- Iklan -
Dunia

India pecat 3 pegawai tentera lancar peluru berpandu ke Pakistan

Pakistan membantah keras insiden itu dan menyifatkannya sebagai 'pencabulan' terhadap ruang udaranya.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Tentera India berkawad ketika sambutan Hari Republik ke-73 di New Delhi pada Januari. Gambar: AFP
Tentera India berkawad ketika sambutan Hari Republik ke-73 di New Delhi pada Januari. Gambar: AFP

Kerajaan India memecat tiga pegawai tenteranya ekoran insiden melancarkan peluru berpandu ke Pakistan pada Mac.

Perkhidmatan mereka ditamatkan berkuat kuasa serta-merta, menurut Tentera Udara India.

Siasatan mendapati berlakunya pengabaian terhadap prosedur operasi standard oleh tiga pegawai berkenaan sehingga membawa kepada insiden menembak peluru berpandu dengan tidak sengaja, menurut pihak tentera dalam satu kenyataan pada Selasa.

Peluru berpandu BrahMos, ialah sistem senjata yang dibangunkan Rusia dan India, terhempas berhampiran bandar Mian Channu di wilayah Punjab pada 9 Mac.

Tiada kematian atau kecederaan dilaporkan susulan insiden berkenaan dan Kementerian Pertahanan India pada ketika itu mengeluarkan kenyataan mengenai berlakunya “kepincangan teknikal”.

Pakistan membantah keras insiden itu dan menyifatkannya sebagai "pencabulan tanpa provokasi" terhadap ruang udaranya.