- Iklan -
Dunia

Banjir Pakistan ragut 1,325 nyawa

11 lagi kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai berkumpul di hadapan jalan raya yang musnah akibat bencana banjir di Madian di Pakistan. Gambar: AFP
Orang ramai berkumpul di hadapan jalan raya yang musnah akibat bencana banjir di Madian di Pakistan. Gambar: AFP

Angka korban akibat banjir di Pakistan mencecah 1,325, dengan 11 lagi kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu, menurut agensi bencana negara itu pada Isnin.

Kesemua 11 mangsa yang terkorban berasal dari wilayah selatan Sindh, dengan kejadian banjir terbaharu menenggelamkan lebih banyak kawasan dalam tempoh 48 jam, lapor Agensi Anadolu.

Sejak 14 Jun, seramai 289 orang maut di Khyber Pakhtunkhwa, diikuti 260 terkorban di Balochistan, manakala 189 orang maut di wilayah timur laut Punjab, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara (NDMA).

Seramai 12,703 orang dilaporkan cedera akibat hujan dan banjir melanda seluruh negara sejak 14 Jun. 

Beribu-ribu lagi mangsa banjir telah dipindahkan dari pelbagai kawasan di daerah Jamshoro dan Dadu di Sindh.

Rakaman oleh stesen penyiaran tempatan memaparkan rumah, masjid, sekolah, dan bangunan lain ditenggelami banjir lumpur.

Perkhidmatan kereta api di kawasan dilanda banjir dan seluruh negara dihentikan selama 10 hari lagi kerana banjir telah menenggelamkan beberapa kawasan landasan kereta api.

Lebuhraya Indus utama juga masih ditenggelami air di kebanyakan tempat, dengan ratusan kenderaan beratur menunggu jalan dibuka semula.

Berpuluh ribu penduduk masih terkandas di berpuluh-puluh kawasan yang dilanda banjir di saat pesawat angkatan tentera terus membantu membawa mereka yang terperangkap di wilayah Sindh, Punjab dan Balochistan.

Beratus-ratus ribu mangsa banjir turut bergelut dengan wabak besar-besaran seperti penyakit bawaan air, penyakit mata dan kulit, hingga mencetuskan kebimbangan lebih banyak mangsa yang terkorban kerana sistem penjagaan kesihatan negara sedang bergelut merawat pelbagai penyakit di keempat-empat wilayah.

Terpaksa bersesak dalam khemah dan sekolah, beribu-ribu mangsa  terdedah kepada cirit-birit, gastrousus, denggi, malaria dan penyakit lain akibat air yang tercemar dan tahap kebersihan yang rendah.

Banjir dicetuskan oleh hujan lebat telah menenggelamkan satu pertiga negara itu, mendorong kerajaan memohon bantuan antarabangsa.