- Iklan -
Kolum

Tenet: Filem unggul Nolan

Ada karya pengarang Hadiah Nobel yang sukar dibaca. Plotnya rancu, malah kadang dalam banyak keadaan, tiada cerita yang dapat dipegang. Karya-karya Kenzaburo Oe (Jepun), Elfriede Jelinek (Austria), Herta Muller (Romania) dan Jose Saramago (Portugal) misalnya menuntut kesabaran untuk menghabiskannya. Malah selalu, karya mereka mesti dibaca lebih dari sekali untuk memahami wacana, naratif, dan juga kehalusan […]

Faisal Tehrani
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Faisal Tehrani

Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani adalah seorang sasterawan yang berminat dengan pelbagai perkara, dari kesusasteraan, filem, budaya, sejarah, politik, hak asasi manusia dan kadangkala hal-hal yang dianggap remeh seperti gastronomi dan seksologi. Beliau bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Peyelidik Bersekutu sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard.

Ada karya pengarang Hadiah Nobel yang sukar dibaca. Plotnya rancu, malah kadang dalam banyak keadaan, tiada cerita yang dapat dipegang.

Karya-karya Kenzaburo Oe (Jepun), Elfriede Jelinek (Austria), Herta Muller (Romania) dan Jose Saramago (Portugal) misalnya menuntut kesabaran untuk menghabiskannya.

Malah selalu, karya mereka mesti dibaca lebih dari sekali untuk memahami wacana, naratif, dan juga kehalusan seninya.

Karya filem hasilan Christopher Nolan menurut saya adalah seperti itu. Ia terletak dalam kelas tersendiri, dan bukan semua penikmat filem akan menelannya dengan mudah.

Ambil sahaja plot jenis Sisyphien dalam Dunkirk (2017) yang dibaur dengan pelbagai latar masa, atau Inception (2010) yang sangat banyak lapisnya dan memerlukan ketabahan menonton.

Tenet (2020) yang masih ditayangkan di banyak pawagam (meskipun dunia dilanda pandemik) menyuguhkan formula serupa. Ia adalah filem kelasan untuk penikmat yang juga kelasan.

Sebagai filem aksi dan perisikan yang menampilkan bintang-bintang seumpama John David Washington, Robert Pattinson, Elizabeth Debicki, Dimple Kapadia, Michael Caine, dan Kenneth Branagh ia sudah tentu dinanti-nantikan.

Trilogi Batman meletakkan Nolan dalam darjat agung. Pun, ramai yang kecundang untuk memahami apatah lagi mengikuti karya Nolan kali ini.

Sekali lagi, karya sastera bertaraf Nobel tidak sesuai dibaca oleh penikmat karya picisan. Demikian jugalah, filem garapan Nolan. Ia bukan untuk mereka yang kuasa cerapan seninya lemah.

Filem-filem Nolan gemar memainkan salah satu rukun naratif yang paling penting. Bukan, bukan plot. Akan tetapi latar masa dan sudut pandang.

Menerusi latar masa yang sering dikecahkan plot itu datang. Malah, ada kemungkinan cara Nolan berkarya itu aneh kerana memulai dengan latar masa dan barulah datang plot.

Ambil sahaja Interstellar (2014) yang menggugah jiwa kerana wataknya seorang angkasawan menempuh pelbagai ragam masa. Misalnya dia masih muda ketika menziarahi anak perempuannya yang sudah terlalu tua dan nazak di katil masa hadapan.

Dunkirk pula memutar tiga latar masa serentak untuk dibaurkan dengan tujuan menduga penonton.

Christopher Nolan sekali lagi memainkan latar masa serta sudut pandang lantas menjungkir-balikkan plot.

Inilah ramuan Tenet. Watak utama Tenet, Sang Protagonis (lakonan hebat Washington) adalah seorang perisik rahsia yang perlu memanfaatkan masa untuk menghentikan Perang Dunia Ketiga.

Terdapat kebuk masa yang boleh mengundurkan seseorang sepuluh minit lewat, dan menghantar juga ke sepuluh minit awal.

Penjenayah Rusia terkenal, Andrei Sator lakonan merecup meletupan oleh tokoh teater Inggeris Kenneth Branagh menguasai kebuk masa itu, dia berhasrat untuk memusnahkan dunia.

Protagonis yang datang dari masa hadapan perlu menghentikannya, dan mendorong Protagonis di masa silam untuk melakukannya dengan betul.

Untuk menjadikan semua itu kenyataan, dia memerlukan bantuan Neil, lakonan mengesankan Robert Pattinson.

