- Iklan -
Kolum

Muhyiddin Yassin penyelamat Umno

Sekiranya Umno tidak memecat Muhyiddin pada 2016, beliau kini adalah PM ke 7 dan BN tidak kalah PRU14.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Jika Muhyiddin Yassin tidak dipecat sebagai timbalan perdana menteri kerana mempersoalkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), di manakah beliau berada  pada hari ini?

Andaikan Umno bersama beliau ketika beliau gigih mengkritik isu 1MDB Perdana Menteri Najib Razak ketika itu, Muhyiddin mungkin adalah presiden Umno yang mengemudi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Oleh kerana itu juga, Dr Mahathir Mohamad berkemungkinan besar juga tidak akan menubuhkan Bersatu.

Tanpa isu 1MDB dan Dr Mahathir di sebelah pembangkang, BN tidak mungkin tumbang dan Muhyiddin sepatutnya sudah pun  diangkat sebagai Perdana Menteri ke 7.

Namun begitu, itu hanyalah andaian. Realiti yang berlaku membuktikan bahawa liku-liku jodoh antara Muhyiddin dan Umno, yang sudah terjalin lebih 45 tahun, tidak sebegitu lurus dan mudah, malah penuh berduri dan berliku.

Selepas dibuang sebagai TPM dan timbalan presiden Umno, Muhyiddin terpaksa mencari wadah baru untuk terus kekal relevan di dalam politik. Di sinilah lahirnya Bersatu, hasil gandingan Muhyiddin dan Dr Mahathir.

Ketika itu, jodoh Muhyiddin dan Umno retak. Mereka terpaksa menjadi musuh, meskipun Umno adalah wadah perjuangan beliau untuk berpuluh-puluh tahun lamanya.

Bersama Dr Mahathir, Muhyiddin terpaksa berkawan dengan musuh-musuh Umno lalu menubuhkan Pakatan Harapan (PH) yang akhirnya menumbangkan Umno dan BN pada PRU14 yang diadakan pada 2018.

Tanpa Muhyiddin, nasib Umno berubah daripada sebuah parti yang menguasai kerajaan Malaysia untuk enam dekad lamanya kepada parti pembangkang terbesar.

Bayangkan betapa besarnya perubahan kehidupan ini bagi Umno ketika menjadi pembangkang di peringkat persekutuan.

Lebih-lebih lagi apabila presiden dan bekas presidennya diheret ke mahkamah kerana berdepan dengan pelbagai dakwaan rasuah.

Tapi, jodoh antara Umno dan Muhyiddin belum putus. Selepas 22 bulan Umno merana sebagai pembangkang, Muhyiddin muncul sebagai penyelamat.

Ini berlaku apabila beliau sudi membawa Bersatu keluar daripada PH dan membentuk kerajaan persekutuan yang baru bersama PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Umno.

Walaupun Umno masih dikuasai oleh mereka-mereka yang bersetuju dengan keputusan pemecatan Muhyiddin dahulu.

Dengan sekelip mata, Muhyiddin muncul sebagai PM ke-8 dan membawa Umno kembali ke persada kerajaan persekutuan dan menjadi parti terbesar di dalam kerajaan.

Umno juga kembali berkuasa di negeri Johor, Melaka, Kedah dan Perak.

Jika dilihat daripada konteks ini, Jasa Muhyiddin ini terhadap Umno amat besar. Apakah para ahli dan pimpinan Umno memahami konteks ini?

Jawatan PM yang disandang Muhyiddin sebenarnya miliknya jika pemecatan beliau sebagai TPM tidak terjadi.

Cuma ia terlewat satu penggal, daripada PM ke 7, ke PM ke 8. Muhyiddin yang kini menjadi PM ke 8 hanya mendapat kembali apa yang sepatutnya milik beliau.

“Saya jadi ahli hampir Umno 45 tahun. Saya tak berjuang untuk diri saya saja. Jadi kalau saya terpaksa berkorban dan terkorban saya reda kerana ia adalah perjuangan politik saya.

“Jadi sebab itu yang lebih penting menjaga kesejahteraan umat, kepentingan rakyat,” teringat kata-kata Muhyiddin selepas beliau dipecat sebagai TPM dan timbalan presiden Umno pada tahun 2016.

Terbukti, di dalam perjuangan politik Muhyiddin, beliau sudah berkorban demi Umno. Dan kini, beliau kembali memberikan Umno oksigen. Malah mereka yang menyebabkan Umno terkorban juga diberikan nafas baru.

Jodoh Muhyiddin dengan Umno belum berakhir. Umno seharusnya melihat Muhyiddin melalui perspektif ini.

Muhyiddin adalah penyelamat Umno. Dengan ini, pergolakan dalaman Umno akan selesai dengan sendirinya. Jika tidak, jodoh Umno dengan status pembangkang berkemungkinan besar akan berputik kembali.