- Iklan -
Berita

Hilang kerusi tradisi mungkin beri isyarat SUPP yang ‘dibuli’ akan berubah, kata penganalisis

Mereka berkata SUPP mengalami kesukaran kerana hilang kerusi Mambong dan Dudong menjelang PRN Sarawak bulan ini.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Gabungan Parti Sarawak mendominasi pencalonan PRN Sarawak ke-12 yang bakal diadakan pada 18 Disember ini.
Gabungan Parti Sarawak mendominasi pencalonan PRN Sarawak ke-12 yang bakal diadakan pada 18 Disember ini.

Penganalisis mempersoalkan masa depan dan hala tuju Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mentadbir negeri itu berikutan rasa tidak senang timbul mengenai pembahagian kerusi bagi pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan 18 Disember ini.

Bercakap kepada MalaysiaNow, mereka berkata parti itu mengalami kesukaran kerana kehilangan kerusi tradisinya iaitu Mambong dan Dudong yang diberikan kepada Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Perubahan itu dikatakan diputuskan pada saat-saat akhir, calon awal yang sepatutnya diwakili SUPP diberikan kepada Tiong King Sing dari PDP di Dudong sementara Dr Jerip Susil dari PBB di Mambung.

Jayum Jawan dari Universiti Putra Malaysia berkata walaupun senarai calon SUPP diluluskan oleh presiden parti Dr Sim Kui Hian, namun Pengerusi GPS Abang Johari Openg adalah kata pemutus dalam pencalonan itu.

“Ini satu dilema yang dihadapi SUPP.

“Mereka didesak dan tidak bertindak balas,” katanya.

Sim sendiri turut menyatakan kekecewaan beliau terhadap pertukaran calon itu, mengatakan beliau terkejut dengan keputusan Abang Johari.

Bagaimanapun, Jayum berkata respons Sim tersebut bukan satu reaksi yang terbaik boleh diberikan pemimpin SUPP.

“Kenyataan bahawa beliau terkejut itu turut makan diri.

“Ia menunjukkan beliau tidak memiliki pengaruh penuh dalam SUPP seperti mana pemimpin sebelumnya.”

Beliau juga turut mengingatkan reaksi Sim tersebut boleh menyekat usaha parti itu dalam mengekalkan baki kerusi tradisinya.

PRN Sarawak akan diadakan pada 18 Disember, ia bakal menyaksikan pertembungan banyak penjuru bagi merebut kesemua 82 kerusi dalam DUN Sarawak.

Pertembungan terbesar berlaku di kawasan Dudong, di mana lapan calon termasuk Tiong akan bertanding merebut kerusi itu.

Walaupun SUPP menghadapi keadaan yang kurang baik itu, namun Sim tetap berjanji akan menyokong kesemua 82 calon yang diletakkan oleh GPS.

Dalam pada itu, pemerhati politik James Chin dari Universiti Tasmania di Australia berkata jentera SUPP di Mambong dan Dudong mungkin tidak akan beri sokongan kepada calon parti komponen GPS yang lain.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Chin berkata beliau menjangka petugas akar umbi SUPP mungkin tidak sanggup untuk bekerjasama dengan calon PDP.

“Tidak ada banyak perkara yang boleh dilakukan oleh SUPP sekarang,” katanya.

“Namun di peringkat kawasan, apabila perkara seperti ini berlaku, cawangan parti boleh ‘balas dendam’ dengan ‘sabotaj’ calon.”

Chin berkata perkara sedemikian berlaku secara “bawah tanah” bagi kerusi lain dalam PRN sebelum ini.

Bagaimanapun, tindakan itu perlu dilakukan secara berhati-hati daripada diketahui pihak jentera parti, tambahnya.

“Jika mereka ditangkap, mereka boleh dipecat daripada parti itu,” katanya.

SUPP pernah menjadi parti kedua terbesar di Sarawak selepas PBB.

Bagaimanapun, Jayum berkata kehilangan dua kerusi tradisinya adalah isyarat bahawa kepimpinan Sim sedang dicabar.

Sebagai ketua dalam SUPP, katanya, Sim perlu lantang dalam perkara itu.

Chin juga berkata selepas perkara tersebut, Sim mungkin akan dapat “lebih banyak kejutan”.

“Jika Tiong menang dan masuk DUN, beliau akan bersaing dengan SUPP untuk jawatan tradisi Cina sebagai timbalan ketua menteri,” katanya.

Menurut Chin lagi, kehilangan dua kerusi SUPP itu juga boleh memberi gambaran lebih banyak perubahan bakal berlaku pada parti itu pada masa akan datang.

“Kehilangan kerusi tradisi bermakna SUPP itu boleh terus dibuli pada masa akan datang, selepas PRN Sarawak ke-12 selesai,” katanya.