- Iklan -
Rencana

Kerana ‘kerakusan’ Anwar, Umno dapat laba?

Umno hanya menggunakan Anwar untuk mendapatkan sebanyak mungkin laba.

Kamarazaman Yacob
2 minit bacaan
Kongsi
PKR president Anwar Ibrahim.
PKR president Anwar Ibrahim.

Melihat kepada kegawatan politik semasa, nampaknya Umno akan mendapat laba.

Semuanya bermula dari gara-gara Presiden PKR Anwar Ibrahim mengadap Yang di Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Kemudian diikuti dengan Tengku Razaleigh Hamzah, yang turut mengadap Agong.

Biro politik Umno bersidang dan memberi gambaran, seolah-olah bersedia meninggalkan Perikatan Nasional (PN).

Tentulah “gertak” atau acah-acah begini akan merimaskan Muhyiddin Yassin.

Selepas Biro Politik Umno bersidang, terdengar suara-suara dari “algojo” Umno seperti Tajuddin Abdul Rahman dan Mohamed Nazri Aziz, membertihkan rasa ketidakpuasan ahli-ahli parti terhadap kepimpinan Muhyiddin.

Muhyiddin di dalam keadaan yang tersepit dan terhimpit, tiada jalan lain, melainkan memenuhi tuntutan Umno.

Sama ada menyempurnakan sepenuhnya selera atau tuntutan Umno. Atau sebahagian besar daripada tuntutan tersebut.

Sama ada Muhyiddin, memberi kesemua tuntutan Umno, atau hanya sebahagian, tapi sudah cukup memberi laba kepada parti Melayu terbesar itu.

Sekurang-kurangnya untuk waktu ini.

Umno bersedia menunggu permainan Anwar seterusnya, yang mungkin turut membuka ruang kepada untuk kembali mengasak Muhyiddin.

Pemimpin Umno tidak merasa bimbang dengan gelagat dan lakonan Anwar.

Mereka tahu, Anwar tiada nombor. Sebab itu, Anwar atau tukang palu gongnya menyatakan sudah mendapat sokongan dari Umno.

Khalid Samad, turut menjadi tukang canang dan “Pak Nujum”, dengan mengatakan 30 ahli Parlimen Umno menyokong Anwar.

Sekiranya benar, itu bermakna, hanya tinggal 9 ahli Parlimen Umno sahaja yang kekal tidak menyokong Anwar.

Dulunya, dalam kalangan pemimpin Umno, berteka-teki, siapa antara 12 ahli Parlimen dikatakan menyokong Anwar.

Kali ini, nampaknya sudah terbalik. Mereka terpaksa berteka-teki, siapa pula 9 ahli Parlimen yang tidak menyokong Anwar.

Tentulah Khalid menjadi “Raja Lawak” dalam kes ini. Nasiblah Khalid!

Suara Khalid itu, secara tidak langsung, membantu Umno di dalam tuntutan mereka kepada Muhyiddin.

Selain itu, natijahnya ialah Anwar masih jauh dari mempunyai angka yang cukup.

Rata-rata pemerhati politik mengambil kesimpulan bahawa Anwar tiada nombor.

Malah politik Anwar semakin gerhana dan gelap, selepas beliau membuat sidang media selepas mengadap Agong.

Selepas sidang media Anwar, cepat-cepat wakil Istana Negara mengeluarkan kenyataan menyangkal dakwaan presiden PKR itu.

Kalau diamati kenyataan pihak Istana Negara itu, jelas kredibiliti Anwar sudah pupus.

Nampaknya, jawatan perdana menteri ke-9 (PM9), semakin jauh dari Anwar.

Malah Anwar semakin “meraba dalam kegelapan” untuk mengejar jawatan PM9, yang sudah menjadi bayang-bayang.

Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li, tiba-tiba diolah persis akan menjadi PM9.

Ianya, berpunca dari Ku Li mengadap Agong, selepas Anwar. Mungkinkah jadi begitu?

Bagaimana Ku Li, akan menjadi PM9? Sedangkan PM8 masih ada. Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin masih kekal.

Agong tidak boleh melantik PM baru, selagi masih ada Muhyiddin.

Melihat kepada ketelitian Agong semasa memilih PM8, selepas Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan, tiada kemungkinan Ku Li akan “terlantik” sebagai PM9.

Adakah Agong akan mengisytiharkan darurat? Itu tidak mungkin, memandangkan tiada keperluan untuk Agong berbuat demikian.

Memang Agong mempunyai kuasa mengisytiharkan darurat, mengikut Perkara 150(1).

Bagaimanapun, ianya dibaca sekali dengan Perkara 40(1), yang jelas menyatakan atas nasihat Jemaah Menteri.

Kesimpulannya, Anwar semakin sukar perjalanannya. Muhyiddin akan dihimpit. Umno akan mengutip laba.

* Kamarazaman Yacob merupakan bekas aktivis mahasiswa 1970-an.

* Tulisan ini adalah pendangan penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.