- Iklan -
Kolum

Cinta terlarang

Cinta gagal ini menjadi lebih agung bila ianya cinta terlarang.

Hishamuddin Rais
7 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Kisah cinta ini tak habis-habis. Shakespeare menulis Romeo dan Juliet. Usman Awang menulis Uda dan Dara. Kurban Said menulis Ali dan Nino. Hishamuddin Rais menulis cinta terlarang.

Untuk aku cinta yang agung ialah cinta yang gagal. Cinta yang kemudian kahwin, kemudian beranak, kemudian bercucu adalah cinta bosan lagi banal.

Cinta gagal ini menjadi lebih agung bila ianya cinta terlarang. Dilarang adalah satu-satunya perkataan awal yang aku belajar dalam darjah satu.

Dilarang terkencing merata-rata. Dilarang berambut panjang. Makin lama di sekolah semakin banyak aku diberitahu perkara yang dilarang.

Makan babi dilarang. Minum arak dilarang. Hisap rokok dilarang.

Bila masih belajar aku beli rokok cap telefon untuk dihisap. Bila aku sampai umur 18 tahun aku membeli sebotol “Harimau”.

Bila aku sampai ke London aku mula pandai memesan “full English breakfast”.

Lagi dilarang lagi nak dicuba. Tahun-tahun 60-an kita heboh tentang “daun herba”.

Ini ketika pop yeah yeah sedang rancak. Ketika Beatlemania sedang memuncak.

Majalah Life dan Newsweek membuat laporan berjela-jela tentang “daun herba”.

Tahun 1969 bila pulang bercuti aku membeli dua “kartus” “daun herba” dari kedai mamak stesen kereta api Kuala Kangsar. Lagi dilarang lagi aku ingin mencuba.

Sebagai jawapan kepada semua yang dilarang maka pada tahun 2007 di Bau Bau Cafe, Pasar Seni aku paparkan papan tanda “Wilayah Dilarang Melarang”.

Tapi ini bukan kisah hisap “daun herba”. Ini kisah cinta. Kisah cinta terlarang.

Tahun 1966 aku dalam tingkatan tiga. Aku belum pernah jatuh cinta lagi. Cinta monyet pun tidak pernah.

Tetapi kawan aku seorang budak Cina bernama Lee Keong berminat nak jatuh cinta dengan anak pengurus panggung wayang Ruby Theatre di Kuala Klawang.

Aku beri sokongan kuat. Aku selalu menemani Lee bila dia cuba-cuba bertemu dengan Amoi yang comel dan “cute” ini.

Aku berharap cinta Lee dibalas. Kalau cinta ini menjadi maka aku dapat menumpang nasib, dapat menonton wayang free.

Sayang sekali cinta Lee ditolak. Untuk menambah kekecewaan Lee si Amoi comel ini memilih Ragu anak lelaki India dari tingkatan empat.

“Opposite poles attract each other,” kata Lee untuk menyedapkan hati.

Entah dari mana Lee dapat falsafah ini. Orang putih suka orang hitam. Amoi Cina suka pada Mamat India.

Cinta tahun 1966 ini adalah cinta monyet. Tak perlu beli kondom. Cium pipi pun tak dapat.

Ketika aku menjadi pelajar di kota London, aku buat banyak kerja.

Bukan untuk mencari cinta tapi mencari duit untuk hidup.

Mulanya aku bekerja sebagai pelayan di Restoran Desaru di Old Compton Street di tengah-tengah wilayah Soho – wilayah “lampu merah” London.

Kemudian berpindah ke Restoran Garuda di 150, Shaftesbury Avenue di West End London. Lima minit menapak ke Soho.

Menjadi pelayan restoran di London ni cukup menarik terutama di wilayah West End. Wilayah ini dipenuhi dengan panggung teater.

Berselirat teater di sana sini. Ini wilayah bercanda-canda. Wilayah restoran, pub dan cafe.

Wilayah mencari cinta. Segala macam jenis cinta boleh ditemui di sini. Cinta suka kena rotan pun ada. Cinta suka kena ikat pun ada. Tepuk dompet tanya “Awang” dalam seluar.

Di Restoran Garuda aku bertemu pelbagai jenis makhluk. Pelbagai jenis manusia.

Untuk pengetahuan umum, gaji sebagai pelayan di restoran milik orang Asia ini bukan mahal.

Pendapatan pelayan menjadi lumayan kerana ada tip. Tip ini duit sedekah dari pengunjung restoran yang gembira kerana khidmat pelayan yang cemerlang.

Duit tip ini dikumpulkan dan dibahagikan sama rata antara pelayan.

Lumayan memang lumayan. Saku aku tak pernah kosong. Restoran Garuda ini dilihat “Chic and Trendy”.

Pelanggan yang datang pastilah mereka yang berduit.

Atau warga Eropah yang nak merasa masakan Melayu-Indonesia.

Nak beralih selera dari makanan kebiasaan di rumah. Kuncinya di sini ialah “beralih selera”. Nak makan benda yang tak pernah dimakan. Atau nak makan makanan yang dilarang dimakan.

Dari segi rating majalah Time Out, Restoran Garuda ini tersenarai sebagai salah satu restoran Malaysia-Indonesia yang terbaik di London.

Aku sendiri setuju. Di Restoran Garuda aku temui gulai dan masakan Melayu Minang yang terbaik pernah aku nikmati. Di Restoran Garuda aku temui udang goreng tepung terbaik dalam dunia.

Nak beralih selera dari makanan kebiasaan di rumah. Kuncinya di sini ialah “beralih selera”. Nak makan benda yang tak pernah dimakan. Atau nak makan makanan yang dilarang dimakan.

Terletak di West End maka Restoran Garuda selalu didatangi bintang filem, penyanyi pop, “actor and actress” dan pelakon teater.

Roger Moore pelakon The Saint pernah sampai. Penyanyi pop George Michael pernah sampai.

Megawati Sukarnoputri sebelum menjadi presiden Indonesia pernah sampai.

Usman Awang ketika menziarahi London juga pernah makan di Restoran Garuda.

Aku ingat lagi malam itu, Sabtu malam Ahad. Musim bunga tahun 1990. Dari dinding kaca ternampak seorang Mamat sedang menunggu.

Aku kenal muka Mamat ini. Selalu muncul di televisyen. Aku pernah melihat Mamat ini berlakon dalam filem Maurice (1987). Hugh Grant datang nak makan di Restoran Garuda!

Ini sebelum Hugh Grant diingati kerana “Fuck fuck fuck fuck”, dialog pembukaan filem Four Weddings And A Funeral yang dibuat tahun 1994. Selepas filem ini, nama Hugh Grant meledak ke seluruh dunia.

Malam itu Hugh Grant datang dengan awek. Aku membuka pintu.

Kemudian menyediakan satu meja untuk mereka berdua.

Awek Hugh Grant pada malam itu seorang Minah mungkin dari Pakistan atau mungkin juga dari India.

Apa yang aku pasti awek Hugh Grant malam itu bukan Minah Salleh.

“What do you recommend?” Dia bertanya tentang apa yang terbaik untuk menjamu selera.

“Sate, begedil, udang goreng tepung atau keropok sebagai pembuka selera”.

Untuk hidangan seterusnya aku bersurah tentang ikan bawal masak sambal, cumi-cumi isi, sayur masak asam, “chicken with sambal sauce, squid with sambal sauce”.

Juga aku terangkan apa itu nasi goreng, mee goreng dan laksa Singapura.

“What is this sambal sauce?”

Malam itu pertama kalinya Hugh Grant dan aweknya menikmati masakan Melayu. Aku hanya memerhati mereka makan dari jauh. Pelayan dibenarkan melihat tapi bukan memandang.

Di London akhbar tabloid biasanya meninggalkan telefon kepada pelayan restoran.

Jika ada bintang filem, penyanyi pop atau orang kenamaan yang masuk ke restoran si pelayan boleh beri maklumat kepada akhbar. Maklumat ini akan dibayar.

Aku bayangkan esok pagi di muka depan akhbar The Sun terpampang tajuk “Hugh Grant with Asian Lady?” atau “Who is Hugh Grant New Beau.”

Ya ampun tugas aku melayan pelanggan dengan harapan mendapat tip yang lumayan. Bukan jual maklumat.

Tidak berapa lama selepas itu Hugh Grant datang lagi beberapa kali ke Restoran Garuda. Kami mula berkenalan baik.

Setiap kali datang makan malam di hujung minggu dia minta aku melayan.

“Where is Isham? Ooo Isham how is my mee goreng tonight?”

Mamat ini suka betul dengan mee goreng. Setiap kali dia datang pasti dengan Minah.

Aku kurang pasti Minah baru atau Minah yang sama. Tapi yang aku pasti bukan Minah Salleh.

Aku curi-curi pandang meja Hugh Grant. Aku lihat Minah ini cun bergetah. Tapi bukan pelakon kerana tak pernah aku lihat mukanya mucul di televisyen. Bukan juga dari kelas-kelas akedemia.

Mungkin Minah pejabat atau peminat Hugh Grant. Hanya Guru Nanak yang tahu.

Yang jelas mereka kelihatan intim. Berdua di satu meja melayani sebotol Chablis, air anggur putih.

Setelah lebih dua jam mereka pulang. Pulang ke rumah siapa aku tak ambil pot. Yang aku sedar ada sekeping kertas “lima pound” ditinggalkan di atas meja.

Dalam tahun 1991, Spike Lee pengarah “Mat hitam” dari Amerika Syarikat membuat filem Jungle Fever.

Ha ha ha. Ramai tak faham apa makna Jungle Fever. Jungle Fever ni maknanya sosok kulit putih suka bersenggama dengan sosok kulit hitam. Jangan lupa ada juga Yellow Fever. Ini Mat Saleh yang suka bersenggama dengan orang Asia – Cina, Melayu, Jepun, Siam atau Korea.

Ketika filem Jungle Fever muncul aku dengar khabar angin bagaimana Robert De Niro dilempang oleh Naomi Campbell di sebuah Hotel di Berlin.

Rupa-rupanya De Niro juga terkena penyakit “Jungle Fever” dari model berkulit hitam yang tersohor itu.

Kesah De Niro kena lempang ini sahih kerana aku mendengar surah ini dari perawi fesyen pakaian. Dari seorang pereka tekstil kota London.

Komuniti fesyen ini tidak besar. Kalau mereka tidak di “Cat Walk” di Paris atau di Milan, mereka akan membawang dalam Cafe di Soho.

Dalam cerita filem Jungle Fever kita lihat Amerika Syarikat moden dan maju, tetapi masyarakat kulit hitam masih tidak suka jika ada ahli masyarakat mereka yang berkahwin dengan Minah Saleh.

Masih wujud prejudis yang terpendam. Orang hitam mesti kahwin dengan orang hitam. Orang putih jangan kahwin dengan orang hitam.

Ini sama seperti cerita filem Guess Who’s Coming to Dinner (1967). Minah Salleh dengan jantan Negro dalam kisah cinta terlarang.

Tiba-tiba pada bulan Oktober 1992 kota London heboh. Akhbar tabloid rancak menjadi-jadi.

Ketua pengarah pendakwa raya United Kingdom yang baru dinobatkan oleh Baginda Queen dengan gelaran “Sir” terjerumus dalam kisah cinta terlarang.

Apa yang dilakukan oleh Sir Allen Green ialah percubaan untuk melanggan pelacur di wilayah King Cross dalam kota London.

