- Iklan -
Kolum

3 budak hitam

Mencari kerja wajib ada modal.

Hishamuddin Rais
8 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Tahun 1987 aku diterima masuk ke Brixton College di London. Brixton di wilayah selatan London ialah daerah majoriti penduduk berkulit hitam berasal dari Jamaica.

Di Brixton aku kembali menjadi mahasiswa. Aku gagal untuk diterima masuk ke sekolah filem INSAS di Brussels. Penulisan bahasa Perancis aku berada pada tahap amat rendah.

Mustahil aku boleh menulis esei tentang filem Jean-Luc Godard atau menghuraikan teori seks Jacques Lacan. Aku hanya boleh bertutur saperti “petit-negre” maknanya bercakap menggunakan “pidgin French”.

Di Brixton College bahasa tidak menjadi masalah. Aku diterima sebagai pelajar luar negara.

Ketika ini aku memakai pasport perjalanan yang dikeluarkan kerajaan Belgium atas Perjanjian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1951.

Aku boleh pergi ke mana sahaja dalam dunia ini kecuali Malaysia.

Sebagai penduduk tetap Belgium, negara Kesatuan Eropah (EU), aku hanya perlu membayar yuran belajar 800 pound setahun.

Pelajar dari negara bukan EU seperti Malaysia mungkin dikenakan tujuh atau lapan ribu pound setahun. Mahal.

Memang mahal belajar di bawah dasar Parti Konservatif Magaret Thatcher. Secara rasmi aku masih lagi berdaftar dan memiliki alamat di Wavre.

Warga Belgium wajib mendaftar di Commune untuk mendapatkan Carte Indentite Commune. Dengan Carte ini aku mendapat pasport perjalanan.

Kami tidak ramai dalam satu kelas. Hanya 14 pelajar.

Kami belajar asas seni selama satu tahun sebagai persediaan untuk masuk ke sekolah filem. Tiga pelajar dari luar negara: Edan dari Kenya, Lorena dari Itali dan aku dari Malaysia.

Ketua Jabatan Dr Roberta. Awalnya aku tak faham bagaimana lulusan matematik Universiti Oxford boleh menjadi ketua jabatan seni.

Aku boleh pergi ke mana sahaja dalam dunia ini kecuali Malaysia. Sebagai penduduk tetap Belgium, negara Kesatuan Eropah (EU), aku hanya perlu membayar yuran belajar 800 pound setahun.

Kemudian aku difahamkan ketika di Oxford Roberta terlibat bersama Laura Mulvey dan Peter Wollen, dua sosok pembuat filem avant-garde yang tersohor.

Pasangan suami isteri ini membuat beberapa buah filem saperti Riddles of The Sphinx (1977).

Laura Mulvey seorang feminis menghadiahkan kepada dunia teori Male Gaze – pandangan jantan yang terus menjadi rujukan hingga ke hari ini.

Di Belgium ketika belajar aku mendapat duit bulanan daripada Commune Wavre.

Kini di London aku tanpa sokongan dana. Aku pelajar dari luar negara. Hakikatnya aku wajib mencari kerja.

Dana aku sudah merosot. Lalu aku menjual diri kepada kawan-kawan dalam kelas.

Aku perlu kerja. Muncul Pauline anak gadis kulit hitam warga Brixton datang menyambut.

“Isham.. are you sure?” Apakah bersedia bekerja apa sahaja?”

“Yes. I’m skint. Aku dah pokai”. Aku menggunakan “skint” bahasa jalanan anak muda di Brixton.

Melalui Pauline aku memulakan kerja pertama aku di London. Aku bekerja di pejabat EMI di Charing Cross Road di sebelah Soho daerah lampu merah London. EMI ialah syarikat perakam dan penerbit muzik.

“Wah hebat kau Isham… kerja di EMI.. mesti selalu jumpa rock star.” Ini sembang kawan Malaysia bila mereka mendengar aku bekerja di EMI.

Memang betul. Di pintu utama pejabat ada lubang surat. Banyak “demo tape” yang dihantar oleh sosok-sosok yang berniat menjadi “pop star”.

Tugas aku hanyalah mengambil demo tape ini dan masukkan ke dalam bekas yang disediakan.

Rutin aku senang. Dari Brixton naik kereta api bawah tanah (tube) berhenti di Oxford Street.

Menapak ke banguan EMI. Pauline datang dengan basikal. Pintu pejabat sudah dibuka. Tugas asas aku bermula di basement – di bilik bawah tanah. Bilik menyimpan barang dan tandas.

Aku bekerja sebagai tukang sapu dan tukang cuci. Tugas aku dan Pauline ialah memastikan semua bakul sampah kosong, lantai disapu dan tandas “tip-top”.

Esok pagi pejabat wajib dilihat bersih dan berseri. Aku kerja pada Isnin, Rabu dan Jumaat. Dibayar 20 pound seminggu.

Tambang tube dan belanja harian selamat. Waktu beredar. Aku amat selesa dengan rutin aku. Tiba-tiba di hari baik, bulan baik, Pauline meledakkan berita.

Petang Krismas menjadi hari terakhir aku menyapu di EMI. Lepas Krismas aku berhenti daripada menjadi tukang sapu. Pauline terus bekerja. Cisss!!!!

Dalam tube, pulang ke rumah aku terfikir. Kalau aku pegawai bank, atau kerani pejabat yang dibuang kerja pasti aku rasa tak banyak masalah kerana CV aku masih cantik.

Aku boleh melamar kerja lain. Tapi aku dibuang kerja sebagai tukang sapu – “the lowest of the low”. Apa lagi ada di bawah tukang sapu. Aduh!

Menapak pulang aku terseyum sambil membetulkan diri. Sikap positif muncul: Dari basement aku jatuh. Bila aku bangun setiap tangga aku jejak semuanya naik ke atas.

Falsafah hidup aku ini sebenarnya lahir daripada pengalaman aku ketika tidur dalam lokap dan penjara di Bombay, India.

Selepas tidur dua minggu di lokap balai polis Bombay semua tempat tidur dalam dunia ini untuk aku adalah lumayan.

Selesai cuti tahun baru sekolah dibuka. Duit dalam saku makin kurang.

Lalu aku berbincang dengan Toni kawan sekelas. Toni anak muda berasal dari Jamaica tinggal di Kennington tak jauh dari Brixton.

Toni tidak memiliki banyak masalah keewangan. Dia warga Britain. Toni mendapat dana untuk belajar.

Aku membuat rancangan. Jika Toni bersetuju dengan projek aku ini maka masalah kewangan aku beres.

Aku mengayat Toni tentang pengalaman aku mundar-mandir di Soho dan daerah West End setiap hari ketika bekerja di EMI.

Aku yakinkan Toni bahawa aku hampir lancar dengan semua lorong di daerah lampu merah ini. Sesudah bersurah panjang aku membuat cadangan kepada Toni.

“Let’s do it.” Aku mengajak Toni.

“Do what Isham?”

“We work as gigolo around Soho…social escort …..you are young…kita masih muda pasti ramai makcik ranggi yang suka kita jadi gigolo di Soho …orang boleh buat … kita pun boleh buat.”

“Isham… you’re a mad Malaysian.” Toni menolak cadangan aku serta-merta.

Tapi aku terus mengayat Toni petang itu. Aku buka cerita aku di Karachi, Pakistan. Aku buka cerita aku di Brussels. Aku buka cerita Paris. Akhirnya Toni bersetuju.

Sabtu petang esoknya kami berdua di Leicester Square – pusat dunia hiburan kota London.

Kami mahu dilihat ranggi macam anak muda Londoner yang lain. Cuaca musim sejuk. Aku memakai cara Perancis yang aku pungut di Belgium.

Beret di kepala. Scarf di leher. Toni agak sasa dengan jaket kulit coklat. Kami bersedia untuk menjual diri.

