- Iklan -
Kolum

Loceng dan orientasi

Maghrib sampai lagi. Aku merasa gelisah.

Hishamuddin Rais
6 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Malam pertama untuk sesiapa yang belum pernah tinggal dalam asrama pasti terasa janggal dan tidak selesa.  

Bermukim di satu wilayah asing bersama orang-orang yang tidak dikenali. 

Bayangkan, tidur bukan di rumah sendiri. Bukan bersama sanak saudara. 

Di sebelah katil ada sosok asing yang tidak diketahui hujung pangkalnya.

Tetapi kehidupan di asrama ini bukan sesuatu yang baru untuk aku. 

Aku sudah belajar meninggalkan rumah dan menginap di asrama Sekolah Menengah Undang Jelebu (SMUJ) semenjak tahun 1967. 

Akan tetapi malam pertama di “Dorm 20, West Wing” Malay College Kuala Kangsar (MCKK) agak mencabar.

Aku dicabar oleh bunyi deringan loceng.  

Di MCKK semua jadual mengikut bunyi loceng. 

Loceng pertama jam 7.00 pagi untuk bangun dan bersedia untuk hari baru. 

Loceng berbunyi jam 7.30 pagi untuk sarapan dan loceng berbunyi jam 8.00 pagi tanda kelas bermula.  

Jam 10.30 pagi loceng untuk 30 minit waktu rehat.

Jam 1.00 tengah hari loceng berbunyi kelas selesai. 

Dari bilik darjah menapak menuju ke dewan makan.

Jam 5.00 petang loceng berbunyi untuk aktiviti sukan. 

Loceng jam 7.00 petang semua bersiap untuk makan malam. 

Masuk dewan makan bersama-sama. Jam 8.45 malam loceng “prep”, semua kembali  ke bilik darjah masing-masing untuk buat kerja sendiri. Bilik tidur dikosongkan.

Jam 10.00 malam loceng prep selesai untuk pelajar tingkatan lima ke bawah.  

Mereka menapak pulang ke dorm. Jam 10.30 malam loceng tamat untuk pelajar tingkatan enam.  Semua pulang ke dorm masing-masing.

Jam 11.00 malam loceng berbunyi. Lampu padam. Tamat sehari di MCKK.

Hidup aku mula diatur oleh deringan loceng.

Isnin pertama di MCKK bermula. Program dua minggu orientasi untuk pelajar tingkatan enam rendah yang baru sampai. 

Jumlah pelajar, pendatang baru tidak ramai. Tidak sampai 30 orang. 

Untuk aliran sastera tak sampai 15 orang. Pendatang baru tingkatan enam yang ramai daripada aliran sains.

Hari pertama kami ke pejabat sekolah untuk membeli kain samping, tali leher dan lencana sekolah.
 
Di MCKK hanya ada tiga jenis pakaian. Uniform sekolah, baju melayu putih dan seluar pendek hitam dan baju t putih untuk bersukan. 

Kasut kulit hitam untuk ke kelas dan kasut getah putih untuk bersukan. 

Selipar dan capal hanya boleh  digunakan dalam bilik tidur dan ketika prep malam.

Ketika prep di sebelah malam boleh pakai baju Melayu dengan kain sarung atau baju dan seluar Melayu tanpa kain samping. 

Selipar dan capal dibenarkan. Prep hujung minggu di waktu siang kami wajib memakai pakaian seragam sekolah.

Prep ini  berasal dari perkataan Inggeris.  

Membawa makna persediaan. Kami mengulang baca, menyiapkan kerja sekolah, membuat kerja sendiri dalam kelas.  

Kalau di sekolah yang bukan di asrama prep ini menyelesaikan “homework”, kerja di rumah.

Aku ingat lagi petang hari kedua di MCKK pada jam 4.00 kami dipanggil ke gelanggang  badminton. 

Letaknya di sebelah gelanggang tenis di hadapan Dorm 20.

Kami dipanggil oleh pelajar “senior” dari tingkatan enam atas. Mustahil aku akan lupakan “senior” yang mengorientasi aku pada petang itu.

Aku ingat lagi yang datang ke  gelanggang badminton petang itu ialah Kassim Ahmad, Mustakim,  Nazri, Rahman Adnan dan Salim.

Para pelajar tingkatan enam atas tidak tinggal bersama kami.  

Dorm mereka di Pavilion, bangunan baru yang tersendiri paling hampir dengan bilik kuliah.

Pada hemat aku ketua orientasi menyambut pelajar baru tahun 1969 ialah Kassim Ahmad.  

Di petang itu Kassim ini yang banyak bercakap dan memberi arahan.

Petang itu  freshie diajar “Haka MCKK”. 

Haka ini budaya Maori, laungan semangat identiti dan jati diri.

Pasukan ragbi All Black, New Zealand akan melaungkan Haka sebelum perlawanan dimulakan.  Untuk membakar semangat dan setia kawan.

Kassim pada petang itu melaungkan Haka MCKK:

“Bungwak bung wek wek,
Bungkak bung kek kek,
Who are we?
The Malay College!
Can’t you see?
Yeah!!”

Kassim melaungkan sekali lagi dan kami ikut ramai-ramai. 

Aku tidak faham apa yang tersirat dalam tradisi sorakan ini.

Kemudian Kassim meminta kami ulangi. 

Pendatang baru yang berdiri atas simen gelanggang badminton senyap. Kassim mengulangi haka itu sekali lagi.

Aku memberanikan diri dan bersuara melaungkan Haka MCKK ini. Haka ini amat mudah dihafal.

“Woit, good. You lead.” Kassim minta aku datang ke hadapan dan mengulangi haka ini untuk semua pendatang baru.

Kami mengulangi beberapa kali haka ini. Pada petang itu aku rasa semua “freshie” hafal bungwak setelah berkali-kali kami ulangi.

Ritual haka ini mewajibkan kami menumbuk tapak tangan kiri dengan penumbuk tangan kanan. 

Bila sampai kepada “yeah” kami akan mengambur tinggi. Inilah Haka Bungwak MCKK.

Setiap petang di minggu orientasi kami bersukan. 

Aku bukan kaki bangku dalam masa yang sama aku tidak pernah menjadikan bola sepak, hoki atau sepak takraw sebagai sebahagian daripada gaya hidup aku.  

Ketika di SMUJ aku hanya berupaya menjadi pelari jarak jauh. 

Tetapi pada minggu orientasi ini aku terpaksa bermain bola sepak. 

Bukan tak boleh, bukan tak larat tetapi aku membuat sesuatu yang tidak aku minati. Aku merasa tidak selesa.

Di minggu orientasi, suai kenal kami melalui bermain sukan bola sepak dan ragbi.

Ragbi ini satu yang amat baru untuk aku. 

Di SMUJ tidak ada pasukan ragbi. 

Aku pernah melihat ragbi dimainkan oleh tentera Gurkha di padang pekan Kuala Klawang.

Ketika bermain bola kita tersepak dan terlanggar. Kita tersenyum dan kita ketawa. 

Tersakit dan terpedih, semuanya bertujuan untuk suai kenal sesama sendiri. Bersukan pada hemat aku cara pantas untuk mengikat tali persaudaraan.

Aku merasakan pada petang itu di padang di MCKK ini kami ditanamkan rasa jati diri dan diterima sebagai warga Kolej Melayu Kuala Kangsar setelah melaungkan bungwak.

Padang MCKK cukup lumayan. 

Padang utama, padang besar untuk bola sepak, ragbi dan kriket.  

Di sebelah dewan makan ada empat gelanggang tenis dan satu gelanggang badminton.

Pada tahun 1969 kolam renang di belakang Dorm 20 tidak berair. Aku difahamkan kolam renang ini sudah pecah.

Aku ingat lagi ketika  minggu orientasi pendatang baru diwajibkan memakai tali leher selama dua minggu ketika masuk kelas. 
 
Tali leher ini amat penting dalam budaya MCKK.

MCKK menggunakan sistem “prefect” atau pengawas. 

Di setiap dorm ada bilik khusus untuk pengawas. Untuk tanda pengenalan pengawas memakai tali leher yang berbeza daripada pelajar biasa.

Mereka juga memakai “blazer” berwarna “maroon”. Pengawas terdiri daripada pelajar tingkatan enam. Pengawas memastikan perjalanan kelas, peraturan sekolah diikuti dan bilik tidur kemas bersih teratur.

Kami tidak membersihkan kawasan di luar bilik. 

Kami ada “house-boy”. Ketika kami di kelas house-boy akan membersihkan kawasan luar. 

Kami hanya memastikan katil, bantal dan tilam teratur dan  bilik dorm kami bersih bersapu.

Pengawas Dorm 20 namanya Abu Hassan.  

Sosok ini pelajar tingkatan enam atas aliran sastera berasal dari Perlis.  

Sosok pendiam. Tak banyak cerita menjadikan aku yang  bertaraf freshie agak was-was juga.

Sebelah bilik pengawas katil Idrus dari Kuala Pilah yang juga pendatang baru. 

Depan bilik pengawas katil Zahrin pelajar lama aliran Sains.  

Depan katil aku Syed Alwi, Rashid Harun dan Ghani Osman.

Semua pendatang baru satu kelas dengan aku. Sebelah katil aku  Mahmud dan Syukur Suhut pelajar lama aliran Sains.

Dalam Dorm Twenty ini majoriti pelajar lama antaranya Kamarudin Jaffar, Wan Hashim dan  Fadzilah Kamsah.

Ketika aku sampai MCKK aku adalah pengamal Islam Budaya.  

Aku merayakan segala perayaan yang bersangkutan dengan agama. Aku tidak mengamalkan sembahyang.  

Aku berpuasa kerana aku ingin merayakan Hari Raya.

Untuk aku baju Melayu, songkok yang wajib dipakai di MCKK adalah sebahagian daripada budaya Melayu. 

Aku tidak tahu budaya Arab dan aku tidak pernah tertarik dengannya.

Ketika di asrama SMUJ pernah juga aku sembahyang. 

Malah kali pertama aku bersembahyang Jumaat pada tahun 1967 ketika aku dalam tingkatan empat.  

Ini kerana sebagai warga asrama kami diwajibkan pergi bersembahyang ke Masjid Kuala Klawang.

Di Jumaat  pertama aku sembahyang Jumaat baru aku sedar akan ritual pak imam. Dia memegang  tongkat membaca khutbah kemudian duduk bangun kembali sebelum sembahyang.

Kali ini di Dorm 20 aku lihat ramai kaki sembahyang terutama pelajar dari Kelantan dan Pantai Timur.

Mereka bersembahyang berjemaah sebelum loceng masuk ke dewan makan berbunyi.

Awalnya aku perhatikan saja mereka bersembahyang. Mereka memerhatikan aku yang tidak bersembahyang.

Sesudah mandi petang aku memakai baju Melayu dan hanya menunggu bunyi loceng untuk masuk ke dewan makan.  

Selesai minggu orientasi kami sudah mengenal lebih dekat sesama satu dorm. Kali ini  bila maghrib sampai mereka mula mengajak aku sembahyang bersama. Aku merasa kurang selesa kerana ini bukan diri aku. Aku Melayu bukan Arab.

“Reform laa, reform laaa.” Ini kata-kata yang selalu aku dengar dari mereka. Apa yang hendak direform aku kurang pasti.

Aku rasa sebelum makan malam bermula ada masa hampir setengah jam di mana penghuni Dorm 20 sempat berjemaah.  Aku tidak mengikuti jemaah mereka. Aku menunggu loceng ke dewan makan.

“Mari laa jemaah sama.” Wan Hashim mengajak aku.

“Bukan kamu jadi imam. Ikut saja.” Mahmud yang duduk di katil sebelah aku mengajak sama.

Aku tunaikan permintaan mereka.

Petang itu kali pertama aku sembahyang maghrib di MCKK.  

Petang esoknya perkara yang sama berlaku. Aku merasa aku bukan diri aku lagi.

Aku merasa tidak selesa kerana aku merasakan aku melakukan sesuatu yang bukan aku.  Aku merasa amat tidak serasi dengan jiwa aku.

Jumaat sampai. Sembahyang Jumaat tidak ada masalah. Kami berjalan ke luar sekolah pergi ke masjid. 

Ritual yang ini satu yang menarik untuk aku dan aku rayakan kerana ini sebahagian daripada rutin bersekolah di MCKK.

Maghrib sampai lagi. Aku merasa gelisah. Aku menunggu bunyi loceng untuk ke dewan makan.

Aku merasa wajib melakukan sesuatu untuk menyelamatkan diri aku dari perasaan yang  menjadikan jiwa aku tidak tenteram.

Apa yang perlu aku lakukan?