikuti dengan krisis politik dan penghujungnya ialah krisis sosial.

Malaysia sudah melalui keempat-empat proses ini. Walaupun pada mulanya ancaman Covid-19 ini dapat dikawal dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diperkenalkan tetapi kesan ekonominya amat besar.

Usaha untuk memulihkan ekonomi masih sukar untuk dilakukan kerana suasana tidak dapat kembali pada keadaan sebelum adanya ancaman Covid-19.

Krisis ekonomi ini membawa kepada krisis politik. Ketidakupayaan kerajaan memulihkan keadaan ekonomi membawa kepada rasa tidak puas hati rakyat dan keadaan ini menyumbang kepada krisis politik.

Ketidakstabilan suasana politik ini pula menarik tumpuan ahli-ahli politik daripada penyelesaian jitu kepada masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat.

Di sinilah berlakunya krisis sosial. Tetapi apakah selepas krisis sosial ini?

Ia tidak berkesudahan di sini. Gelombang ini akan berulang dan berterusan.

Selepas krisis sosial yang akan mendatangkan banyak penderitaan, ia akan disusuli kembali dengan krisis kesihatan semula.

Selepas krisis kesihatan, seperti yang dilalui sebelum ini, ia diikuti dengan krisis ekonomi yang lebih parah, disusuli pula dengan krisis politik lebih buruk dan kembali lagi pada krisis sosial pusingan kedua.

Kitaran ini hanya dapat diputuskan sekiranya salah satu daripada krisis ini dapat dihentikan.

Umpamanya jika krisis kesihatan ini dapat diatasi dengan adanya vaksin, maka ia akan menghalang krisis ekonomi.

Ataupun krisis ekonomi dapat diatasi dengan memperkenalkan kerangka ekonomi baru tanpa sektor pelancongan dan pengangkutan, maka keadaan menjadi lebih baik dan ia pula tidak membawa kepada krisis politik.

Tetapi paling mudah ialah mengatasi krisis politik dengan mewujudkan kestabilan dan integriti, maka ia boleh menangani krisis sosial.

Untuk mengatasi krisis sosial, ia memerlukan azam politik yang besar serta melibatkan program menyeluruh.

Tetapi melihat keadaan negara sekarang, tiada tanda-tanda bahawa mana-mana krisis itu dapat diatasi. Krisis politik umpamanya belum dapat dilihat penghujungnya.

Tahun 2020 adalah suatu yang unik bagi negara ini.

Sememangnya Covid-19 itu adalah unik bukan saja bagi Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.

Tetapi Malaysia menghadapi keadaan politik yang sebelum ini tidak pernah berlaku.

Ini kerana pembukaan tahun ini menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir dengan persediaan menghadapi Covid-19 yang awalnya belum diisytiharkan sebagai pandemik.

Sistem kesihatan Malaysia sudah bersedia dan krisis kesihatan belum lagi kelihatan.

Tetapi apabila kerajaan PH tumbang dan digantikan dengan Perikatan Nasional (PN), tercetuslah krisis politik.

Pada waktu sama, Covid-19 sudah mula menjadi krisis kesihatan.

Dari satu segi, di Malaysia, krisis politik dan krisis kesihatan datang serentak.

Sedangkan kalau dari segi proses, krisis kesihatan membawa kepada krisis ekonomi dahulu sebelum krisis politik.

Kerajaan baru berusaha mengatasi krisis kesihatan yang pada awalnya dapat dikawal tetapi kesan PKP selama tiga bulan terhadap ekonomi amat besar.

Sementara krisis politik berterusan hingga ke Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Krisis politik ini membawa pula kepada gelombang ketiga Covid-19 yang merupakan suatu krisis keihatan.

Di penghujung tahun ini, keadaan ekonomi masih berada dalam keadaan sukar.

Maka keadaan pada tahun 2021 tidaklah sesuatu yang lebih cerah daripada tahun ini.

Vaksin yang akan diperkenalkan akan hanya dapat digunakan kira-kira pertengahan tahun depan.

Apabila ia diperkenalkan pula, pasti ada tentangan daripada golongan anti-vaksin termasuk yang menggunakan alasan agama.

Keadaan ekonomi pada tahun depan juga tidak cepat pulih. Kesan daripada tahun 2020 belum dapat diatasi.

Bersama dengan keadaan ekonomi dunia yang juga merasa kesan daripada Covid-19, maka tidak ada sudut pandangan optimis yang boleh diharapkan.

Begitu juga dengan keadaan politik. Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mungkin diadakan tahun depan.

Bukan saja kerajaan perlu mendapatkan mandat tetapi ia merupakan cara bagi menstabilkan politik.

Namun untuk menghadapi pilihan raya dan kesan sesudahnya, negara akan melalui pergolakan yang besar.

Maka dengan melihat tiga krisis yang tidak dapat diselesaikan, masalah sosial menjadi bertambah berat yang menjatuhkan mutu kehidupan rakyat negara ini.

Krisis sosial ini dapat diatasi atau dikurangkan sekiranya soal ekonomi ditangani.

Maknanya tanpa krisis ekonomi, tidaklah wujud krisis sosial. Tetapi tanpa krisis ekonomi, tidak timbul pula krisis politik. Tanpa krisis politik, krisis sosial lebih mudah diatasi.

Namun impak daripada krisis ini dapat dikurangkan sekiranya institusi-institusi negara untuknya adalah lebih kuat daripada apa yang ada.

Kesan daripada krisis sosial jika institusi masyarakat dalam pelbagai bentuk adalah lebih kuat.

Malah semua krisis yang disebut seperti kesihatan, ekonomi dan politik dapat lebih kuat ditampan jika institusi-institusinya lebih kukuh.

Dan kekuatan institusi itu bukan saja bergantung pada infrastruktur tetapi juga manusia yang mengendalikannya. bukan saja kemahiran tetapi integriti.

Bebas korupsi dan beramanah.

Institusi kesihatan negara ini dikira bagus dan dikendalikan dengan baik.

Tetapi bagaimana pula dengan institusi sosial yang dapat menangani masalah mental serta keganasan rumah tangga?

Institusi ekonomi negara ini pula bagaimana? Adakah kegiatan ekonomi negara ini menggalakkan orang berniaga dengan cekap dan bersih?

Akhir sekali tetapi penting ialah institusi politik negara ini. Adakah parti-parti politik negara ini berkesan, bersih dan boleh diharapkan untuk rakyat?

Maka krisis Covid-19 yang melanda dunia ini membuka ruang untuk melihat kembali kelemahan dan kerapuhan institusi serta sistem yang ada.

Ternyata dunia tidak bersedia menghadapi krisis seperti ini. Keadaan tidak akan boleh kembali seperti sebelum berlakunya pandemik ini.

Penyusunan semula masyarakat perlu dilihat kembali.

Jurang miskin-kaya, ketidaksamarataan wajar ditangani.

Negara adalah untuk semua warganya, bukan hanya bagi mereka yang lebih berharta. Untuk usaha ini tentulah memerlukan perjuangan yang berprinsip.

Tetapi tanpa kesedaran kemanusiaan ini, segala krisis ini akan berulang dan hanya mendatangkan penderitaan pada sesama manusia.

Usaha ini bukan saja untuk negara ini tetapi bagi seluruh dunia.

Sebahagian manusia akan merebutkan kuasa, keuntungan dan kekayaan tanpa mempedulikan perikemanusiaan.

Sifat sebahagian manusia sememangnya begitu. Sebahagian lain pula akan lebih berperikemanusiaan. Maka konflik ini akan berterusan dari generasi ke generasi.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles