- Iklan -
Rencana

Covid-19: Bolehkah kerajaan diheret ke mahkamah?

Sama ada tindakan undang-undang tersebut akan dibenarkan oleh mahkamah atau tidak, ia adalah isu lain.

Rafique Rashid
4 minit bacaan
Kongsi
Seorang petugas kesihatan melakukan swab test. Gambar: Bernama
Seorang petugas kesihatan melakukan swab test. Gambar: Bernama

Peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19 pada kebelakangan ini amat memeranjatkan.

Kelmarin, angka yang dicatatkan adalah sebanyak 432 kes dan semalam ia meningkat menjadi 691 kes.

Keseluruhan rakyat menyuarakan kebimbangan dan kritikan pedas terhadap pihak kerajaan yang dilihat tidak berkeupayaan untuk menjalankan tanggungjawabnya dalam membendung penyebaran wabak berbahaya ini.

Tulisan ini bertujuan untuk melihat dan mengenal pasti apakah punca-punca peningkatan kes secara mendadak itu dan apakah remedi undang-undang yang tersedia kepada rakyat untuk membawa tindakan undang-undang terhadap kerajaan.

Gelombang pertama pandemik Covid-19 melanda negara pada 24 Januari hingga 13 Februari lalu dan sepanjang tempoh itu sebanyaak 22 kes dicatatkan. Tiada kes direkodkan antara 14 hingga 27 Februari.

Namun ketika tempoh itu, keupayaan kerajaan Pakatan Harapan dalam membendung pandemik ini tidak dapat dinilai dengan adil kerana mereka mempunyai tempoh yang singkat selepas tumbang pada 24 Februari yang lalu.

Bermula saat itu, negara dilanda krisis politik yang mengakibatkan jatuhnya kerajaan PH.

Selepas itu, pada tanggal 1 Mac, Muhyiddin Yasin dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8 bagi menggantikan Dr Mahathir Mohamad dan kemudiannya membentuk kerajaan baru.

Dr Adham Baba kemudiannya dilantik menjadi menteri kesihatan yang baru. Untuk rekod, dari 27 Februari hingga 18 Mac sebanyak sebanyak 768 kes Covid-19 dicatatkan.

Melalui penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kerajaan pimpinan Muhyiddin dilihat mampu membendung penularan wabak Covid-19.

Namun, selepas 31 Ogos hinggalah ke hari ini, ia menarik perhatian rakyat kerana berlaku peningkatan kes yang ketara.

Kami melihat kembali pola penularan wabak Covid-19 ini ke Sabah. Pada 29 Julai lalu, bekas ketua menteri Musa Aman mengumumkan beliau mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baru Sabah.

Selang sehari kemudian pada 30 Julai, Yang di-Pertua Negeri Sabah telah berkenan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan diadakan pada 26 September dan hari penamaan calon adalah pada 12 September manakala tempoh berkempen dibenarkan sehingga jam 11.59 malam 25 September.

Ahli-ahli politik dari serata negara termasuk perdana menteri, menteri-menteri dan timbalan menteri serta exco-exco negeri telah terbang ke Sabah untuk berkempen.

PRN Sabah terpaksa diadakan selepas berlaku cubaan mengambil alih kuasa sah pilihan rakyat daripada kerajaan Warisan.

Ini jelas apabila Musa menamakan menteri dalam negeri dan seorang setiausaha politik kepada perdana menteri yang terlibat berjumpa dengan Yang di-Pertua Negeri Sabah.

Peningkatan kes secara mendadak dilihat berlaku bermula dari tempoh pembubaran DUN Sabah sehingga kini.

Ini antara lainnya disebabkan oleh menteri-menteri dan ahli-ahli politik yang berkunjung ke Sabah tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Walaupun Sabah adalah “kawasan merah”, mereka ketika berkempen tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.

Sedikit sebanyak perkara ini diakui sendiri oleh Muhyiddin di dalam perutusannya semalam.

Apa yang lebih memeranjatkan selepas mereka pulang ke semenanjung, ada dalam kalangan mereka tidak menjalani kuarantin selama 14 hari.