Kami menapak ke arah Cafe de Paris tak jauh dari Leicester Square.

Seorang macik menyeberang jalan di depan kami. Makcik 40-an ini tersenyum memandang dua lelaki hitam ranggi, kacak dan bergaya. Wow. Darah aku menyirap. Aku pandang pada Toni dan berkata.

“Sell yor smile… juallah senyum kamu.”

Kami mempercepatkan jalan untuk hampir sebaris dengan makcik ini. Daripada pakaian aku lihat makcik ini bukan Londoner. Pasti pelancong.

Kalau dari Sweden lagi molek. Mereka tak pernah merasa nikmat orang hitam.

Aku menjual senyum. Makcik ini tak ambil pot. Dia terus berjalan masuk ke Cafe de Paris.

Kami mengekor sama. Mata aku memerhati sekeliling. Aku perhatikan wilayah ini tempat orang kaya bercanda-canda. Toni datang merapati aku dan berbisik.

“Isham.. let get out… too expensive.” Mari keluar tempat ini telalu mahal.

“The fucking coffee is five pounds”.

Toni menjerit di pintu cafe. Aku ketawa. Toni mengintai menu cafe ini. Baru aku sedar nak jadi gigolo wajib ada modal. Tanpa modal projek aku gagal. Aku tak putus asa.

Di sekolah aku bercerita tentang projek gigolo kepada Edan.

Siswa dari Nairobi ini tidak ketawa dan tidak memberi apa-apa komen. Kemudian Edan mencadangkan agar kami melamar kerja di Burger King. Edan berjanji akan mengatur.

“Jangan beritahu kamu nak masuk kolej atau universiti. Jangan mengaku kamu ada apa apa kelulusan. Buat bodoh. Buat bangang. Lagi bangang lagi besar peluang untuk berkerja di Burger King.” Edan memberi kuliah kerana sebelum ini dia pernah bekerja di Burger King.

Seperti yang dijanjikan “tiga budak hitam” akan ditemu bual oleh pengurus orang putih Burger King di Victoria Station.

Mamat pengurus ini agak gemuk. Tiga budak hitam hanya duduk menunggu.

“Do you know our burger is the best in London?” Mamat in memulakan ceramah. Tiga budak hitam buat bodoh. Kemudian dia berceloteh tentang tugas pekerja di Burger King. Tiga budak hitam mendengar dengan bodoh.

“There are lot of perks and bright future here. Ada masa depan yang cerah jika kamu bekerja dengan Burger King”. Aku yang bodoh tak boleh tahan lagi. Aku terbarai ketawa.

“Yes.. yes… that’s what we wanted. Inilah kerja yang kami cari. Masa depan yang kami cari”. Aku bersuara cepat. Nasib baik aku pandai jadi bodoh.

Si pengurus ini mengeluarkan beberapa keping kertas. Kami mengisi biodata kami. Pengurus melihat.

“All from Brixton. We have loads of black working with us. Great future for them. Ramai orang hitam kerja dengan kami. Masa depan yang terjamin”.

“Now the written test. In half an hour. Mula sekarang! Ujian menulis bermula sekarang”. Pengurus memberi kertas peperiksaan.

Rajah tiga segi masukkan ke mana? Ke rajah bulat atau ke rajah panjang. Kenal atau tak kenal mana kuda? Mana kambing? Mana gajah? Ini binatang apa? Ini bulat atau panjang. Ini empat segi atau lapan segi. Mana lelaki? Mana perempuan?

Tiga rajah panjang, pilih yang mana lebih panjang.

Aduh! 30 minit menjawab ujian yang maha berat. Aku berpeluh sejuk. Aku rasa inilah jenis ujian yang dilalui oleh Roberta, Laura Mulvey dan Peter Wollen semasa mereka nak melamar masuk ke Universiti Oxford. Kah kah kah!

“We will call you. Nanti kami akan hubungi”.

Kami pun angkat punggung. Dari Victoria Station kami menapak tiga batu untuk pulang ke Brixton.

