- Iklan -
Rencana

PKR bersekongkol dengan ahli politik kleptokrat Umno

Tuduhan Dr Mahathir menghalang mandat rakyat dikembalikan adalah kenyataan yang gelojoh.

Ulya Aqamah Husamudin
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Tuduhan daripada pihak PKR bahawa Dr Mahathir Mohamad menghalang usaha mengembalikan mandat rakyat adalah kenyataan yang gelojoh dan tidak berasas sekali.

Umum mengetahui punca Langkah Sheraton terjadi kerana pengkhianatan daripada kem Azmin Ali serta Muhyiddin Yassin.

Jika Mahathir mahu kekal sebagai perdana menteri sehingga hari ini, beliau boleh sahaja berbuat demikian bersama kerajaan Perikatan Nasional kerana beliau sebenarnya adalah calon perdana menteri gabungan itu.

Namun, Mahathir tidak bersetuju dengan pengkhianatan tersebut dan beliau bersedia dibuang daripada parti yang beliau bina sendiri demi pertahankan mandat rakyat dan mengotakan janji kepada komponen PH.

Andai Mahathir tidak meletakkan jawatan, Bersatu dan kumpulan Azmin sewaktu itu tetap akan keluar daripada PH dan tetap akan menyebabkan kerajaan PH jatuh.

Sewaktu Anwar Ibrahim mengumumkan, mempunyai jumlah sokongan yang mencukupi beliau sendiri memberitahu angka ini tidak termasuk Pejuang.

Hakikatnya PKR terlebih awal tidak mahu bekerjasama dengan pihak Pejuang dan lebih memeranjatkan sanggup bersekongkol dengan Umno termasuk beberapa ahli politik kleptokrat.

Bagaimana tuduhan dilemparkan kepada pihak Mahathir dan Pejuang sedangkan pihak Anwar sendiri tidak membincangkan soal sokongan.

Andai Mahathir tidak meletakkan jawatan, Bersatu dan kumpulan Azmin sewaktu itu tetap akan keluar daripada PH dan tetap akan menyebabkan kerajaan gabungan itu jatuh.

Jika diamati kenyataan yang dibuat Mahathir baru-baru ini, jelas ia tiada kena mengena dengan Langkah Sheraton dan hanya merujuk kepada pengalaman sewaktu menjadi perdana menteri ke-4.

Malahan, kenyataan itu adalah konsisten dengan apa yang ditulis di dalam buku Doktor Umum: Memoir Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Namun begitu, pada akhirnya, Mahathir tetap serahkan kepada umum untuk menilai sendiri prestasi beliau.

Pembangkang seharusnya berhenti berkelahi terutamanya mengenai perkara yang begitu trivial dan kecil.

Cari titik tengah persamaan, gembleng usaha dan bekerjasama menolak kerajaan yang dicuri dan bersekongkol dengan kleptokrat.

Penulis merupakan Ketua Penerangan (Penaja) Pejuang

* Tulisan ini merupakan pandangan penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow