- Iklan -
Kolum

Nyawa rakyat di tangan 222 ahli Parlimen

Ataupun PRU15 terpaksa diadakan kerana 222 ahli Parlimen ini tidak boleh berkompromi demi rakyat dan negara?

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Setakat ini ada tiga pilihan raya yang bakal dihadapi negara iaitu Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Masalahnya ketiga-tiga pilihan raya ini kemungkinan besar perlu diadakan ketika wabak Covid-19 terus menular di seluruh dunia sambil menunggu pengeluaran vaksin secara besar-besaran.

PRK Batu Sapi boleh dihindarkan jika tiada calon bebas yang memasuki pertandingan dan membiarkan Warisan menang tanpa bertanding.

Jika tidak, penduduk Batu Sapi dan pegawai Suruhan Pilihan Raya (SPR) dan petugas barisan hadapan akan berdepan dengan risiko tinggi dijangkiti Covid-19, yang sudahpun menjadi mudarat di Sabah.

Jika kerajaan PN tumbang, dan tiada siapa yang mempunyai majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan, maka PRU15 terpaksa diadakan meskipun Covid-19 tengah mengganas.

Bagi Sarawak pula, kerajaan negeri Sarawak disarankan menghabiskan penggalnya ke hari terakhir iaitu bulan Jun 2021 sebelum PRN diadakan.

Namun begitu, tiada siapa yang tahu apakah ketika itu Covid-19 sudah reda dan situasi bertukar menjadi kondusif untuk membuat PRN. Apakah risikonya jika ketika itu kebolehjangkitan R-naught (R0) Covid-19 masih tinggi?

Ataupun kerajaan Sarawak perlu membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal bersesuaian dengan kadar R0 yang kurang daripada paras 1.0 selama 30 hari untuk mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 ketika kempen PRN?

Mengambil iktibar daripada PRN Sabah, apakah SOP yang boleh dilakukan untuk mengelakkan jangkitan berleluasa ketika Sarawak perlu bergerak ke sana, ke sini demi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi?

Bolehkah kerajaan memastikan setiap warga semenanjung dan Sarawak dikuarantin selama 14 hari selepas membuang undi sebelum pulang ke tempat kerja masing-masing?

Perkara ini perlu dikaji secepat mungkin, namun apa yang pasti, ia bakal menyeksakan warga Sarawak dan juga menjejaskan lagi ekonomi negara.

Jika PRN Sarawak ialah pilihan raya yang tidak boleh dielakkan, bagaimana pula dengan PRU15?

Sebenarnya, PRU15 boleh dielakkan sehingga 2023.

Ketika itu, dipercayai vaksin Covid-19 berada di pasaran dan wabak Covid-19 sudah berlalu.

Namun begitu, mampukah kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini bertahan sehingga saat itu?

Susulan pendedahan pelbagai surat kepada Agong dari kalangan Umno sendiri, kerajaan PN ini boleh tumbang bukan kerana pembangkang kuat tapi kerana pertelingkahan yang tidak perlu ketika musim Covid-19 ini.

Jika kerajaan PN tumbang, dan tiada siapa yang mempunyai majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan, maka PRU15 terpaksa diadakan meskipun Covid-19 tengah mengganas.

Belanjawan 2021 akan menjadi penentu samada PRU15 akan diadakan pada musim pandemik Covid-19.

Kematangan berpolitik dan sama ada nyawa rakyat dan ekonomi negara akan dijadikan pertimbangan utama 222 ahli Parlimen akan terburai di sesi Dewan Rakyat kali ini.

Apakah PRU15 yang boleh dielakkan demi rakyat dan negara, dapat terus dielakkan oleh 222 ahli Parlimen ini?

Ataupun PRU15 terpaksa diadakan kerana 222 ahli Parlimen ini tidak boleh berkompromi demi rakyat dan negara?

Tanpa darurat, nasib rakyat dan negara kini terletak kepada 222 ahli Parlimen.

Kini, rakyat cuma boleh berharap nasihat Yang di Pertuan Agong akan terus dijunjung oleh 222 ahli Parlimen ini, tanpa ada yang sembah derhaka demi rakyat dan negara untuk mengharungi wabak Covid-19 sehingga vaksinnya muncul.