- Iklan -
Dunia

PBB bersiap hantar pasukan tenaga atom ke loji nuklear Ukraine

Loji kuasa nuklear terbesar Eropah itu telah dibedil beberapa kali, menimbulkan kebimbangan mengenai ancaman bencana nuklear.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail 27 April ini menunjukkan pemandangan kawasan loji kuasa nuklear Zaporizhzhia, yang terletak di kawasan Enerhodar, Rusia. Gambar: AFP
Gambar fail 27 April ini menunjukkan pemandangan kawasan loji kuasa nuklear Zaporizhzhia, yang terletak di kawasan Enerhodar, Rusia. Gambar: AFP

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa memaklumkan badan dunia itu sedang membuat persiapan untuk menghantar pasukan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) ke loji kuasa nuklear Zaporizhzhia di Ukraine bagi tujuan pemeriksaan. 

Loji kuasa nuklear terbesar Eropah itu telah dibedil beberapa kali, menimbulkan kebimbangan mengenai ancaman bencana nuklear, lapor Agensi Anadolu (AA).

Rusia dan Ukraine saling tuduh menuduh terhadap serangan ke atas kemudahan nuklear itu.

Pada mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan, Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Politik dan Pembangunan Keamanan Rosemary DiCarlo menyuarakan kebimbangan mengenai situasi berbahaya di dalam dan sekitar loji nuklear.

''Malangnya, kami terus menyaksikan insiden membimbangkan melibatkan loji itu.

“Jika insiden sebegini berterusan atau meningkat, kita boleh menghadapi bencana,” kata DiCarlo.

Selain menyeru agar lokasi itu dijadikan zon bebas tentera dan senjata, beliau turut menggesa Rusia dan Ukraine menyediakan akses segera, selamat dan tanpa halangan kepada badan pemantau PBB itu.

Beliau berkata terdapat keperluan mendesak agar mengembalikan semula status Zaporizhzhya sebagai infrastruktur awam dan untuk memastikan keselamatan di kawasan itu.

"Sebarang potensi yang boleh mengakibatkan kerosakan kepada Zaporizhzhya atau mana-mana kemudahan nuklear lain di Ukraine boleh membawa bencana, bukan sahaja untuk kawasan berhampiran, tetapi di rantau ini dan selainnya."

Rusia menguasai kemudahan itu pada 4 Mac, kira-kira dua minggu selepas memulakan operasi ketenteraan ke atas Ukraine.

Utusan PBB Rusia menuduh Ukraine menyerang loji nuklear menggunakan senjata buatan Amerika.

Duta Ukraine ke PBB mengalu-alukan kesediaan IAEA untuk menghantar misi ke tapak nuklear dan berkata lawatan itu perlu mematuhi undang-undang negara Ukraine.

Sergiy Kyslytsya menggesa IAEA untuk mempertimbangkan kehadiran pakar di loji kuasa nuklear Zaporizhzhya secara tetap sehingga Ukraine memperoleh kawalan penuh ke atas tapak itu.