- Iklan -
Kolum

Apa yang patut diutamakan ahli politik?

Apa yang patut diutamakan Malaysia dan dunia pada masa ini ialah mengalahkan Covid-19 dan bukan perkara-perkara lain. Dari segi jangka panjang pula, keutamaan perlu diberikan pada menghadapi perubahan iklim. Kedua-duanya berkaitan, Covid-19 dan perubahan iklim. Tetapi Malaysia tidak menumpukan perhatian penuh pada ancaman ini. Dari awal tahun 2020 lagi perhatian tidak pada ancaman ini. Walaupun […]

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Apa yang patut diutamakan Malaysia dan dunia pada masa ini ialah mengalahkan Covid-19 dan bukan perkara-perkara lain. Dari segi jangka panjang pula, keutamaan perlu diberikan pada menghadapi perubahan iklim. Kedua-duanya berkaitan, Covid-19 dan perubahan iklim.

Tetapi Malaysia tidak menumpukan perhatian penuh pada ancaman ini. Dari awal tahun 2020 lagi perhatian tidak pada ancaman ini. Walaupun Covid-19 sudah sampai ke sini, sebahagian ahli politik merancang untuk menumbangkan kerajaan sedia ada melalui apa yang dikenali sebagai Langkah Sheraton.

Di tengah-tengah Malaysia diselubungi Covid-19, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang dan menghasilkan pergolakan politik yang tidak berkesudahan termasuklah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Di tengah kempen ini, angka kes baru melonjak di Sabah dalam kerangka gelombang kedua Covid-19. Tindakan politik semasa negara menghadapi ancaman Covid-19 memperlihatkan sesuatu yang tidak bertanggungjawab.

Ketidaktentuan politik melarat-larat, termasuk pengumuman Anwar Ibrahim bahawa beliau mempunyai cukup angka untuk menubuhkan kerajaan. Keutamaan sekarang ialah mengelak daripada mengadakan pilihan raya umum mengejut dalam suasana Covid-19. Risikonya adalah besar.

Dalam keadaan begini tentunya tumpuan tidak dapat diberikan pada melawan Covid-19 sedangkan usaha itu memerlukan kesepakatan pelbagai parti, baik pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Ini adalah tanggungjawab melangkaui fahaman politik. Penekanan terhadap fahaman politik ini perlu. Ini kerana apabila disebut berpolitik, perhatian lebih tertumpu pada personaliti, kuasa dan habuan-habuan yang diperoleh oleh para penyokong.

Sedangkan semua parti politik memiliki idealisme dan fahaman politik yang menjadi sebab mereka ditubuhkan.

Keadaan yang tidak bertanggungjawab ini berlaku juga di peringkat global. Donald Trump yang merupakan presiden Amerika Syarikat sewajarnya muncul sebagai pemimpin dunia untuk menghadapi Covid-19.

Sebaliknya beliau tidak menangani ancaman ini dengan baik di negaranya, dan menuduh China sebagai sengaja melepaskan virus itu kepada dunia.

Trump juga membawa Amerika keluar daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan melancarkan perang dagang ke atas China dengan mengajak sekutu-sekutunya bersama, Britain, Kesatuan Eropah (EU), Australia dan Jepun.

Tindakan Trump itu mungkin boleh dilihat sebagai taktiknya untuk mendapatkan sokongan daripada rakyat Amerika menjelang pilihan raya November ini.

Tetapi parti Republikan yang mendokongnya dikenali sebagai pihak yang skeptik terhadap soal alam sekitar dan perubahan iklim, walaupun kajian sains sudah menunjukkan ia benar-benar berlaku.

Kalangan golongan kanan ini sentiasa mengesyaki bahawa isu alam sekitar itu merupakan konspirasi golongan kiri untuk menyekat kebebasan mereka berniaga dan menjadi kaya raya.

Maka sikap golongan kanan terhadap Covid-19 ini ialah mereka memandang wabak ini sebagai fenomena sementara yang akan dapat diatasi oleh kebijaksanaan manusia.

Sistem kapitalisme dan syarikat farmasi gergasi akan menemui vaksin serta ubat bagi mengatasi Covid-19, dan semuanya akan selesai menjelang tahun 2021 dan dunia akan kembali seperti tahun 2019.

Tetapi tidak semestinya akan berlaku demikian. Ada juga kemungkinan Covid-19 ini hanyalah permulaan daripada rentetan wabak yang lebih buruk pada masa akan datang. Ini kerana isu perubahan iklim masih belum ditangani. Dunia tidak akan dapat kembali pada zaman sebelum 2020.

Perubahan iklim ini pula berkaitan dengan sistem ekonomi dunia yang menyaksikan kerakusan dan ketamakan manusia kaya raya yang memiliki modal besar menjarah bumi dengan menghapuskan hutan dan memupuskan haiwan-haiwan liar.

Mereka memegang kepercayaan pada hak demokratik untuk bebas hidup mewah menggunakan harta mereka sesuka hati.

Dengan generasi muda kaya raya yang mahu merasakan makanan eksotik kerana untuk membezakan mereka daripada orang biasa, maka tercipta pasaran mewah untuknya.

Ini pula membawa kepada pemerdagangan haiwan liar. Ia berlaku bukan saja di China, tetapi pasaran makanan eksotik ini sampai ke Eropah dan Amerika. Sementara sumbernya pula juga datang dari negara-negara tropika, termasuk Malaysia yang menghadapi juga isu pemerdagangan haiwan liar.

Keinginan untuk merasakan makanan eksotik hanya sebahagian daripada budaya golongan kaya raya yang juga meliputi perkara-perkara lain seperti membeli barangan berjenama mewah, minum kopi mahal-mahal, bercuti tempat yang pelik-pelik, membeli lukisan yang berharga tidak masuk akal, dan banyak contoh lain.

Walaupun Covid-19 masuk ke Malaysia dari China, tetapi pathogen yang melompat dari kelawar ke haiwan liar dan berpindah ke manusia bukan saja berlaku di China Selatan dan kesannya di Wuhan, tetapi ia juga boleh berlaku di negara-negara tropika. Malaysia sendiri pernah mengalaminya terhadap wabak Nipah di Bukit Pelanduk beberapa tahun lalu.

Perkara ini serius dan kesemuanya didokumentasikan oleh ahli sains. Pastinya ahli sains Malaysia juga menyedari ancaman ini dengan kementerian-kementerian terlibat mengetahui hal ini. Cumanya, adakah ahli-ahli politik negara menyedari dan mengambil berat mengenai perkara ini?

Apabika Covid-19 mula muncul pada akhir 2019, pihak kementerian sudah perlu mengingatkan kerajaan tentang perkara ini. Ketika itu kerajaan PH juga bersedia untuk menghadapi Covid-19 dengan mematuhi perakuan-perakuan dari WHO yang masa itu belum mengisytiharkannya sebagai pandemik.

Terdapat kesedaran mengenai perubahan iklim dalam PH khususnya di kalangan ahli politik DAP, parti yang berfahaman demokrasi sosial.

Yeo Bee Yin menamakan potfolionya Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc). Perubahan iklim ini disebut untuk menekankan kepentingannya pada Malaysia dan dunia.

Tetapi tumpuan sebahagian ahli politik lain dalam PH tidak pada ancaman Covid-19. Mereka lebih bimbang kalah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ekoran asakan dari Umno-PAS yang menggunakan platform “ethno-nasionalisme Melayu-Islam” bagi menolak DAP.

Di samping itu, mereka juga bimbang terhadap Anwar Ibrahim yang dijanjikan akan mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir Mohamad.

Maka akhirnya berlaku Langkah Sheraton dan penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN). Apabila mandat rakyat dilanggar, tentulah soal legitimasi timbul dan pihak yang disingkirkan akan berusaha untuk memperolehinya kembali. Akibatnya ialah ketidakstabilan dan keadaan tidak menentu.

Mestecc kembali menjadi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), maka hilanglah kepentingan perubahan iklim.

Tetapi isu perubahan iklim adalah sesuatu yang sudah sampai pada peringkat darurat. Cadangan penyelesaiannya juga sudah diatur dalam persidangan antarabangsa. Cuma ketiadaan azam politik negara-negara menyebabkan ia sukar dilaksanakan.

Aktivisme global bagi perubahan iklim juga bergerak rancak dengan media antarabangsa sering menyangkan dokumentari mengenainya. Tetapi ia tidak diambil serius, kerana tidak seperti Covid-19, perubahan iklim memberi kesan secara beransur-ansur.

Namun apabila berlaku ribut taufan, banjir, kebakaran hutan dan kenaikan paras laut, ia akan menjejaskan jutaan manusia di seluruh dunia. Yang paling terkesan adalah golongan miskin apabila sumber makanan mereka terjejas.

Tingkah laku haiwan juga berubah dan menjejaskan pengeluaran pertanian dan makanan. Akhirnya kelak, gejala ini akan sampai juga pada negara-negara kaya seperti yang berlaku dalam hal Covid-19.

Penggunaan bahan api fosil yang keterlaluan sejak berdekad-dekad didorong oleh budaya konsumsi yang membazirkan akan memusnahkan bumi, dan selanjutnya mengorbankan manusia. Inilah keutamaan yang patut dihadapi dan ditangani oleh ahli-ahli politik tidak kira negara mana mereka berkuasa.