Mereka masih bebas bergerak menjalankan tugas seperti biasa demi menjadi “kerajaan popular” di mata rakyat.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini berkata, kes positif dari Sabah tidak hanya melibatkan ahli politik sahaja bahkan orang awam juga.

Menteri kesihatan sebelum itu dilapor berkata peningkatan kes adalah disebabkan oleh kealpaan rakyat dalam mematuhi SOP.

Pada 12 September, Ismail Sabri memberitahu individu yang pulang dari Sabah tidak diwajibkan kuarantin di rumah.

Beliau yang dipetik menerusi akaun Facebook bertarikh 29 September berkata, setiap individu perlu menjalani kuarantin di rumah sehingga mendapat keputusan.

Ramai yang tertanya-tanya kenapa bukan 14 hari? Rentas negeri kita benarkan.

Mengambil contoh Kedah, selepas berlaku peningkatan kes mendadak, kita tidak kuarantin pun mereka, namun, sebaliknya berlaku buat mereka yang pulang dari Sabah yang perlu menjalani ujian Covid-19 disebabkan kes meningkat.

Jika negatif, mereka dibebaskan daripada kuarantin dan perlu diingat bukan keseluruhan Sabah adalah zon merah.

Walaupun selepas ujian Covid-19 menunjukkan keputusan negatif, sepatutnya kawalan kendiri perlu dilakukan dan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan pihak KKM.

Kecuaian oleh pihak kerajaan dalam menangani penyebaran wabak berbahaya ini hingga menyebakan kesusahan dan kerugian kepada rakyat, maka rakyat mempunyai hak untuk mengambil tindakan terhadap kerajaan di mahkamah.

Sama ada tindakan undang-undang tersebut akan dibenarkan oleh mahkamah atau tidak, ia adalah isu lain.

Sebagai contoh, di dalam kes Kerajaan Malaysia & Ors lwn Lay Kee Tee & Ors [2009] 1 MLJ 1, kesemua 184 plaintif adalah sama ada orang yang mengalami penyakit akibat daripada Japanese Encephalitis /virus Nipah atau tanggungan orang yang mati akibat daripada JE/virus nipah atau pemilik ladang khinzir yang terjejas akibat daripada JE/virus Nipah.

Bimbang mengenai virus tersebut, plaintif-plaintif yang terlibat meminta kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri untuk mengawal virus daripada merebak.

Masing-masing gagal bertindak dengan segera, sebaliknya membenarkan dan/atau menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk sehingga menyebabkan para plaintif mengalami kesakitan.

Klausa tindakan plaintif-plaintif adalah, antara lain, untuk kecuaian, kemungkiran tanggungjawab fidusiari, pelanggaran kewajipan statutori, kecuaian salah nyata, fraud, kehilangan hak-hak asas secara yang salah di sisi undang-undang, misfeasans jawatan awam dan pencerobohan terhadap tanah, bangunan dan barangan.

Di dalam kes Master Brisbane ak Itang lwn Robinson Lee & Ors [2014] 2 MLJ 565 pula, isu yang timbul ialah sama ada Jabatan/Kementerian Kesihatan terhutang kewajipan berjaga-jaga kepada perayu untuk memastikan perayu sudah diimunkan terhadap virus JE.

Harus ditekankan di sini bahawa meskipun kedua-dua kes di atas ditolak mahkamah, apa yang penting adalah satu tindakan undang-undang disebabkan kecuaian boleh dibawa oleh rakyat yang terjejas dengan tindakan dan/atau ketinggalan oleh kerajaan dalam membendung penyebaran wabak itu.

Maka persoalannya adalah adakah pihak kerajaan harus dibiarkan terus menerus alpa dan lalai dalam tanggungjawabnya tanpa sebarang mekanisme untuk “merotan” mereka?

Tulisan ini bermaksud untuk menelusuri tindakan perundangan yang mungkin boleh digunapakai sebagai satu mekanisme semak imbang.

* Artikel ini merupakan pandangan penulis dan ia tidak mencerminkan pendirian MalaysiaNow.