- Iklan -
Kolum

Apabila orang ramai marah pada golongan elit politik

Di media sosial, jelas kelihatan kemarahan pengguna internet terhadap ahli-ahli politik kerana dikatakan sebagai punca kes Covid-19 meningkat.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Daripada media sosial, dapat dilihat ternyata orang ramai sedang marah pada elit politik negara ekoran kenaikan mendadak kes Covid-19 sejak 1 Oktober lalu.

Ini kerana ia berpunca dari Sabah yang dibawa oleh aktivis-aktivis politik ketika pulang daripada berkempen dalam pilihan raya negeri itu.

Kemarahan itu ditujukan pada mereka yang menjadi penyebab kepada pergolakan politik di negeri itu hingga membawa kepada usaha menumbangkan kerajaan Warisan dan pembubaran Dewan Undangan Negeri DUN diikuti dengan pilihan raya.

Bukan saja parti politik Sabah yang terlibat, semua parti politik Semenanjung Malaysia turut serta berkempen dengan pemimpin-pemimpin dan aktivis mereka pergi ke Sabah. Baik daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Harapan (PH).

Walaupun negara masih dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan. Kesungguhan ahli-ahli politik berkempen dalam pilihan raya itu menunjukkan ia amat penting bagi mereka.

Ada yang menyebutnya sebagai raptai untuk Pilihan Raya Umum ke-15. Tetapi dari awal lagi selepas menumbangkan kerajaan PH, pihak PN dilihat berazam mahu mengambil alih lima negeri: Melaka, Johor, Kedah, Perak dan Sabah.

Ditambah pula persaingan di Sabah ini bukan saja antara PN dan PH tetapi juga sesama sekutu mereka juga. PN juga bersaing dengan BN untuk mendapatkan kerusi sebanyak mungkin. Di pihak PH, walaupun mereka mendokong Warisan tetapi PKR mahu meluaskan tapaknya.

Cara aktivis-aktivis ini berkempen, terutama daripada BN yang lebih berpengalaman menimbulkan rasa tidak senang bagi orang ramai yang mengikut perkembangannya. Penggunaan wang adalah suatu perkara. Tetapi paling penting ialah tiada pematuhan pada SOP bagi mencegah Covid-19.

Maka kemarahan memuncak orang ramai adalah apabila selepas pilihan raya, mereka pulang pada 27 September lepas. Berduyun-duyun mereka sampai di KLIA dengan ada laporan mengenai lagak orang kenamaan politik yang menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan orang ramai yang memerhati.

Ditambah pula pengumuman bahawa mereka tidak perlu dikuarantin 14 hari ketika mana sudah banyak kes timbul di Semenanjung Malaysia yang berpunca daripada aktivis-aktivis politik pulang dari Sabah. Isu dwi-standard kerajaan PN dalam soal Covid-19 ini ditimbulkan semula.

Golongan elit politik Malaysia bukanlah hebat sangat berbanding dengan mereka yang berada di Amerika Syarikat dan Eropah Barat. Semua negara mempunyai elit politik, sama ada negara maju atau membangun, besar atau kecil.

Elit politik Malaysia tidaklah kaya-raya seperti Presiden Donald Trump dan penentangnya Joe Biden.

Elit politik Amerika antaranya terdiri daripada jutawan dan hartawan walaupun melihat perdebatan presiden, mentaliti sebahagian ahli-ahli politik di mana-mana serupa saja. Tetapi elit politik Malaysia lebih kaya daripada kebanyakan rakyat negara ini, ada antara mereka ada rumah banglo dengan kolam renang.

Asal-usul elit politik di dunia datang dalam pelbagai bentuk. Ada yang berketurunan bangsawan dan mempunyai kekayaan yang diwarisi untuk aktif dalam politik.

Ada pula yang berasal daripada tuan-tuan tanah dan ahli-ahli perniagaan, pegawai-pegawai kerajaan dan juga tentera. Tidak kurang pula yang asalnya adalah para aktivis.

Di Malaysia, elit politik wujud di kedua-dua belah pihak iaitu parti kerajaan yang terdiri daripada PN dan BN, sementara di pihak pembangkang, iaitu PH dan Pejuang.

Tetapi lebih ketara ialah di pihak kerajaan kerana elit politik negara ini bermula dengan Umno sebagai parti yang menjadi kerajaan apabila negara mencapai kemerdekaan. Di pihak pembangkang pula, Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim adalah sebahagian daripada elit politik yang asalnya daripada Umno.

Sebelum merdeka, elit politik adalah mereka yang berkaitan dengan istana dan merupakan golongan bangsawan. Merekalah yang berdepan dengan kemasukan kolonial Inggeris.

Kemudian muncul pula orang Melayu berpendidikan, seperti kakitangan kerajaan, ulama, guru dan wartawan yang bercakap mengenai politik seperti anggota Kesatuan Melayu Muda. Tetapi mereka bukanlah elit politik, hanya aktivis.

Begitu juga dengan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada tahun 1945 dengan mempunyai puluhan ahli tidaklah dikira sebagai elit politik. Mereka adalah aktivis, nasionalis dan pejuang kemerdekaan.

Maka elit politik negara ini boleh dikira terbentuk dengan penubuhan Umno pada tahun 1946. Ia merupakan perhimpunan bangsawan, pegawai dan kakitangan kerajaan, ulama, guru dan pemimpin masyarakat. Pada awalnya ia turut disertai oleh PKMM dan nasionalis kiri.

Elit Melayu tidaklah kaya seperti elit perniagaan Cina. Tetapi mereka cukup berharta untuk menggerakkan kegiatan politik yang akhirnya membawa kepada kemerdekaan negara.

Bersama MCA dan MIC, ahli-ahli politik Perikatan inilah yang membentuk elit politik negara. Pihak pembangkang seperti PAS juga mengembangkan elit politik mereka sendiri yang berasaskan pada mereka yang berpendidikan agama.

Dengan memegang jawatan politik dan kerajaan, elit ini berkembang. Ia juga memberi laluan mobiliti bagi para aktivis dari kampung-kampung untuk akhirnya memperoleh jawatan dalam politik dan kerajaan.

Masuk tahun 1974, Perikatan berkembang menjadi Barisan Nasional. Negara bertambah makmur dan elit politik juga berkembang mengikut kepesatan pembangunan negara lebih-lebih lagi dengan adanya Dasar Ekonomi Baru.

Tetapi perubahan besar-besaran berlaku pada tahun 1980-an semasa Mahathir menjadi perdana menteri. Menjadi ahli politik Umno adalah satu jalan yang bukan saja menguntungkan tetapi merupakan laluan mobiliti daripada orang kebiasaan kepada menjadi elit politik.

Ia berkaitan juga dengan ahli-ahli perniagaan berkaitan Umno yang memperoleh manfaat dan boleh menjadi kaya. Keadaan ini menambah sengit perebutan jawatan dalam Umno daripada peringkat bahagian hinggalah pada pucuk pimpinan.

Generasi keluarga Umno juga sudah bergantian. Maka mereka anak-beranak menjadi keluarga elit politik Umno.

Malah pada tahun 1990-an, keluar konsep Melayu Baru untuk menggambarkan elit politik dan perniagaan Umno. Tetapi bagi orang luar parti itu, mereka juga kehairanan bagaimana elit politik ini boleh kaya-raya secara mendadak.

Maka timbul istilah Umnoputera bagi menggambarkan golongan eksklusif ini di tengah-tengah Bumiputera yang masih banyak ketinggalan.

Tetapi kesemua ini membawa bala pada Umno sendiri apabila timbul isu 1MDB dan Mahathir turun ke gelanggang politik untuk menentang apa yang dipanggilnya kleptokrasi.

Kini pergolakan politik terus berlaku. Perebutan kuasa oleh elit politik dalam suasana Covid-19 menimbulkan kemarahan orang ramai.

Mereka bukan saja marah tetapi perasaan hilang hormat pada elit politik ini jelas kelihatan. Pada masa-masa akan datang adalah sukar bagi elit politik untuk mendapatkan keyakinan daripada orang ramai, tidak kiralah daripada parti politik mana.

Hilang kepercayaan terhadap elit politik ini akan mengubah keadaan negara pada kedudukan berbeza daripada keadaan sebelum ini.

Malaysia tidak akan kembali sama seperti tahun sebelum datangnya Covid-19. Walaupun PN dan PH akan memperkenalkan suatu politik baharu tetapi rakyat sudah mempunyai sentimen sendiri yang berada di luar jangkauan elit politik.