- Iklan -
Dunia

Kerajaan Ukraine segerakan evakuasi penduduk dari wilayah Donbas

Rusia mulakan usaha perluaskan kawalan ke kawasan utara wilayah itu.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Tentera Ukraine mengangkat tangan ke arah wartawan ketika mengawal kawasan utara Donbas daripada serangan Rusia. Gambar: AFP
Tentera Ukraine mengangkat tangan ke arah wartawan ketika mengawal kawasan utara Donbas daripada serangan Rusia. Gambar: AFP

Proses pemindahan orang awam dari Sloviansk disegerakan bermula semalam, ketika tentera Rusia bergerak menuju ke utara bandar Ukraine bagi memperluaskan kawalan di wilayah Donbas.

Sloviansk diserang dengan pengeboman bertubi-tubi ketika tentera Rusia terus bergerak ke arah barat pada hari ke-133 pencerobohan.

"Dua puluh tahun kerja hilang sekelip mata. Tiada lagi pendapatan, tiada lagi kekayaan," kata Yevgen Oleksandrovych, 66, kepada AFP ketika meninjau tapak kedai alat ganti keretanya yang musnah akibat serangan pada Selasa.

Wartawan AFP turut melihat bedilan roket menyasarkan kawasan pasar dan jalan raya di Sloviansk, sementara anggota bomba bergelut memadam kebakaran akibat serangan tersebut.

Kira-kira satu pertiga daripada kawasan pasar itu musnah dan penduduk tempatan memeriksa harta benda yang masih ada daripada kemusnahan berkenaan.

Beberapa kawasan yang terselamat turut dilihat masih berfungsi, dengan sejumlah penduduk membeli buah-buahan dan sayur di sekeliling kawasan pasar itu.

“Saya akan jual semuanya dan duduk di rumah. Rumah kami ada ruang bawah tanah, kami akan sembunyi di sana,” kata seorang peniaga, Galuna Vasyliivna, 72.

“Apa lagi yang kami boleh buat? kami tak ada tempat lagi nak dituju, tak ada siapa mahukan kami.”

Datuk Bandar Sloviansk, Vadym Lyakh, berkata kira-kira 23,000 daripada 110,000 penduduk masih berada di Sloviansk, dan mendakwa Rusia masih gagal mengepung bandar itu.

"Sejak serangan bermula, 17 penduduk terkorban dan 67 cedera. Proses pemindahan masih berjalan. Kami membawa keluar penduduk setiap hari ke bandar Dnipro menggunakan bas.

"Bandar ini masih kukuh. Rusia dilihat tidak dapat bergerak maju ke dalam bandar ini," katanya.

Seorang tukang paip, Vitaliy berkata isteri dan anaknya dipindahkan dari Sloviansk semalam.

“Saya risau keadaan isteri, semalam mereka serang pusat bandar.

“Saya sudah hantar isteri saya keluar dari sini, saya tak aa pilihan lain: Esok saya akan sertai tentera.”

Donbas merangkumi sebahagian besar wilayah Lugansk, yang hampir berjaya ditawan sepenuhnya tentera Rusia, manakala Donetsk menjadi tumpuan serangan Moscow dan menempatkan bandar Sloviansk.

Kejatuhan bandar Lysychansk di Lugansk Ahad lalu, seminggu selepas tentera Ukraine berundur daripada bandar Severodonetsk, kini membolehkan tentera Rusia memperluaskan misinya.

Gabenor Donetsk, Pavlo Kyrylenko, berkata tentera Rusia membunuh lima orang awam dan mencederakan 21 yang lain di wilayah itu, Selasa lalu.

Gabenor Lugansk, Sergiy Gayday, pula menegaskan Rusia tidak mengawal sepenuhnya wilayah itu, dan memaklumkan pertempuran masih berlangsung di dua perkampungan.