Di United Kingdom tidak salah “bertogel” dengan pelacur. Yang salah ialah mengganggu lalu lintas.

Gangguan ini berlaku apabila bakal pelanggan memberhentikan kereta di tepi jalan dan berunding tentang harga dari dalam kereta. Ini dipanggil “curb crawling”.

Ketika skandal ini pecah dan kawan-kawan aku di kampus heboh berbincang.

Mengapa Sir Allen ini mencari cinta terlarang?

Sosok ini berpangkat tinggi. Banyak duit. Walhal Sir Allen boleh angkat telefon dan Miss Moscow pun pasti akan berkejar datang.

Aku bertambah hairan mengapa Sir Allen perlu meletakkan jawatan? Aku pelik dengan budaya orang kafir ini.

Tidak ada kes polis. Tak ada apa-apa dakwa dakwi. Si pelacur pun tak wujud. Hanya laporan media.

Aku terangkan pada kawan-kawan Mat Saleh kalau di Malaysia kes seperti ini senang selesai.

“Sap sap soi”. Menteri, peguam mahu pun hakim jika dituduh melanggan pelacur dia boleh minta maaf kemudian pergi umrah.

Semua beres. Tak perlu letak jawatan. Cinta terlarang boleh diteruskan.

Waktu berjalan. Musim berubah. Aku selesai belajar tapi masih berkerja di Restoran Garuda.

Hugh Grant tidak lagi kelihatan datang ke Restoran Garuda.

Aku hanya mendengar dia sibuk dengan filem baru.

Bulan March 1994 Four Weddings And a Funeral dibuka di panggung. Aku menonton.

Wow! Filem ini berjaya di panggung dan di mata pengkritik filem. Nama Hugh Grant melonjak-lonjak naik ke seluruh dunia.

Kemudian aku dengar Hugh Grant pergi ke Holywood. Dia disamakan seperti Cary Grant, kacak bergaya dan juga pelakon pendatang dari United Kingdom ke Holywood.

Aku setelah berkelana selama 20 tahun, seperti ikan Salmon, aku mahu pulang ke tempat aku dilahirkan.

Restoran Garuda, Soho, King Cross dan Old Compton Street hanya terpahat dalam ingatan.

Tiba-tiba pada 27 Jun 1995 aku terbaca berita peminat mee goreng Restoran Garuda ditangkap polis di Los Angeles.

Hugh Grant terlibat dalam cinta terlarang.

Bila aku amati berita ini aku yakin percaya dan sahih. Hugh Grant ditangkap dalam kereta bersama Estella Marie Thompson a.k.a Divine Brown, seorang Minah kulit hitam.

Aduh! Hugh Grant memang masih lagi diserang Jungle Fever!

Dari laporan berita dikatakan Minah ini sedang cuba menghisap “pedang” Hugh Grant apabila polis berkereta sampai.

Lalu aku teringat kembali kepada Sir Allen Green.

Kenapa agaknnya sosok-sosok ini mencari cinta terlarang?

Aku teringat kembali ketika aku menyorok dalam belukar menghisap rokok telefon pada tahun 1958. Jawabnya keseronokan. Seronok kerana ada risiko kena marah dengan emak dan abah.

Apa yang dilarang membawa risiko. Risiko menjemput nikmat seronok.

Saperti kata kawan aku Lee Keong yang cintanya ditolak, “opposite poles attract”.

Yang hitam suka yang putih, yang putih suka yang hitam. Lagi dilarang lagi seronok. Lagi tak boleh lagi nak dicuba.

Epilog:

Pada Jun 2018, Hugh Grant berumur 57 tahun bernikah dengan Anna Eberstein 39 tahun. Minah ini bukan berkulit hitam. Minah ini berambut blonde dari Sweden.

Penyakit “Jungle Fever” Hugh Grant secara rasmi diumumkan tamat. Tapi aku yakin virus Jungle Fever masih berterbangan.