Ibarat karya penerima Hadiah Nobel

Di tengah-tengah kehuru-haraan menghentikan kemungkinan berlakunya Perang Dunia Ketiga, Sang Protagonis mendapati kunci konflik terletak di tangan Priya seorang peniaga senjata haram (lakonan Dimple Kapadia).

Sang Protagonis ikut terseret dalam masalah rumahtangga Sator, dan berusaha menyelamatkan Kat (lakonan Elizabeth Debicki). Di tengah naratif yang plotnya berjalan simpang-siur, muncul Ives lakonan Aaron Perry Taylor-Johnson, salah seorang tentera yang menyudahkan operasi dari masa hadapan itu.

Menonton Tenet ialah seperti membaca karya sastera penerima Hadiah Nobel yang kompleks. Setiap dialog perlu diawasi (jangan ke tandas!), setiap mise en scene (yakni apa yang diletakkan di skrin) seperti kod warna pada bahu watak mesti diamati; dan setiap perbincangan sains (hukum fizik yang membuatkan masa boleh berundur) perlu dicermati.

Tanpa kecekapan membaca semua itu, penonton hanya akan terpinga-pinga oleh letupan, undur dan maju latar masa. Penonton yang pandai sedikit mungkin akan dapat merasai lakonan hebat bintang utamanya.

Oleh itu Tenet sekali lagi menyediakan empat lima lapis naratif dan wacana yang perlu dihadam. Untuk itu menontonnya sekali adalah mustahil.

Maka tontonan kali kedua misalnya akan membolehkan kita mengerti yang Neil adalah anak Kat dan Sator, yang akan bekerjasama di masa hadapan dan Neil datang dari masa hadapan untuk menemukan Sang Protagonis dengan ibunya.

Tontonan kali kedua juga akan membolehkan kita menangkap bahawa Tenet bukan sekadar bermakna Rukun, nama operasi masa hadapan itu.

Akan tetapi lebih kepada kata ten (sepuluh yang dibaca pangkal hujung akan dieja sebagai Tenet). Tontonan kali ketiga akan memahamkan kita yang Tenet bukan mengenai pengembaraan masa tetapi bagaimana kiranya jika masa mengundur (peluru yang ditembak masuk kembali ke dalam kelongsong pistol).

Juga tontonan kali lain akan membuatkan kita yakin bahawa Neil sebenarnya sudah mati dalam usaha melepaskan Sang Protagonis dan Ives.

Lebih dahsyat, Sang Protagonis sebenarnya sudah lama mati setelah mengambil pil bunuh diri ekoran kegagalan operasinya di panggung opera Kiev. Ini bermakna hero sudah mati di awal filem.

Permainan latar masa itu dirumitkan pula dengan sudut pandang yang berbeza-beza. Ia membingungkan kita misalnya mengapa Priya dibunuh akhir cerita kerana berhasrat membunuh Kat dan anaknya.

Uji diri anda

Ives kembali dari jalur masa lain di masa hadapan untuk memburu Protagonis dan membunuhnya ekoran dia memiliki salah satu bahagian plutonium. Tenet menjadi luar biasa kerana ini.

Juga seperti karya Hadiah Nobel, naratif Tenet bukan sekadar untuk dirungkai tetapi juga sebenarnya dinikmati berkali-kali. Naratif Tenet tidak menyediakan sebab dan akibat yang utuh. Mampuskan dengan kausaliti.

Jangan cari plot. Itulah puncanya ramai audien yang bingung menonton Tenet kerana mereka mencari cerita. Hukum cerita di panggung Hollywood ialah penghabisan.

Nolan mengabaikan semua rukun sedia ada. Dia hadir sebagai seorang pakar dramaturgi, cuma mediumnya adalah gambar bergerak (wayang).

Salah satu hukum naratif yang saya pelajari lama dahulu ialah seseorang karyawan mesti menguasai tema, plot, watak, latar masa dan tempat, serta sudut pandang.

Setiap tunjang naratif ini ada hukum-hakamnya yang pantang dilanggar. Pun, hukum-hakam cerita bukanlah hukum-hakam alam.

Setelah menguasai semua itu seseorang karyawan bebas melanggar dan mengutak-ngatikkannya. Itulah yang Nolan lakukan, merubah hukum.

Pelanggaran rukun (tenet) ini kita perlu fahami ibarat terma yang beliau sukai dalam Tenet, merubah algoritma.

Sekarang, sila uji diri anda. apakah anda benar-benar penikmat seni kelasan atau rendahan. Uji diri dengan menonton Tenet.