- Iklan -
Kolum

‘Gare Du Nord’

Ketika aku baring berlunjur aku teringat bait puisi Usman Awang “maka dewasalah hati seorang lelaki.”

Hishamuddin Rais
8 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Jelebu tidak dilalui oleh kereta api. Kali pertama aku ternampak stesen kereta api semasa aku berumur lima tahun.

Ini ketika bas Lim yang aku naiki lalu di sebelah stesen kereta api Seremban.

Kereta api ketika itu tidak kelihatan kerana bukan waktunya.

Kali pertama aku naik kereta api pada tahun 1963 dari stesen Seremban ke Johor Bahru.

Bila aku masuk ke sekolah menengah di Kuala Kangsar kereta api menjadi sebahagian daripada hidup aku.

Setiap kali cuti penggal aku pulang balik naik kereta api dari Kuala Kangsar ke Seremban.

Aku cukup lancar jadual perjalanan pulang. Lewat tengah malam naik kereta api dari Kuala Kangsar dan sampai pukul 8 pagi di Kuala Lumpur.

Berhenti sebentar di stesen Kuala Lumpur, pukul 10 pagi aku sampai ke Seremban.

Dari Seremban aku ambil bas ke Kuala Klawang, Jelebu.

Habis cuti penggal aku naik bas Lim ke Seremban dan dari situ aku naik bas Foh Hup ke Stesen Bas Pudu di Kuala Lumpur.

Kemudian aku menapak ke Foch Avenue mengarah ke Stesen Kereta Api Kuala Lumpur.

Rutin ini masih terpahat dalam ingatan. Ketika itu aku belum berupaya melihat betapa romantiknya perjalanan dengan kereta api.

Aku masih ingat lagi kertas tampalan Kereta Api Tanah Melayu (KTM) di beberapa gerabak.

KTM menyediakan gerabak khusus untuk pelajar pulang bercuti – MCKK di Kuala Kangsar, STAR di Ipoh dan SDAR di Tanjung Malim.

Gerabak kami jauh dipisah-pisahkan agar tidak bergaduh.

Ketika aku berkelana di Melbourne, Australia aku semakin kerap menggunakan kereta api.

Australia sebuah benua – negara besar. Dari kota ke kota jaraknya beratus-ratus batu.

Aku selalu turun ke Adelaide, 400 batu dari Melbourne. Aku naik pukul 8 malam di Stesen Southern Cross Melbourne sampai pukul 8 pagi di Adelaide.

Bila aku sampai ke Eropah aku semakin memahami betapa demokratiknya sistem pengangkutan kereta api.

Ini sistem pengangkutan untuk rakyat – sistem terbaik untuk orang ramai.

Bila aku duduk di Wavre, Belgium, aku menggunakan kereta api hampir setiap hari.

Setiap cuti penggal pula aku akan naik kereta api dari Brussels ke London.

Dari stesen Wavre aku menuju ke Brussels kemudian ke Pelabuhan Ostend.

Dari Ostend aku naik kapal laut selama empat jam ke Dover atau Folkstone.

Dari sana aku sambung dengan kereta api ke Stesen Victoria London.

Aku sudah mengambil perjalanan ini berpuluh kali, sama seperti aku ulang naik kereta api pulang bercuti sekolah dari Kuala Kangsar ke Seremban.

Surah aku kali ini bukan tentang sistem pengangkutan kereta api, tetapi ada kisah di sebalik stesen kereta api. Ada kisah di sebalik kisah.

Semakin jauh perjalanan dalam hidup aku ini semakin beralih pandangan aku terhadap kereta api dan stesennya.

Aku tidak lagi melihat stesen kereta api seperti mana aku melihat ketika aku anak sekolah.

Semuanya berubah. Mata dan hati aku berubah. Setiap kali aku melintasi stesen KTM darah aku berderau.

Detik-detik itu datang kembali. Ingatan itu menjadi segar. Imej-imej ingatan itu menjadi terpancar terang.

Hari ini aku melihat setiap penumpang dalam gerabak adalah watak-watak yang memiliki kisah dan cerita.

Aku selalu bertanya pada diri aku kenapa mereka duduk di hadapan aku? Kenapa tidak kerusi lain yang juga kosong?

Apa kisah yang mereka pikul sebelum mereka masuk ke gerabak ini?

Aku selalu berkhayal bertanya-tanya dan bermain-main dengan ingatan.

Di Melbourne Australia pada tahun 1977 aku menonton filem Casablanca garapan Micheal Curtiz pada tahun 1942.

Aku menonton Casablanca di panggung wayang Varhalla di Melbourne – panggung khusus menayangkan filem-filem lama.

Ketika ini aku belum arif tentang nahu, tanda atau makna imej filem. Tapi hati aku terkoyak oleh Casablanca.

Kisah cinta, kisah perjuangan bawah tanah, kisah melarikan diri yang dibalut dengan pengorbanan dalam suasana perang melawan fahaman fasisma dalam Perang Dunia Kedua.

Aku terpegun melihat kehebatan Holywood di zaman kiri. Di Varhalla pada malam itu aku berkenalan dengan Gare dua Nord – satu stesen kerata api di kota Paris.

Aku mendengar dan merasakan suara kecewa dan perasaan patah hati Rick yang menunggu kekasihnya Ilsa di Gare du Nord.

Dua kekasih dilamun cinta ketika soldadu Hitler sedang mara menuju ke Paris.

Rick dan Ilsa ingin mengundur dari Paris ke Marseille wilayah Selatan yang lebih selamat.

Petang itu hujan turun di Gare du Nord, Rick masih menunggu Ilsa dan matanya mencari-cari. Akhirnya kepulan asap kereta api meninggalkan kota Paris tanpa Ilsa.

Inilah kisah dua sosok dari dua negara bertemu dan jatuh cinta dalam kota Paris ketika zaman perang. Hati muda aku tersiat tergoyak terganggu melihat janji seorang wanita secantik Ilsa.

Ingatan aku terpahat pada Rick yang setia pada janji.

Satu petang aku dalam kereta api dari Brussels ke Wavre, aku tidak dapat tempat duduk.

Kereta api agak padat kerana hujung minggu dan aku berdiri menunggu kerusi kosong.

Setelah melintas tiga perhentian aku ternampak satu kerusi kosong. Kerusi berhadapan dengan dua gadis.

Aku mengangguk tanda hormat dan seperti biasa menjual senyum serta bertanya hendak mereka ke mana. Hendak mengayat aku belum fasih berbahasa Perancis.

Aduh! mereka dalam perjalanan pulang ke kampus Louvain-la-Neuve. Dua gadis dari Sepanyol ini belajar di univeristi aku.

Maria mengikuti program pertukaran budaya Belgium – Sepanyol, manakala Carmen mengikuti kursus pendek bahasa Perancis. Aduh! kenapa sekarang baru berjumpa.

Esoknya aku susul mereka di kampus, lusanya kami berjumpa di kafe. Satu minggu kemudian Maria dan Carmen mengajak aku merasa makanan Sepanyol.

Maria akan memasak “Paella” kerana menyambut kekasihnya Bernard yang bakal datang dari San Sebastian.

Minggu kedua aku pula mengajak Maria, Bernard dan Carmen merasa masakan Melayu. Aku masak gulai ayam masak kunyit dengan santan susu cair.

Minggu ketiga aku jatuh cinta dengan Carmen gadis Sepanyol dari wilayah Basque. Carmen dengan bangga menerangkan bahawa mereka bukan bangsa Sepanyol tapi Basque.

Bahasa mereka, tulisan mereka amat amat berlainan dari orang Sepanyol. Carmen memberi aku kuliah bahawa di Sepanyol ada bangsa Catalan, ada Galicia dan Basque selain Sepanyol.

Ketika ini ETA (Euskandi Ta Askatsuna) gerakan bawah tanah Basque sedang bergerila menuntut kemerdekaan dan mahu berpisah dari Sepanyol.

Berita gerila ETA ini selalu aku baca dalam akhbar terutamanya bila mereka meledakkan bom di sana sini. Aku tak menyangka aku sedang jatuh cinta dengan gadis nasionalis Basque. Ahlan wa sahlan.

