- Iklan -
Kolum

Asasnya PAS lawan Umno untuk dapatkan undi Melayu

Sehinggalah pada tahun 2015, PAS menyokong Najib Razak dan Muhyiddin Yassin pada tahun 2020.

Pak Zin
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Dalam pilihan raya negeri Sabah, PAS berada dalam Perikatan Nasional (PN) yang bersekutu dengan Barisan Nasional (BN). PAS pula bersama dengan BN dalam Muafakat Nasional. Dalam BN ada MCA.

PAS meminta peruntukan kerusi dalam pilihan raya negeri Sabah. Tetapi parti itu tidak memperoleh. Mungkin PN dan BN berpendapat MCA wajar diutamakaan daripada PAS yang tidak pernah menang di Sabah.

Walaupun calon-calon PAS yang hendak diletakkan di Sabah adalah orang di negeri itu, tetapi parti itu adalah asal semenanjung. Begitu juga MCA. Semasa penubuhan Malaysia pada tahun 1963, parti yang mewakili orang Cina di Sabah ialah Sabah Chinese Association (SCA) yang merupakan salah satu komponen Perikatan Sabah.

Politik Sabah dan Sarawak bukan merupakan teras dalam Malaysia. Tetapi ia menjadi amat penting apabila politik semenanjung menjadi tidak menentu dengan parti-parti politiknya berpecah dan tiada dapat sokongan padu.

Semenanjung merupakan teras bagi politik negara ini dengan Sarawak dan Sabah turut berperanan untuk mengikut rentak bagi mendapatkan manfaat daripada pergolakan yang berlaku.

Di semenanjung pula, teras politiknya terletak di kawasan-kawasan majoriti Melayu, iaitu di “Malay heartland”. Siapa yang berjaya meraih undi Melayu, mereka akan mengusai Malaysia. Walaupun parti-parti politik perlu juga memenangi kawasan campuran tetapi terdapat kepercayaan orang bukan Melayu akan turut menyokong pihak yang menang.

Jadi itulah yang dijadikan strategi oleh Umno dan PAS ketika menjalinkan kerjasama dalam Muafakat Nasional sebaik saja BN kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Begitu juga kefahaman Bersatu apabila ia bertindak keluar daripada Pakatan Harapan (PH) untuk menjauhkan diri daripada DAP bagi mendapatkan undi Melayu. Malah Pejuang juga ditubuhkan atas nama kepentingan Melayu.

Walaupun Umno sudah tidak dominan tetapi ia tetap merupakan parti terbesar dalam kerajaan PN dari segi bilangan kerusi. Ia tetap mahu kembali menjadi parti dominan.

Penentangan terhadap Umno luar PN 

Yang menentang Umno di luar PN dari kalangan parti-parti Melayu kini ialah Pejuang, PKR dan Amanah. Tetapi Pejuang adalah teramat kecil untuk mengalahkan Umno. Bagaimanapun, ia merupakan parti yang serupa dengan Umno dari segi perjuangannya.

Seperti mana juga Bersatu. Malah ketika Dr Mahathir Mohamad menubuhkan Bersatu, hasratnya adalah supaya parti itu akan menggantikan Umno untuk menjadi parti Melayu, tetapi bersih dan berintegriti.

Tetapi Bersatu tidak dapat mengalahkan Umno dalam siri pilihan raya kecil zaman pemerintahan PH. Akhirnya ia turut bekerjasama dengan Umno dalam PN.

Dr Mahathir tidak dapat menerima kerjasama itu dan beliau menubuhkan Pejuang untuk melawan Umno dan Bersatu. Tetapi ia amat kecil dan kelihatannya sukar untuk mengalahkan Bersatu, apatah lagi untuk menggantikan Umno.

Amanah pula lebih tertumpu menentang parti asalnya, PAS daripada Umno itu sendiri. Walaupun semasa dalam PAS, merekalah teras kepimpinan parti itu dalam menentang Umno sejak tahun 1982, iaitu selepas kepimpinan Asri Muda dan PAS mengambil dasar Kepimpinan Ulama.

Maka parti besar yang boleh melawan Umno adalah PKR. Tetapi parti ini tidak menampilkan sebagai parti Melayu seperti Umno, Bersatu dan Pejuang. Ia dipandang sebagai parti berbilang kaum dan pelbagai fahaman politik walaupun ketika penubuhannya pada tahun 1998, ia terdiri daripada orang Umno yang menentang Dr Mahathir.

Tetapi dalam pilihan raya umum tahun 1999, PKR, ketika itu Parti Keadilan Nasional tanpa kepimpinan Anwar Ibrahim yang berada dalam penjara dibantu oleh PAS pimpinan Fadzil Nor dalam gabungan Barisan Alternatif (BA) bersama DAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Orang Melayu termasuk kalangan Umno yang marah pada Dr Mahathir mengundi PAS walaupun mereka tidak mendokong agenda parti itu. PAS memperoleh manfaat daripada keadaan itu kerana bukan saja memperolehi negeri Terengganu tetapi banyak kawasan Umno di Pantai Barat buat pertama kali dimenangi oleh parti itu.

Begitulah peranan PAS sejak negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Ia menjadi parti utama dalam menentang Umno dengan membawa agenda Islam yang sukar hendak ditangkis, dan ada kalanya BN terpaksa menerima tuntutan parti itu bagi memelihara undi Melayu.

Majoriti Melayu tetapi memilih Umno berbanding  PAS. Agenda Melayu Umno lebih sederhana dan praktikal berbanding agenda Islam PAS. Tetapi akan ada minoriti Melayu yang tegas menyokong PAS. Namun PAS menyedari mereka tidak akan dapat mengatasi Umno dan bersedia hanya untuk menjadi “kingmaker” yang berpengaruh.

PAS wadah undi protes Melayu

Tetapi PAS tetap menjadi cabaran bagi Umno untuk mendapatkan undi Melayu. Ini kerana PAS sentiasa menjadi wadah bagi undi protes Melayu terhadap Umno. Apabila orang Melayu marah pada Umno, mereka akan mengundi PAS walaupun mereka tidak mendokong agenda agama parti itu. Ini berlaku pada tahun tahun 1969, 1990, 1999, 2008, 2013 dan 2018.

Umno pula akan bermusuh dengan PAS apabila ia kuat. Apabila ia lemah, ia akan berbaik dengan PAS. Ini berlaku pada tahun 1974 apabila ia mewujudkan kerajaan campuran Perikatan-PAS yang membawa kepada penubuhan BN.

Begitu juga dengan usaha Umno berbaik dengan PAS sejak selepas pilihan raya tahun 2008 sehingga tertubuhnya Muafakat Nasional selepas pilihan raya tahun 2018.

PAS yang ditubuhkan pada tahun 1951 asalnya merupakan Biro Agama Umno. Ketika itu Umno lebih tertumpu pada hendak menyelamatkan hak-hak Melayu daripada soal agama. Tuntutan biro agama adalah sederhana iaitu seperti memperkemaskan pentadbiran pejabat agama, menyelaraskan undang-undang agama semua negeri, peruntukan untuk sekolah agama, menubuhkan mahkamah syariah, uni versiti Islam dan bank Islam. Kesemua tuntutan ini telah dilaksanakan pada zaman pentadbiran pertama Dr Mahathir.

Ironinya, PAS yang bermula sebagai Persatuan Islam Se-Tanah Melayu ditubuhkan oleh pemimpin Umno yang menyokong Onn Jaafar. Beliau pula mencadangkan Umno dijadikan Pertubuhan Kebangsaan Malaya Bersatu dan di buka keahlian untuk bukan Melayu supaya memenuhi syarat British bagi mendapatkan kemerdekaan.

Apabila Onn gagal, beliau keluar dan menub uhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP), pucuk pimpinan PAS yang menyokong Onn menyertai IMP. Akibatnya PAS tiada pemimpin berkaliber.

Mereka mengundang Dr Burhanuddin Al-Helmy yang baru dibebaskan dari tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai pemimpin. Dr Burhanuddin adalah bekas ketua Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), parti Melayu pertama dan Pusat Tenaga Rakyat (Putera).

Ia mempunyai fahaman politik berbeza daripada Umno. ini kerana beliau adalah nasionalis kiri dan mempunyai elemen fahaman sosialis. Islam yang dibawanya juga berunsur kiri. Maka para pengikut beliau termasuk dari kalangan Hizbul Muslimin menyertai PAS. Parti Islam pertama Tanah Melayu ini pernah merupakan komponen Putera, gabungan pertubuhan kiri Melayu.

Dr Burhanuddin mahu membawa PAS kepada jalur kiri dan bekerjasama dengan PRM pimpinan Ahmad Boestamam untuk melawan Umno. Tetapi tidak sempat, kesemua mereka dan banyak pemimpin kiri lain ditahan di bawah ISA.

Maka kepimpinan PAS jatuh pada Asri. Walaupun Asri adalah bekas aktivis Hizbul Muslimin tetapi beliau membawa PAS ke aliran kanan. Beliau menampilkan isu-isu Melayu lebih daripada Umno. PAS mempertikaikan kerjasama Umno dengan MCA.

Ternyata garis pelawanan ini berkesan dengan PAS berjaya memenangi Kelantan dan Terengganu dalam pilihan raya umum pertama Tanah Melayu lepas merdeka pada tahun 1959. Sejak itu PAS menjadi pencabar Umno walaupun tidak pernah mengalahkannya.

Dari nasionalis ke kepimpinan ulama

Ketika orang Melayu tidak puas hati dengan Tunku Abdul Rahman, mereka mengundi PAS sebagai protes dalam pilihan raya umum tahun 1969.

Asri membawa PAS bekerjasama dengan Umno dalam BN tetapi banyak anggota parti tidak puas hati. Abdul Razak Hussein bagaimanapun memberi banyak ruang pada PAS dan muncullah syiar-syiar Islam dalam kerajaan.

Tetapi tidak pada zaman Hussein Onn. PAS disingkirkan daripada BN dan kecundang dalam pilihan raya tahun 1978 dengan Kelantan juga sudah terlepas. PAS kembali menjadi parti pembangkang tetapi pada kedudukan lemah.

Era Kebangkitan Islam pada tahun 1979 memperlihatkan PAS dan Asri tidak memperjuangkan agenda Islam. Anak-anak muda yang menyertai PAS melihat Asri dan penyokongnya sebagai nasionalis yang tidak berbeza daripada Umno.Di bawah Yusof Rawa, mereka mengenakan tekanan yang akhirnya membawa PAS menjadi parti Islam radikal. Mereka secara agresif melawan Umno. Tetapi PAS kalah teruk dalam pilihan raya tahun 1986. Ia tidak berupaya melawan Dr Mahathir yang mendapat sokongan Anwar Ibrahim dengan identiti Islamnya.

Tetapi PAS terus menentang Umno melalui kerjasama dengan parti pembangkang lain. Pada mulanya mendokong Tengku Razaleigh Hamzah sebagai perdana menteri, dan kemudiannya Anwar.

Sehinggalah pada tahun 2015, PAS menyokong Najib Razak dan Muhyiddin Yassin pada tahun 2020. Parti itu tidak lagi menentang Umno.

Tetapi keadaan ini dijangka sementara kerana teras politik Melayu adalah persaingan antara Umno dan PAS. Penyelarasan politik Melayu akan terus berlaku dan ia akan menentukan masa depan negara.