- Iklan -
Dunia

Indonesia rekod hampir 100 kematian kanak-kanak akibat kegagalan buah pinggang

Kementerian Kesihatan Indonesia mengenal pasti 206 kes dari 20 wilayah dengan kadar kematian pesakit yang dirawat di Jakarta mencecah 65%.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Dua orang kanak-kanak memakai pelitup muka ditemani ibu mereka. Lebih 200 kes kegagalan buah pinggang dalam kalangan kanak-kanak negara itu direkodkan tahun ini. Gambar: AFP
Dua orang kanak-kanak memakai pelitup muka ditemani ibu mereka. Lebih 200 kes kegagalan buah pinggang dalam kalangan kanak-kanak negara itu direkodkan tahun ini. Gambar: AFP

Sejumlah 99 kanak-kanak berumur di bawah enam tahun meninggal dunia akibat kecederaan buah pinggang akut (AKI) di seluruh negara setakat tahun ini, menurut Kementerian Kesihatan Indonesia.

Kementerian itu mengenal pasti 206 kes AKI dari 20 wilayah setakat semalam dengan kadar kematian pesakit yang dirawat di Jakarta mencecah 65%.

Siasatan sedang dijalankan dengan kerjasama agensi makanan dan ubat-ubatan (BPOM), pakar epidemiologi, pakar pediatrik, ahli farmakologi dan forensik polis untuk menentukan punca.

Kementerian itu juga menggesa kemudahan kesihatan dan farmasi menghentikan pemberian sebarang sirap atau cecair buat sementara waktu sehingga siasatan kes itu selesai, kata jurucakapnya Mohammad Syahril dalam satu kenyataan.

Oang ramai boleh menggunakan dos dalam bentuk lain seperti tablet, kapsul dan suppositori sebagai alternatif.

Sabtu lepas, BPOM melarang syarikat farmaseutikal daripada mendaftarkan produk yang mengandungi dietilena glikol (DEG) dan etilena glikol (EG) ekoran peningkatan kes AKI.

Pada 5 Oktober, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan ubat berasaskan sirap untuk kanak-kanak yang mengandungi DEG dan EG adalah antara punca kegagalan buah pinggang akut di Gambia, Afrika Barat.

“Empat produk itu ialah Promethazine Oral Solution, Kofexmalin Baby Cough Syrup, Makoff Baby Cough Syrup dan Magrip N Cold Syrup.

"Pengilang produk itu ialah Maiden Pharmaceuticals Limited (Haryana, India)," menurut WHO.

Bagaimanapun, menurut BPOM produk ini tidak terdapat di Indonesia.