Dua sosok dari dua negara yang berasingan jatuh cinta di negara asing. Kami sama-sama merangkak menggunakan bahasa Perancis.

Aku bernasib baik kerana Carmen boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. Sebenaranya aku tidak risau dalam hal bahasa, kerana ketika bercinta semua indah.

Ciuman dan pelukan tidak memerlukan kata-kata. Salah cakap dan salah tulis pun – kalau dalam percintaan akan ditakrif sebagai romantik. Amin.

Ketika berdua-duaan dalam bercinta waktu berjalan amat laju. Dalam cinta ketika menunggu kekasih terasa jari dan tangan arloji bergerak terlalu lambat.

Waktu dan masa menjadi relatif dalam bercinta. Hari beredar dan minggu berganti.

Selesai pembelajaran, Carmen dan Maria pulang ke San Sebastian. Aku tidak ke mana-mana, tapi aku berjanji untuk menyusul. Berjanji akan menyambung cinta.

Jauh kami hanya 1,000 kilometer dan kami dipisahkan oleh Perancis. Antara Wavre dengan San Sebastian ada Paris – kota percintaan.

Satu hari aku pulang dari Brussels dan kereta api agak padat. Aku berdiri menunggu kerusi kosong dan tidak jauh di hadapan aku berdiri seorang gadis.

Seperti biasa aku menjual senyum dan bertanya dari mana hendak ke mana.

Gadis ini dari Paris nak pulang ke Amsterdam. Gadis Belanda ini amat peramah dan fasih berbahasa Inggeris.

Kami bersembang sambil badan kami yang bergoyang berdiri tidak mengganggu perbualan kami. Mata aku membaca gadis cun ini, sambil lewa gadis ini bercerita yang dia ke Paris untuk bertemu kekasihnya.

“Awas Isham! Bila anak gadis secantik yang di hadapan mata mula berkisah tentang kekasihnya ini tanda… Isham lu jangan masuk. Lu jangan cuba-cuba masuk mengayat.”

“On 16 September my boyfriend and I.. We are going to Epernay…vendage.” Gadis ini terus lincah bercerita. Aku hanya mendengar dengan penuh perasaan ingin tahu.

“Vendage… apa vendage” aku bertanya.

“Tu ne savais pas vendage…to cut grapes… kamu tak tahu vendage… musim memetik buah anggur”.

Lalu gadis ini menerangkan betapa seronoknya kerja memetik anggur. Cuaca musim daun gugur bulan September yang indah.

Ramai muda-mudi siang memburuh memetik anggur, malam berpesta.

Ramai tenaga kerja diperlukan kerana memetik anggur ini ditetapkan tarikhnya – bila wajib bermula dan bila wajib berhenti.

“Champagne…cutting grapes for making champange… wilayah Epernay anggurnya wajib dipotong serentak khusus untuk membuat champagne.”

“Take the train from Gare dua Nord… then to Epernay…” di stesen Epernay pasti ramai tuan ladang anggur menunggu kereta api sampai… mereka mencari pekerja.

“On y va… mari kita pergi…”

“Wow… gadis Belanda ini berjaya mengayat aku untuk bertandang ke Epernay.

Aku kagum dengan gadis dari Amsterdam ini. Dia naik kereta api melintas dua negara hanya untuk jumpa kekasih.

Kenapa aku tak boleh membuat pekara yang sama. Kejantanan aku terusik dan tercabar.

Malam itu aku membuat keputusan untuk pergi ke Epernay. Esoknnya aku menelefon Carmen.

Aku mengayat Carmen untuk bersama memetik anggur di Epernay. Petang itu Carmen tidak memberi jawapan muktamad.

Dia wajib melihat jadual kereta api dari San Sebastian ke Paris.

Carmen juga mahu mengajak Maria datang bersama. Aku wajib bersabar menunggu jawapan.

Dua hari kemudian aku menelefon lagi. Kali ini Carmen memberi jawapan tuntas.

Maria enggan datang kerana Bernard baru sampai dari Madrid. Carmen akan menaiki keretapi awal malam dari San Sabsatian.

