- Iklan -
Kolum

Cinta Kamal dan Saddar

Dari Jelebu cinta agung menjelma di Karachi, Pakistan.

Hishamuddin Rais
6 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Tahun 1975 aku sampai ke kota Baghdad dari Beirut untuk kali pertama.

Ketika itu Presiden Iraq ialah Ahmad Hasan al-Bakr. Timbalan presiden ialah Saddam Hussein.

Dalam kota ini untuk pertama kalinya aku mula mengetahui tentang Sunni dan Syiah. Ketika membesar di Jelebu, Negeri Sembilan aku pernah mendengar tentang dua mazhab ini.

Aku dibesarkan dalam keluarga dan masyarakat Melayu “Islam Budaya” justeru keluarga dan jiran kami tidak “ambil pot” hal Sunni-Syiah ini.

Di Baghdad ibu kota Iraq aku sempat berkenalan dengan pemimpin pelajar Iraq dan para aktivis muda dari Palestin.

Mereka arif tentang hal dua mazhab ini. Bukan arif dari sudut teologi tapi arif dari sudut budaya Arab.

Malah daripada mereka aku mula mendengar surah-surah tentang Imam Ali, tentang Karbala dan Najaf.

Di Baghdad juga buat pertama kali aku melihat wajah kacak Imam Ali terpampang dalam kedai makan.

Aku masih ingat kepada Bashir, pemimpin persatuan pelajar Iraq dari Universiti Basrah.

Kami berkenalan mesra di Baghdad. Hari akhir sebelum Bashir pulang ke Basrah dia bertanya: “Di Malaysia Sunni boleh kahwin dengan Syiah atau tidak?”

Aku tak faham sebenarnya soalan ini. Aku terangkan di Malaysia yang selalu timbul persoalan ialah Cina atau India nak kahwin Melayu. Sunni nak kawin Syiah ini tidak pernah aku dengar.

Bashir memandang tepat ke muka aku. “Kekasih aku Sunni dan aku Syiah. Kami ‘graduate’ tahun depan. Keluarga menghalang.”

Aku terkejut. Baru aku sedar Bashir sedang minta simpati. Tapi aku tidak ada pandangan dalam hal ini. Aku hanya berupaya menghulur tangan salam berpisahan.

Tahun 1977 aku sampai ke Baghdad untuk kali kedua. Kali ini Presiden Iraq ialah Saddam Hussein.

Kali ini pasport aku dirampas oleh Kedutaan Malaysia. Aku menyeludup lari ke Pakistan.

Di Pakistan aku menjadi pendatang haram. Aku menumpang tinggal dengan anak mahasiswa Patani di Karachi.

Aku tumpang tidur dalam bilik mereka di International House, Universiti Karachi.

Bilik nombor empat yang menjadi alamat surat menyurat aku ketika di Pakistan.

Sosok Melayu Patani dan Melayu Malaysia untuk warga Pakistan tiada bezanya. Aku selamat menyamar sebagai orang Siam.

Di Universiti Karachi aku berkenalan dengan ramai pelajar luar negara. Pelajar dari Iran, Uganda, Palestin, Somalia, Afrika Selatan, Iraq dan Lebanon.

Pelajar Patani ditakrif sebagai pelajar dari Thailand. Kebanyakan pelajar luar negara menginap dalam asrama.

Ketika itu tidak ada pelajar Melayu dari Malaysia yang belajar di Universiti Karachi. Aku selamat.

Semua ini berlaku sebelum Revolusi Iran. Sebelum kejatuhan Shah Reza Pahlavi. Sebelum dunia kenal nama Ayatollah Khomeini. Sebelum dunia bukan Islam tahu adanya Islam Sunni dan Islam Syiah.

Dalam Universiti Karachi aku berkenalan dengan Kamal anak Kurdish dari Iraq.

Kami jadi sahabat baik. Dia hairan kerana aku pernah sampai ke Shaqlawa di wilayah utara Kurdistan hampir dengan sempadan Turki. Kamal sendiri belum pernah sampai ke sana.

Pernah dalam satu jamuan makan malam pelajar luar negara Universiti Karachi aku diminta membuat “tayangan slide”.

Ketika itu aku sudah mula bermain dengan kamera. Secara jujur aku merakam aktiviti mahasiswa luar negara dari Universiti Karachi. Kamal aku takrifkan sebagai mahasiswa dari Kurdistan.

Seminggu kemudian Kamal dimarahi oleh pemimpin pelajar Iraq.

Mereka marah kerana aku mentakrifkan Kamal sebagai siswa dari Kurdistan. Bagi orang Iraq bangsa Kurdish tidak wujud.

Di Iraq hanya ada Arab Iraq. Kurdish bangsa hina yang “menempel”.

Masa berjalan musim berubah. Pelajar baru masuk. Dan satu hari aku diberitahu bahawa Kamal jatuh cinta dengan siswi yang baru masuk.

Aku mengingtai-intai nak melihat rupa Saddar. Kawan-kawan gembira kerana Saddar gadis manis lagi bergetah dari Karachi ini memilih Kamal.

Ketika ini juga kawan seperjuangan aku di Universiti Malaya, Yunus Ali sampai ke Karachi sesudah bergerila di Beirut.

Yunus memberikan aku buku bertajuk “Ali And Nino”. Buku ini dicetak pada tahun 1937 garapan Kurban Said (1905-1942).

Kurban Said dan buku ini sehingga hari ini masih menjadi kontroversi. Tapi bukan bab ini yang ingin aku surahkan.

Ali dan Nino membawa kisah cinta terhalang. Ali lelaki Islam bercinta dengan Nino gadis Kristian berlatarbelakangkan kota Baku dalam suasana Revolusi Bolshevik di Azerbaijan.

Di hadapan mata aku di Karachi Kamal anak muda Kurdish sedang jatuh cinta dengan Saddar gadis Sindhi keluarga Syiah warga Pakistan. Mereka bercinta di Karachi berlatarkan Revolusi Iran.

Aku rasa Kamal daripada kelas berada. Dia memiliki motosikal. Tidak ramai pelajar di Pakistan yang berupaya memiliki motosikal.

Sesekali aku ternampak Saddar memboceng dan Kamal yang memacu. Untuk kami pelajar luar negara si Kamal dan si Saddar menjadi Laila dan Majnun – Asyik dan Masyuk.

Kawan-kawan tahu bahawa mereka berdua bukan cinta main-main. Cinta Kamal dan Saddar menuju ke jinjang pelamin.

Satu petang di chai khana (warung teh) Kamal bersurah. Desas-desus mula tersebar bahawa keluarga Saddar tak suka percintaannya dengan Kamal.

Kisah percintan mereka dalam kampus sudah sampai ke telinga keluarga Saddar.

“Emak dan ayah aku akan datang minggu depan. Mereka nak berjumpa keluarga Saddar.”

“Nak jumpa keluarga Saddar? Wow! Nak masuk meminang ke?” dengan gembira sambil ketawa aku bertanya.

Kamal menerangkan daripada desas-desus yang didengarnya keluarga Saddar tak mahu menerima dirinya kerana merupakan seorang Kurdish bermazhab Sunni.

Kamal terasa ayah dan emak Saddar menganggap Kamal ini daripada keluarga miskin. Untuk membuktikan anggapan ini salah emak dan ayah Kamal akan datang membawa buah tangan.

“Bawa apa dari Baghdad?”

“Cincin, rantai, gelang dan emas permata sebagai hadiah,” Kamal menerangkan kepada aku.

Aku menjadi hairan dengan adat istiadat dan cara masyarakat Pakistan. Aku merasa macam ada jual beli.

“Kalau mereka nak emas. Keluarga kami akan bawa emas,” kata noktah daripada Kamal.

Aku sempat bertemu dengan emak dan ayah Kamal. Emaknnya berpakaian tradisional Kurdish.

Ayah Kamal saperti lelaki Eropah, kacak berjaket “tweed”, baju putih lengan panjang dan berkasut kulit hitam.

Daripada cara pemakaian aku yakin mereka pastilah orang berada di Kurdistan.

Seminggu sesudah ayah dan emak Kamal pulang aku mendengar berita tidak baik.

Saddar hilang. Saddar tidak lagi datang ke kampus. Kamal tercari-cari tapi tak jumpa. Apakah Saddar hilang diculik? Hilang ke mana? Tiada sesiapa yang tahu. Terbukti kedatangan emak dan ayah Kamal menghasilkan babak buruk.