Dua minggu menunggu. Tiada panggilan. Gagal lagi.

Biasanya habis kelas jika ada masa dua tiga orang kawan akan duduk berlabun di Jacaranda Cafe di sebelah Pasar Brixton. Harga kopi dan teh di sini lebih demokratik daripada harga di Cafe de Paris.

Aku dan Edan sedang berlabun tentang pasaran kopi mentah.

Edan mengatakan kopi terbaik dalam dunia datang dari Kenya. Aku menambah cerita bagaimana budaya cafe ini bermula di Baghdad.

Arab yang memulakan duduk dalam kedai kopi. Kemudian budaya ini “dirembat” oleh orang Perancis.

“The French gentrified the cafes. I’ve sat in the oldest cafe the world. Al-Rasheed Street in Baghdad. Kedai kopi paling tua dalam dunia.. hampir dua ratus tahun”.

“Like our cafe here in Brixton?” Edan bertanya apakah kedai kopi di Baghdad sama macam kedai kopi di Brixton.

Aku menggeleng kepala. “Brixton is better.. here there are babes in cafes”.

Aku teringat cafe Hassan Ajami di Jalan Al-Rasheed di Baghdad. Jantan, jantan, jantan.

Di luar aku nampak Toni datang ke arah Jacaranda. Aku menggamit mengajak dia masuk. Toni masuk, duduk dan terus membuka mulut.

“Ada kerja untuk kita”. Toni memulakan surah. Aku memasang telinga. Ini berita baik.

“A bit risky but not that risky”. Kerja apa ini? Ada risiko tapi bukan berisiko.

Apakah Toni bercadang kita memulakan perniagaan “hashish”? Aku tahu ini perniagaan monopoli “Bumiputera Brixton”.

“Kerja apa ni? Ada risiko? Bayar berapa?” Aku yang dah pokai terus mengasak. Pada hemat aku jika kerja ada risiko pasti bayaran lumayan.

Kami keluar dari Jacaranda dan menapak menuju ke arah Balai Polis Brixton.

Toni membawa kami ke sebelah belakang balai. Ada pejabat kecil. Di belakang pintu gelas ada seorang Bobby – nama manja untuk polis metropolitan kota London.

Sebelum pintu dibuka aku bertanya lagi. “Toni are you sure no risk? What if they think we are stool pigeon?”

“Isham. Easy money”. Toni menerangkan kerja yang akan kami lakukan.

Bukan jual maklumat atau jadi “mata-mata” kepada polis di Brixton tapi ambil bahagian dalam kawad cam. Sekali berdiri untuk kawad cam kami akan dibayar 15 pound.

“Berdiri tak sampai 15 minit. Kita masuk pintu belakang dan keluar pintu belakang”.

Toni memberi penjelasan untuk mententeramkan aku. Aku rasa cuak juga jika dianggap tali barut polis.

“Ok dengan aku”. Edan bersetuju. Aku tidak membantah. Toni membuka pintu kami masuk.

Bobby memandang satu persatu muka tiga budak hitam yang datang melamar kerja.

“You and you okay. But are you Chinese with a beard?” Bobby memilih Toni dan Edan. Aku ditolak kerana aku tak cukup hitam dan berjanggut. Tak sesuai untuk kawad cam di Brixton.

“Cilako”. Aku menyumpah dalam loghat Negeri Sembilan.

Kerja kawad cam ini pun aku ditolak. Apa punya sial. Apa punya nasib. Bobby mendengar rungutan aku dan terus bertanya.

“What did you say?”

“C’est la vie in my language. I’m not Chinese. I’m Malaysian”. Dengan pantas aku menyelamatkan keadaan dengan harapan dua budak hitam kawan aku yang berjaya akan selalu dipanggil ke balai.

Seorang lagi budak hitam pulang gagal.

Epilog:

Mencari kerja wajib ada modal. Untuk berjaya pastikan memiliki “qualification dan kulitfication” yang tepat.