Dia akan sampai ke Gare du Nord esoknya awal petang – hampir 20 jam perjalanan.

Semua tuntas. Aku mula mengira hari kerana dalam masa 10 hari lagi aku akan ke Paris.

Hati cinta dan kejantanan aku bergelora selepas hampir lima bulan Carmen pulang ke San Sebastian.

Ketika berpisah kami ada menulis surat, tetapi di Eropah bercinta dengan menulis surat sudah 100 tahun ditinggalkan.

Ini bukan zaman Cyrano de Bergerac yang surat cintanya menjadi rujukan sastera Perancis.

Sehari sebelum ke Paris aku menelefon Carmen sekali lagi. Aku menggunakan telefon awam di sebelah stesen kereta api Wavre.

Bila aku meletak gagang telefon seluruh badan aku ikut tersenyum gembira.

Esoknya aku mengambil kereta api tengah hari di Brussels. Perjalanan dua jam lebih dan petang itu aku akan sampai ke Gare du Nord.

Aku memang merancang untuk sampai dulu sebelum Carmen kerana aku merasa selesa menunggu. Sampai di Gare du Nord, aku menapak mencari kafe yang tidak jauh dari stesen.

Aku hanya memesan kopi untuk membasahkan tekak sambil menunggu Carmen akan sampai dalam masa dua jam.

Kami merancang untuk bermalam di Paris dan aku tidak tahu sangat kota ini tetapi dua kekasih wajib meneroka kota cinta ini.

Dua jam berlalu Carmen tidak juga sampai, tetapi aku setia menunggu. Mungkin kereta api terlambat, mungkin ada gangguan di jalan.

Aku menenangkan hati dengan berlegar-legar di sekitar Gare dua Nord. Aku amati watak stesen kereta api dalam dunia ini semuanya sama.

Di sekitar stesen terdapat banyak kafe dan kedai makan, hotel dan rumah tumpangan yang harganya berpatutan.

Bukan hotel berbintang tapi hotel untuk singgah bermalam sebelum meneruskan perjalanan.

Aku mengenal pasti sebuah hotel yang aku baca sewa yang diiklankan agak demokratik.

Tiga jam berlalu, aku memandang jam di stesen. Carmen tidak muncul, hati aku mula berdebar.

Apa terjadi, jam enam petang aku masih menunggu, risau, resah, kacau semua datang berkumpul.

Suara panggilan kereta api akan bergerak kerap kedengaran. Pengumuman ketua stesen ini mengingatkan aku kepada Rick yang menunggu Ilsa dalam hujan lebat.

Dalam Casablanca panggilan terakhir kereta api akan bergerak dalam masa tiga minit.

Orang ramai yang berpusu-pusu lari daripada soldadu Hitler dalam hujan lebat.

Tiba-tiba muncul Sam kawan Rick. Sam datang membawa surat pendek daripada llsa.

Dalam hujan Rick membaca surat Ilsa yang tulisannya semakin kabur dibasahi hujan.

Aku di Gare dua Nord bersendirian, tidak ada teman, tidak ada kawan, tidak hujan dan tidak ada soldadu Hitler.

Jam sudah lama melintas 8 malam, aku menuju ke hotel yang aku kenal pasti awal petang.

Tetapi hotel ini sudah penuh, aduh! Memang bukan nasib aku. Aku menapak ke beberapa hotel lain semuanya penuh.

Lalu aku berfikir untuk aku jadikan kenang-kenangan maka aku wajib tidur di Gare du Nord.

Ketika aku baring berlunjur aku teringat bait puisi Usman Awang “maka dewasalah hati seorang lelaki.”

Kemudian aku bersandar sambil berlunjur di tembok.

Aku tersenyum dan menepuk bahu aku sendiri. Tepukkan tanda hormat dan terima kasih aku kepada tubuh badan Isham yang masih gagah berdiri membawa hati yang hancur kecewa.

Epilog:

Pada musim daun gugur tahun 2018 aku singgah sekali lagi ke Gare du Nord.

Aku cuba mencari kerusi tempat aku menunggu Carmen. Tapi semuanya sudah berubah dan yang tinggal hanyalah ingatan.