Beberapa bulan kemudian aku mendengar yang Saddar awalnya disorokkan di luar Karachi.

Kemudian selepas mendapat visa, Saddar dibawa lari ke Kuwait untuk disimpan di rumah kakaknya.

Bagaimana Kamal mendapat berita ini aku kurang pasti. Apa yang jelas keluarga Saddar berkeras mahu memisahkan Saddar daripada Kamal.

Sesekali aku terserempak dengan Kamal di chai khana. Aku tak sanggup bertanyakan hal Saddar. Berat mana mata memandang berat lagi hati sosok yang ditinggal kekasih.

Dua minggu sebelum kampus ditutup aku mendengar berita bahawa Saddar cuba membunuh diri di Kuwait. Daripada desas-desus aku dengar Saddar dikurung oleh kakaknya di Kuwait. Aku yakin ini berita sahih.

Cinta oh cinta. Lalu aku baca sekali lagi Ali and Nino. Bacaan kedua ini memberi aku pemahaman dalam tentang beberapa babak ritual Syiah dalam bulan Muharam.

Dulu di kampung aku hanya tahu Asyura kerana ada bubur Asyura dalam bila ada kenduri surau.

Kini pemahamam aku tentang makna Asyura lebih daripada makan bubur. Malah di Karachi aku dapat melihat ritual memperingati pertempuran Karbala dengan laungan “Ya Hasan”,”Ya Husin”.

Kampus dibuka kembali. Tahun bermula. Tiba-tiba Kamal membawa berita yang Saddar diterbangkan pulang ke Karachi. Aku jangka Saddar masih ingin menyambung kembali belajar yang ditinggalkan dahulu.

Pagi itu aku di chai khana sedang minum. Mata aku merayau memandang ke arah dalam kampus.

Aku ternampak Kamal bermotosikal. Dia seorang diri. Sambil minum teh aku memerhati kedatangan posmen.

Aku sentiasa menunggu posmen. Posmen adalah jantan yang aku harap-harapkan ada membawa surat untuk Maruding Kasa nombor empat, International Hostel, Universiti Karachi.

Maruding Kasa ialah nama yang aku gunakan untuk menerima surat.

Pagi itu nasib aku baik. Ada sepucuk surat untuk Maruding dari Kuala Lumpur. Sebelum sempat aku membuka surat itu Kamal sampai membawa Saddar ke meja aku.

Aduh! Saddar kurus kering. Seperti baru keluar dari wad batuk kering.

Gadis di hadapan aku ini bukan Saddar yang aku kenali. Manisnya sudah hilang. Aku mengucapkan selamat datang. Saddar cuba tersenyum. Kamal beredar mencari kerusi dan memesan minuman.

“Lama tak jumpa,” aku memulakan surah. Lalu Saddar bercerita bagaimana dia dikurung oleh kakak sendiri di Kuwait.

Sebagai jawapan Saddar enggan makan minum hinggakan dia wajib mendapat rawatan doktor. Gadis Syiah ini bersedia untuk berkorban demi kekasihnya jejaka Sunni.

Aku gembira kerana Saddar akhirnya pulang ke Karachi untuk bertemu Kamal. Kegembiraan aku menjadikan aku lupa tentang surat dari Kuala Lumpur.

Pulang ke bilik aku membuka surat. Ada potongan akhbar daripada Utusan Malaysia.

Seorang mahasiswa daripada Kelab Umno yang belajar di Karachi membuka kisah aku dalam Perhimpunan Agung Umno. Pelajar ini menyeru kerajaan mengambil tindakan terhadap aku di Karachi.

Dua hari kemudian aku membungkus barang-barang dan meninggalkan Karachi.

Aku menyeberang ke Pintu Wagah, sempadan Pakistan – India di Lahore, Punjab. Aku meninggalkan Pakistan menuju ke New Delhi.

Aku putus hubungan dengan Pakistan. Sampai hari ini aku tidak tahu apa terjadi kepada Kamal dan Saddar.

Pada tahun 2016 filem Ali And Nino dibuat.

Aku tahu filem ini wujud dalam portal internet. Aku masih belum bersedia untuk menonton filem ini.

Aku belum sanggup melalui kembali detik-detik cinta agung yang gagal. Amin.