- Iklan -
Rencana

Antara politik angka dan realiti pandemik negara

Kerana angka, Covid-19 kembali berleluasan disebabkan kerakusan sang politikus

Ismail Hashim Yahaya
3 minit bacaan
Kongsi
Angka pandemik Covid-19 dalam negara semakin meningkat setiap hari.
Angka pandemik Covid-19 dalam negara semakin meningkat setiap hari.

Senario politik semasa memperlihatkan “angka” menjadi laungan penting buat pemimpin-pemimpin parti politik dalam usaha memastikan diri berada di atas sekali sama ada kawan mahupun lawan.

Sejak langkah Sheraton sehingga ke langkah Meridien, angka menjadi satu titik tolak bagi menentukan siapakah paling berkuasa ataupun bakal berkuasa, berada di puncak atau tumbang menyembah bumi.

Politik angka ini telah menjadi sesuatu yang fetish atau mempunyai daya hikmat untuk  mempengaruhi sang politikus dan pengikut-pengikutnya.

Sekali terkena dengan angka hikmat 111, 112 atau 120 sang politikus di Parlimen boleh “naik syeikh” memikirkan kelompok manakah yang perlu disokong.

Selain politik, angka juga menjadi debaran setiap hari buat rakyat negara ini apabila Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah muncul di kaca televisyen.

Angka mereka yang dijangkiti pandemik Covid-19 saban hari semakin tinggi selepas keputusan bijak sang politikus yang pergi ke Pilihan Raya Negeri Sabah tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Mereka membawa virus ini ke Semenanjung kemudian berpura-pura tidak bersalah.

Ada yang memohon maaf, tetapi nasi sudah menjadi bubur. Inilah mentaliti sang politikus kelas tiga.

Mereka telah terjebak dalam angka atau data dan jumlah bilangan kerusi yang harus menang di PRN Sabah sehingga jumlah kes meruncing di Sabah telah diketepikan.

Ini adalah angka sebenar yang perlu dibimbangi dan ditakuti. Bagaimana kalau serangan virus hanya menjangkiti sang politikus sahaja dan rakyat adalah kebal daripadanya. Adakah kesedaran akan timbul daripada hati mereka?

Bayangkanlah jumlah kes Covid-19 di Malaysia mencatatkan angka lebih daripada 800 untuk tiga hari berturut-turut, apabila 865 kes dilaporkan pada Selasa (20 Oktober) dan menjadikan angka keseluruhan sebanyak 21,363 kes.

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan virus tersebut sebanyak 7,456 kes.

Angkara siapakah ini? Ini adalah angka sebenar yang perlu dibimbangi, bilangan angka 120 masih berbolak balik atau boleh naik atau turun bagai ditiup angin kencang.

Kekadang apabila dikhayalkan atau diimaginasikan kepada bilangan jumlah kerusi parlimen, kita sebagai pembaca dan pemerhati sudah lupa dengan angka lain yang semakin penting kepada kita.

Ada yang memohon maaf, tetapi nasi sudah menjadi bubur. Inilah mentaliti sang politikus kelas tiga.

Bagaimana dengan peratusan pengangguran kita? Keadaan pertumbuhan ekonomi negara bagaimanakah pula? Apa jadi dengan angka atau bilangan peratusan mereka yang muflis, dibuang kerja, tidak dapat membayar hutang.

Kenapa angka ini tidak diuar-uarkan sebagaimana bilangan angka ahli parlimen?

Adakah ia tiada kepentingan kepada sang politikus atau media pengaruh politik tidak memandangnya sebagai sesuatu yang mempunyai nilai berita.

Sebenarnya inilah percaturan angka sebenar yang seharusnya diberikan fokus dan perhatian oleh sang politikus dan menteri-menteri, bukan terhad kepada keadaan kesihatan dan keselamatan rakyat daripada virus Covid-19 tetapi juga kesihatan dan kesejahteraan ekonomi negara.

Perbentangan belanjawan 2021 misalnya akan akan memberi tumpuan kepada empat tema utama iaitu menjaga kebajikan rakyat; memacu pertumbuhan ekonomi; melestarikan kehidupan; dan memantapkan penyampaian perkhidmatan awam.

Dalam hubungan ini kita akan terbeliak mata menonton angka belanjawan itu, seperti jumlah dana yang diperuntukan oleh Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bagi membantu Malaysia keluar daripada kemerosotan ekonomi akibat Covid-19.

Tidak perlu untuk mempersembahkan data atau angkanya sebab kita dah terlaku banyak makan data dan sudah terasa mual pula, data-data yang tidak boleh dihadam dan membawa kepada senak perut.

Oleh itu dapat diandaikan angka dan bilanganya adalah sumber dalam rencah kehidupan di negara ini sekarang. Kekadang angka lebih tahu daripada diri kita sendiri.

Ia seolah-olah menguasai kehidupan kita sebenarnya. Ringkasanya seolah-olah manusia tidak lebih daripada algoritma yang mudah dicaturkan tentang kehidupan, emosi dan pengalamannya.

Bayangkanlah Facebook, WhatsApp, Twitter, Instagram dan Google lebih banyak mengetahui tentang diri kita dan masa depan daripada merujuk pedoman kepada kitab suci al-Quran yang diwahyukan Allah kepada  manusia.

Tidak keterlaluan untuk dikatakan dalam senario sekarang kehidupan rakyat di negara ini terdiri daripada aliran angka atau data dan nilai setiap fenomena atau entiti ditentukan oleh sumbangan kepada pemprosesan data.

Itulah yang setiap hari kita perolehi daripada angka atau bilangan kes baharu Covid-19 misalnya.

Dalam hubungan ini kita memerlukan percaturan angka yang sebenar bukannya terbatas atau berunsur terlalu relatif kepada caturan tidak menentu contohnya dalam pertarungan siapakah Perdana Menteri ke-9.

Ismail Hashim Yahaya merupakan pensyarah Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Komputeran, Universiti Selangor

* Tulisan ini adalah pendangan penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.